EPISOD 30
"ZAFRI tu... ayah kandung Elman. Suami saya..."
Kata-kata keramat itu masih terngiang-ngiang di telinga Jebat. Wajahnya yang terbias di hadapan cermin kenderaan dipandang tajam. Jebat masih kaget dengan kenyataan yang seakan-akan menampar kuat jasadnya hingga misinya masuk ke dalam keluarga Datuk Zali dilupakan buat seketika.
Patutlah, orang-orang kampung termasuk Jasmine sendiri memandangnya dengan tatapan sayu di saat pertama kali mereka bertemu.
Rupa-rupanya, wajah seorang Jebat Khuwailid saling tak tumpah seperti Zafri. Ya Tuhan, patutlah berat benar Jasmine menerima dirinya sebagai pengawal peribadi.
"Hai pak cik!"
Lamunan Jebat terhapus serta-merta tatkala Elman melangkah masuk ke dalam kenderaan dibuntuti oleh Jasmine. Tiba-tiba, debaran kuat memalu jantungnya melihat penampilan Jasmine yang kelihatan anggun dengan gaun berwarna putih dengan renda yang minimalis.
Jasmine kelihatan lebih segar malam itu. Wajahnya manis dengan solekan natural.
"Kenapa awak pandang saya macam tu? Tak pernah tengok perempuan cantik ke?"
Senyuman nipis terkulum di bibir Jebat tatkala Jasmine dalam mood berjenaka. Nampaknya, semakin hari Jasmine semakin selesa dengannya.
"Puan memang cantik kalau senyum. Warna putih, warna cerah memang sesuai dengan puan. Nampak puan lebih segar daripada hari-hari sebelumnya. Baguslah kalau puan rasa gembira. Teruskan tersenyum sebab dengan senyuman ni kita boleh positifkan pemikiran kita."
Pujian daripada Jebat melebarkan lagi senyuman Jasmine. Dia mengalihkan pandangan ke tingkap melihat para pengawal peribadi yang sudah bersiap melindungi Datuk Zali sekeluarga yang akan menyambut majlis ulang tahun MARLIN Empire di Hotel Star.
"Tak sangka pula Encik Jebat ni bukan sekadar pengawal peribadi yang tahunya nak mengarah majikan sendiri je. Pandai eh bagi nasihat dekat majikan."
Tawa Jebat terletus tatkala hatinya tercuit dengan bicara Jasmine seraya memandu keluar dari rumah agam itu. Sesekali, pandangannya tak lekang memerhatikan Jasmine dan Elman yang sedang bersembang. Anak kecil itu begitu petah berkongsi aktiviti sehariannya di sekolah. Wajahnya tampak ceria seakan-akan tak peduli hidup tanpa kasih seorang ayah.
"Jebat... perempuan tu musuh kau. Tak sepatutnya kau kesiankan dia. Ingat... ayah kau mati sebab ayah perempuan tu. Kakak kau hancur sebab keluarga si bangsat ni. Tolong... jangan bermain dengan perasaan..."
Tatkala bisikan negatif itu kembali bermain di fikirannya, Jebat mengeluh berat. Dia mengenggam erat stereng kenderaan. Wajahnya bengis serta-merta tatkala menyedari dia mula bermain dengan emosi.
Apatah lagi saat mengetahui tragedi yang menimpa hidup Jasmine Qasrina. Lantas, BMW itu dipecut laju membelah kepekatan malam yang dingin.
🌹🌹🌹
"TERIMA KASIH kepada para tetamu yang sudi datang ke majlis ulang tahun MARLI Empire. Kejayaan saya pada hari ini juga tak lengkap tanpa kehadiran isteri dan anak-anak yang sentiasa menyokong saya hingga ke saat ini."
Tepukan gemuruh para tetamu kedengaran. Masinh-masing fokus mendengar ucapan daripada Datuk Zali sebagai CEO.
"Doa daripada isteri jugalah yang menjadi penyumbang utama syarikat yang didirikan hampir dua puluh tahun ini terus maju. Berikan tepukan yang gemuruh kepada isteri dan anak-anak saya."
Datin Bahriah memaniskan wajahnya sambil beriringan dengan Jazimin naik ke pentas bagi meraikan suaminya.
