EPISOD 23
"RINDUNYA Jasmine dekat nenek! Nenek makin berisi ya sekarang. Tengah bahagia ke?"
Nek Timah tersenyum kelat tatkala Jasmine memeluk erat lengannya sambil beriringan ke ruangan dapur. Cucunya ini benar-benar tampak ceria. Namun, melihat figura Jebat yang sedang menggendong tubuh kecil Elman membibitkan tanda tanya di benak fikiran wanita tua itu.
Apa Jasmine baik-baik saja tika berhadapan dengan Jebat?
"Cucu nenek dah balik, mestilah nenek bahagia. Nenek dah sediakan lauk kegemaran Jasmine tau. Dah lama sangat kan Jasmine tak makan masakan nenek," tutur Nek Timah. Ada getaran di sebalik nada suaranya. Sungguh, betapa luluhnya dia dengan kehadiran Jebat Khuwailid.
Wajah pemuda itu... bikin dia rindu dengan arwah cucu menantunya.
"Kenapa nek?"
"Apa yang kenapa?"
Buat seketika, pandangan Jasmine bertaut dengan Nek Timah. Hatinya kuat mengatakan neneknya ini masih diserang kejutan. Jasmine mengerti. Mereka berhadapan dengan sosok seseorang yang mempunyai wajah seiras dengan Zafri. Sungguh, itu bukan hal yang mudah untuk diterima.
"Muka bodyguard kau... sama macam Zafri. Tapi kenapa kau nampak tenang, Jasmine? Cucu nenek okey aje kan?"
Soalan Nek Timah benar-benar merenggut kekuatan Jasmine sekelip mata. Senyumannya pudar. Jasmine menghela nafas panjang. Kalaulah Nek Timah tahu betapa luluhnya jiwa Jasmine setiap kali Jebat ada di depan mata...
"Jasmine... okey je nek. Jangan risaulah."
Jasmine toleh ke belakang. Pandangannya bertaut dengan Jebat yang sedang mendudukkan Elman di atas bangku. Namun, anak kecil itu masih merengek. Tak mahu lepas daripada dukungan Jebat.
"Elman nak duduk dengan uncle Jebat. Elman tak nak makan." Elman memeluk erat tubuh Jebat. Kepalanya disandarkan di dada bidang pemuda itu. Tenang rasanya berada dalam dukungan Jebat.
Melihat tingkah Elman yang manja buat Jasmine bungkam. Kepala Elman diusap lembut. Manja benar anaknya ini dengan Jebat. Walhal, baru saja dua minggu mereka saling berkenalan.
"Elman... sini dengan mama. Salam oyang dulu."
Elman menggeleng. Gerun melihat wajah tua Nek Timah yang sudah tersenyum sambil menyenduk nasi ke atas pinggan.
"Elman... janganlah degil..."
"Tak apa puan. Puan makanlah dulu. Saya boleh tolong uruskan Elman sekejap. Lagi pun, puan mesti dah lapar. Lama sangat kita hadap jem tadi."
Jasmine mencebik. Dahinya berkerut tatkala Jebat seakan-akan mahu memanjakan Elman seolah-olah Elman itu anaknya Jebat saja. Jasmine tak puas hati!
"Baik awak balik je. Tak payah susahkan diri ikut apa yang anak saya nak. Saya tak suka awak manjakan anak saya sangat! Nanti makin menjadi-jadi manja budak ni bila ada dengan awak."
"Saya tak manjakan anak puan. Cuma cara puan ni kasar sangat. Kalau pun puan tak suka dengan saya, tak payahlah lepaskan emosi tu dekat Elman. Dia tak tahu apa-apa lagi."
Hampir saja Jasmine terpelongo tatkala Jebat memprotes. Dinding hatinya seakan-akan terbakar. Mahu saja dia merampas tubuh Elman dalam dukungan Jebat. Mana mungkin dia membiarkan Elman bermanja dengan pemuda yang tiada kaitan dengan mereka ini.
"Kenapa pandang macam tu? Tak puas hati cara saya layan Elman lebih lembut daripada ibu dia sendiri?" Jebat masih memprovok. Mahu mengajar Jasmine bahawa menjadi seorang ibu itu tidak boleh berkasar dengan anak.
