EPISOD 32

ERANGAN kesakitan saling bergema di kawasan pasar itu. Para pengunjung sudah tercengang melihat lima orang lelaki yang sudah cedera dek dibelasah oleh Jebat. Kaget dengan ketangkasan Jebat yang bisa menumbangkan samseng-samseng itu sekelip mata.

"Itu pengajaran untuk korang hari ini!"

"Kau... memang dah tempah maut dengan kitorang!" Terketar-ketar si lelaki berkepala botak memberikan amaran kepada Jebat yang masih gagah berdiri. Sungguh, wajahnya benar-benar sengal dengan penangan pemuda bertubuh kekar itu.

"Kenapa? Kau nak panggil samseng-samseng lain belasah aku pula?" Jebat tersenyum sinis sambil menggaru pelipisnya yang tak gatal. Tiada rasa gentar bermain di lubuk hati pemuda berbaju pagoda putih itu.

"Kau jangan bongkak sangat kalau kau tak tahu dengan siapa kau berurusan!"

Belum sempat si lelaki mahu menyerang, Jebat terlebih dahulu menyepak dada si samseng hingga kembali tersungkur. Tawa sinis terletus di bibir Jebat yang sudah pecah. Darah kering di birai bibirnya dikesat dengan ibu jari.

"Berapa ringgit Pak Atan berhutang dengan korang?"

"Jebat... tak payah. Pak Atan... boleh bayar..."

"Jangan risau. Pak Atan kemas je barang-barang yang berselerak tu. Biar saya settle dengan penyangak-penyangak ni semua."

"Tapi... Pak Atan tak nak susahkan kau..."

Pak Atan kematian kata tatkala bahunya ditepuk bertalu-talu. Pandangan tajam Jebat cukup menggerunkan hati tuanya. Sungguh, dia rasa bersalah. Tak mahu Jebat masuk campur urusannya bersama ceti haram itu.

"Sepuluh ribu. Kau ada?"

Mendengar jumlah hutang Pak Atan, keluhan terbit di bibir Jebat. Jumlah itu terlalu banyak baginya yang turut memerlukan wang demi kos rawatan Shana. Tapi, melihat kesusahan Pak Atan membuatkan Jebat simpati. Apatah lagi warga emas itu sedang diberikan ujian tatkala isterinya jatuh sakit. 

"Tak ada? Kalau tak ada jangan masuk campur..."

"Bila korang nak?" 

"Minggu depan."

Jebat menjungkitkan kedua-dua belah bahunya seraya membantu Pak Atan mengutip buah-buahan yang dihamburkan oleh samseng-samseng itu. Namun, pergerakannya terhenti tatkala pandangannya bertaut dengan figura seorang wanita yang sudah terlebih dahulu membantu Pak Atan. Matanya membuntang kaget. 

"Puan... Jasmine?"

"Hoi! Kau dengar tak minggu depan aku nak kau bayar bagi pihak orang tua tu!"

Amaran daripada si samseng seakan-akan tak lut saja bagi Jebat. Dia masih dikejutkan dengan kehadiran Jasmine di kawasan pasar itu. Dalam banyak-banyak tempat kenapalah dia harus bertemu dengan Jasmine dalam keadaan yang tak sepatutnya?

"Jebat! Belakang awak!"

Serentak dengan amaran Jasmine, tubuh Jebat tersungkur berhampiran wanita itu tatkala tubuh belakangnya diterajang kuat oleh si samseng. Jebat mendengus. Buru-buru, dia bangun ingin kembali menentang lawannya. Namun, halangan daripada Jasmine yang sudah berdiri setentang dengannya membuatkan pergerakan Jebat terhenti.

"Sepuluh ribu minggu depan atau kau yang kena dengan kitorang. Kau faham?"

Sepuluh ribu?

Alangkah kagetnya Jasmine mendengar jumlah wang yang perlu Jebat bayar bagi samseng-samseng itu. Ada tanda tanya mula bermain di benak fikiran wanita itu tentang Jebat yang berhutang. Tidak cukupkah gaji yang ayahnya berikan kepada pemuda ini?

🌹🌹🌹

SESEKALI, Jebat mendesis kesakitan tatkala bibirnya yang menerima penangan samseng-samseng itu terasa perih tatkala dituam dengan ais. Angin yang menyapa wajahnya terasa begitu nyaman. Menghilangkan amarah yang membakar dinding hati Jebat tatkala melihat Pak Atan dikasari.

Ya Tuhan, di mana dia mahu mencari sepuluh ribu untuk membayar hutang lelaki tua itu dalam tempoh seminggu?

Perlukah dia bertindak gila dengan menerima perlawanan tinju sehingga wang sebanyak sepuluh ribu mencukupi?

"Nah ubat luka kat bibir awak tu!"

Jebat mendongak tatkala figura Jasmine yang baru saja membeli ubat di farmasi berhampiran terpampang di depan mata. Keluhan berat dilepaskan tatkala Jebat rasa terganggu dengan kehadiran wanita itu.

Lagi satu, kenapa Jasmine berlegar-legar sendirian di kawasan ini? Ke mana perginya para pengawal yang seharusnya menjaga majikan mereka?

"Puan buat apa kat sini?"

"Memancing." Jasmine melabuhkan duduknya di atas bangku. Wajah Jebat dipandang tajam. Sesekali, bunyi ombak yang menghempas tembok memberikan terapi kepada wanita yang sedang diasak tanda tanya tentang Jebat Khuwailid.

"Loyar buruk?"

"Memang dah lama ke buat kerja belasah orang?"

Tawa kecil terletus di bibir Jebat tatkala Jasmine cuba mengorek kejadian yang baru saja berlaku sebentar tadi. Perlahan-lahan, dia menyapu ubat antiseptik di tepi bibirnya. 

