EPISOD 35
"ELMAN happy tak?"
Elman terangguk-angguk sambil menikmati aiskrim berperisa coklat. Senang hati setelah seharian bermain bersama Jebat. Apatah lagi layanan Jebat yang begitu lembut membuatkan Elman rasa nyaman.
"Elman rasa Elman ada ayah bila uncle dengan Elman."
Senyuman nipis terkulum di bibir Jebat yang sedang memandu. Rambut lebat Elman diusap lembut sambil mendengar celoteh si kecil.
"Uncle pun tak ada ayah. Sama macam Elman."
"Ayah uncle pun ada kat syurga ke?"
Mendengar soalan naif Elman, senyuman Jebat terasa pahit. Encik Fazil mati kerana bunuh diri. Cara kematian yang sangat dilaknat oleh Allah. Tapi, bukan ayahnya yang mahu menghapuskan nyawa sendiri melainkan angkara Datuk Zali.
"Elman good boy uncle Jebat kan?"
"Mestilah!"
"Nanti... minta maaf dengan ibu sebab Elman tak sengaja marah ibu. Okey?"
Seketika, Elman bertaut pandangan dengan Jebat tatkala kenderaan berhenti di depan lampu isyarat merah. "Uncle baiklah. Kan best kalau Elman ada ayah macam uncle."
Tawa sinis terletus di bibir Jebat. Belakang tengkuknya diusap tatkala bicara Elman kedengaran janggal. Hailah kalau saja si kecil mengerti bahawa Jebat sedang meraih kepercayaan Jasmine dengan menggunakan Elman sebagai perantara, masih relevankah gelaran 'baik' itu?
"Kalau macam tu, Elman boleh panggil uncle abah."
"Betul ke uncle?" Elman memaut lengan Jebat tatkala rasa teruja menerjah sanubarinya.
"Betul. Kalau kawan-kawan tak nak kawan dengan Elman, Elman bagi tahu diorang yang Elman dah ada uncle abah. Tapi... jangan panggil macam tu depan ibu. Nanti ibu sedih. Janji?" Jebat menghulurkan jari kelingkingnya kepada Elman.
"Yeay! Seronoknya dah ada uncle abah! Elman janji takkan panggil uncle Jebat uncle abah depan ibu."
Senyuman kembali terukir di bibir Jebat tatkala wajah Elman kembali ceria. Sekurang-kurangnya, dia dapat menyenangkan hati kecil Elman yang mula membuatkan Jebat jadi sayang.
"Elman jangan sedih lagi sebab tak ada ayah. Kesian ibu... ibu pun rindu ayah juga tapi ibu kuat untuk Elman. Janji dengan uncle jangan buat ibu menangis. Tau?"
Refleks, debaran kuat memalu jantung Jebat tatkala ruang memorinya mengimbas tangisan Jasmine. Wanita itu menderita dengan sebuah kehilangan. Hanya saja Jasmine bijak menutup dengan ketegasannya.
'Jebat... kenapa dengan kau? Macam mana kau nak hancurkan Zali kalau kau bagi simpati dekat anak dan cucu si jahanam itu?'
Tika itu, jiwa Jebat kembali berperang sesama sendiri. Keluhan kecil terpacul di bibirnya.
🥀🥀🥀
JAM di skrin telefon pintarnya dikerling. Sudah pukul enam petang namun kelibat Elman masih tak kelihatan di pekarangan rumah. Sungguh, Jasmine khuatir membiarkan Jebat membawa anaknya keluar tanpanya. Menyesal dek terlalu terikutkan emosi, Jasmine memberikan peluang untuk Jebat membawa Elman keluar tanpa dirinya.
"Qasrina tunggu siapa?"
Jasmine berpaling tatkala suara ayahnya kedengaran. Sejak kepulangannya, jarang benar Jasmine melihat ayahnya di rumah. Sihatkah ayahnya saat ini?
"Tunggu Elman. Jebat bawa dia keluar tadi."
"Kenapa tak ikut sekali?"
"Qas nak rehat, pa. Qas penat uruskan galeri yang nak dibuka minggu depan. Papa... rasmikan galeri tu nanti boleh kan?"
Datuk Zali mengerutkan dahinya tatkala suara Jasmine tiba-tiba kedengaran lembut. Dia rasa janggal. Manakan tidak, setiap kali mereka bertemu, pasti ada saja pergaduhan di antara mereka dua beranak.
"Boleh. Tapi papa pun nak minta sesuatu daripada Qas."
"Apa dia pa?"
