EPISOD 4
PANDANGAN sayu wanita itu membuatkan Jebat kaku buat seketika. Kedinginan hujan yang membasahi tubuhnya mula mencengkam hingga ke tulang-temulang. Rasa perih di lukanya kian terasa.
Perlahan-lahan, Jebat bangun sambil menekup luka jahitannya yang sudah terbuka. Ada darah yang mengalir deras di perut pemuda berambut panjang itu. Entah mengapa, ada satu rasa aneh yang menjentik tangkai hati Jebat tatkala pandangannya tak lekang menatap wajah Jasmine yang turut bangun dari tersembam di bahu jalan.
Ada derita terpancar di wajah wanita itu.
"Suami Jasmine..."
Jasmine meluru ke arah Jebat. Masih ada biasan Zafri yang takkan luput di ingatannya. Jasmine yang sudah menggeletar menahan dingin hujan masih terbuai dengan halusinasi.
Wajah itu, persis seperti Zafri. Mana mungkin Jasmine lupa wajah sang suami yang sudah dijemput Ilahi. Perlahan-lahan, Jasmine mengusap lembut pipi Jebat seakan ada figura Zafri di hadapannya. Senyuman pahit terukir di bibir wanita itu. Ada kerinduan yang semakin mencengkam sanubari.
"Abang, kita balik ya. Anak kita dah lahir. Abang dah jadi ayah lepas dua tahun kita tunggu zuriat kita..."
Mendengar rintihan Jasmine benar-benar membuatkan Jebat kelu.
Ya Tuhan, kenapa setiap sentuhan Jasmine ini seakan merawat luka di tubuhnya? Degupan jantungnya jadi kencang. Kenapa kesedihan Jasmine seakan meresap ke relung hatinya?
Jebat mengerti, Jasmine memerlukan kasih si suami yang seolah-olah sudah hilang. Tapi, ke mana keberadaan suami tercinta si wanita? Kenapa dirinya ini membuatkan si wanita tak lekang mencari sosok suaminya?
"Jasmine rindu..."
Belum sempat Jasmine memeluk erat tubuh Jebat, tubuhnya terkebelakang tatkala ditolak kasar oleh pemuda itu. Kedinginan yang terpancar di wajah Jebat benar-benar meluluhkan jiwa Jasmine.
Kenapa... 'suaminya' ini tak mahu lagi memberikan kehangatan kepadanya di kala hatinya diruntun pilu?
"Aku... bukan suami kau! Kau pandang muka aku ni betul-betul! Aku tak kenal kau siapa dan aku tak tahu apa masalah hidup kau sampai kau tak habis-habis panggil aku ni suami kau! Kau waras ke tak sebenarnya ni?"
Tak semena-mena, Jasmine tersentak dengan amarah Jebat. Kolam matanya terasa hangat. Air matanya kembali mengalir ke pipi melihat amarah pemuda itu. Kakinya seakan terpasak di atas bumi tatkala melihat kekasaran Jebat. Hilang semua perbendaharaan kata di ruang fikiran Jasmine tatkala akal warasnya mula bertindak.
"Kacau mood aku betul jumpa perempuan gila macam kau ni! Muka manis tapi sayang, mereng! Kesian betul suami kau tu. Sebab tu kut dia tinggalkan kau sebab dia tak sanggup nak hidup dengan perempuan gila macam kau!"
Tak putus-putus, Jebat melontarkan amarahnya. Tak lagi mempedulikan wajah sayu Jasmine yang seakan terkesima dengan kata-kata lancangnya.
Jebat tak mahu berikan simpati dengan orang asing ini.
Tika itu, kepala Jasmine mula berdenyut dengan bicara Jebat yang mengguris tangkai hatinya. Dadanya semakin sesak. Benarkah Zafri meninggalkan dia kerana dia sudah gila?
Mustahil!
Zafri tak tinggalkan dia kerana dia gila!
Lelaki ini pula... akal waras Jasmine mula sedar bahawa pemuda di hadapannya ini bukan Zafri! Mana mungkin, Zafri berkasar dengannya seperti Jebat. Zafri takkan sesekali mencemuhnya.
