EPISOD 40

"JASMINE Qasrina binti Zali. Salam perkenalan daripada kawan baik ayah kau."

Tubuh Jasmine tersungkur di hadapan Reno tatkala tubuhnya ditolak kasar di hadapan lelaki yang duduk sambil melunjurkan kaki di atas meja. Pandangan Jasmine bertaut dengan Reno yang sedang menghembuskan kepulan asap rokok ke udara. Tatkala pipinya dielus lembut oleh lelaki itu, Jasmine menepis kasar tangan kotor yang sudah menjadi dalang utama penculikannya.

"Korang nak apa daripada aku? Apa salah aku!"

Tersungging senyuman sinis di bibir Reno tatkala Jasmine mula menaikkan nada suaranya. Dengan isyarat mata, dia mengarahkan konco-konconya untuk mendudukkan Jasmine di atas kerusi. Segelas wain dituang ke dalam gelas bagi menyambut kedatangan tetamu kehormat itu.

"Minum dulu. Kau mesti perlukan tenaga nak menjerit minta tolong kat dalam hutan."

"Aku tak minum air syaitan macam kau!"

Gelas wain yang dihulurkan Reno terhempas di atas lantai sehingga berderai pecah. Reno menarik nafas panjang seraya meneguk wain merah. Pandangannya bertaut dengan tatapan tajam Jasmine. Dia tak nafikan, wanita ini bijak menyembunyikan rasa takutnya tatkala hanya ketegasan terpancar di wajah manis itu.

"Air syaitan? Huh? Tapi kau tak tahu lagikan betapa syaitannya bapa kau yang gunakan kuasa untuk tutup kejahatan dia?"

"Apa maksud kau?"

"Halah! Kau tak tahu ke siapa ayah kau yang sebenarnya?" Soalan dibalas dengan soalan. Reno mendekatkan tubuhnya ke arah Jasmine yang kelihatan polos. Perlahan-lahan, jari jemarinya kembali ligat membelai pipi mulus Jasmine tatkala wangian Jasmine menusuk rongga hidungnya.

Manis. Cantik. 

"Kau jangan sentuh aku!" 

Buru-buru, konco-konco Reno menghampiri Jasmine dan Reno tatkala wanita itu menampar ketua mereka. Namun, Reno yang sudah tertawa sinis hanya mengangkat tangan. Menghalang mereka daripada mencelakai Jasmine.

"Aku tak nak cakap banyak... apa yang aku tahu sekarang  bapa kau dah buat masalah besar dalam hidup aku. Ada hutang yang perlu dia bayar dengan nyawa. Sebab tu... kau ada kat sini, Jasmine Qasrina. Semata-mata nak bayar hutang ayah kau sebab khianat aku! Disebabkan ayah kau jugalah business aku hancur!"

Tak semena-mena, amukan Reno kembali di ruangan itu tatkala dia mengambil sebotol wain besar seraya menanggalkan tudung yang tersarung di kepala Jasmine. Rambut Jasmine dicengkam sehingga kepala wanita itu terdongak. Dituangnya rakus wain itu ke dalam mulut Jasmine. Tatkala Jasmine meronta-ronta ingin melepaskan diri, dia mengarahkan konco-konconya mencengkam tubuh gadis itu.

"Kau kena rasa nikmat air syaitan. Air ni sesuai untuk anak syaitan seperti kau! Ala... kau akan khayal sekejap aje sebelum kita sambung perkenalan yang seterusnya."

Jasmine terbatuk-batuk memuntahkan air arak yang sudah memasuki kerongkongannya. Kepalanya mula terasa berat. Suara konco-konco di gudang itu sayup-sayup di pendengaran. Nafasnya turun naik menahan sakit tatkala kulit kepalanya seakan-akan ditarik oleh Reno. 

Ya Tuhan, apa sebenarnya yang ayahnya lakukan sehingga dia jadi mangsanya? Jasmine benar-benar ketakutan dengan kekejaman mereka.

"Sedap kan anak syaitan minum air syaitan?"

Reno mencengkam dagu Jasmine tatkala pandangan wanita itu semakin kuyu. Dia tertawa terbahak-bahak melihat wajah Jasmine sudah memerah. Tatkala wangian rambut Jasmine menusuk rongga hidungnya, anak rambut wanita yang separuh sedar itu dipintal-pintal lalu dibawa ke bawa hidung.

"Wangi. Mungkin... kau boleh kenyangkan aku untuk pertemuan seterusnya. Lepas aku rasmikan anak syaitan ni... korang boleh join sekali kalau nak. Barang mahal ni."

Mendengar hal itu, tubuh Jasmine semakin menggigil ketakutan apatah lagi melihat mata-mata penculik yang sudah meliar ke tubuhnya. Suara tawa para lelaki yang menyaksikan tindakan Reno membuatkan Jasmine rasa jijik. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi wanita itu. Dia ingin bangun namun lengannya masih dicengkam erat oleh konco-konco Reno.

