EPISOD 27
ANGIN yang bertiup pada pagi itu tak lagi terasa nyaman. Awan yang berarak di kaki langit meredupkan suasana. Sayup-sayup bunyi kenderaan di kawasan rumah Nek Timah.
Baik Jebat mahupun Jasmine, kedua-duanya tenggelam dengan renungan antara satu sama lain. Jebat dengan tanda tanya yang bermain di fikiran sementelah Jasmine yang hanyut dengan kejutan tentang soalan Jebat.
"Sekali lagi saya tanya, siapa Zafri? Apa hubungan dia dengan puan? Kenapa... cara puan pandang saya buat pertama kali dulu sama dengan pandangan orang kampung yang cakap muka saya sama macam Zafri?" Nada suara Jebat bertukar tegang. Tiada lagi sesi sakat menyakat seperti kebiasaannya.
Jasmine mengalihkan pandangan. Bibirnya diketap menahan sebak yang menghentam jiwa. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala lidahnya kelu untuk menjawab.
"Kita dah lambat. Tak penting pun untuk awak tahu siapa Zafri dan apa kaitannya dengan saya. Biasalah tu kan... dalam dunia ada pelanduk dua serupa."
Jasmine menghela nafas panjang. Langkah diatur menghampiri Elman. Tatkala pandangannya bertaut dengan Nek Timah, Jasmine hanya menggeleng. Tak mahu Jebat tahu bahawa Zafri itu suami yang dirindukan.
"Puan! Jawab soalan saya siapa Zafri? Apa kaitan...
"Tak payah nak sibuk boleh tak? Buat jelah kerja..."
Jasmine kematian bicara tika Jebat menahan langkahnya. Ada ketegangan di wajah pemuda berkulit sawo matang itu. Jelas, Jebat perlukan jawapan yang masih tergantung ini.
"Saya takkan sibuk kalau saya rasa ada yang tak kena di antara puan, saya dengan Zafri. Kenapa puan suka mengelak dan tak suka bila saya bekerja dengan puan? Ada kena mengena dengan Zafri ke? Saya ni macam Zafri ke sampai puan tak nak langsung terima saya sebagai pekerja puan?"
Nada suara Jebat naik seoktaf. Seakan-akan, tekanannya sudah berada di kemuncak apabila Jasmine hanya membisu. Dia yakin ada yang tidak kena di antara mereka dengan lelaki bernama Zafri itu!
"Siapa dia..."
"Jebat... dengar sini. Kerja awak tu cuma jadi kuli papa je tahu! Tak ada kena mengena dengan siapa Zafri dalam hidup saya! Jaga sikit limit awak dengan saya. Sedar sikit siapa awak dan siapa saya, Jebat Khuwailid!" Tak semena-mena, nada suara Jasmine juga naik seoktaf. Sesak rasanya tatkala Jebat semakin mendesak untuk dia menjawab soalan mengejut itu.
Sungguh, kata-kata Jasmine seolah-olah halilintar yang memanah hati Jebat. Dia kaku. Hanya memandang figura Jasmine yang sudah berpelukan dengan Nek Timah. Sedar khilafnya mendesak Jasmine walhal hubungan mereka hanya sekadar majikan dan pekerja. Tak lebih daripada itu.
Tapi... hatinya ini ingin sekali mengenali sosok Zafri. Aneh.
"Saya minta maaf puan... saya tak sengaja..."
Jasmine menjelingkan matanya seraya menerobos masuk ke dalam kenderaan. Kali ini tiada rasa menyampah yang menjentik tangkai hati melainkan rasa bersalah membiarkan Jebat hanyut dengan tanda tanya. Kelancangannya menghina Jebat sebagai pekerja.
Ya Tuhan, Jasmine tak sengaja.
"Jebat... nenek minta maaf bagi pihak Jasmine. Dia stres tu. Jadi... jangan desak dia pasal Zafri lagi ya. Jangan putus asa untuk lembutkan hati Jasmine terima kau sebagai pekerja dia."
