EPISOD 3
"APA yang jadi dekat ayah aku sebenarnya? Aku tahu ada benda yang kau orang tahu pasal kematian ayah aku."
Keong saling berpandangan dengan Hamdun. Ada wajah ketakutan terpancar di wajah kedua-dua orang banduan itu. Mulut seakan terkunci bila mana ugutan ketua mereka yang masih bebas di luar sana bermain di ruang memori.
"Keluarga kau orang akan disembelih bila kau orang buka mulut!"
Melihat Keong dan Hamdun hanya berdiam diri, Jebat mula mati akal. Tubuhnya disandarkan di belakang dinding sel. Matanya terpejam rapat. Serentak dengan itu, jeritan histeria ibunya yang melihat si ayah sudah membakar diri hidup-hidup bermain di ruang memori.
"Aku boleh belasah orang yang selalu buli kau orang dalam penjara ni lagi sebagai bayarannya." Jebat mula tawar-menawar. Matanya dicelik semula. Katakan saja dia bodoh, memang dia sedang bertindak di luar akal sekarang ini.
Kata Tori, dalam penjara ini ada kunci yang akan membawanya kepada jawapan sebenar. Kuncinya ada dengan Hamdun dan Keong. Konco-konco majikan ayahnya Jebat.
"Kau memang gila! Dua minggu kau kena kurung dalam ruang pengasingan tu lepas kau bergaduh dengan geng-geng Roni. Sekarang..."
"Aku cuma nak tahu siapa yang bunuh ayah aku. Orang aku sendiri yang bagi tahu kau orang berdua ni ada kuncinya. Kau orang saksi kejadian!" tegas Jebat.
Keong mengeluh berat. Wajah kusut Jebat dipandang. Belakang kepalanya digaru sebelum dia melilau memandang beberapa orang banduan yang sedang tidur nyenyak.
Dia serba salah. Hanya untuk melindungi dia dan Hamdun, Jebat sanggup membelasah dan dibelasah sehingga diasingkan daripada mereka.
"Atau kau orang sanggup terus-terusan dijadikan punching bag Roni dan balaci-balaci dia. Dijadikan... tempat lepaskan nafsu songsang..."
Belum sempat Jebat menoktahkan kata, bajunya dicengkam kuat oleh Hamdun. Ada riak amarah terpancar di wajah lelaki berambut kerinting itu. Barangkali, tercabar dengan kata-kata sinis Jebat.
"Jangan melampau..."
"Aku cakap benda yang betul. Kita sama-sama perlukan antara satu sama lain. Aku boleh jadi bodyguard kau orang sepanjang aku kat sini. Sebagai bayarannya, aku cuma nak maklumat siapa yang kau orang nampak malam tu."
Suasana sepi buat seketika. Hamdun mendengus seraya melepaskan Jebat daripada cengkamannya. Tawaran Jebat membuatkan mereka dilema. Mana mungkin mereka bertahan dibelasah dan diliwat oleh Roni dan konco-konconya.
Mereka perlukan perlindungan!
Tapi, bagaimana dengan nasib ahli keluarga mereka jikalau mereka berkhianat?
"Aku nak tidur dulu. Mana tahu esok kena belasah sebab nak jaga kau orang lagi. Tapi aku rasa... cukup sampai haritu jelah aku tolong kau orang. Lepasni kalau kau orang kena belasah sampai mati aku tak kisah." Jebat membaringkan tubuhnya di atas lantai simen. Kedua-dua tangan dijadikan sebagai alas.
Ada sedikit kekecewaan bila mana mereka tak membalas jasanya. Tak apa. Jebat masih punya masa untuk membuat mereka buka mulut.
"Err... Jebat..."
Jebat mencelikkan matanya tika suara Keong kedengaran. Dinding batu sel penjara yang sudah berconteng dipandang tajam.
"Betul ke... kau boleh lindung kita orang daripada Roni kalau kita orang buka mulut?"
Mendengar hal itu, Jebat tersenyum sinis. Matanya dipejam semula. "Kau orang tak nampak ke muka aku ni dah macam kena sengat tebuan sebab lindung kau orang je? Aku kena campak dalam ruang tu... makan pun kena catu... tu pun kau orang nak was was lagi?"
"Bukan... macam tu. Tapi... kita orang..."
Keong jeda. Dia menyenggol pinggang Hamdun tatkala otaknya kematian bicara.
