EPISOD 31
RAUT wajah gadis yang kelihatan pucat dipandang sayu. Senyuman pahit terkulum di bibir Jebat tatkala Puan Nijah yang sedang menyikat rambut Shana tak putus-putus memberikan kata-kata semangat kepada gadis yang hanya tersandar lesu di katil untuk kembali bangkit daripada trauma.
Sudah lima tahun berlalu...
Tapi keadaan Shana masih tak berubah. Ya Tuhan, Jebat tak mampu melihat keadaan Shana yang kemurungan. Sudah terlalu lama Jebat tak dengar suara Shana. Dia rindukan momen mesra mereka sebagai adik beradik. Shana yang sentiasa postif dalam memberikan semangat kepada Jebat untuk berjuang hidup walaupun mereka daif.
"Lambat kau balik hari ni. Dah makan?"
"Dah, kat rumah Puan Jasmine tadi. Dia ada bagi makanan sebelum Jebat balik."
Perlahan-lahan, Jebat melabuhkan duduknya di birai katil. Tangan kanan Shana digenggam erat. Pandangan kosong Shana benar-benar menikam sukma Jebat dengan belati tajam. Ada derita yang terlalu berat ditanggung oleh Shana hingga gadis itu seakan-akan patung cendana.
"Bagus ya majikan kamu tu. Jaga kebajikan pekerja. Sampaikan salam mak dekat Puan Jasmine."
Tersungging senyuman sinis di bibir Jebat tatkala si ibu tak lagi mengetahui sebuah kebenaran bahawa Jasmine merupakan anak kepada pembunuh ayahnya. Hingga ke saat ini, Jebat masih merahsiakan bahawa dia bekerja untuk musuh keluarganya hanya demi menjaga hati si ibu.
"Mak... Jebat nak tanya sikit, boleh?"
"Pasal apa?"
Jebat mengeluh berat seakan-akan melepaskan beban di bahunya. Dia bangun seraya menghadap tingkap jeriji. Angin malam menerobos masuk ke dalam kamar. Nyaman. Jebat cuba menyusun bicara sambil memerhatikan kejora dan purnama yang menghias dada langit.
"Kalau suatu hari nanti mak jumpa pembunuh ayah... apa yang mak akan buat?"
Soalan Jebat mula menimbulkan rasa sangsi di lubuk hati Puan Nijah. Tubuh belakang Jebat dipandang tajam. Entah mengapa intuisinya mengatakan bahawa Jebat sedang merahsiakan masalah yang mengasak fikiran si anak.
"Kenapa tanya mak macam tu?"
"Saja tanya." Jebat kalih menghadap wajah ibunya. Jelas, wajah Puan Nijah tampak tegang tika Jebat mula membuka perihal ayahnya.
"Jebat... ayah kau bukan dibunuh. Tapi dia bunuh diri..."
"Mak masih percaya ayah tak dibunuh?" Nada suara Jebat berubah tegang. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala jawapan si ibu memarakkan amarahnya.
"Boleh tak kita jangan cakap pasal benda ni lagi? Mak tak nak bergaduh dengan kau bila kita berbeza pendapat. Bagi mak, ayah kau mati sebab kehendak dia sendiri. Dia yang dah masuk dunia gelap tu, bagi kita makan duit haram... bila ada masalah terus bunuh diri!"
"Tapi ayah buat semua tu sebab diperangkap. Takkan semudah tu je mak lupa cara kematian ayah? Sampai hari ni tak ada keadilan untuk arwah!"
Puan Nijah menghela nafas berat. Susah benar berbicara dengan Jebat yang pendiriannya begitu kukuh.
"Sudah-sudahlah tu, Jebat! Dah berbelas tahun berlalu. Apa pun yang dah jadi... mak tak nak fikir pasal benda yang dah hancurkan keluarga kita. Mak dah penat dengan apa yang jadi sekarang ni."
