EPISOD 33

SEBAIK saja melihat Jasmine sibuk di dapur sambil dibantu oleh Elman, Datin Bahriah menghampiri si anak tiri mahu beramah setelah sudah genap lima bulan kepulangan Jasmine ke bumi Malaysia.

Dia mahu menjernihkan hubungan mereka yang renggang. Manakan tidak, semenjak dia menikah dengan Datuk Zali, dia tak punya ruang dan kesempatan untuk akrab bersama Jasmine tatkala wanita itu dihantar ke kampung dan dijaga oleh Nek Timah.

"Elman suka tak cupcake tu?"

"Suka! Elman nak bawa pergi sekolah esok. Boleh share dengan kawan-kawan lain. Mesti diorang nak kawan dengan Elman, kan ibu?"

Jasmine tersenyum melihat Elman begitu berselera menjamah cupcake yang baru saja dibakar. Sekurang-kurangnya, dapat juga dia menghabiskan waktu dengan membakar kek bersama Elman demi melupakan rasa sakit hati dengan omongan Jebat semalam.

"Qas... tak pergi mana-mana ke petang ni?"

Seketika, pandangan Jasmine bertaut dengan Datin Bahriah. Senyumannya mati. Digantikan pula dengan wajah cemberut tatkala masanya diganggu oleh wanita perampas ini.

"Elman... bawa ke depan. Ibu nak kemas dapur dulu. Bagi kat aunty Elisa, uncle Yazid dan uncle-uncle yang lain juga tau."

"Ala tapi uncle Jebat tak ada. Rugilah uncle Jebat... tak rasa cupcake ibu."

Mendengar sebaris nama Jebat, dinding hati Jasmine mula terasa perih. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga amarah Jebat tatkala Jasmine cuba berbaik dengan mengambil berat tentang pengawal peribadinya itu sehingga isu Zafri turut dibangkitkan. Jasmine tahu, dia khilaf. Namun, kata-kata Jebat seolah-olah racun yang mengguris hati Jasmine.

"Qasrina... mummy nak cakap sikit. Boleh?"

Jasmine mengeluh berat tatkala suara Datin Bahriah kembali kedengaran. Tangannya ligat mengelap meja yang berselerak dengan tepung. Tiada mood mahu berbual bersama ibu tirinya.

"Sampai bila Qas nak marah mummy? Sampai bila kita nak hidup macam orang asing? Tak pernah  terdetik dalam hati Qas untuk terima mummy jadi pengganti mama Qas ke?" 

Tersungging senyuman sinis di bibir Jasmine tatkala soalan Datin Bahriah membingitkan telinga. Pandangannya bertaut dengan si ibu tiri yang sudah kelihatan kecewa.

"Pengganti?"

"Bagi mummy ruang untuk jadi ibu yang baik untuk Qas. Mummy tak nak kita berdingin macam ni lagi. Mummy sayangkan Qas macam anak mummy sendiri. Tolonglah... jangan layan mummy macam penjenayah."

Bersungguh-sungguh, Datin Bahriah merayu kepada Jasmine dengan harapan hati Jasmine akan terbuka untuk menerimanya. Sungguh, dia lelah dengan pertelingkahannya bersama Jasmine. Kedua-dua belah tangan Jasmine digenggam erat.

"Qasrina..."

"Sudahlah, Bahriah! Kau nak merayu, bersujud macam mana sekali pun kat aku... hati aku ni takkan terima kehadiran kau dalam hidup aku! Kau dah hancurkan hidup mama! Kau rampas semua yang mama ada sampai akhir hayat mama pun... dia menderita! Aku saksi siang malam mama menangis seorang di saat dia berjuang dengan penyakitnya! Semua tu disebabkan perempuan jahanam macam kau!"

Nada suara Jasmine naik seoktaf, dia menolak kasar tubuh Datin Bahriah seraya melangkah keluar dari dapur. Tak betah berhadapan dengan wanita yang sudah menghancurkan kebahagiaan Datin Mariana.

Mana mungkin Jasmine lupa penderitaan ibunya walaupun Datin Mariana tak pernah tunjukkan betapa seksanya wanita itu  setelah Datuk Zali berubah hati.

"Qasrina! Sampai bila Qas nak hukum mummy atas kesalahan yang mummy tak buat? Qas tak tahu hujung pangkalnya kat mana! Tak adil hukum mummy..."

"Tak adil kau cakap? Sekarang kau nak cakap pasal keadilan lepas kau rampas papa daripada mama? Kau memang tak ada harga diri ke sampai nak menidakkan kesalahan yang kau buat? Mama aku anggap kau macam kakak dia. Tapi sanggup kau khianat kepercayaan mama aku. Kau rampas suami dia! Kau rampas kebahagiaan dia! Semua harta yang papa ada tu pun atas nama mama! Kau cuma menumpang! Tapi hakikatnya kau tu sampah!"

Datin Bahriah yang sudah berdiri setentang dengan Jasmine di anak tangga terkelu dengan amarah anak tirinya. Terasa kelat liur di rangkungan tatkala dinding hatinya seakan-akan dicarik dengan hinaan wanita itu.