Tika ini, Jasmine hanya mampu berserah agar Allah melindunginya daripada tangan-tangan hina.

🥀🥀🥀

SUASANA restoran makanan laut yang mewah benar-benar membuatkan Puan Nijah terpegun apatah lagi dekorasi yang kelihatan mahal. Angin laut yang menampar lembut wajahnya membibitkan ketenangan di jiwa wanita itu.

Inilah kali pertama dia dibawa ke restoran mewah selama hayatnya. Senyuman tak lekang di bibir Puan Nijah yang memimpin tangan Shana duduk di kerusi yang sudah ditempah.

"Jebat nak raikan apa hari ni? Tak pernah Jebat bawa mak dengan Kak Shana pergi tempat mewah."

"Haahlah Jebat! Kau nampak happy je bawa kitorang makan mahal-mahal. Kau dah naik gaji ke?"

Senyuman nipis terukir di bibir Jebat melihat kebahagiaan di wajah orang-orang tersayangnya. Wajah Shana yang hanya kaku dipandang redup. Dia mengenggam erat tangan gadis yang pandangannya hanya kosong. Tiada langsung emosi tersirat di wajah pucat itu. Entah bagaimana lagi caranya mahu menyembuhkan Shana pun Jebat tidak tahu.

"Nak raikan kemenangan kita semua."

"Kemenangan apa?"

Jebat menghela nafas panjang dengan soalan Puan Nijah. Wajah Tori, Keong dan Fawwaz dipandang silih berganti. Kemenangan apa lagi kalau bukan kehancuran keluarga Datuk Zali dengan kehilangan Jasmine Qasrina. Biar saja Reno yang menguruskan wanita itu. Apa yang Jebat tahu, dia sudah seksa mental Datuk Zali.

"Kemenangan di atas kesabaran kita lalui ujian hidup. Orang hina kita, orang aniaya kita pun kita masih boleh teruskan hidup dengan kekuatan masing-masing."

"Peliklah kau ni Jebat. Tiba-tiba je..."

"Tak payahlah kau nak pelik bagai. Member dah belanja makan malam kat restoran lima bintang! Kita makan jelah! Bukan selalu Jebat murah hati belanja kita semua." Tori memintas seraya menuangkan air sejuk ke dalam gelas. Pandangannya tunak memerhatikan wajah Shana yang seakan tenggelam dengan dunia sendiri.

Dia rindukan suara gadis itu. Tingkah Shana yang sentiasa membuatkan hati Tori tercuit lucu dengan setiap gelak tawa dan percakapannya yang menyejukkan hati.

"Jebat anak mak... janganlah kerja terlalu keras untuk kita. Mak risau tengok Jebat kadang-kadang. Macam tak tahu erti rehat. Siang malam Jebat kerja untuk mak dengan Kak Shana. Kalau Jebat sakit, siapa nak jaga mak dengan Kak Shana?"

"Tori kan ada. Tori boleh jaga mak cik... dengan Shana..."

Keong mencebik tatkala Tori tersenyum-senyum sambil tak lekang menatap wajah kakaknya Jebat. Entah bagaimanalah sahabatnya bisa tertarik dengan gadis bisu tak ada emosi yang mempunyai gangguan mental pun Keong tak mengerti. Walhal, di dalam kelab tempat Tori bekerja ada banyak wanita yang lebih cantik dan seksi mata memandang!

"Kau jaga mak dengan kakak aku? Silakan bermimpi. Kau cuma nak kakak aku je kan? Tak serik eh kakak aku dah berkali-kali reject kau maksudnya dia memang tak nak jadikan kau sehidup semati dia."

Tawa Keong dan Fawwaz bersatu dengan sindiran Jebat. Fawwaz menepuk bahu Tori yang sudah bermuram durja bertalu-talu. "Kau abang sepupu Shana. Tak berkembang sel otak anak-anak kalau kahwin sesama keluarga."

Malam itu, suasana makan malam mereka meriah dengan perbualan yang sesekali diselitkan dengan jenaka sama ada daripada Tori mahupun Keong. Melihat Puan Nijah berselera menikmati hidangan juga membibitkan rasa senang di jiwa Jebat. Ini hari meraikan penculikan Jasmine Qasrina.

Tapi...

Kenapa ya... dia tertanya-tanya apa sebenarnya yang akan Reno lakukan kepada Jasmine? Entah mengapa ada sedikit rasa resah bertamu di jiwa Jebat walhal dia sudah melepaskan sedikit dendam dan amarahnya buat Datuk Zali. Lantas, Jebat bangkit berpamitan ke tandas bagi membuang kekusutan di ruang fikiran.

Namun, telefon pintarnya bergetar di dalam saku seluar. Jebat kematian langkah di hadapan tembok restoran. Tertera mesej daripada nombor tak dikenali berupa sebuah video. Debaran mula memalu jantung Jebat tatkala gerak hatinya negatif. 

"Jebat! Kau tak nak join kitorang makan-makan ke? Barang mahal ni. Rugi tak jamah!"