"Kau ni ada maruah ke tak? Sesuka hati kau peluk, sentuh lelaki lain..."
"Ya Allah Jasmine!"
Jebat kematian kata tatkala suara nyaring seorang wanita kedengaran di belakangnya. Tatkala dia kalih, terpampang figura Nek Timah yang sudah terkocoh-kocoh. Ada resah terpancar di wajah wanita tua itu.
"Jasmine nak pergi mana? Janganlah buat nenek sakit jantung. Jasmine tak kuat mana pun lagi nak keluar dari wad. Ikut nenek balik."
Nek Timah memegang lengan Jasmine. Dipayungkan cucunya yang kelihatan sayu. Tak mahu wanita itu bertambah sakit tika bermandikan hujan lebat.
"Nenek... a... abang dah balik..."
Tatkala Jasmine mengunjuk seseorang di belakang, Nek Timah kalih. Pandangannya bertaut dengan mata helang Jebat yang bengis itu.
Sontak, hampir saja Nek Timah terpelongo melihat wajah Jebat. Matanya membuntang. Degupan jantungnya kencang. Dia pandang wajah Jasmine yang masih tunak merenung Jebat dan wajah si pemuda silih berganti. Kaget!
Allahu... wajah Jebat Khuwailid...
"Nenek. Jaga sikit cucu nenek ni. Dia dah nak mati cepat dah tu. Apa dia ingat nyawa ni boleh dibeli kat kedai ke?" Jebat menyelar. Masih tak puas hati tika Jasmine masih tak mahu menerima kenyataan bahawa dia bukan suami wanita itu!
Nek Timah masih kaku. Suaranya... wajahnya, persis seperti Zafri! Hanya wajah kusut Jebat saja yang berbeza di pandangan Nek Timah.
"Jebat!"
Buat seketika, dinding hati Jasmine semakin diasak rasa sebu setelah mendengar nama pemuda yang membuatkan bayangan Zafri ada di depan matanya. Lelaki ini bukan Zafri. Hanya sosok seseorang yang mempunyai bayangan suaminya.
Ya Tuhan, kenapa takdir harus mempertemukan dia dengan pemuda yang membuatkan bayangan Zafri masih wujud?
"Jebat... jom masuk dalam. Naya aku kalau tuan nampak kau berlegar-legar kat luar ni. Tu kau tengok luka kau ni... terbuka. Lasak sangat ni dah kenapa?"
Tanpa pamit, Jebat melangkah masuk ke dalam hospital. Omelan Wafi seakan masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja. Dia perlukan rehat. Tenaganya harus dikumpul semula sebelum kembali ke neraka dunia itu.
Tentang Jasmine Qasrina, itu bukan urusannya. Buat apa dia mahu memberikan simpati ke atas orang lain sementelah keluarganya sudah menjadi mangsa hinaan masyarakat hanya kerana kesalahan yang Jebat yakin ayahnya tak akan berbuat jenayah terkutuk itu!
"Nek... betul ke... abang tinggalkan Jasmine sebab Jasmine dah gila? Jasmine dah tak waras ke nek?"
Soalan sayu Jasmine benar-benar meluluhkan hati tua Nek Timah. Pandangan sayunya sudah bertaut dengan Jasmine. Lantas, dipeluknya erat tubuh wanita yang kembali mengongoi itu.
"Jasmine tak gila. Zafri pergi sebab Allah lebih sayangkan dia. Jasmine kena kuat... untuk anak Jasmine. Kesiankan dia Jasmine... dia tak rasa lagi kasih ibunya. Elman tu anugerah yang Allah bagi untuk Jasmine. Belajar terima ketentuan Allah perlahan-lahan..."
Nek Timah mengusap lembut belakang tubuh Jasmine. Pandangannya tak lekang memerhatikan langkah pincang Jebat dari belakang. Ya Tuhan, siapa pemuda itu? Dari pergerakannya, suaranya bahkan wajahnya seolah-olah membuatkan dia merasakan masih ada bayangan Zafri di depan matanya.