Jebat kalih memandang figura Nek Timah. Dia hanya mampu mengangguk lemah tatkala persoalannya tentang Zafri harus dilupakan.
Benar. Dia tak perlu masuk campur.
Buat apa dia mahu masuk campur urusan yang tiada kena mengena dalam hidupnya. Hakikatnya, dia punya misi lain menjadi pengawal peribadi Datuk Zali. Dendamnya buat keluarga Datuk Zali belum lagi ditunaikan.
Itu hal lebih mustahak berbanding persoalan tentang Zafri.
"Puan nak singgah kat mana-mana dulu ke sebelum kita balik KL?"
Seketika, suara Pak Mail memecahkan keheningan di dalam kenderaan. Kecut juga perutnya melihat wajah tegang Jasmine. Seakan-akan ada amarah yang terpancar di wajah wanita yang hanya termenung di tepi tingkap itu.
"Puan?"
Jasmine tersentak tatkala suara Pak Mail kedengaran lagi. Pandangannya bertaut dengan si pemandu. Terlalu hanyut dengan perasaan sehingga dia sendiri tak sedar mereka harus pulang. Dia akan meninggalkan tempat yang mempertemukan dia dan Zafri lagi.
"Pak Mail tanya... puan nak singgah kat mana-mana..."
"Saya nak balik rumah papa."
"Tapi bukan ke puan nak pergi pusara suami puan dulu?"
Tak semena-mena, soalan Jebat membuatkan Jasmine terkelu. Hanya pandangannya dan Jebat yang saling bertaut di sebalik cermin pandang belakang. Ya, hatinya membuak-buak ingin ke pusara Zafri.
Tapi, Jasmine tak mahu hatinya berperang lagi tatkala meninggalkan Zafri yang sudah lama meninggalkannya.
"Pak Mail... kita balik."
Kata putus dibuat. Jasmine kembali mengenakan kaca mata hitamnya. Tubuh disandarkan di kerusi seraya berpeluk tubuh. Tika itu, hati Jasmine Qasrina menjerit sayu merindukan Zafrinya lagi.
"Mama... don't be cry. Mama cakap kalau kita miss baba kita kena baca Al Fatihah."
Tatkala tangan kecil Elman mengusap pipinya, Jasmine tersenyum pahit. Dia memeluk erat tubuh Elman seraya dikucup lembut. Ya Tuhan, apa lagi tak kena dengan dirinya saat ini hingga air matanya murah benar mengalir tanpa dipinta.
🥀🥀🥀
"KENAPA kau diam je dari tadi? Kau okey?"
Jebat menghembuskan kepulan-kepulan asap ke udara. Membiarkan saja bahan berbahaya itu merosakkan organ dalamannya. Jebat sedikit tertekan. Tak mengerti kenapa hatinya ini membuak-buak ingin mengetahui tentang Zafri.
Siapa sebenarnya pemuda itu dalam hidup Jasmine?
"Pasal Zafri?"
"Pak Mail memang tak tahu langsung pasal Zafri ke?" Jebat memijak puntung rokok tatkala dia melihat kelibat Jasmine sudah keluar dari surau. Anak matanya tak lekang memerhatikan wanita muda yang sudah bertaut pandangan dengannya itu.
"Aku baru je pindah kampung tu. Mestilah aku tak tahu siapa Zafri. Tapi apa yang aku tahu... Zafrini sebatang kara. Dia pernah duduk rumah anak yatim sebelum tinggal kat rumah pusaka arwah mak dia tu. Kesian juga nasib budak Zafri ni."
"Kenapa?" Jebat memasukkan tangannya ke dalam kocek seluar. Semakin menarik ingin mengetahui perihal Zafri.
"Apa yang aku pernah dengar, Zafri ni ditinggalkan kat masjid masa bayi. Tak ada mak, tak ada ayah. Tu arwah mak dia yang bela Zafri tapi sayang masa Zafri baru je lapan tahun mak angkat dia meninggal sebab kena hempap pokok. Tu yang Zafri kena hantar kat rumah anak yatim."