Sekonyong-konyongnya, Jebat membuntang melihat keadaan Jasmine yang kusut masai dikelilingi dengan konco-konco Reno. Terasa kelat liur di rangkungannya melihat keadaan Jasmine separuh sedar dituangkan dengan minuman keras ke mulutnya. Oh Tuhan! Kenapa dia tak tega melihat Jasmine dikasari?

"Kalau kau nak join... malam esok datanglah sini."

Video tamat. Jebat terkaku tatkala dia mengerti bicara Reno. Mereka mahu meragut maruah Jasmine seperti yang dilakukan oleh musuh-musuh ayah Jebat terhadap Shana. Fikiran Jebat mula bercangkaliwang. Jiwanya diasak dengan kekejaman Reno yang sanggup menghancurkan Jasmine demi dendam.

"Kau okey tak?"

Jebat tersentak tatkala Fawwaz tiba-tiba muncul di sisinya. Jebat berdeham seraya berpaling menghadap lautan yang terbentang luas. Sesekali, desiran ombak menghempas tiang restoran kedengaran. Namun, semua keindahan itu tak dapat menenangkan jiwa Jebat yang mula risau dengan keadaan Jasmine.

"Sebatang dulu, Jebat. Kau stres ni."

"Tak... aku dah berhenti merokok."

Fawwaz mengerutkan dahinya seraya berpeluk tubuh. Pemetik api dihidupkan di puntung rokok. Aneh. "Sejak bila? Kau perokok tegar kut."

"Sejak Jasmine larang aku merokok."

Mendengar hal itu, Fawwaz tertawa kecil. Dia memaut bahu Jebat seraya menepuk-nepuk bahu sahabatnya. "Selamatkan dia Jebat. Kasihan Jasmine..."

"Hah?"

"Kau bagi dia dengan si bacul sebab nak selamatkan aku. Betul kan?"

Jebat kelu. Kaget tatkala Fawwaz tahu kejadian di sebalik penculikan Jasmine Qasrina. Pandangannya bertaut dengan pandangan tajam Fawwaz yang sudah menjungkit-jungkitkan kening.

"Aku tahulah! Aku kena belasah teruk haritu tapi masih jelas di pendengaran aku yang kau tak nak pun serahkan Jasmine dekat diorang. Kau cuma tak nak kawan kau ni mati katak di tangan musuh-musuh Jasmine. Aku tahu juga kau jadi bodyguard Datuk Zali cuma nak lepaskan dendam dalam hati kau ni. Tapi Jebat..."

Fawwaz jeda. Dia memijak puntung rokok sambil menepuk dada bidang sahabatnya. "Kau cuma perlu rawat hati kau yang dah terlalu sakit dengan ujian hidup kau. Pasal ayah kau. Pasal Shana. Jasmine tak salah dalam hal ni. Jangan disebabkan kesalahan orang lain, kau hukum orang yang tak tahu apa-apa. Tak adil untuk Jasmine."

"Kau tak faham, Waz! Tak payahlah nak nasihat aku kalau kau tak tahu kenapa aku jadi macam ni!" Jebat mula panas hati tatkala nasihat Fawwaz membingitkan telinga. Lantas, dia kembali melangkah ke meja makan. Tak mahu Fawwz terus-menerus menambahkan kesesakan di ruang fikiran.

"Tapi kau risaukan dia! Kau tak payah nak ego. Aku nampak di muka kau yang kau tengah berperang dengan diri sendiri. Entah-entah... dalam hati kau tu pun dah terisi dengan nama Jasmine sebagai pengganti Adibah sampai..."

"Kau baru sembuh. Kau nak aku belasah kau sampai mati pula ke?" Jebat mencengkam kolar baju Fawwaz seraya menghempas tubuh sahabatnya ke tiang restoran. Giginya dikacip melihat Fawwaz sudah tersenyum mengejek. Sungguh, mahu saja dilayangkan penumbuk ke wajah Fawwaz yang sedang menguji kesabarannya.

"Aku kenal kau dari sekolah rendah. Kita dah macam kembar.  Aku cukup tahulah perangai kau yang sebenarnya. Hentikanlah dendam kau dan jangan terlalu ego dengan diri sendiri. Aku tahu kau sakit tapi memaafkan itu lebih mulia daripada dendam yang akan makan diri kau sendiri. Itu je aku nak cakap. Selamatkan dia... ikut kata hati kau bukan kepala kau yang tak berapa cerdik."

Fawwaz menolak kasar tubuh Jebat seraya kembali menjamah makan malamnya. Meninggalkan Jebat yang kembali berperang dengan diri sendiri. Bukannya dia tak tahu isi hati Jebat buat Jasmine.

Rakannya sanggup berhenti merokok kerana wanita itu. Jebat hanya akan menurut arahan orang yang dia sayang.

Apakah tandanya?

Bersambung...

17.1.2025

Jebat red flag tapi black flag

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top