EPISOD 36
SUASANA belakang rumah agam malam itu begitu meriah tatkala para pengawal menikmati juadah yang dihidangkan oleh Jasmine. Mereka turut membuat BBQ sambil menanti tahun baharu menjelang tiba.
Sesekali, kedengaran gelak tawa beberapa orang pengawal yang sedang bermain permainan di hujung sudut bersama Elman.
"Maaflah kalau saya masak tak sedap. Sejak balik sini, saya dah jarang masak."
Jasmine meletakkan puding kastad di atas meja seraya melabuhkan duduknya setentang dengan Jebat yang sedang menikmati ayam masak lemak. Pemuda itu kelihatan berselera. Ada garis-garis keletihan terpancar di wajah Jebat sehingga menimbulkan tanda tanya di benak fikiran Jasmine.
Apalah ya agaknya yang Jebat lakukan sepanjang pemuda itu bercuti hingga wajahnya tampak letih?
"Mana ada tak sedap. Masakan kampung yang puan masak untuk kitorang ni boleh bikin saya lepas rindu dekat mak kat kampung. Tip top! Saya suka."
"Betul cakap Rasun. Masakan puan buat kitorang terubat rindukan kampung. Selalunya mak kitorang je yang masak masakan macam ni. Nak suruh saya masak sendiri? Tak retilah saya puan." Elisa menyambung sambil mengunyah sambal terung dan ayam bakar yang baru saja dipanggang oleh Jebat sebentar tadi.
"Makan perlahan-lahanlah. Kau ni pun."
"Ala! Kau tahu kan aku ni dah kebulur asyik ikut datin ke hulur ke hilir. Dia tu langsung tak bagi aku makan! Kejam punya majikan. Kenapalah aku kena kerja bawah dia? Dulu, Puan Jasmine tak pernah tak bagi aku makan! Kalau boleh, dia nak gemukkan aku pun ada."
Tawa para pengawal terletus tatkala mendengar rungutan Elisa. Satu-satunya bunga di antara mereka. Tercuit hati dengan kelancangan gadis berambut pendek itu berkata-kata. Hanya simpati saja yang mampu mereka berikan kepada gadis malang itu.
"Terima kasih puan sudi raikan kitorang semua. Sepanjang kitorang kerja dengan datuk, tak pernah pun dia buat makan-makan macam ni. Kalau boleh kitorang kerja 24 jam non stop. Makan pun kena rushing."
Seketika, Jasmine bertaut pandangan dengan Jebat. Senyumannya melebar tatkala niatnya untuk menyambut tahun baharu bersama para pengawal membibitkan rasa senang di hati mereka.
"Seronoklah Jebat kerja dengan Puan Jasmine. Semua kebajikan kau dijaga walaupun puan ni degil orangnya."
Senyuman Jebat terukir tatkala bicara Elisa membuatkan hatinya tercuit lucu. Benar, Jasmine memang degil dan lancang berkata-kata. Namun, Jebat tak nafikan bahawa Jasmine sentiasa prihatin akan dirinya walaupun perkenalan awal mereka harus bermula dengan kedinginan wanita itu.
Malam itu, usai saja mengemas meja makan, para pengawal kembali bertugas secara bergilir. Ada juga yang berpamitan setelah syif mereka selesai pada hari itu. Jasmine masih bersantai di buaian sambil memerhatikan percikan bunga api di dada langit malam. Sesekali, dia mengucup lembut pipi Elman yang sudah tertidur di atas ribanya.
"Selamat tahun baru, Puan Jasmine."
Jasmine terdongak tatkala ucapan itu meniti di telinganya. Pandangan Jebat yang redup di bawah sinaran rembulan begitu menyenangkan jiwa Jasmine yang masih terasa sesak dengan niat ayahnya untuk menjodohkannya bersama Ezhar.
"Selamat tahun baru juga, Jebat. Saya doakan semoga tahun ni akan menjadi tahun bermakna untuk awak. Terima kasih..."
"Terima kasih untuk?"
"Selalu buat Elman senang hati di saat saya tak mampu nak pujuk anak saya sendiri. Saya ni... memang pentingkan diri sendiri juga sebenarnya. Tak faham apa yang anak saya perlukan." Tersungging senyuman sinis di bibir Jasmine. Dia membuang pandangannya menerawang ke taman rumah agam yang kelam.
Sepi. Keluarganya masing-masing sibuk di luar menyambut sambutan tahun baru.
"Tapi bagi saya, Puan Jasmine seorang ibu yang kuat untuk Elman. Saya nampak, puan tak pernah mengeluh menjadi ibu dan ayah buat anak puan."
Jebat memasukkan tangannya ke dalam saku seluar. Wajah polos Elman dipandang dengan penuh kasih. Ada rasa sayang yang mula mencengkam sanubari Jebat buat Elman. Dia mengerti, betapa sesaknya hidup tanpa seorang ayah.
