EPISOD 39
TUMBUKAN dihenyak ke wajah Jebat tatkala amarah Datuk Zali semakin membara dengan kejadian menegangkan yang baru saja berlaku kepada Jasmine. Para pengawal yang berada di ruang tamu juga kaget dengan kekasaran Datuk Zali. Inilah kali pertama mereka melihat Datuk Zali mengamuk terhadap Jebat.
Kelihatan, seluruh wajah Datuk Zali membahang merah. Dadanya berombak kencang melihat wajah Jebat yang hanya tenang dengan kes penculikan Jasmine. Seolah-olah kejadian itu tak memberikan kesan mendalam buat Jebat.
"Aku suruh kau jaga anak aku pun susah ke? Aku dah kata dengan kau berkali-kali yang nyawa Qasrina tu lebih berharga daripada nyawa kau! Aku betul-betul kecewa dengan kau. Lima tahun kau kerja dengan aku, kau tak pernah culas!"
Jebat hanya statik berdiri setentang dengan Datuk Zali yang kelihatan cemas. Bibirnya yang pecah dek tumbukan majikannya diketap. Sungguh, Jebat puas hati melihat wajah Datuk Zali yang pucat tak berdarah. Jebat dapat baca fikiran Datuk Zali diterpa kekusutan dengan kehilangan Jasmine.
Inilah saat yang Jebat nantikan. Melihat kehancuran pembunuh ayahnya!
"Kau kena tanggungjawab atas kehilangan anak aku!" Nada suara Datuk Zali naik seoktaf. Dia mencengkam kedua-dua kolar baju Jebat tatkala pemuda itu hanya senyap. Pandangan Jebat yang begitu tajam membuatkan dia tercabar!
"You... janganlah marah Jebat! Relaks! Benda dah jadi..."
"Benda takkan jadi kalau budak ni tak cuai! Anak I kena culik, Bahriah! Macam mana I nak relaks kalau I risau musuh-musuh tu apa-apakan Qasrina? Dua bulan lepas, nyawa Qasrina hampir melayang sebab kes tembak menembak. Sekarang, budak tu dah ada kat tangan penculik! Apa yang I nak cakap dekat mak kalau dia tahu I tak jaga cucu dia baik-baik?"
Datuk Zali mendengus seraya menolak kasar tubuh Jebat. Dia memicit pelipis tatkala kepalanya terasa berdenyut. Siapa yang menculik Jasmine? Kenapa mereka tak menghubunginya jikalau menginginkan sesuatu? Seakan-akan, mereka sengaja menculik Jasmine tanpa motif!
"I tak nak you stress. Nanti tekanan darah you tinggi lagi. Sekarang, kita dah report polis dan Jebat sendiri dah buat keterangan. I pun risaukan Qasrina juga. Entah apa yang penculik-penculik tu nak pun kita tak tahu. Tunggu je pihak polis bagi perkembangan pasal Qasrina. You nak bunuh Jebat sekali pun takkan jumpa jawapan Qasrina ada kat mana sekarang!"
Pujukan Datin Bahriah masih tak mampu menenangkan jiwa Datuk Zali. Dia terduduk di atas sofa seraya menyandarkan tubuhnya. Wajah Jebat kembali direnung tajam. Aneh. Bagaimana pemuda ini kelihatan baik-baik saja? Apa benar Jebat melindungi Jasmine dengan sedaya upaya?
"Kau dah bisu ke, Jebat Khuwailid? Dari tadi kau diam. Mulut kau tu dah ada emas ke!"
Jebat menghela nafas panjang tatkala Datuk Zali menengkingnya. Tatapan mata lelaki tua itu menusuk hingga ke tangkai hati. Persetankan semua itu.
Bagi Jebat, penculikan Jasmine belum cukup menyeksa pembunuh ayahnya ini. Apa sajalah sakitnya kehilangan Jasmine berbanding kehancuran kebahagiaan keluarga Jebat angkara Datuk Zali?