"Eh! Saya ni majikan awak tau! Jaga sikit mulut tu bila bercakap dengan saya. Dah! Letak Elman atas kerusi tu dan pergi dari sini. Tak payah nak acah-acah memahami tugas seorang ibu, tugas seorang ayah!"
Tak semena-mena, nada suara Jasmine naik seoktaf. Serentak dengan itu, tangisan Elman pecah jua. Anak kecil itu gerun melihat Jebat dan Jasmine yang sudah bertelingkah tanpa henti. Seolah-olah ada petir yang menyambar tubuhnya dengan kebingitan itu.
"Haish! Dah kenapa kau orang bertekak malam-malam ni? Macam laki bini bergaduh pasal anak je. Elman... sini dengan oyang. Kita biarkan je mama dengan pak cik kesayangan Elman ni sambung bergaduh."
Nek Timah menghulurkan tangannya ingin menyambut tubuh Elman. Semudah itu saja anak kecil itu menerima Nek Timah. Tak mahu lagi berada dalam dukungan Jebat.
"Hah! Sambunglah gaduh. Nenek dengan Elman nak makan. Ke nak nenek ambilkan periuk belanga sekali untuk kau orang berdua?" Kedengaran sindiran daripada Nek Timah. Duduk dilabuhkan di atas kerusi sambil memangku tubuh kecil Elman.
Jasmine menjelingkan matanya. Dia mendengus seraya melangkah masuk ke dalam kamar. Tak betah berhadapan dengan Jebat tatkala ruang hatinya dibakar dengan amarah.
"Saya minta maaf nenek. Bukan niat saya nak bertekak dengan Jasmine..."
"Duduklah. Kita makan sama-sama. Nenek tak berkenalan dengan kau lagi." Nek Timah mempelawa sambil menghulurkan pinggan kepada Jebat. Ingin sekali dia berkenalan dengan pekerja cucunya ini.
"Terima kasih."
Jebat mula sangsi. Melihat pandangan sayu Nek Timah buat dia serba salah. Apa dia punya salah dengan wanita tua ini sehingga wajah Nek Timah dirudung duka? Itu jugalah reaksi yang diberikan oleh Jasmine ketika pertama kali mereka bersua muka.
"Nama kau siapa?"
"Jebat."
"Dah lama ke kerja dengan Datuk Zali?"
"Dah enam tahun." Jebat meneguk segelas air suam seraya menuangkan sayur pucuk ubi di atas pinggannya. Sungguh, melihat ayam masak merah, kari kepala ikan benar-benar menyelerakan.
"Lama juga tu. Apa yang buat kau berniat nak kerja dengan anak aku?"
Tak semena-mena, Jebat terbatuk-batuk dengan soalan cepumas Nek Timah. Pandangannya bertaut lagi dengan wanita yang sedang menyuapkan makanan buat Elman.
Ya Tuhan, soalan itu benar-benar menikam relung hati Jebat. Dia seakan-akan terperangkap dengan soalan di luar dugaan itu.
Niatnya? Sudah pastinya untuk hancurkan keluarga Datuk Zali!
"Lah pelan-pelan Jebat. Nenek memang masak lebih untuk kau orang."
"Maaf nek. Sedap sangat kari kepala ikan ni. Dah lama sangat saya tak makan."
Mendengar hal itu, Nek Timah jadi kelu. Figura Jebat yang kelihatan berselera diperhatikan tanpa jemu. Sungguh, jiwa tuanya meronta-ronta merindukan Zafri tatkala melihat wajah Jebat.
"Kau suka kari kepala ikan?"
"Suka. Ni makanan kegemaran saya." Jebat menambah lagi kuah kari di atas nasinya. Sungguh, ramuan masakan Nek Timah sangat sedap.
"Samalah... macam arwah suami Jasmine. Dia pun suka sangat kari kepala ikan ni. Setiap kali dia balik dari laut, mesti dia akan bawa ikan untuk nenek masak makanan kegemaran dia tu."
Mendengar getaran suara Nek Timah buat Jebat kaku. Entah mengapa dia merasakan kesedihan wanita itu meresap ke relung hatinya. Seolah-olah mereka dekat walaupun baru pertama kali bersua.
"Mesti nenek rindu sangat dengan arwah kan?"