"Okey! Kita orang percaya. Memang... ayah kau cuma jadi kambing hitam. Bukan ayah kau pelakunya. Tapi ayah kau ada di tempat yang salah, jumpa orang yang salah malam tu. Sebab tu... ayah kau jadi mangsa untuk tutup jenayah si pembunuh."
Mendengar hal itu, Jebat terbangun daripada pebaringannya. Dinding hatinya mula dibakar amarah. Seluruh wajahnya seakan dibakar dengan bara api. Jadi benarlah. Ayahnya tak bersalah!
"Siapa dia?"
Senyap. Tiada lagi jawapan daripada Hamdun dan Keong.
"Siapa orang tu bajingan!"
Tak semena-mena suara Jebat naik seoktaf. Nafasnya turun naik. Giginya diketap menahan amarah yang sudah terletus. Mahu saja dia membunuh manusia keji itu dengan tangannya sendiri!
"Kau apahal menjerit ni, sial! Orang tidur pun tak senang!"
"Budak baru! Kau jangan nak tunjuk kuasa kau kat sinilah!"
Kata-kata daripada banduan-banduan itu hanya ditulikan. Amarah mula menguasai fikiran Jebat. Otaknya benar-benar sesak tatkala dugaannya benar!
"Siapa bunuh ayah aku? Baik kau orang cakap!"
"Jebat... relaks..."
"Kepala otak kau relaks! Ayah aku mati tak bermaruah! Sebab..."
Tak semena-mena, Jebat kematian kata tatkala bajunya dicengkam oleh seorang banduan berkepala botak. Tangkas, tumbukan dihenyak ke wajah pemuda itu sehingga Jebat tersungkur di pagar sel besi.
"Kau memang tak reti diam ke hah!" Sekali lagi, banduan itu melepaskan amarahnya tatkala lenanya diganggu dengan suara Jebat. Laju saja dia menghayunkan tumbukan ke rahang pemuda itu.
"Mulut kau ni ada karang aku bisukan sia-sia je kau hidup!" tambah seorang lagi banduan seraya menerajang kepala Jebat.
Tika itu, Keong dan Hamdun seakan kaku melihat Jebat membiarkan saja tubuhnya dibelasah oleh banduan-banduan itu. Tiada langsung kesakitan terpancar di wajah Jebat yang dipenuhi dengan amarah. Renungan membunuh Jebat itu cukup menggerunkan mereka berdua. Seakan mereka dibunuh dengan pandangan tajam Jebat Khuwailid.
🥀🥀🥀
JEBAT terbangun daripada lenanya tatkala ruang memori mengimbas kejadian dua tahun yang lalu. Seluruh tubuhnya terasa rengsa. Bau ubat-ubatan menusuk rongga hidung. Entah berapa lama dia tak sedarkan diri selepas ditikam pun dia tak tahu.
"Ayah... Jebat hidup... cuma untuk kembalikan maruah ayah..." desis hati Jebat tatkala rindunya buat si ayah sudah sedalam samudera.
"Jebat akan bunuh dia... perlahan-lahan. Macam mana... dia bunuh ayah..."
Dendam mula berkobar-kobar di ruang hati Jebat Khuwailid. Siling putih direnung tajam. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala penderitaan ibu dan ayahnya bermain di ruang memori.
Semuanya angkara si pelaku yang telah menjadikan Encik Tahar sebagai kambing hitam!
"Aku... tak boleh mati lagi. Aku kena keluar dan hadap si bacul tu sebelum aku mati..."
Perlahan-lahan, Jebat bangun daripada pebaringannya. Dia tak mahu terus-terusan melayan sakit ini. Dia perlu kuat untuk cari pelaku pembunuh ayahnya!
"Jangan bergerak. Luka encik belum sembuh."
Seorang doktor lelaki bertag nama Raden menghampiri Jebat. Membuatkan pergerakan Jebat terkaku semula di atas kasur.
"Dah tiga hari encik tak sedarkan diri. Tikaman tu agak dalam. Hentakan kuat di dada encik tu menyebabkan tulang rusuk encik patah. Jadi, dalam seminggu dua lagi baru boleh keluar hospital," jelas Doktor Raden seraya memeriksa luka di tubuh Jebat. Masih jelas kesan ungu kebiruan di tubuh cengkung itu.
"Tapi... aku tak rasa sakit, doktor. Aku nak keluar dari sini..."