"Saya bukan orang yang tepat untuk bercakap soal ayah untuk Elman. Tapi, cadangan saya... puan boleh bercerita dengan Elman pasal ayah dia. Kenalkan arwah Zafri kepada Elman supaya dia faham yang puan pun tak ada kudrat untuk kembalikan arwah dalam hidup Elman. Elman ni... dia cuma rasa terasing daripada kawan-kawan lain sebab diorang ada ayah."
Suasana sepi buat seketika. Kata-kata Jebat menjentik tangkai hati Jasmine dengan rasa sebu. Nasihat pemuda itu seakan-akan menyedarkan Jasmine dengan khilafnya.
Benar kata Jebat, dia perlu bercerita tentang Zafri kepada Elman supaya Elman lebih mengerti dengan kehilangan ayahnya. Manakan tidak, selama ini Jasmine tak mampu bercerita dek tak mahu emosinya bercelaru.
"Puan..."
"Boleh tak kalau awak panggil saya Jasmine je? Saya... tak nak awak terlalu formal dengan saya."
Jebat terkesima dengan permintaan Jasmine. Dia melabuhkan duduk di sebelah wanita itu. Pandangan mereka kembali bertaut. Ada pandangan sayu yang sekali lagi membibitkan rasa perih di jiwa Jebat. Seolah-olah, dia mengerti emosi Jasmine yang bergelodak tatkala mereka berbicara soal Zafri.
"Tapi puan majikan saya. Itukan menandakan hubungan pekerja..."
"Saya tak pernah anggap awak pekerja saya."
"Kenapa puan cakap macam tu?"
"Adakah pekerja berani mengarah majikan macam awak? Tahu tak sepanjang awak kerja dengan saya, awak je satu-satunya bodyguard papa yang berani mengarah saya itu ini. Elisa sendiri tak pernah mengarah saya sepanjang kitorang kat Ireland dulu. Dia ikut je apa saya nak. Tak membantah macam awak."
Tak semena-mena, Jebat tertawa kecil dengan omelan Jasmine. Pelipis yang tak gatal digaru tatkala teringat akan khilafnya sebagai pekerja. Ya. Dia tahu dia sentiasa mengarah Jasmine kerana kedegilan wanita itu. Tapi, Jebat hanya mahu menjaga keselamatan Jasmine tatkala wanita itu tak mementingkan nyawa sendiri.
"Saya minta maaf..."
"Sama macam Zafri. Sikit-sikit minta maaf. Hal kecil pun nak minta maaf." Jasmine mengulum senyum seraya bersandar di buaian. Menikmati malam yang begitu nyaman dengan angin sepoi bahasa. Tenang rasanya saat mengambil angin malam.
"Banyak sangat ke persamaan kitorang?" Membuka topik soal Zafri membuatkan Jebat semakin tertanya-tanya tentang figura seiras dengannya itu. Ingin sekali dia melihat wajah Zafri dan menganalisis wajah mereka yang seiras.
"Muka awak, suara, ada sesetengah sikap awak yang sebiji macam Zafri. Sebab tu... masa mula-mula awak kerja dengan saya... rasa susah sangat nak biasakan diri dan set dalam minda saya yang suami saya dah tak ada. Ini cuma ketentuan Allah bila Allah hadirkan orang yang seiras macam arwah ayah Elman dalam hidup saya."
Tutur bicara Jasmine yang kedengaran bergetar membuatkan Jebat terkelu. Ada kesedihan yang terpancar di wajah manis itu sekali lagi. Tapi, Jasmine bijak menutup kesedihannya dengan ketegasan. Jebat kagum. Sedikit sebanyak, dia belajar daripada Jasmine bahawa hidup perlukan kekuatan.
"Nak tengok muka dia?"
"Boleh ke?"
"Mestilah. Biar awak terkejut bila tengok muka arwah suami saya." Jasmine mengulum senyum sembari mencari foto Zafri di dalam galeri telefon pintarnya. Sudah lima bulan Jebat menjadi pengawal peribadinya namun baru saat ini Jasmine selesa berbicara tentang Zafri.
"Ni... gambar suami saya."
Tika pandangan Jebat tertancap ke arah pemuda berkulit sawo matang yang fotonya di ambil berlatarkan sebuah pantai, mata Jebat membuntang. Wajahnya membahang dek debaran yang memalu jantungnya. Waktu seolah-olah berhenti berputar pada paksinya. Telefon pintar Jasmine dicapai ingin melihat wajah Zafri dengan lebih jelas.
"Kalau suami saya masih ada, umur dia dah 33 tahun."
"Hari jadi dia berapa hari bulan?"
"14 Mei 1992."
Jasmine mengerutkan dahinya tatkala wajah Jebat berubah pucat tak berdarah. Bening mata pemuda itu berkaca-kaca. Kenapa dengan Jebat? Seolah-olah ada emosi yang berselirat di jiwa pemuda berjas hitam itu.
"Jebat... kenapa?"
"Sama... dengan hari jadi saya. Kebetulan sangat kan?"