Mendengarkan hal itu, Jebat kelu untuk berbicara. Seteruk mana sekali pun hidupnya, dia masih punya ayah dan ibu yang penyayang. Jebat terkilan dengan nasib hidup pemuda seiras dengannya itu. Patutlah, pemuda itu disayangi penduduk kampung.
Istimewa.
"Nama dia sama macam arwah suami Puan..."
"Mengata saya?" Jasmine memintas tatkala menyedari pandangan Jebat terhadapnya begitu tajam. Masih ada riak tak puas hati tatkala pemuda itu tak menemui jawapan.
"Eh tak... tak ada..."
"Apa lagi yang awak cuba korek pasal Zafri daripada Pak Mail?"
Jebat menjungkitkan bahunya seraya membukakan pintu buat Jasmine. Tak mahu lagi ada persengketaan berlaku di antara mereka hanya kerana perihal Zafri saja.
"Uncle! Nak duduk dengan uncle boleh?"
"Boleh sangat."
"Tak payah! Ni anak saya. Tak payah manjakan sangat Elman dan buat je kerja awak," tegas Jasmine seraya menyambar tubuh Elman yang didukung oleh Jebat. Pintu lantas dihempas kasar tatkala emosinya berkecamuk.
"Garang!" Jebat mendengus. Lama-lama, boleh hilang sabar dengan kesombongan Jasmine.
"Awal-awal je tu tak suka lama-lama sukalah tu dia kat kau. Bawa bersabarlah ya." Pak Mail menepuk bahu Jebat. Langkah diatur masuk ke dalam kenderaan. Kasihan melihat Jebat asyik dimarah saja oleh Jasmine.
Entah apa salah Jebat di mata Jasmine pun Pak Mail tak tahu.
Dek perang dingin di antara Jebat dan Jasmine jugalah suasana kenderaan begitu tegang. Hanya kedengaran celoteh Elman dan Pak Mail saja. Sesekali, kedengaran tawa Pak Mail yang tercuit hati dengan telatah Elman.
Anak kecil itu memang penghibur suasana.
"Jebat... asal kau diam aje ni?"
Jebat menggeleng. Pandangannya fokus memerhatikan kenderaan van berwarna hitam yang sesekali ingin memintas kenderaan mereka. Intuisinya mula terasa negatif tika ini.
"Lajukan lagi Pak Mail."
"Eh tapi ni bukan highway..."
"Tekan aje minyak tu Pak Mail!" Nada suara Jebat naik seoktaf. Hampir membuntang matanya tatkala van itu turut memecut kenderaan. Nyata intuisinya benar. Mereka seakan-akan berada dalam ancaman saat ini!
"Jebat... dia orang kejar kita! Siapa tu?"
Suara cemas Pak Mail membuatkan Jasmine tersentak. Kaget tatkala tubuhnya seakan terhuyung-hayang dengan kelajuan kenderaan yang dipandu.
"Kenapa ni? Apa yang dah..."
Tak semena-mena, Jasmine terjerit kecil tatkala tubuhnya tersentak di hadapan kusyen kereta. Sakit! Apatah lagi tatkala bonet belakang kenderaan sudah dilanggar oleh si pemandu van hitam itu!
"Puan Jasmine... kita dah kena kejar dengan musuh papa puan."
Sungguh, kalimah itu membuatkan Jasmine terhenyak. Dia kalih memandang belakang. Matanya membuntang tatkala salah seorang daripada mereka mengeluarkan kepala dan mengacukan pistol ke arah penumpang hadapan.
"Tunduk!"
Bersambung...
5.10.2024
Lama tak update sebab sibuk dengan kerja hakiki dan saya pun takde mood nak teruskan tulis ceritani...
Dah baca jangan lupa tinggalkan vote dan komen...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top