Tatkala tubuhnya dirempuh oleh Jasmine, hanya keluhan berat saja dilepaskan bersama emosi yang bercampur baur. Sungguh, Datin Bahriah semakin buntu mahu mengambil hati Jasmine.

Entah sampai bila wanita muda itu menghukumnya pun Datin Bahriah tak ada jawapan. Sudah berbelas tahun dia cuba meraih kasih Jasmine. Namun, hati Jasmine masih begitu keras tak mahu menerimanya sebagai ibu tiri.

🌹🌹🌹


MATA helangnya tunak memerhatikan pergerakan tangkas lawan yang sudah mengayunkan tumbukan demi tumbukan ke wajahnya. Jebat cekap mengelak serangan lawan seraya membalas dengan mengayunkan tumbukan ke pinggang lawannya. Dek hentakan kuat itu, si lawan tersungkur di gelanggang tinju. Suara para penonton yang bersorak kedengaran bingit. 

Perlawanan pusingan ketiga itu semakin sengit tatkala tiada tanda-tanda Jebat mahupun Rafik mendapat kemenangan. Masing-masing punya matlamat untuk merebut wang sebanyak lima ribu ringgit daripada pihak penganjur.

"Kau kena buat dia stres lagi baru kau dapat KO kan terus mamat tu."

Jebat mencapai sebotol air daripada pegangan Tori yang sudah membantunya mengelap darah kering di pelipis. Nafasnya berombak kencang tatkala rasa lelah mula mencengkam tulang-temulang. Sukar benar mahu menjatuhkan lawannya malam ini. Jebat tak nafikan, Rafik punya stamina dan ketangkasan yang setanding dengannya.

"Pusingan keempat ni kau kena menang juga! Tak kiralah apa jadi sekali pun. Kau ingat sikit Jebat sekarang fokus kau masuk dalam hidup Datuk Zali. Bukan nak jadi hero selamatkan orang dengan buang masa bertinju macam ni!"

Seketika pandangan Jebat bertaut dengan Keong. Jelas, wajah sahabatnya tampak tegang tatkala sudah seminggu Jebat bercuti daripada menjadi pengawal peribadi Jasmine. Hanya kerana malamnya sering dihabiskan dengan menerima perlawanan demi wang sebanyak sepuluh ribu ringgit.

"Aku dah anggap Pak Atan macam ayah aku.  Takkan aku nak biarkan dia susah..."

"Aku tak kisahlah kau nak jadi hero dia sekali pun. Apa yang penting sekarang, kau kena teruskan misi kau masuk dalam hidup Datuk Zali! Itu fokus utama hidup kau..."

Keong kematian bicara tika Jebat mencengkam kolar bajunya. Jelas, wajah pemuda bertubuh kekar itu tegang. Ada rasa gerun di lubuk hati Keong melihat penumbuk Jebat. Melihat wajah Rafik sudah bengkak dek penangan Jebat, dapat Keong bayangkan betapa sakitnya menerima penangan Jebat Khuwailid!

"Kau tak payah nak mengajar aku. Tahulah aku apa yang aku tengah buat sekarang!"

Bunyi loceng kedengaran menandakan pusingan keempat telah dimulakan. Jebat mendengus seraya menghampiri Rafik. Benci benar dengan desakan Keong tanpa henti. Dia akan pastikan pusingan ini menjadi pusingan terakhir mereka. 

Lantas, Jebat bertindak dahulu mengayunkan tumbukannya ke wajah Rafik. Malangnya, Rafik terlebih dahulu mengelak. Tinjunya diayunkan ke wajah Jebat sehingga Jebat tersungkur dek hentaman kuat. Kepalanya pusing. Telinganya berdengung dek kesakitan yang bukan kepalang. Darah mengalir deras di hidung dan bibir Jebat.

"Kau tengok apa yang kau dah buat! Mamat tu tak fokus! Sekali je dah hampir KO. Kalau Jebat kalah, kau tanggungjawab!" 

"Aku cakap benda yang betul! Dia tu dah lupa gamaknya tugas dia sebagai bodyguard Datuk Zali. Seminggu dia tak datang kerja sebab nak settle hutang Pak Atan je! Buang masa. Aku nak dia teruskan niat..."

"Niat hancurkan keluarga Datuk Zali? Kau ni macam nak pergunakan sepupu aku je! Mentang-mentanglah, Jebat tu masih tak mampu terima cara kematian ayah dia!"

Keong menghela nafas panjang tatkala Tori seakan-akan meletakkan syak wasangka terhadapnya. Pandangannya hanya tunak memerhatikan Jebat dan Rafik yang masih bertarung di gelanggang tinju. Sesekali, tangannya digawangkan ingin membantu Jebat membantai Rafik saat itu juga. Resah hatinya melihat sesekali Jebat tersungkur dek penangan Rafik. 

"Kenapa kau diam? Kau tengah pergunakan sepupu aku..."