Ayahnya tega bunuh diri kerana dijadikan kambing hitam atas jenayah yang tak dilakukan.
Shana mengalami masalah mental sehingga bisu dek musuh ayah Jebat sendiri.
Sungguh, sampai mati pun Jebat takkan maafkan Datuk Zali.
"Benda dah jadi dan saya pun tak boleh buat apa, datuk. Saya dah usaha jaga anak datuk tapi kali ni nasib tak berpihak kepada saya."
Sekonyong-konyongnya, para pengawal saling berpandangan dengan kata-kata sinis Jebat. Kaget! Kenapa dengan Jebat? Kata-katanya begitu tenang dalam berbicara di saat orang sekeliling sedang risau akan keadaan Jasmine.
"Apa kau cakap?" Datuk Zali terbangun tatkala dia juga kaget dengan jawapan Jebat. Matanya melotot tika intuisinya mula negatif dengan riak wajah pemuda itu.
"Nasib saya tak baik nak selamatkan Puan Jasmine kali ni. Saya minta maaf dah kecewakan datuk. Cuai jaga Puan Jasmine. Tapi sekarangni kita tunggu je perkembangan daripada pihak polis. Saya pun tak boleh nak buat apa-apa kalau datuk terus nak salahkan saya!"
"Sekarang kau nak mengajar aku pula? Kau sedar tak kau tu cuma kuli aku! Dah buat salah... kau nak menidakkan kesalahan kau sendiri pula ya? Sekarang ni apa korang tunggu lagi? Takkan tercongak kat sini aje? Pergi cari anak aku sekarang!"
Sungguh, tindakan Jebat benar-benar mencabar kesabaran Datuk Zali. Dia merasakan dirinya sedang direndahkan oleh pekerja sendiri. Entah mengapa Jebat tiba-tiba berubah sinis pun Datuk Zali tak mengerti.
"Kau ni melampaulah Jebat! Kau ada masalah ke sampai kau lawan datuk?"
Baru saja Jebat mahu melangkah masuk ke dalam kenderaan, Elisa menghalangnya di pintu kereta. Pandangan mereka saling bertaut. Beberapa orang pengawal turut memandang Jebat dengan sinis. Tak percaya Jebat sedang menentang majikan mereka.
"Kenapa? Aku tak boleh nak pertahankan diri aku daripada majikan kau? Dah memang aku tak dapat nak selamatkan Puan Jasmine Qasrina korang tu! Terima jelah hakikat!"
Tika mimik muka Jebat berubah bengis dengan nada suara naik seoktaf, para pengawal kematian bicara. Masing-masing kaget dengan perubahan mendadak Jebat yang sentiasa beku dan tenang dalam berhadapan amarah Datuk Zali. Berbeza kali ini.
"Uncle abah!"
Sekali lagi, pergerakan Jebat terhenti tatkala Elman meluru ke arahnya. Keluhan berat dilepaskan melihat Elman sudah menangis teresak-esak.
"Uncle abah... Elman nak ibu. Elman takut."
Jebat tersentak tatkala kakinya dipeluk erat oleh Elman. Pandangannya bertaut dengan si kecil. Terasa kelat liur di rangkungan melihat ketakutan di wajah Elman yang seakan-akan mengerti ibunya dalam bahaya.
"Uncle abah... tolong ibu. Ibu..."
"Elisa... kau bawa budak ni masuk dalam. Jangan semakkan kepala aku dengan rengekan dia." Jebat menolak lembut tubuh Elman namun pelukan dieratkan lagi sehingga Jebat jadi rimas.
Tak. Dia tak boleh kasihankan Elman. Ini pilihannya. Menjatuhkan Datuk Zali demi dendam yang sudah lama tersemat di dalam jiwa.
"Uncle abah nak pergi mana? Elman..."
"Elisa! Ambil budak ni cepat! Ni patutnya kerja kau! Jadi babysitter dua beranak yang menyusahkan aku!"