"Mestilah. Dia dah bahagiakan cucu aku. Dia sembuhkan cucu aku yang hilang mak dalam usia muda. Tapi sayang... Allah lebih sayangkan arwah. Allah pinjamkan dia sekejap je dalam hidup kita orang."
Jebat kehilangan kata. Akalnya tepu untuk berbicara. Wajah Elman dan Nek Timah dipandang silih berganti. Kenapa dengan dia? Kehilangan suami Jasmine itu tiba-tiba buat dia terkesan.
Aneh sekali rasa ini buat lelaki pendendam sepertinya.
"Kau buat nenek teringat dekat arwah. Kau orang hampir sama..."
"Hakikatnya Jebat bukan Zafri. Nenek tak perlu nak teringatkan arwah kalau tengok muka Jebat. Zafri tu menyenangkan. Tak menyakitkan!" Jasmine yang kembali muncul di ruangan dapur terus menyelar. Tak mahu Zafri dan Jebat disamakan lagi.
Kerana sesungguhnya, Zafri takkan terganti dalam hidup seorang Jasmine Qasrina.
🥀🥀🥀
SUASANA sepi di dalam rumah itu membibitkan kebosanan buat Jasmine. Mahu mencari ilham untuk lukisan baharu pula hatinya ini masih tak tenteram dengan kehadiran Jebat. Tak bisakah pemuda itu pulang saja dan meninggalkan dia dan Elman di kampung?
"Elman nak jalan-jalan tak?" Jasmine melabuhkan duduknya di sisi Elman yang sedang menonton rancangan kartun di kaca televisyen.
"Pergi mana mama?"
"Ronda kampung naik basikal. Nak tak?" Lembut saja nada bicara Jasmine sambil mengusap lembut rambut ikal Elman.
"Nak!" Elman bangun dari duduk. Wajahnya kelihatan ceria tatkala ibunya mengajak untuk meronda kampung.
"Elman pergi ambil kasut kita jalan..."
Jasmine kematian kata tatkala telefon pintar di saku seluarnya berdering. Terpapar nama Nek Timah sebagai pemanggil. Lantas, Jasmine menyentuh punat hijau dan menyambut panggilan.
"Jasmine! Nenek nak minta tolong."
"Kenapa nenek?"
"Nenek nak minta tolong kau bagi kuih karipap pusing yang nenek dah masukkan dalam bekas untuk Jebat. Mesti dia belum sarapan lagi."
Mendengar arahan neneknya, Jasmine mencebik. Sekali lagi ada nama Jebat dalam perbualan mereka. Rimas!
"Jasmine! Dengar tak apa yang nenek suruh buat?"
"Ya! Jasmine dengar nenekku sayang. Tapi biar jelah dia makan ke tak kat rumah Pak Mail tu. Tak naklah Jasmine jumpa dia. Tengok muka dia tu menyakitkan hati nak lagi sikap palatau dia tu! Menyampah!"
Kedengaran ada tawa di dalam talian. Jasmine berkerut. Tak mengerti kenapa neneknya ketawa di saat hatinya terasa panas dengan Jebat.
"Janganlah gaduh lagi. Nenek faham kau tak boleh tengok muka dia sebab Zafri. Tapi, tak salah kita bersedekah makanan dekat orang. Nak lagi Jebat tu sentiasa perlukan tenaga untuk jadi bodyguard Jasmine. Bagi kat dia tau! Okeylah nenek nak sambung merewang.
Assalamualaikum."
"Jap! Nenek... Hello? Nenek!"
Tatkala hanya bunyi deringan kedengaran, Jasmine mendengus. Kacau betul mood bila dia harus bertemu Jebat di rumah sebelah. Tidak dapat tidak, dia harus turutkan jua arahan neneknya ini.
"Mama! Elman dah pakai shoes! Cepatlah jalan. Elman nak tengok itik dekat sana." Suara Elman mematikan lamunan panjang Jasmine. Senyumannya terukir tatkala anak kecil itu sudah duduk di pintu rumah sambil mengikat tali kasutnya.
Bijak!