"Dengarlah cakap doktor tu. Kau masuk sel balik pun kerja kau nak bergaduh je. Nilah makan dia bila tak serik bergaduh. Nasib baik tak mati katak." Suara warden Wafi kedengaran. Dia menggelengkan kepalanya melihat Jebat yang seakan tak lut dengan kesakitannya.
Mental!
"Luka ni perlu dicuci supaya tak dijangkiti kuman. Sebab tu encik kena berehat dulu."
"Kau dengar tu Jebat? Sebelum kau nak sambung bergusti dalam penjara tu, bawakan berehat dulu. Nanti tak pasal-pasal kau mampus pula bila tak ada tenaga nak belasah orang lagi."
Mendengar sindiran warden Wafi membuatkan Jebat sedikit tercabar. Kalau tidak memikirkan tangannya yang bergari, laju saya dilayangkan penumbuknya ke wajah warden itu.
"Saya minta diri dulu."
"Terima kasih doktor.
Hilang saja Doktor Raden dari wad, laju saja warden Wafi memukul luka Jebat yang masih berbalut. Erangan kesakitan Jebat kedengaran. Membuatkan warden Wafi terkekeh-kekeh melihat wajah kusut itu kesakitan.
"Kau nak bunuh aku ke apa ni bajingan!"
"Dah kau kata tak sakit tadi. Aku sajalah test tahap kesakitan kau. Lah sakit rupanya sampai terkeluar urat-urat kat dahi kau."
Jebat mendengus. Perlahan-lahan, dia bangun dari pebaringan. Benci benar dia melihat wajah warden itu. Sering saja buat Jebat naik darah.
"Mak aku..."
"Mak kau tak datang. Aku dah bagi tahu dia tapi tulah... dia terus tutup panggilan aku bila aku bagi tahu kau cedera sampai masuk wad," pintas Wafi seraya menghulurkan segelas air kepada Jebat.
Lambat-lambat, Jebat menyambut dengan tangannya yang tak bergari. Ada rasa kecewa menjentik sanubari tatkala ibunya masih tak mahu menjenguknya.
"Kalau aku dah mati kut baru mak maafkan aku."
"Kau tahu kan kenapa mak kau kecewa sangat? Dia tak sangka kau sanggup buat kerja kotor sampai masuk penjara. Aku dah cakap jangan ikut sangat cakap Tori. Aku boleh tolong kau cari siapa pelaku kematian Pak Cik Tahar. Tapi..."
"Bukti polis tu kukuh yang ayah aku bunuh dan rogol budak tu. Tapi aku tahu, ayah aku tak buat semua tu. Aku cuma nak tahu siapa dalang yang sebenarnya. Sikit masa je lagi... aku akan jumpa si bacul tu lepas keluar dari penjara!" pintas Jebat.
"Kenapa kau yakin yang ayah kau tak buat semua tu? Kau sendiri tahu pekerjaan ayah kau tu kerja berbahaya. Sampaikan kau bergaduh dengan ayah kau hanya disebabkan dia tak nak berhenti kerja dengan orang-orang berbahaya tu!"
Jebat mengeluh berat. Ya Tuhan, berat benar masalahnya ini. Kalau difikirkan logik, memang tak mustahil ayahnyalah pelaku sebenarnya. Tapi, sepanjang 25 tahun Jebat hidup, ayahnya seorang yang penyayang. Sering saja menyebarkan kebaikan kepada orang sekeliling.
Namun, hanya kerana satu pembunuhan, kebaikan Encik Tahar dibalas dengan hinaan masyarakat.
"Aku minta maaf... bukan niat nak singgung..."
"Hujan ke?" Tiba-tiba, soalan itu terpacul daripada bibir Jebat yang pucat.
"Haah hujan. Kenapa?" Berkerut dahi Wafi melihat Jebat mula mengubah topik.
"Tolong... bukakan gari ni. Aku perlukan udara yang boleh hilangkan rasa senak kat otak aku."
"Uish! Tak boleh. Mahunya kau lari..."
"Jangan risau. Aku tak akan lari. Aku cuma nak rasa bebas sambil hidu bau hujan. Terapi aku. Kau ada rokok? Kalau ada, aku nak sebatang."
Mendengar permintaan Jebat, Wafi tertawa sinis. Kalaulah tak difikirkan bahawa Jebat itu rakan baiknya dari zaman sekolah, sudah pastinya dia tak akan menyebelahi Jebat.