Tak semena-mena, Elman tersungkur ditolak kasar oleh Jebat. Tangisannya semakin kuat tika melihat ketegasan di wajah insan yang membuatkannya merasai kasih seorang ayah. Dia gerun dimarah oleh Jebat.
"Kau dah kenapa Jebat? Dah gila ke apa tiba-tiba kasar dengan Elman?"
Tanpa pamit, Jebat menerobos masuk ke dalam kenderaan seraya memecut keluar dari pekarangan rumah agam itu. Melalui cermin pandang belakang, dia melihat Elman semakin meraung sambil dipujuk oleh Elisa. Tersungging senyuman sinis di bibir pemuda itu.
"Pergi mampus semua keturunan kau dengan kau sekali, Zali! Kau dah bunuh ayah aku, kau rosakkan kakak aku! Apa kau ingat anak kau tu penting daripada nyawa aku? Baru puas hati aku bila kau dapat rasa apa yang mak aku rasa selama bertahun!"
🥀🥀🥀
BAU asap rokok menusuk rongga hidung Jasmine sehingga menambahkan lagi denyutan kepalanya. Perlahan-lahan, Jasmine mencelikkan mata. Pandangannya menerawang ke sekeliling gudang.
Gelap.
Hanya cahaya purnama dan kejora di luar tingkap saja menyuluh alam. Jasmine bangun daripada pebaringannya. Cuba menganalisis kejadian yang sudah berlaku sehingga dia terkurung di dalam gudang.
Dia dan Jebat keluar dari galeri. Tika dia menanti Jebat mengambil kenderaan, sebuah van putih menderu ke arahnya. Dua orang lelaki mengheretnya masuk ke dalam kenderaan sehingga semuanya gelap!
"Ya Allah... aku... aku nak buat apa?" Jasmine panik. Dia bangun seraya meluru ke arah pintu kayu. Malangnya, pintu itu dikunci dari luar. Nafas Jasmine turun naik dek ketakutan.
Namun, pergerakan Jasmine terhenti tatkala derapan tapak kaki kedengaran di luar kamar. Jasmine berundur setapak demi setapak ke belakang. Pandangannya melilau mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebagai alat pertahankan diri.
"Dah bangun puteri kesayangan Datuk Zali. Nyenyak tidur, tuan puteri?"
Buru-buru, Jasmine mencapai sebatang kayu yang tergeletak di atas tanah. Dia menghalakan kayu tersebut ke arah dua orang lelaki asing yang menghampirinya dengan wajah menakutkan.
"Jangan dekat!"
"Ala... dah dapat barang baik, mestilah kena ambil kesempatan."
Ya Tuhan, Jasmine benar-benar ketakutan dengan wajah miang mereka. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi wanita itu. Dia perlu bertindak menyelamatkan diri.
"Sini..."
Tak semena-mena, erangan seorang lelaki berambut panjang kedengaran tatkala kepalanya dihentak dengan kayu. Darah mengalir deras di belakang kepala dek penangan Jasmine.
"Garang nak pergi mana? Sini..."
"Jangan pegang aku!"
Baru saja Jasmine menghanyunkan kayu ke arah seorang lagi lelaki, dia merasakan isi perutnya seakan-akan dirodok tatkala menerima tumbukan daripada penculik sehingga Jasmine terduduk menahan sakit. Kayu yang sudah tergeletak di atas tanah ditendang. Jasmine memegang perutnya yang terasa senak.
"Ikut aku! Ada benda yang kau perlu buat!"
Jasmine mendesis kesakitan tatkala rambutnya yang berbalut dengan selendang dijambak kuat. Ketakutan semakin mendominasi wanita itu melihat beberapa orang lelaki sudah berada di gudang itu. Tubuhnya diheret keluar seperti seekor lembu.
Apa yang mereka mahukan daripada seorang Jasmine Qasrina sehingga nasibnya sebegini?
Bersambung...
16.1.2025
Nak baca Jebat red flag lagi tak? Kalau nak 100 vote, 25 komen saya update chapter double
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top