"Esok, Tan Sri Talib ada buat majlis makan malam kat rumah dia sempena kepulangan anak sulung dia. Papa nak Qas ikut mummy dengan papa sekali. Tan Sri Talib teringin nak kenalkan Qas dengan anak dia."
Mendengar hal itu, Jasmine membuang pandangannya daripada menatap laman wajah si ayah. Dia menerawang ke sekeliling pekarangan rumah agam yang luas itu. Tan Sri Talib, Jasmine cukup kenal pemilik sebuah perusahaan kapal pelancong dan pemilik Royal empire itu. Kawan baik Datuk Zali.
Anak lelakinya pula... pemuda yang pernah dijodohkan dengan Jasmine dan hampir saja hubungan Jasmine dan Zafri terputus angkara perjodohan itu.
"Qasrina macam mana?"
"Tak apalah pa. Qas nak masuk dulu." Jasmine bangun berua-ura masuk ke rumah. Dia tahu, perbualan ini akan mencetuskan pergaduhan mereka lagi.
"Qasrina. Sampai bila kamu nak hidup macam ni? Zafri dah tak ada. Ezhar tu bujang lagi. Anak kamu perlukan seorang ayah dan papa dengan tan sri boleh aturkan..."
"Elman yang perlukan Ezhar sebagai ayah atau papa yang perlukan Ezhar untuk luaskan lagi pengaruh papa?"
"Apa kamu merepek..."
"Qasrina tak merepek, papa! Itu kenyataannya. Papa nak jodohkan Qas dengan lelaki kasanova tu lagi? Papa ni dah gila ke apa nak musnahkan hidup anak papa sendiri?" Nada suara Jasmine naik seoktaf. Amarahnya meluap-luap tatkala ayahnya kembali mempergunakannya demi kepentingan sendiri.
Ya Tuhan, apa lagi tak cukup dalam hidup Datuk Zali hingga menggunakan anak kandung sendiri tanpa peduli sikap anak kawan baiknya yang buruk itu?
"Dia dah berubah. Jangan nak menuduh melulu. Apa yang penting sekarang, papa buat semua ni untuk kepentingan Qas dengan Elman juga. Budak tu perlukan kasih seorang ayah. Qas tak kesian ke dengan cucu papa yang tak pernah rasa ada ayah?"
Jasmine mengetap bibirnya tatkala bicara Datuk Zali seakan-akan menikam berjuta-juta belati di dinding hatinya. Tubir matanya terasa hangat tatkala kerinduan buat Zafri semakin menggunung. Jasmine tak mahu Zafri digantikan oleh sesiapa. Namun, Elman juga perlukan kasih seorang ayah. Anak itu semakin tumbuh membesar dan memahami erti kasih.
"Atau kamu dah ada calon lain untuk gantikan Zafri?"
"Tak ada siapa yang boleh gantikan Zafri dalam hidup Qas. Qas tak nak cakap pasal ni lagi." Jasmine melangkah masuk tatkala setitis air mata mengalir ke pipinya. Keluhan berat dilepaskan tatkala fikirannya bercangkaliwang.
"Macam mana dengan Jebat Khuwailid? Setiap kali kamu tengok muka dia, kamu tak rasa ke Zafri kamu masih ada? Tak terdetik dalam hati kamu dia boleh gantikan Zafri?"
Sontak, Jasmine berpaling menghadap Datuk Zali tatkala ayahnya mula memprovokasi.
"Kamu nak tahu kenapa papa ambil dia jadi bodyguard selain dia dah dapatkan kepercayaan papa?" Datuk Zali berpeluk tubuh sambil menghembuskan kepul-kepul asap paip rokok ke udara. Membaca fikiran si anak yang kelihatan kelu.
Dia mahu sedarkan Jasmine tentang sebuah hakikat yang perlu diterima...
"Apa yang papa cuba sampaikan?" Detak jantung Jasmine semakin kencang melihat wajah tegang si ayah.
"Pasal Jebat... dengan Zafri. Itu topik yang Qas suka selain kita bercakap pasal Ezhar. Kan?"
"Papa sengaja tugaskan dia di bawah kamu sebab papa nak tengok sejauh mana keberkesanan rawatan doktor dekat mental kamu yang tak pernah lupakan Zafri. Papa tengok... Qas dah mula bagi kepercayaan dekat Jebat sampai biarkan je dia bawa anak Qas keluar berduaan. Kenapa?"
Jasmine merasakan nafasnya mula sesak di rangkungan tatkala Datuk Zali semakin membaca isi hatinya. Jasmine merasakan ayahnya sedang mempermainkan emosi dan mentalnya saat ini. Atas tujuan apa pun Jasmine tak tahu.