Hanya dalam masa dua minit saja, Jasmine yang sedang menaiki basikal sudah mengenggam brek basikal di halaman rumah Pak Mail. Kelihatan suasana pekarangan rumah Pak Mail begitu sepi seakan tak berpenghuni. Mustahil Pak Mail tak ada di rumah di saat kereta MYVInya ada di parkir.
"Ni rumah siapa mama?"
"Rumah Pak Mail. Kita hantar karipap dulu baru kita tengok itik, okey?"
"Okey mama."
Lantas, Jasmine memberikan salam kepada si penghuni. Kakinya sudah melangkah mengelilingi rumah teres satu tingkat itu. Malangnya, kosong. Ke manalah ya agaknya penghuni rumah ini?
"Mama! Elman nak main buaian kat sana, boleh?" Melihat saja buaian di bawah pokok, Elman menarik-narik baju ibunya. Seronok benar merasai suasana kampung.
"Hati-hati."
Jasmine kematian langkah. Memerhatikan saja tingkah Elman yang sudah duduk di atas buaian. Hailah. Anak itu kelihatan suka dengan suasana yang menenangkan ini. Mahu saja Jasmine tinggal di kampung. Tak usah pulang ke rumah agam keluarganya lagi.
Tapi, semuanya sudah berubah. Kepulangan Jasmine ini juga dengan niat dia ingin memastikan Datuk Zali tak lupa tentang kehadiran Datin Syikin dalam hidupnya. Mana mungkin Jasmine membiarkan si ibu tiri dengan kelicikannya lagi!
"Ya? Cari siapa?"
Suara garau yang muncul dari belakang membuatkan Jasmine kaget. Hampir melorot jantung dibuatnya. Tatkala Jasmine menoleh, pandangannya sudah bertaut dengan sepasang mata galak itu.
"Puan Jasmine rupanya. Maaflah saya ada kerja kat reban ayam Pak Mail tadi. Puan perlukan apa-apa ke?"
Jasmine masih kaku. Hanya memerhatikan figura Jebat yang sedang menyebak rambut ke belakang. Melihat Jebat yang hanya mengenakan baju pagoda putih yang melekap di tubuh membuatkan Jasmine rasa dejavu.
Seakan-akan, dia berhadapan dengan sosok Zafri yang baru pulang dari laut dengan pakaian pagodanya.
"Puan?"
Tatkala Jebat sudah memetik-metik jari, Jasmine berdeham. Dia menghulurkan sebekas karipap kepada pemuda itu. "Nenek bagi. Jangan tak makan pula. Saya nak keluar kejap dengan Elman. Elman! Jom ikut mama."
Buru-buru, Jasmine beredar tatkala akalnya kembali merasakan Zafrinya masih ada di sisi. Keluhan berat dilepaskan. Ya Tuhan, sampai bila dia harus berperang dengan diri sendiri setiap kali bertemu Jebat Khuwailid?
"Puan nak pergi mana?"
"Bukan urusan awak."
"Siapa cakap bukan urusan saya?"
Tak semena-mena, Jebat menahan Jasmine yang sudah mengayuh basikal. Pandangan mereka bertaut lagi. Ada ketegasan di sebalik wajah Jebat.
"Urusan puan... urusan saya juga. Jadi penjaga puan dengan Elman. Puan tunggu sini, saya bersihkan diri dulu. Lima minit."
"Eh! Saya boleh jaga diri sendirilah! Awak pergi sambung kawan dengan ayam-ayam kat reban tu."
Mendengar hal itu, Jebat tertawa kecil. Tercuit hati mendengar frasa 'kawan dengan ayam'. Apatah lagi melihat mulut Jasmine yang sudah terkumat-kamit tak puas hati. Hailah. Comel!
"Saya dah puas kawan dengan ayam. Sekarang, saya nak berkawan dengan puan pula. Kita boleh berkenalan dengan lebih dalam lepas ni supaya kita ada chemistry sebagai majikan dan pekerja."
Hampir saja Jasmine terpelongo dengan ayat spontan Jebat itu. Dahinya berkerut sambil memerhatikan Jebat yang sudah meluru masuk ke dalam rumah.
Ya Tuhan, spesis apakah Jebat Khuwailid ini? Orang tak suka, masih saja ada loyar buruknya agar hubungan mereka tak dingin.
Bersambung...
15.9.2024
Thank you sudi vote, sudi komen ❤️
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top