EPISOD 21

"MANA Jebat? Dia tak tahu ke malam ni dia ada perlawanan? Aku tak nak orang lain ganti budak tu. Mampus budak-budak lain kalau berdepan dengan lawan dia malam ni!"

"Kerja dia tak habis lagi kut."

Munif mendengus. Dia menepis kasar tangan Fawwaz yang ligat memicit bahunya yang tegang. Stres berdepan dengan sikap Jebat yang kadangkala memeningkan kepalanya.

Semenjak Jebat bekerja dengan Datuk Zali, anak buahnya itu sering kali terlewat untuk ke perlawanan. Ada kalanya perlawanan terpaksa dibatalkan kerana kelewatan Jebat.

"Kalau tak fikirkan selama ni dia bawa untung dalam hidup aku, dah lama aku buang dia jadi petinju! Nak sangat jadi bodyguard orang kaya tu kan sampai kerja yang satu ni pun diabaikan!"

"Dia tak sengaja tu. Janganlah marah-marah. Kejap lagi Jebat sampailah. Tapi... kalau aku ganti pun okey apa. Aku pun hebat juga belasah orang." Keong tersengih sambil menjungkit-jungkitkan keningnya.

"Kau? Ganti Jebat? Huh! Silap hari bulan jadi patah riuk kau kat gelanggang tu nanti! Selama beberapa tahun ni, boleh dikira dengan jari je berapa kali kau menang!"

Fawwaz sudah terkekeh-kekeh tika Munif menunjal kepala Keong. Tak pasal-pasal rakannya itu direndah-rendahkan di hadapan petinju-petinju yang sedang bersiap di bilik persalinan.

"Kau tak nak turunkan ilmu kat aku. Tu yang aku..."

"Bukan tak turukan ilmu! Tapi kau tu yang tak layak jadi petinju. Kau tengoklah cara hidup kau macam mana! Tak disiplin. Datang training pun tak. Layaklah kau jadi tukang cuci kat tempat latihan tu aje," selar Fawwaz. Keong ini perlu diberikan pengajaran tentang erti disiplin. Selalu saja sambil lewa semasa bekerja.

"Ala kau kan tahu aku kerja dekat kelab tu. Sibuk! Aku orang penting kut kat kelab Rocky tu sambil tu bolehlah aku cuci mata."

"Ni lagi satu... kerja apa yang kau buat kat kelab Rocky sampai susah sangat kau nak turun latihan?"

Tak semena-mena, soalan Munif mematikan bicara Keong. Dia berdeham. Mengalihkan pandangannya daripada menatap laman wajah tok gurunya itu.

"Hoi! Munif tanya tu. Apa yang kau buat untuk Rocky sampai..."

Bunyi pintu dihempas kuat kedengaran. Perbualan mereka terhenti buat seketika. Terpampang wajah Jebat yang sudah tercungap-cungap menghampiri loker pakaiannya.

"Uish Jebat! Macam orang kaya dah aku tengok pakaian kau ni. Segak semacam! Kau dating dengan anak datuk ya? Tapi kenapa kau basah kuyupni? Hujan ke?"

Tajam anak mata Keong memerhatikan penampilan Jebat yang mengenakan kemeja putih yang basah sehingga menampakkan tubuh kekar Jebat dipadankan dengan tali leher hitam.

Baru saja Jebat meleraikan tali leher dan menanggalkan blazer hitamnya, soalan konyol Keong kedengaran. "Kau tak payah nak merepek. Aku dah lambat! Bukan masanya nak bersembang dengan manusia lembab macam kau!"

Sekali lagi, tawa Fawwaz kedengaran. Dia membantu Jebat mempersiapkan diri untuk perlawanan tinju pada malam itu. Ada keletihan terpancar di wajah Jebat.

"Kau nampak letih. Berat sangat ke tugas hari ni? Kau kena hujan ke sampai basah lecun?"

Seketika, Jebat bertaut pandangan dengan Munif. Ada rasa bersalah bertamu di dinding hati dek kelewatannya malam ini. Kalau ikutkan hati, mahu saja Jebat membatalkan perlawanan ini tapi Jebat tak mahu mengecewakan gurunya itu.