"Kau ni agak-agaklah juga! Aku cuma tolong Jebat selesaikan hal yang dari dulu lagi dia tak dapat selesaikan. Kau lupa ke dia sanggup masuk penjara semata-mata nak cari tahu siapa dalang pembunuh ayahnya? Dia masuk dalam tu pun sebab kau kenalkan aku kat dia. Fikirlah!"

Saat itu, Tori sudah terkelu dengan ketegasan Keong. Dia tak dapat nafikan, dialah pemula Jebat menjadi pendendam. Keonglah punca Jebat masuk dalam hidup Datuk Zali yang merupakan dalang di sebalik kematian Encik Fazil.

Seharusnya, dia senang tatkala Jebat bersungguh-sungguh ingin menghancurkan keluarga Datuk Zali! Memang itulah selayaknya bagi lelaki jahat itu.

"Pemenangnya jatuh kepada Jebat Khuwailid!"

Tatkala pengumuman daripada pengacara kedengaran, Keong lantas naik ke gelanggang bagi meraih kemenangan sahabatnya. Jelas, wajah Jebat tampak bangga tatkala dia dapat menjatuhkan Rafik serta-merta. Akhirnya, dapat juga Jebat selesaikan hutang Pak Atan sebelum tempoh yang diberikan tamat.

🌹🌹🌹

"MACAM mana kau nak masuk kerja dalam keadaan muka bengkak macam kena sengat tebuan? Degil! Aku cakap tak payah nak jadi baik sangat, kau tak nak dengar! Sampai bila kau nak buat kerja gila sebab orang lain je? Disebabkan orang tua tu, enam perlawanan kau rembat terus dalam seminggu ni!" 

Jebat mendesis kesakitan tatkala Keong membelek-belek wajahnya yang dipenuhi luka. Sakitnya bukan kepalang! Seakan-akan berjuta-juta jarum dicucuk ke wajahnya yang lebam saja. 

"Perempuan tu tak kisah pun pasal aku. Kalau boleh, aku tak wujud dalam hidup dia lagi dia suka."

"Arh! Itu bagi kau. Tapi aku dengar apa yang kau gaduhkan dengan Jasmine hari tu. Dia risaukan kau. Dia cuma nak tahu apa yang jadi sampai kau bergaduh kat pasar. Tapi, kalau pun kau bencikan dia, janganlah melampau sampai ungkit pasal arwah suami dia. Kau sendiri tahu kan sakitnya kehilangan orang yang berpisah mati dengan kita."

Tatkala Fawwaz mengungkit kejadian pertelingkahan di antara Jebat dan Jasmine, keluhan kecil terbit di bibir Jebat yang luka dengan darah kering. Rambutnya yang basah seusai saja dia membersihkan diri disebak ke belakang. Pakaiannya disarung  seraya mencapai hoodie yang tergantung di dalam loker.

Entah mengapa, ada rasa bersalah menjentik tangkai hati Jebat. Tak seharusnya dia berkasar dengan Jasmine. Wanita itu hanya mahu membantunya saja bukan menjadikannya tempat melepaskan rindu buat Zafri.

Oh Tuhan, kenapa dinding hatinya ini ada kalanya memberikan petanda yang sukar diungkapkan dengan kata?

"Mengelamun! Fikir Puan Jasmine..."

"Kau tak payah nak mengarutlah anak syaitan!"

Fawwaz terkekeh-kekeh tatkala Jebat menunjal kepalanya sembari beriringan keluar dari dewan tinju itu. Sesekali, dia memandang wajah Jebat yang kembali hanyut dengan lamunan. Hanya jasad saja yang berjalan namun roh sahabatnya hilang entah ke mana.

"Kau okey tak?"

"Kalau satu hari nanti aku masuk kubur, tu maksudnya aku dah tak okeylah."

"Apa pula cakap macam tu? Kau dah sedia nak mati?"

"Kau tahu kan aku hidup pun untuk dendam aku. Keadilan untuk arwah ayah dan kakak aku!"

Mendengar hal itu, Fawwaz hanya kaku sambil menghantar Jebat melalui pandangan. Resah melihat Jebat yang sering saja mengabaikan nyawa sendiri. Seakan-akan, nyawanya tiada nilai. Fawwaz mengerti, luaran Jebat saja nampak gagah namun hati pemuda itu sudah layu dek ujian hidupnya.

"Jebat Khuwailid?"

Jebat yang baru saja memakai helmet kaget tatkala bahunya ditepuk dari belakang. Terpampang dua figura serba hitam bertubuh kekar yang sudah berdiri setentang dengannya. Intuisi Jebat mula negatif.

"Apahal?"

"Ikut kitorang. Ada orang nak jumpa kau. Pasal ayah kau sekali."

Tika nama ayahnya disebut, Jebat merasakan kakinya terpasak di atas bumi. Siapa gerangan mereka sehigga berminat mahu bertemunya? Apatah lagi mereka tahu tentang Encik Fazil yang sudah berbelas tahun meragut nyawa sendiri.

Bersambung...

7.1.2025

70 vote, 15 komen saya update double episod



Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top