Namun, Jasmine hanya kaku memerhatikan saja raut wajah Datin Bahriah yang kelihatan bangga menjadi isteri kepada tokoh korporat yang disegani.
Tersungging senyuman sinis di bibir wanita muda itu. Segelas jus oren diteguk membasahkan tekaknya yang kering.
"Mama... kenapa mama menangis? Papa marah mama lagi ke?"
"Sampai hati abang khianat saya. Semua saya dah serahkan dekat abang tapi apa lagi yang tak cukup?"
"Jasmine!"
Jasmine menghela nafas panjang tatkala lamunannya terhapus. Namanya yang dipanggil oleh Datuk Zali hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja.
"Pergi panggil Qasrina. Kita kena kenalkan budak tu dekat Tan Sri Jaafar. Dia aset untuk kita rapatkan lagi hubungan dengan tan sri," bisik Datuk Zali sambil merangkul pinggang Datin Bahriah. Sakit hatinya melihat Jasmine seakan-akan tak peduli dengan majlis syarikat mereka.
"Dia tak nak naik, biarlah..."
"Sekarang. Semua orang kena kenal siapa Jasmine Qasrina."
Mendengar saja arahan mandatori Datuk Zali, lambat-lambat Datin Bahriah melangkah turun memanggil si anak tiri yang hanya memandangnya sinis. Hailah apalah nasibnya harus berhadapan dengan Jasmine yang tak menyukainya. Bagaimana lagi caranya agar Jasmine menerima kehadirannya sebagai ibu tiri?
"Qas, jom kita naik ambil gambar. Qas baru je balik Malaysia. Selama ni duduk dengan nenek je. Orang kena kenal siapa Qas..."
Datin Bahriah kematian bicara tika Jasmine bangun seraya memimpin tangan Elman yang sedang menjamah puding.
"Qas nak pergi mana?"
"Bukan urusan kau. Pergilah raikan hari kemenangan korang lepas jatuhkan mama aku. Bagi aku, sejak mama aku meninggal, keluarga aku cuma nenek dengan Elman je. Korang pun bukannya suka sangat aku ada dalam hidup korang terutamanya kau! Tak payah berpura-puralah, ibu tiri! Elman, kita balik ya..."
Buru-buru, Datin Bahriah mencengkam pergelangan tangan Jasmine seraya menahan langkah wanita itu. "Qas! Apa cakap macam tu! Mummy minta maaf..."
"Pergi berambus jelah dengan maaf kau tu! Aku dah cukup baik datang sini atas kehendak suami kau. Tak payah susah payah perkenalkan aku dekat public!"
Tanpa berlengah, Jasmine melangkah keluar dari ballroom tatkala fikirannya bercangkaliwang dengan situasi itu. Niatnya menghadiri majlis ini hanya untuk meraikan syarikat ibunya. Bukan bergambar bersama keluarga yang sudah membuangnya hanya kerana si ayah berkahwin lain!
"Mama, kita nak pergi mana? Elman nak makan lagi. Elman lapar..."
Jasmine menjatuhkan kedua-dua belah lututnya berhadapan dengan Elman. Bowtie Elman dibetulkan. Kasihan Elman. Hanya kerana konflik tanpa henti bersama Datin Bahriah, anaknya yang masih makan terpaksa menurutnya untuk meninggalkan majlis yang belum selesai.
"Kita balik. Mama masakkan makanan yang sedap untuk Elman. Elman nak makan apa? Mama buatkan."
Elman meletakkan jarinya di atas dagu sambil berfikir makanan yang ingin dijamah. "Nak makan fries, chicken chop. Boleh?"
Permintaan Elman mencuit hati Jasmine. Hailah anak. Di mana dia mahu mencari bahan memasak chicken chop? Mahu ditolak, Jasmine gusar mengecewakan hati si anak yang kelaparan.
"Okey... mama buatkan."
"Puan Jasmine!"
Baru saja Jasmine melangkah keluar dari lobi, kelihatan Jebat sudah berlari-lari anak meluru ke arahnya. Wajah pemuda itu kelihatan tegang. Tak seperti keadaannya semasa mereka dalam perjalanan menghadiri majlis. Kenapa dengan Jebat?