"Malam ni datuk sekeluarga ada makan malam dengan kenalan lama dia. Ada urusan business sekali dia orang bincangkan. Tapi masa tu jugalah kita orang kena ambush. Nasib baiklah klien datuk pun bawa pengawal masing-masing. Kita orang pun tak jangka penyerang tu target datuk malam tu juga."

Munif terangguk-angguk mengerti. "Bukan ke sepatutnya kau biarkan je dia orang kena bantai dengan musuh dia orang sendiri? Tak payah susah payah penatkan diri kau untuk jahanam yang dah hancurkan keluarga kau."

Mendengar hal itu, Jebat tersenyum sinis. Dia menghela nafas berat. Tubuhnya direnggangkan bersedia dengan perlawanan malam itu.

"Kau silap! Tugas aku melindungi keluarga Datuk Zali. Tapi... perlahan-lahan, satu demi satu aku akan letakkan racun untuk bunuh keluarga dia orang dengan tangan aku sendiri!"

Jebat melangkah keluar dari ruangan persalinan pakaian. Sorotan lampu gelanggang sudah disorot ke arahnya yang diiringi oleh Fawwaz. Kejadian serangan ke atas mereka malam ini benar-benar menambahkan lagi peluang untuk Jebat mendapatkan kepercayaan Datuk Zali!

🥀🥀🥀

WAJAH kudus Elman yang tidur nyenyak direnung dengan penuh kasih. Jasmine mengucup lembut pipi si kecil seraya bersandar di kepala katil. Buku lukisan dicapai di meja sisi katil. Akal mula mengarahkan jari jemarinya melorek garisan-garisan halus di atas kertas kanvas.

Namun, ruang memorinya semakin ligat mendengar suara bingit. Bunyi tembakan silih berganti dengan suara jeritan membuatkan degupan jantung Jasmine semakin kencang. Rintik-rintik peluh sudah merenik di dahinya. Pendingin hawa di dalam kamar tak lagi menyamankan wanita itu.

"Saya tak boleh bernafas..."

"Puan... sikit  je lagi kita nak sampai kereta kat depan."

"Saya tak boleh nak bergerak. Saya tak boleh nak bernafas... awak faham tak!" Tak semena-mena, nada suara Jasmine naik seoktaf. Pandangannya bertaut dengan Jebat yang sedang mendukung tubuh Elman yang sudah menangis ketakutan. Ya Tuhan, Jasmine rasa seluruh tubuhnya lumpuh.

Penyerang-penyerang itu tak henti-henti melepaskan tembakan secara rambang ke arah mereka. Kegelapan malam menambahkan lagi ketakutan Jasmine yang sudah tersandar lemah di sebalik dinding restoran mewah atas laut itu.

"Mama... Elman takut..."

"Tak apa, Elman. Uncle ada. Orang jahat tak akan kacau Elman selagi uncle ada. Peluk uncle kuat-kuat supaya Elman tak takut lagi."

Jebat cuba memujuk dua beranak yang sudah pucat tak berdarah itu. Dia menyembulkan kepalanya di dinding. Tangan kanan mengenggam glock dengan erat. Dia tak mampus melepaskan tembakan dalam keadaan dia sedang mendukung tubuh Elman.

"Jebat! Mana Puan Jasmine dengan Elman? Kau orang dah keluar dari restoran tu ke belum? Datuk dah risau dah ni pasal anak dia."

Melalui earpiece yang dipakai di telinga, suara Ariq kedengaran. Suasana semakin cemas tatkala derapan langkah semakin menghampiri mereka bertiga. Jebat melilau memikirkan strategi untuk melindungi Jasmine dan Elman daripada penyerang-penyerang ini.

Ya Tuhan, bagaimana dia mahu keluar saat dua orang penyerang kelihatan di hadapan pintu utama restoran sementelah yang lain ada di belakang!

"Ada dengan aku. Aku masih cuba cari cara untuk keluar dari sini."

"Kat mana? Kau orang kat mana sekarang..."

"Sayap kiri restoran. Bahagian luar." Jebat menarik nafas sedalamnya.

"Kau kena terjun dari situ dan naik semula atas restoran ni ikut laluan luar. Aku dengan yang..."

"Eh kau gila ke?"