Jebat mengerutkan dahinya menahan amarah. Kepalanya tergeleng-geleng tatkala Puan Nijah mengalah untuk menuntut bela di atas kematian Encik Fazil.
"Terimalah kenyataan ayah kau memang bersalah. Kalau kau masih ragu dengan cara kematian ayah kau, fikir-fikirkanlah dengan siapa ayah kau bekerja. Dia tu kuli penjenayah! Kalau dia tak buat salah... kenapa dia bunuh diri untuk lari dari masalah? Ayah kau pengecut!"
Tika itu, Jebat terkelu tatkala kata-kata Puan Nijah kembali membuatkan Jebat bungkam. Apatah lagi amarah yang masih terpancar di wajah wanita itu tatkala membahaskan tentang Encik Fazil yang telah memberikan aib dalam keluarga mereka. Hanya pandangan Jebat saja menghantar Puan Nijah keluar dari kamar.
"Tak apa, mak. Kalau mak tak nak keadilan untuk ayah... Jebat yang akan buat. Jebat akan buktikan ayah bukan lelaki pengecut! Memang kita tak ada kuasa untuk tuntut keadilan di atas kematian ayah. Tapi... darah harus dibayar dengan darah."
Jebat terduduk di birai katil Shana sambil menatap tajam laman wajah kakaknya. Masih jelas di ruang memori musuh-musuh ayahnya meragut kebahagiaan Shana sekelip mata.
"Bertahun-tahun, aku kerja untuk si jahanam tu... aku dapatkan kepercayaan dia. Bukan senang. Kak Shana, aku janji yang aku akan balas kejahatan yang jantan keparat tu dah buat dekat kau dengan arwah ayah. Aku akan hancurkan Zali dan seluruh keturunan dia hingga tak ada yang tersisa walau seorang pun."
Jebat tertunduk menekur tapak tangannya yang digenggam erat. Membayangkan detik-detik kehancuran keluarga Datuk Zali dengan sebuah pengkhianatan.
Sesekali, Jebat tertawa sinis. Tubir matanya terasa hangat tatkala ada rasa rindu yang bertamu di lubuk hati buat ayahnya. Tidak. Ayahnya tak bunuh diri! Manakan tidak, Jebat dibesarkan oleh seorang lelaki penyayang dan budiman. Mustahil, ayahnya sanggup membunuh diri hanya kerana dijadikan kambing hitam!
🥀🥀🥀
JASMINE melilau ke sekeliling pekarangan rumah agam sambil memimpin tangan Elman. Ada tanda tanya bermain di lubuk hati wanita itu tatkala kelibat seseorang tak mampir bertanyakan aktivitinya pada hari ini.
Aneh.
Bukankah sepatutnya dia senang jikalau orang itu tak mengongkongnya? Tapi, kenapa pula ya Jasmine rasa harinya kosong tanpa Jebat Khuwailid?
"Selamat pagi, puan."
"Selamat pagi."
"Hari ni Jebat cuti dan saya yang akan gantikan dia. Jadi, saya hantar Elman ke sekolah."
"Cuti? Dia tak bagi tahu saya apa-apa pun."
Jasmine menghela nafas panjang seraya beriringan dengan Elman ke kenderaan. Ada nada tak puas hati tatkala Jebat tak memberitahunya bahawa pemuda itu akan bercuti. Jebat bekerja di bawahnya. Sudah seharusnya Jebat memberitahunya bahawa pemuda itu tidak bekerja pada hari itu.
"Haah, Jebat tu dah tiga bulan kerja non stop. Katanya harini nak minta cuti sehari. Dia dah minta kebenaran dengan datuk..."
"Tapi saya ni majikan dia juga. Saya perlu tahu apa-apa yang berkaitan pasal dia!"
Yazid berpandangan dengan Elisa yang sedikit kaget tatkala nada suara Jasmine berubah nada. Tegang. Seakan-akan wanita itu sedang menahan amarah dengan tingkah Jebat yang tak meminta izin untuk bercuti.