Dia tahu, Jebat itu orang baik yang sanggup berkorban untuk orang sekelilingnya. Hanya satu kesilapan Jebat, memilih jalan kotor hanya untuk membersihkan nama si ayah.
🥀🥀🥀
RINTIKAN hujan pada petang itu seakan sonata yang membibitkan rasa syahdu di lubuk hati Jasmine. Tunak matanya memandang hujan yang mengalir di sebalik tingkap kaca. Sesekali, air mata yang mengalir ke pipinya dikesat lembut.
"Kenapa awak suka hujan?"
"Sebab setiap kali hujan turun, mentari akan muncul berikan sinar untuk kita teruskan hidup. Macam kisah kita. Lepas je arwah mama meninggal, papa kahwin lain dan anggap Jasmine dah tak wujud... abang muncul, bagi sinar baru dalam hidup Jasmine. Kebahagiaan yang dah lama hilang lepas arwah mama pergi."
"Jasmine isteri abang..."
Zafri mengenggam kedua-dua belah tangan isterinya. Senyuman nipis terukir di bibir pemuda berkulit sawo matang itu. Debunga bahagia mekar di ruang hati setiap kali menatap wajah cantik si isteri yang sentiasa menyambut kepulangannya mencari rezeki di laut.
"Abang minta maaf kalau abang tak mampu bagi kemewahan dekat isteri abang. Cuma ini je yang mampu abang bagi. Nafkah yang tak seberapa untuk Jasmine. Rasa kasih dan cinta yang selalu bahagiakan Jasmine."
"Jasmine tak kisah... janji abang selalu ada di sisi Jasmine. Jadi mentari untuk Jasmine teruskan hidup..."
Tatkala ruang memori kembali mengimbas detik manisnya bersama Zafri, jiwa Jasmine kembali sesak. Hatinya lebih hancur berbanding kecederaannya setelah dilanggar beberapa hari yang lalu.
Kenapa dia tak mati?
Kenapa dia diberikan peluang kedua untuk hidup?
Ya Tuhan, Jasmine hanya mahukan kematian agar dia dan Zafri bisa bersatu lagi.
Lantas, Jasmine bangun daripada pebaringannya. Akal mengarahkannya untuk keluar dari wad. Mahu menikmati bau hujan walaupun tiada lagi mentari yang menyinari hidup Jasmine Qasrina selepas hujan reda.
Wajah tua Nek Timah yang tertidur di atas kerusi dikucup lembut. Terbit rasa bersalah di lubuk hatinya tika dia sering saja menyusahkan neneknya yang semakin dimamah usia.
"Tolong jagakan anak Jasmine. Jasmine dah tak nak hidup lagi. Jasmine amanahkan Elman untuk nenek. Jasmine minta maaf... susahkan nenek. Tapi Jasmine dah tak sanggup nak hidup lagi."
Jasmine merintih pilu seraya melangkah keluar dari wad. Langkahnya begitu pincang menahan sakit di kakinya yang terseliuh. Tapi, Jasmine hanya mahukan kematian saat ini.
Bersama dengan hujan yang tak lagi berakhir dengan mentari yang menyinari hidupnya.
Untuk apa dia hidup kalau 'nyawanya' sudah diambil Tuhan? Zafri pergi tak kembali. Dengan siapa lagi Jasmine mahu berteduh kasih jikalau Zafri pergi? Tempatnya, hanya di sisi Zafri. Hanya itu yang Jasmine mahukan.
Tak semena-mena, Jasmine tersentak tatkala dia merempuh sosok tubuh yang langkahnya kelihatan pincang di luar lobi hospital. Bau rokok menusuk rongga hidung Jasmine.
"Kau tak nampak ke ada orang kat depan kau? Apa kau ingat aku ni tiang yang sesuka hati kau je nak langgar?"
Amarah si pemuda kedengaran. Namun, Jasmine masih hanyut dengan kesedihan yang takkan berakhir. Langkahnya diatur menuju ke jalan raya.
"Woi! Agaklah tak reti nak minta maaf ke!" jerkah Jebat lagi tatkala wanita yang merempuhnya itu seakan tak lut dengan amarahnya.
Jebat mendengus. Kepul-kepul asap dihembus ke udara. Dipandangnya saja langkah pincang wanita yang sudah basah kuyup itu. Tubuhnya disandarkan di belakang kerusi.
Aneh.