"Kerja kita kadang-kadang kena gila! Kau ingat sikit Puan Jasmine dengan anak dia ada dengan kau! Kalau ada apa-apa, kau nak tanggungjawab?"

Mendengar hal itu, Jebat cuba menenangkan hatinya. Dia pandang wajah Jasmine yang sudah tertunduk sambil memeluk kedua-dua belah tubuh.

"Puan... saya minta maaf. Saya betul-betul minta maaf terpaksa buat macam ni."

"Awak... nak buat..."

Belum sempat Jasmine menoktahkan bicaranya, pergelangan tangannya yang berbalut dengan gaun hitam sudah dicengkam erat. Membuntang mata Jasmine tatkala Jebat melepaskan tembakan silih berganti ke kaki dan lengan penyerang yang sudah meluru ke arah mereka.

Tatkala muncul lagi dua orang penyerang, tangkas Jebat menghanyunkan tumbukan ke wajah seorang penyerang sebelum kakinya lincah menerajang pinggang si lelaki bersubang itu.

Terlepas daripada penyerang-penyerang itu, mereka kembali meluru ke arah penghadang laut. Jasmine sudah terpelongo tatkala akalnya sudah mencerna apa yang Jebat akan lakukan seterusnya!

"Elman suka berenang kan?"

"Su... suka."

"Malam ni... kita berenang sama-sama."

"Jebat! Saya... saya tak boleh...."

Sepi.

Jasmine merasakan kakinya tak lagi berpijak di atas tanah. Tubuhnya seakan terangkat tatkala Jebat merangkul pinggangnya dengan kemas. Sekelip mata, Jasmine tenggelam di dasar lautan. Nafas sudah tersekat di rangkungan tika air laut memasuki hidungnya. Ketakutan semakin mencengkam ruang hati wanita muda itu.

"Jebat! Ambil tali ni!"

Baru saja Jebat menyembulkan kepalanya di atas permukaan air, Ariq sudah membaling pelampung dan tali ke arahnya. Tangkas, Jebat melepaskan tubuh Jasmine. Pandangannya bertaut dengan mata galak wanita itu. Jelas, ada kemarahan terpancar di wajah Jasmine Qasrina.

"Qasrina... syukurlah Qas baik-baik je." Datin Bahriah terkocoh-kocoh menghampiri Jasmine yang sudah basah kuyup itu. Dipeluknya erat tubuh wanita muda itu. Risau jika sesuatu yang buruk berlaku kepada anak tirinya.

"Qas ada sakit kat mana-mana? Mummy bawa pergi hospital ya."

Jasmine masih bisu. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Matanya tak lekang memerhatikan Jebat yang sedang memujuk Elman yang sudah menangis itu. Amarahnya meluap-luap dengan tindakan gila Jebat!

"Puan okey? Saya..."

Tak semena-mena, Jebat terpelongo tatkala pipinya terteleng ke kanan. Tubuh Elman sudah dirampas daripada dukungannya. Pijar! Jebat kaget dengan kekasaran Jasmine Qasrina. Semua mata-mata sudah memerhatikan ketegangan mereka berdua.

"Lelaki gila! Kalau nak mati... mati seorang-seorang!"

"Saya minta maaf, puan. Saya yang arahkan Jebat..."

"Jangan bagi saya tengok muka awak lagi mulai hari ni! Saya tak nak lelaki gila yang pervert sesuka hati sentuh saya wujud depan saya lagi!" jerkah Jasmine sekuat hati seraya meluru ke kenderaan. Tatkala pandangannya bertaut dengan Datuk Zali, Jasmine menghampiri ayahnya.

"Jasmine tak nak bodyguard papa tu jaga Jasmine lagi! Jasmine tak suka! Ada Elisa seorang je pun Jasmine dah boleh hiduplah!" bentak Jasmine sambil mengunjuk ke arah Jebat.

"Ya Allah! Apa aku dah buatni!" Jasmine mengeluh berat teringatkan amukannya tadi. Tangan kanannya dipandang sayu. Tak seharusnya dia menampar wajah Jebat. Pemuda itu hanya ingin menyelamatkannya saja.

Hanya saja cara Jebat salah. Menyentuhnya!