🥀🥀🥀
HIDANGAN lauk pauk di atas meja makan hanya dipandang kosong. Semerbak bau asam pedas menusuk rongga hidung Puan Nijah. Wajahnya terasa bahang tatkala dinding hatinya seakan bergejolak memikirkan masalah yang menimpa tanpa henti.
"Mak jangan risaulah pasal anak mak tu. Wafi kata Jebat dah bangun. Minggu depan dia dah boleh keluar hospital. Tahun depan dia keluar penjara. Bolehlah kita berkumpul satu keluarga lagi kan mak."
Puan Nijah hanya senyap. Mendengar berita tentang Jebat menenangkan sedikit hatinya yang gusar. Sekurang-kurangnya, Jebat masih hidup dan diberikan peluang kedua untuk keluar dari penjara.
"Makanlah mak... kalau mak rindu adik..."
Shina kematian bicara tatkala kepalanya ditunjal oleh si ibu. Hilang terus seleranya tika Puan Nijah mula berkasar. Kaget!
"Sakitlah mak!"
"Sakit? Sakit lagi hati aku bila mulut kau asyik ungkit pasal budak tu. Mak dah cakap dekat kau kan yang mak tak nak mulut kau keluar sepatah dua kata perkataan pun pasal adik kau! Mak tak suka!" jerkah Puan Nijah seraya bangun. Tak betah lagi mahu menjamah makan malam tatkala moodnya hilang.
"Mak, Jebat tu anak kandung mak juga. Mak yang mengandungkan, lahirkan Jebat. Bagilah dia peluang kedua untuk teruskan hidup dengan kita. Sampai bila mak nak tipu diri mak yang mak rindukan dia?"
Puan Nijah mendengus. Langkah dihantar menuju ke ruang tamu. Lebih baik dia menonton drama berbanding mendengar omelan anak sulungnya itu.
"Sudah-sudahlah marahkan Jebat..."
"Senyaplah! Kalau kau sayangkan mak, nak jadi anak solehah... aku tak nak kau sebut pasal budak tu lagi! Bagi aku... anak aku cuma satu! Cuma kau je Shina!" tukas Puan Nijah. Ya Tuhan, mengapa susah benar Shina mengerti bahawa dia sudah membuang Jebat daripada hidupnya?
Shina kelu. Kunyahannya terhenti. Entah dia sendiri buntu mahu membuka hati emaknya memaafkan Jebat. Dia mengerti kekecewaan hati seorang ibu. Anak yang ditatang sanggup membuat kerja terkutuk sehingga masuk ke dalam penjara.
Namun di satu sisi, Shina mahu Puan Nijah dan Jebat berbaik semula! Berkumpul sebagai sebuah keluarga dan membina kehidupan baharu.
"Mak..."
"Apa lagi kau ni? Kalau mak kata tidak maknanya tidak! Mak takkan maafkan dia sampai mati! Perangai dia tu sebiji macam ayah kau! Mengaibkan! Mana mak nak letak muka ni lagi bila orang duk mengata pasal dia!" pintas Puan Nijah. Nada suaranya naik seoktaf. Dadanya terasa sesak tika Shina tak putus-putus memujuknya menerima Jebat Khuwailid.
"Dia buat semua tu pun sebab dia yakin ayah cuma jadi kambing hitam. Bukan sebab apa pun mak. Dia nak keadilan..."
"Dah memang ayah kau tu perogol! Pembunuh! Kenapa susah sangat kau orang dua beradik ni nak terima kenyataan pasal ayah kau orang?" Puan Nijah terbangun daripada duduknya. Amarahnya meluap-luap tika Shina mula mengungkit perihal arwah Encik Yasin.
"Ayah kau kerja dengan samseng! Kau tahu tak samseng tu apa? Buat kerja kotor. Kerja haram! Selama kita hidup ni kita dah makan duit haram daripada ayah kau! Sebab tu adik kau tu jadi manusia terkutuk sampai masuk penjara!"