"Puan nak tahu apa pasal dia?"
"Huh?"
"Tadi puan cakap puan perlu tahu apa-apa yang berkaitan pasal Jebat. Puan nak tahu pasal apa? Saya boleh bagi tahu tapi tak semualah. Jebat tu perahsia orangnya."
Tak semena-mena, wajah Jasmine membahang tatkala Yazid seakan-akan membaca fikirannya yang ingin mengetahui tentang perihal Jebat Khuwailid. Tak mahu orang menganggapnya penyibuk. Namun, Jasmine juga mahu tahu sedikit tentang pengawal peribadi yang suka mengongkongnya itu.
Paling penting, siapa sebenarnya pemuda seiras Zafri itu?
"Puan berminat nampaknya nak tahu pasal Jebat. Saya boleh tolong siasat..."
"Tak payah nak mengarutlah, Lisa. Buang masa je nak tahu pasal dia. Okeylah. Saya nak drive sendiri harini. Korang boleh buat kerja masing-masing." Jasmine mencapai kunci kereta daripada Elisa seraya menerobos masuk ke bahagian pemandu. Inilah peluangnya keluar rumah tanpa dikongkong.
"Eh, biar saya hantarkan. Situasi kat luar sana kita tak tahu lagi..."
"Yazid, saya hantar anak saya ke tadika je. Jarak tak sampai 5 minit pun. Relakslah! Lepas ni saya nak singgah pasar kejap nak beli barang basah. Tu pun dekat je. 15 minit dari rumah. Jangan risaulah."
Yazid garu kepala yang tak gatal. Serba salah mahu mengongkong Jasmine.
"Err puan..."
Belum sempat Yazid menoktahkan bicara, Jasmine sudah memandu keluar dari rumah agam. Deruan enjin kereta memecah keheningan pagi itu. Keluhan kecil terbit di bibir Yazid. Risau juga jika sesuatu yang buruk berlaku kepada majikan mereka. Apatah lagi semenjak kes kejadian tembak-menembak sehingga mengorbankan nyawa Pak Mail.
"Kau jangan risaulah. Puan Jasmine tu pandai jaga diri. Sepanjang kitorang kat overseas dulu... tak pernah pun ada benda buruk jadi kat dia. Baik kau pergi excort Datin Bahriah tu hah. Dari tadi tunggu kau."
"Kau jangan yakin sangat. Kalau ada benda buruk jadi kat puan, masak aku dengan Datuk Zali. Lagi pun, Jebat dah pesan kat aku kena ikut ke mana je Puan Jasmine pergi. Kalau dia degil, lawan je cakap puan."
Elisa tertawa kecil melihat wajah cuak Yazid. "Sekali sekala bebaskanlah Puan Jasmine tu. Sesak kut asyik kena kongkong aje. Kau serahkan je semuanya kat aku. Aku excort Puan Jasmine dari belakang."
Senyuman kecil terukir di bibir Yazid melihat kecekapan Elisa yang sudah menaiki sebuah motosikal. Dia terpegun melihat gadis kecil molek itu bisa membawa sebuah motosikal berkuasa tinggi. Nampak berkarisma.
"Hati-hati, Lisa."
Tawa kecil terletus di bibir Elisa. "Sayang juga kau dekat aku kan sampai suruh hati-hati?"
"Eh, jangan nak perasan! Kau tu perempuan... apalah sangat kuasa perempuan berbanding dengan kekuatan seorang lelaki."
Mendengar hal itu, Elisa mencebik geram. Dia memakai helmetnya seraya keluar dari pekarangan rumah agam. Dalam keadaan ancaman masih menjadi bayang-bayang Jasmine, tak seharusnya dia membiarkan majikannya bergerak seorang diri.
🥀🥀🥀
"LAMA tak nampak kau kat sini. Ada angin apa kau tolong mak kau kat pasar?"