"Puan nak ke mana? Majlis belum selesai. Mati saya dengan datuk kalau puan keluar sorang-sorang macam ni."
"Saya nak balik. Majlis belum selesai jadi saya nak balik seorang dengan Elman. Tugas awak belum selesai..."
"Tugas saya jaga puan dengan Elman. Saya dibayar untuk lindungi keselamatan korang ke mana je korang pergi. Jom, saya hantar balik sekarang juga." Nada suara Jebat yang tegas membibitkan tanda tanya di benak fikiran Jasmine. Seakan-akan, Jebat sedang dalam keadaan tertekan.
"Lain kali boleh tak jangan asyik nak lari? Saya tak tahu apa masalah puan dengan keluarga puan. Tapi kalau puan selalu bertindak macam ni dan tak sesuai dengan masa majlis... puan boleh tempah bahaya untuk diri sendiri! Dah lupa ke apa yang jadi dengan kita dua minggu lepas?"
Tak semena-mena, Jasmine kematian langkah tatkala Jebat tiba-tiba saja menghamburkan amarah. Jasmine tak suka situasi ini. Seakan-akan, dia pula menjadi beban buat Jebat.
"Dah kenapa awak nak marah saya tak tentu pasal ni? Tu masalah awak. Bukan saya! Kalau awak rasa saya ni beban sebab tak ikut timing, apa kata awak cakap dengan papa berhenti je kerja! Tak payah susah payah jadi bodyguard saya lagi!"
Keluhan berat dilepaskan tatkala Jebat sedar khilafnya yang tak sengaja berkasar dengan Jasmine. Pandangan mereka saling bertaut. Angin malam menampar lembut wajah pemuda itu. Baru saja tadi mereka saling bergurau namun dek nalurinya yang terlalu merisaukan Jasmine, mereka kembali tegang.
Ya Tuhan, kenapa dengan dia? Kenapa dia tak suka jikalau bergaduh dengan Jasmine setiap waktu?
"Saya minta maaf..."
"Saya ingat awak ni menyenangkan tapi sama je dengan keluarga saya! Dalam diam, awak rasa saya ni beban. Kalau awak dah tak tahan dengan perangai saya, berhenti kerja. Tak payah susah payah jaga saya dengan Elman. Saya pun... tak payah rasa sesak setiap kali tengok muka awak!"
Jebat terpempan tatkala pandangan Jasmine sudah berkaca-kaca. Seakan-akan, ada emosi yang tersirat di sebalik pandangan wanita muda itu. Ada rasa kecewa yang menghias wajah manis Jasmine. Sungguh, Jebat rasa bersalah kembali membuat Jasmine bersedih.
"Puan bukan beban... saya cuma risaukan keselamatan puan. Nyawa puan... nyawa Elman sangat berharga bagi saya. Melindungi puan dengan Elman tanggungjawab yang ayah puan dah serahkan kepada saya. Jadi saya kena tunaikan tanggungjawab saya. Nyawa puan, lebih berharga daripada wang ringgit!"
Tak semena-mena, tubir mata Jasmine terasa hangat dengan bicara Jebat. Bibirnya diketap menahan esak tatkala ruang memori samar-samar membawanya kepada kata-kata yang pernah dibicarakan oleh si dia dahulu.
"Nyawa isteri abang dengan anak abang ni berharga sangat-sangat. Abang tak nak Jasmine buat kerja-kerja berat sepanjang mengandung sebab abang risaukan Jasmine kalau abang tak ada nanti. Kalau abang dapat satu juta untuk ganti dengan nyawa Jasmine pun tak ternilai tau harganya."
"Puan?"
Tatkala Jebat sudah memetik-metik jari di hadapannya, Jasmine merasakan seluruh wajahnya membahang menahan rasa perih yang kembali mencucuk dinding hatinya. Nafas panjang ditarik seraya dihembuskan perlahan-lahan.
Tidak.
Dia tak boleh menyamakan Jebat dan Zafri. Hakikatnya, mereka orang yang berbeza meskipun luaran mereka tampak sama.
Bersambung...
Cukup 50 vote & 10 komen unlock chapter baru 💥
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top