Apa wanita itu tak kedinginan bermain dengan hujan? Atau sel-sel otaknya tak berhubung dengan baik sehingga tak berhati-hati di jalan raya? Bunyi hon yang sudah bingit di telinga membuatkan Jebat rimas.
Tapi... melihat si wanita semakin melangkah ke jalan raya besar membuatkan intuisi Jebat negatif. Dia terbangun daripada duduknya.
"Perempuan tu nak bunuh diri ke?"
Suara pengunjung hospital kedengaran di sebelahnya. Jebat mengiakan. Jasmine seakan tak sedar atau mungkin sengaja melintas jalan raya tanpa melihat sekelilingnya!
Refleks, Jebat meluru ke arah Jasmine. Matanya membuntang melihat sebuah kenderaan yang begitu laju hampir merempuh tubuh wanita berbalut perban di kepalanya. Sesekali, Jebat berkerut tatkala luka jahitannya terasa senak tatkala lariannya semakin kencang.
"Kau nak mati sangat ni dah kenapa!" jerkah Jebat seraya menarik lengan Jasmine sehingga tubuh mereka saling berlaga. Refleks, kepala Jasmine tersembam di dada Jebat.
Jebat terkesima tatkala tangisan Jasmine mula kedengaran. Terasa kelat liur di rangkungannya tatkala tangisan sayu itu menusuk tangkai hatinya. Tiada lagi amarah melihat Jasmine tega menghapuskan nyawanya sendiri.
Perlahan-lahan, Jebat melepaskan lengan Jasmine. Dia berundur selangkah. Pandangannya sudah bertaut dengan pandangan sayu Jasmine. Ada satu rasa halus mula menjentik hati Jebat Khuwailid.
Rasa... simpati.
"Abang..."
Hampir luruh jantung Jasmine tatkala tatapan redup itu mencengkam sanubarinya. Selangkah demi selangkah, Jasmine menghampiri. Bibirnya menggeletar melihat wajah Jebat.
Seakan, ada figura Zafri di depannya saat ini. Kening lebat itu, pandangan redup itu, kulit sawo matangnya, rahangnya yang tajam, tingginya, sungguh semua yang ada pada Jebat begitu persis seperti Zafri!
Hanya wajah Jebat yang kusut dengan jambang meliar di dagu saja bezanya.
"Abang!"
Sekali lagi, Jebat terkaku tatkala tubuhnya sudah dipeluk erat oleh Jasmine. Dia tercengang. Kedua-dua belah tangannya diangkat paras bahu. Mulutnya hampir terpelongo dipeluk oleh wanita asing yang seakan tak waras itu.
"Suami Jasmine dah balik..."
"Perempuan gila! Aku bukan suami kau! Pergi berambus!" Laju saja Jebat menolak kasar tubuh Jasmine. Buru-buru, dia melangkah pergi. Meninggalkan Jasmine yang masih teresak-esak.
"Abang! Jangan buat Jasmine macam ni. Jasmine rindukan abang!" Jasmine sudah terkocoh-kocoh meluru ke arah Jebat. Wajah pemuda itu persis seperti Zafri. Membuatkan Jasmine merasakan Zafrinya sudah kembali!
Jebat tulikan telinga. Dia tak perlu kasihankan wanita mental itu. Seenaknya saja memeluknya. Memanggilnya sebagai suami!
"Abang!" Jasmine mencengkam lengan baju Jebat. Menghalang langkah pemuda itu serta-merta.
"Aku bukan suami..."
Belum sempat Jebat menoktahkan bicara, bunyi hon kenderaan kedengaran lagi di jalan raya. Refleks, Jebat menolak tubuh Jasmine sehingga mereka tersembam di atas bahu jalan. Jebat berkerut menahan sakit di lukanya sambil menahan kepala Jasmine yang hampir terhempas dengan menggunakan tapak tangannya.
Jasmine tersentak. Tangisannya terhenti. Pandangannya berpinar-pinar tatkala kepalanya terasa pusing. Wajah Jebat yang hanya sejengkal daripada wajahnya dipandang sayu.
Ya Allah, kenapa wajah pemuda ini persis seperti Zafri? Seakan, Zafri masih wujud menjadi mentari buat Jasmine selepas hujan.
Bersambung...
30.6.2024
Thank you sudi singgah dengan kisah Jebat&Jasmine. Kalau sukakan karya ini jangan lupa tekan vote ✨️
Boleh rate tahap pain KYTT tak even baru
3
episod 🫢
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top