"Tak payah sibuklah. Bukan urusan puan."

"Sepuluh ribu tu banyak. Awak buat apa sampai pinjam sepuluh ribu? Gaji yang papa bagi tak cukup ke sampai awak kena pinjam duit kat ahlong? Tak pasal-pasal pasar tu jadi gelanggang tinju! Tak malu ke buat kecoh kat tempat umum?"

Senyuman merekah lagi tatkala hati Jebat tercuit mendengar omelan Jasmine tanpa henti. Wajah wanita itu dipandang redup sambil melekatkan plaster ke luka di pipinya. Inilah kali pertama dia melihat wajah cuak Jasmine.

Comel.

"Faham tak?"

"Apa yang faham?"

Jasmine memutarkan bebola matanya tatkala omongannya tak didengari oleh Jebat. Pandangannya bertaut dengan pemuda yang teragak-agak menutup luka yang tergores di pipi. Refleks, Jasmine membantu dengan merenggut plaster luka daripada tangan Jebat lalu dilekapkan ke luka pemuda itu.

"Kenapa pandang saya macam tu?"

"Puan kan tak suka saya.  Tapi kenapa puan tiba-tiba nak ambil berat pasal saya? Pelik."

Soalan cepumas Jebat membuatkan wajah Jasmine mula membahang kepanasan. Dia berdeham. Pandangan dialihkan ke arah samudera yang kelihatan tenang. Tapi, tak setenang jiwa Jasmine melihat kejadian yang menegangkan di antara Jebat dan samseng-samseng itu. 

"Kenapa awak berhutang dengan diorang?"

"Kenapa puan nak tahu?"

"Jawab jelah! Kenapa?"

"Tak penting pun untuk puan masuk campur hal peribadi saya. Saya bukannya keluarga puan pun. Setakat pekerja. Tak semua benda pasal pekerja majikan perlu tahu. Jadi sekarang lebih baik puan balik. Saya hantar." Tanpa berlengah, Jebat bangun berura-ura untuk menghantar Jasmine pulang ke rumah. 

"Jebat! Saya tak selesai lagi bercakap dengan awak! Saya nak tahu dan saya perlu tahu apa yang buat awak berhutang. Saya majikan awak. Saya ada hak untuk tahu masalah pekerja  kalau saya tahu dia ada masalah yang boleh bahayakan nyawa sendiri."

Mendengar Jasmine masih berdegil, Jebat mengeluh panjang. Kesabarannya sirna. Pelipisnya dilurutkan tatkala Jasmine sudah menghalang langkahnya. Rambutnya yang beralun ditiup angin disebak ke belakang. 

"Saya peliklah dengan puan. Awal-awal kita jumpa, puan benci betul dengan saya. Tapi kenapa tiba-tiba terdesak sangat nak masuk campur hal peribadi saya? Oh, sebab muka saya ni macam suami puan je kan? Macam tu? Dengar sini, saya dengan suami puan tu orang berbeza! Jangan samakan kami! Puan tak berhak nak bayangkan yang saya ni suami puan!"

Tatkala Jebat tiba-tiba mengungkit perihal Zafri, Jasmine jadi kelu. Wajahnya seakan-akan ditampar kuat dengan sindiran Jebat. Dinding hatinya seakan-akan ditikam berjuta-juta belati. Jasmine mendadak rengsa.

Benar kata Jebat. Dia risaukan lelaki itu hanya kerana dia masih merasakan sosok Zafri masih ada di dalam jasad seorang Jebat Khuwailid.

"Saya tak suka orang masuk campur hal peribadi saya! Hubungan kita cuma setakat pekerja dan majikan. Saya sebagai pekerja pun ada hak untuk simpan masalah saya. Tak payahlah nak jadi majikan yang baik hati nak selesaikan masalah pekerjanya. Saya tak harapkan pertolongan daripada puan."

Jebat menggeleng-gelengkan kepalanya tatkala fikirannya bercangkaliwang dengan ulah Jasmine yang asyik mendesaknya. 

Ketegasan Jebat meruntun jiwa Jasmine. Dia mengetap bibir menahan sesak di jiwa. "Saya minta maaf. Betul cakap awak. Saya tak patut masuk campur masalah pekerja saya. Saya dah melebih-lebih hari ni. Saya balik dulu..."

"Biar saya hantar..."

"Tak perlu. Awak cuti hari ni."

Senyuman pahit terkulum di bibir Jasmine. Langkah diatur keluar dari kawasan pasar. Terbatal niat Jasmine ingin membeli ikan bagi menghidangkan masakan ikan masam manis kegemaran Elman. Hatinya kembali berperang sesama sendiri. Dia risaukan Jebat hanya kerana wajah itu saja. Bukan kerana Jebat pekerjanya.

Ya Tuhan, Jasmine tak mahu membiarkan perasaan ini kembali menggugat kehidupannya. Dia sudah terima rawatan untuk menyembuhkan hatinya yang tak bisa menerima pemergian Zafri. 

Tatkala melihat air muka Jasmine yang terbias dengan kekecewaan, Jebat kaku mahu mengejar wanita yang semakin hilang daripada pandangan. Tersungging senyuman sinis di bibirnya. Ada rasa puas hati membuatkan Jasmine keliru dengan perasaan sendiri. 

"Itu baru sikit, Jasmine Qasrina. Aku masih ada banyak hari untuk buat kau hancur. Nasib kaulah berbintikan Zali!"

Bersambung...

6.1.2025

Jebat red flag, Jebat jahat. Tapi Jebat terpaksa ...

60 VOTE, 15 KOMEN UNLOCKED NEW CHAPTER supaya boleh baca kejahatan Jebat 

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top