Baru saja Jebat meletakkan sebuah tong berisi ikan yang diambil daripada nelayan ke atas lantai, dia sudah disapa oleh Mak Nab yang sedang menyusun sayur-mayur di atas meja. Suasana kelihatan begitu riuh pagi itu tatkala suara penjual saling sahut-menyahut memanggil pengunjung untuk membeli barangan.
"Mak tak berapa sihat hari ni. Saya cuma gantikan mak aje. Kebetulan saya pun cuti. Mak Nab sihat?"
"Haih kau bukan cuti. Kau kerja juga ni namanya! Sihat aje cuma tulah kadang-kadang sakit orang tua tu biasalah. Nasib baik ada Khayra ni hah tolong aku kat rumah."
Buat seketika, pandangan Khayra bertaut dengan Jebat. Senyuman manis terkulum di bibir gadis itu seraya menghulurkan bekas berisi nasi goreng kepada jirannya.
"Abang Jebat tak sarapan lagi kan? Khayra ada bawa nasi goreng lebih. Abang makanlah dulu."
"Susah-susah je bawakan. Ni nasi goreng bakal Chef hotel lima bintang mesti sedap. Rugi kalau tak makan."
Wajah Khayra serta-merta membahang tika menerima pujian daripada Jebat. Wajah Jebat yang sedang menjamah makanannya diperhatikan lama. Jebat kelihatan berselera. Senang hati Khayra tatkala masakannya disukai oleh Jebat.
Hanya itu yang mampu dia berikan sebagai tanda dia kagum dengan Jebat yang sentiasa berkorban buat keluarga.
"Kalau ada isteri kan bagus. Adalah juga yang jagakan kau."
"Tak ada calon lagi, Mak Nab. Tak ada masa nak cari calon menantu untuk mak."
Mak Nab tertawa kecil. Dia pandang wajah Khayra yang masih ralit dengan lamunannya dan wajah Jebat silih berganti. Bukannya dia tak tahu isi hati Khayra buat Jebat. Hanya saja anak gadisnya itu tak berani untuk meluahkan isi hati yang tersirat di lubuk hatinya.
"Ala tak payah cari kalau depan mata dah ada."
Mendengar hal itu, Jebat mengangkat kepalanya. Sudu diletakkan ke dalam bekas tatkala menyedari dia ralit diperhatikan oleh gadis yang dianggap seperti adik sendiri itu. Jelas, wajah Khayra sudah membahang kemerahan diusik oleh si ibu.
"Siapa? Khayra?"
"Nak? Mak Nab boleh adjust..."
"Mak..." Khayra menggelengkan kepalanya sambil mencengkam lengan Mak Nab. Sungguh, dia segan dikenenkan dengan Jebat. Mahu saja direndamnya wajahnya ke dalam ais biar hilang rasa bahang dek gurauan si ibu.
"Janganlah Mak Nab. Kesian Khayra kalau dapat suami tak ada masa depan macam saya. Khayra ada masa depan yang cerah. Belajar sampai degree. Bakal chef hotel lima bintang pula tu. Saya ni tak ada apa-apa nak bagi makan untuk anak Mak Nab. Belajar pun setakat SPM aje tu pun keputusan hauk! Bekas banduan pula tu. Gaji sebagai bodyguard, sebagai petinju tu pun tak adalah banyak mana."
Jebat menghela nafas berat menyedari hakikat bahawa dia tak layak bergelar seorang suami. Hidupnya serba daif. Pengalaman lalu cukup memberikan pelajaran kepada Jebat bahawa dia tak mampu memberikan kemewahan kepada isterinya. Biarlah dia hidup membujang daripada membawa derita kepada anak orang.
"Abang Jebat janganlah cakap macam tu. Abang pun layak cari kebahagiaan abang. Jangan terlalu rendah diri dengan apa yang dah jadi dalam hidup kita. Walau siapa pun abang dulu, kalau abang ada hati yang ikhlas untuk bahagiakan orang sekeliling abang, tu maksudnya abang pun orang yang berguna. Mak cik Nijah beruntung sangat dapat anak lelaki yang bertanggungjawab untuk keluarga."