Buat seketika, pandangan Jasmine bertaut dengan Jebat. Senyumannya mati. Hanya pandangan mata mereka yang saling berbicara dengan takdir yang sudah Allah aturkan buat mereka bertiga.
"Saya pun lahir 14 Mei 1992. Tapi saya tak ada kembar. Cuma..."
"Cuma?"
Jebat menghela nafas panjang. Dia menghulurkan semula telefon pintar Jasmine. Tak mahu hanyut dengan rasa kejutan yang seolah-olah menggoyahkan kekuatannya. Tak semua perkara dia mampu kongsikan kepada Jasmine meskipun hatinya membuak-buak ingin berkongsi kisah kelahirannya.
"Tak ada apa-apalah puan. Tapi saya pernah dengar dalam dunia ni ada tujuh orang seiras dengan kita. Zafri salah seorang yang ada wajah seiras dengan saya. Kebetulan je semua ni puan. Saya angkat Elman masuk rumah dulu ya. Saya dah kena balik lepasni."
Buru-buru, Jebat mendukung tubuh kecil Elman melangkah masuk ke dalam rumah. Tak mahu melayan rasa sangsi terhadap takdir di antara dia dan Zafri. Ya. Pasti semuanya kebetulan. Tak mustahil ada yang seiras dengannya bahkan tarikh kelahiran juga sama.
Tika itu, Jasmine hanya mampu memerhatikan langkah Jebat dengan tanda tanya bermain di benak fikirannya. Apa sebenarnya yang Jebat sembunyikan sehingga wajah pemuda itu tampak pucat?
🥀🥀🥀
WAJAH cemberut si wanita yang hanya memakai gaun satin berwarna merah direnung tajam. Sesekali, wain di tangannya diteguk membasahkan tekak yang kering. Tersungging senyuman di bibir lelaki separuh umur itu. Langkah diatur menghampiri kekasihnya yang sedang menyikat rambutnya yang basah.
"Kenapa ni sayang? Ada masalah lagi?"
"Budak tulah! I dah penatlah dengan perangai dingin dia. Apa lagi yang I kena buat supaya dia terima I dalam hidup dia?"
Reno tertawa sinis mendengar keluhan wanitanya. Dagu pasangannya dicuit seraya meletakkan wain di atas meja. Wangian Lavender di rambut ikal mayang wanita itu menggetarkan naluri lelakinya. Meskipun umur wanita itu hampir mencecah 50 tahun namun wajahnya masih tampak muda. Cantik.
"You dah mula sayangkan budak tu macam anak you sendiri?"
Si wanita mengeluh panjang. Dia bangun seraya mencapai wain si kekasih. Langkah diatur ke tingkap kamar. Mahu menghirup udara yang segar. Kepalanya sedikit pusing tatkala semalaman dia mabuk dek terlalu hanyut dengan sambutan tahun baru di rumah kekasih gelapnya.
"Kenapa diam?"
"I rasa bersalah..."
Mendengar hal itu, Reno tertawa sinis dengan luahan si kekasih. Dia memusingkan tubuh kekasihnya menghadapnya. Pandangan mereka saling bertaut. Kedengaran konyol benar kata-kata yang baru dilafazkan sebentar tadi.
"Bersalah? Oh! Come on, Riah. You dah merasa hidup di dulang emas. I dah ubah hidup you daripada perempuan kampung kepada wanita berkelas tinggi sampai jantan tu jatuh cinta dengan you! Tak payah nak jadi ibu yang baiklah untuk anak si jahanam! Dia bencikan you!"
Tika itu, si wanita kematian bicara. Dia meneguk wain dengan rakus. Hatinya berbelah bahagi dengan bicara Reno. Ada benarnya. Buat apa dia berbaik dengan wanita muda itu jikalau hanya layanan buruk yang diterima selama bertahun-tahun?
"Sekarang ni, plan kita pasal Zali. I tak nak you fikir..."
Ketukan di luar kamar mematikan bicara Reno. Dia mendengus tatkala asmaranya bersama Riah terganggu. Lantas, langkah diatur membuka pintu kamar. Kedengaran suara bingit di ruang tamu rumah kondominium itu.
"Kitorang dah tangkap anak ayam. Rancangan seterusnya bos?"
Mendengar hal itu, wajah Reno berubah tegang. Dia menutup pintu kamar seraya menghampiri konco-konconya yang sedang memegang lengan mangsa mereka yang wajahnya sudah berlumuran darah.
"Lepaskan aku sial!"
"Boleh. Tapi... tunggu kawan kau datang." Reno menampar wajah mangsanya bertalu-talu. Pandangan sinis pemuda bertubuh kurus itu membuatkan dia tercuit hati. Mudah saja mahu menjurumuskan Jebat Khuwailid ke dalam dunia gelap!
Bersambung....
12.01.2025
Pening tak baca KYTT?
Kalau dapat 20 komen, 80 vote saya update double untuk episod seterusnya 👀
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top