"Anak papa tak boleh jawab nampaknya." Datuk Zali tertawa sinis sambil mengusap kepala Jasmine yang berbalut dengan selendang.
"Biar papa jawab. Sebab dengan wajah Jebat seiras Zafri tu buat Qas rasa dia masih hidup dan Qas nak Elman rasa kasih sayang seorang ayah melalui Jebat. Tapi... kalau terdetik di hati Qas yang Jebat boleh gantikan Zafri, silakan bermimpi. Papa tak nak, sampah wujud dalam hidup kita, Jasmine Qasrina."
Wajah Datuk Zali semakin tegang. Dia tekad dengan kata-katanya meskipun sudah berkali-kali Jebat menjunamkan diri dalam bahaya demi keselamatannya saja. Pemuda itu tidak sekufu dengan mereka.
"Jangan pernah simpan apa-apa perasaan dekat dia kalau Qasrina tak nak sakit lagi."
Jasmine tercabar dengan bicara Datuk Zali. Ditepisnya kasar tangan si ayah tatkala amaran Datuk Zali semakin membuatkan Jasmine rasa dirinya tak berharga sehingga harus menjadi boneka si ayah.
Perasaan ini, hak miliknya!
"Ibu!"
Serentak, Jasmine dan Datuk Zali berpaling menghadap figura yang memanggil Jasmine. Perbualan tegang mereka terhenti serta-merta.
"Datuk nak pergi mana-mana ke?"
"Tak apa. Kau boleh sambung gembirakan cucu aku. Tapi bukan ambil kesempatan di atas nasib ibunya."
Mendengar hal itu, Jebat terkaku dengan arahan berbaur amaran. Pelipisnya yang tak gatal digaru. Tak pernah lagi Jebat menerima amaran yang melibatkan Jasmine. Ada apa lagi di antara ibu dan ayah ini pun Jebat tak mengerti.
"Ingat Qasrina... jangan serahkan hati kamu dekat sampah. Sedar hakikatnya yang kau tu hidup berdulang emas. Tinggi nilainya!" Sekali lagi, Datuk Zali memberikan peringatan. Dibisikkan di cuping telinga wanita itu seraya melangkah masuk ke dalam sebuah BMW.
Tika itu, hanya sorotan mata Jasmine saja yang bertaut dengan Jebat. Benci benar Jasmine mendengar hinaan Datuk Zali ke atas pemuda yang sudah banyak berkorban nyawa untuk keselamatan ayahnya ini. Kenapalah dia dibesarkan dalam keluarga yang tak kenal erti menghargai?
"Saya ada belikan coklat untuk puan tadi. Saya tahu puan stres. Coklat ni boleh buat hormone stres kita berkurang. Diganti dengan rasa gembira dan senang hati. Puan... jangan sedih lama-lama. Hayat kita terlalu singkat kalau nak tenggelam dengan kesedihan."
Jasmine mengalihkan pandangannya ke sebatang coklat putih yang dihulurkan oleh Jebat. Kata-kata pemuda itu cukup meluluhkan lagi sekeping hatinya. Lambat-lambat, Jasmine menyambut pemberian Jebat.
"Abang tak nak sayang hidup dalam kesedihan. Kita masih terlalu banyak waktu untuk bahagia daripada tenggelam dengan kesedihan. Ingat, kita hidup ni singkat aje. Ambil masa yang Allah bagi tu dengan nikmati rasa senang dan bersyukur."
Kata-kata Jebat... persis seperti kata-kata Zafri dahulu. Mereka sama-sama bijak memberikan kata-kata yang bisa menyenangkan hati Jasmine semula.
"Saya minta maaf juga tentang hari tu. Tak sepatutnya saya cakap macam tu dekat puan..."
"Awak free malam ni?" Jasmine memintas.
"Saya free tapi kenapa?"
Jasmine mengulum senyum. Diusapnya rambut Elman yang sedang mengenggam tangannya.
"Saya nak awak join saya dengan Elman makan malam. Anggap je sebagai ucapan terima kasih sebab awak dah banyak tolong papa. Awak nak makan apa? Cakap je saya boleh masakkan."
Mendengar nada suara Jasmine ceria membuatkan Jebat senang. Tiada lagi derita yang dia lihat sebentar tadi. Apatah lagi Jasmine mula menerima kehadirannya sebagai pengawal peribadi wanita itu.
Satu perkembangan yang bagus untuk Jebat bermain dengan rancangannya...
11.1.2025
BERSAMBUNG...
Thank you sudi spend time dengan KYTT. Sorry kalau tak best
Nak lagi tak chapter baru? Kalau nak 90 vote, 20 komen saya update ✨️✨️
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top