"Tapi..."
Belum sempat Jebat menoktahkan bicara, suara bingit yang tiba-tiba saja kedengaran di pasar mematikan perbualan mereka. Anak mata Jebat melilau mencari arah suara jeritan dan tengkingan yang silih berganti menyapa pendengaran.
Melihat sekumpulan lelaki sudah mengamuk di hadapan gerai Pak Atan sambil menghamburkan barangan ke atas lantai, tangkas Jebat meluru ke arah gerai menjual buah-buahan.
"Aku... masih perlukan duit. Bagi aku masa..."
"Masa? Sampai bila kitorang kena bagi kau masa?" Seorang lelaki bertatu burung gagak di lehernya mencekak kedua-dua baju Pak Atan sehingga lelaki tua itu menggigil ketakutan.
"Isteri aku sakit. Masih terlantar kat hospital..."
"Alasan!"
Tubuh Pak Atan tersungkur tatkala menerima sebuah tumbukan daripada samseng itu. Detak jantungnya berdebar kencang tatkala mereka berniat untuk mencelakainya.
"Kau memang tempah tanah kubur, orang tua!"
Pak Atan memejamkan mata tatkala seorang lagi penyerang mengayunkan tendangan ke kepalanya. Namun, tiada kesakitan yang dirasakan tatkala itu. Berganti dengan suara erangan salah seorang daripada samseng.
"Mak bapa korang tak ajar cara hormat orang tua? Atau korang perlukan guru yang boleh mengajar korang?"
Suara dingin itu membuatkan Pak Atan kaget. Tatkala dia mendongak, matanya membuntang melihat figura Jebat sudah berdiri membelakanginya. Si penyerang yang menumbuknya sebentar tadi sudah mengerang kesakitan di sisinya sambil mengenggam jari-jemari.
"Kau jangan cari pasal dengan kitorang!" Si samseng berkepala botak menolak kasar tubuh Jebat. Panas hati tika Jebat menganggu pekerjaan mereka.
"Aku tak cari pasal. Aku cuma kesian dengan korang yang tak tahu hormat orang tua. Korang rasa korang dah cukup berkuasa sampai nak tindas orang yang kekuatannya tak setanding korang? Huh! Pengecut."
Jebat membantu Pak Atan bangun. Benci benar dia melihat golongan berkuasa menganiaya golongan lemah. Sama macam Datuk Zali yang hanya tahu menjadikan orang lain sebagai kambing hitam demi kepentingan sendiri.
"Sebelum kau ajar kitorang hormat orang tua, biar kitorang ajar kau jangan pernah masuk campur urusan orang lain!"
Tatkala bahunya ditepuk kasar dari belakang, Jebat mengeluh berat. Dia tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Pasar ini akan menjadi gelanggang tinju hanya kerana dia menyelamatkan seorang lelaki tua. Terpaksalah Jebat mengotorkan tangan dan kakinya hanya kerana serangan yang sudah diberikan oleh lima orang lelaki itu.
Tanpa Jebat sedar, dua orang lelaki berpakaian serba hitam ralit memerhatikannya yang sedang membelasah penyerang-penyerang tanpa henti.
"Budak tu bekerja untuk Zali, kan?"
"Ya. Kenapa?"
"Aku nak hulurkan salam perkenalan untuk anak Fazil. Aku perlukan orang macam dia untuk hancurkan Zali."
Mendengar arahan orang kanan kumpulannya, si lelaki bermata sepet terkelu. Wajah rakan dan wajah Jebat yang begitu lincah menentang musuh-musuh tanpa kekok dipandang silih berganti.
Apa benar keputusan orang kanan ketuanya ini mahu menggunakan Jebat untuk menjatuhkan Datuk Zali?
BERSAMBUNG...
4.1.2025
60 VOTE 15 COMMENT UNLOCK NEW CHAPTER
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top