Shina terkesima. Bahunya terhinggut tatkala ibunya sudah meluru masuk ke dalam kamar sehingga menghempas pintu. Keluhan terlepas di bibir gadis itu. Sungguh, dia tertekan.
Dia berada di antara dua persimpangan. Apa benar ayahnya si pelaku? Atau hanya menjadi kambing hitam si pelaku sebenar untuk menutup kejahilannya?
🥀🥀🥀
BUNYI kicauan burung di luar pekarangan rumah mengejutkan Jasmine daripada lenanya. Kipas siling yang ligat berputar dipandang kosong. Selimut yang menutup tubuhnua digenggam erat. Serentak dengan itu, akalnya mula merencanakan sesuatu yang berada di luar akal.
"Untuk apa aku hidup kalau suami aku dah tak ada?"
Lantas, Jasmine bangun dari pebaringannya. Dia melilau ingin mencari kerusi. Jasmine hanya mahukan kematian saat ini. Dia lelah menanggung penderitaan ini tanpa henti.
Suis kipas dipetik sehinhga berhenti berputar. Jasmine menyangkut selimut dan diikat pada kipas. Degupan jantungnya kencang. Kerusi dicapai lalu dia berdiri di atas kerusi itu.
"Jasmine akan jumpa abang tak lama lagi..."
Baru saja Jasmine mahu menggantungkan lehernya, tangisan Elman yang tidur di katil kedengaran. Jasmine tersentak tatkala bayinya menggugat rancangan terakhirnya untuk bersatu bersama Zafri. Jasmine terganggu.
"Diam! Jangan memekak dengan akulah anak sial!" Jasmine turun dari kerusi seraya menepuk kuat pipi mulus Elman. Tiada langsung rasa simpati melihat bayi yang kehausan itu.
"Diamlah! Aku cakap diam kau faham tak! Diam!" Nada suara Jasmine naik seoktaf. Nafasnya sesak di rangkungan. Tangannya tak henti-henti menepuk-nepuk pipi mulus anaknya. Kebenciannya semakin membuak-buak.
"Kenapa kau mesti lahir kat dunia ni? Kenapa kau menyusahkan aku! Kalau kau tak lahir mesti suami aku takkan mati!" Tangisan Jasmine kembali pecah. Bahunya terhinggut-hinggut tatkala bayangan Zafri bermain di ruang memorinya.
"Aku penat... aku nak suami aku balik. Aku tak perlukan kau dalam hidup aku! Lebih baik... aku bunuh kau dulu supaya kau tak menyusahkan aku lagi!"
Jasmine mencapai sebiji bantal. Kepalanya tergeleng-geleng tatkala rasa sakit kian mencengkam dinding hatinya. Samar-samar, ruang memori mengimbas setiap kenangan manisnya menjadi isteri Zafri. Jasmine bahagia. Dia lupa dengan rasa deritanya kehilangan ibu. Dia tak lagi harapkan papanya datang kembali kepadanya dan membawanya pulang.
"Kau mati jelah lebih bagus!" Akal kotor Jasmine mula menekup bantal ke wajah Elman. Bisikan syaitan semakin merasuki ruang fikirannya.
Tiada lagi naluri seorang ibu di jiwa wanita muda itu.
"Jasmine kena janji dengan abang... walau apa pun yang berlaku, Jasmine kena sayangkan anak kita. Didik dia jadi anak yang berguna dunia akhirat. Berikan kasih sayang dekat anak kita. Lama kita tunggu saat ni. Jadi, abang harap sangat Jasmine tak sia-siakan anugerah daripada Allah."
Jasmine tersentak tatkala kata-kata Zafri terngiang-ngiang di telinganya. Tangannya yang sudah menekup wajah Elman semakin menggeletar. Dadanya berombak kencang tatkala nasihat arwah suaminya bagaikan suntikan yang membuatkan Jasmine semakin hanyut dengan kesedihan.
"Aku cuma nak kau mati..."
Bersambung...
6.7.2024
Kalau dah baca nak 60 vote boleh? ✨️
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top