"Dia cuma buat kerja dia je Jasmine. Dia dah selamatkan nyawa kau dengan Elman..." Jasmine meraup wajahnya dengan kasar. Tubuhnya dibaringkan. Matanya dipejam rapat. Sayangnya, masih ada bayangan dia menampar Jebat di ruang memori bersama dengan kejadian tegang itu.

"Saya minta maaf... Jebat. Saya cuma tak suka awak sebab saya tak nak setiap kali saya pandang wajah awak, saya akan teringatkan arwah Zafri. Itu saja..." gumam hati Jasmine sebelum memeluk erat tubuh kecil Elman. Dia perlukan kehangatan dan melupakan kejadian malam ini.

Berharap, esok hari Jebat Khuwailid tak akan wujud dalam hidupnya lagi.

🥀🥀🥀

"QASRINA... jom sarapan sama-sama dengan mummy."

Baru saja Jasmine turun di anak tangga terakhir, Datin Bahriah sudah mempelawanya. Ada figura Datuk Zali dan Jazimin yang sedang berbincang mengenai sesuatu. Ada ketegangan di wajah dua beranak itu.

"Wah! Ada spageti. Elman suka makan spageti!"

"Nenek masak spageti untuk Elman. Ada sandwich juga untuk cucu nenek yang comel ni."

Tidak dapat tidak, Jasmine terpaksa menurut ajakan ibu tirinya. Demi Elman yang sudah berselera menikmati sarapan pagi.

"Morning Qasrina. Qas okey? Abang dengar apa yang jadi semalam."

"Kau nampak aku bernyawa lagi kan? Tak payah nak tanya soalan bodohlah!"

Datuk Zali berdeham. Secawan kopi dihirup perlahan-lahan. "Berapa lama duduk rumah nenek nanti?"

"Bukan urusan papa." Jasmine mengeluh berat. Dia menyuakan nasi goreng ke mulutnya. Tak suka perihalnya ditanya oleh keluarganya ini.

"Kalau tak nak beradab dengan orang tua tu jangan tunjuk depan anak, Jasmine Qasrina."

Datuk Zali bangun usai memberikan sindiran kepada anaknya. "Qas lama sikit kat kampung tu pun tak apa. Papa risau kalau benda yang semalam tu jadi lagi. Biar papa dengan abang kau selesaikan pasal semalam. Bila semua dah okey, Qas baliklah sini lagi. Sampaikan salam papa dekat nenek."

Jasmine tersentak buat seketika. Hanya pandangannya saling bertaut dengan Datuk Zali yang sedang memakai kot hitam. Kenapa ya dia merasakan ada kalanya ayahnya ini bersikap prihatin. Namun selebihnya membuatkan Jasmine merasakan dia tak diperlukan dalam keluarga Datuk Zali.

"Mummy dengar tak lama lagi Qas nak bukan galeri seni. Nak mummy tolong apa-apa tak pasal persiapan pembukaan tu?"

"Elman... kita makan dalam kereta ya. Mama nak cepat." Jasmine menjelingkan matanya ke atas tatkala Datin Bahriah mula membuka topik perbualan. Tak betah mahu duduk berduaan bersama ibu tirinya lagi.

"Qas hati-hati..."

"Kau yang perlu hati-hati, Bahriah. Hati-hati dengan setiap kelicikan yang kau buat dalam hidup kau. Kejahatan... takkan pernah menang." Jasmine tersenyum sinis. Bagasinya diheret keluar dari rumah sambil memimpin tangan Elman. Persetankan perasaan wanita itu. Apa yang Jasmine tahu, dia tak akan pernah memberikan kemaafan di atas wanita yang sudah membuatkan ibunya menderita!

"Selamat pagi, Puan Jasmine."

"Se..."

Kaku.

Dua figura yang berdiri setentang saling bertaut pandangan. Jasmine merasakan kakinya sudah terpasak di atas bumi. Dinding hatinya seakan dibakar dengan amarah.

"Papa!"

Datuk Zali yang baru saja melangkah masuk ke dalam kenderaan kaget dengan jerkahan Jasmine. Terpaksa lelaki separuh umur itu menghampiri Jasmine yang wajahnya sudah disimbah amarah.

"Kenapa?"

"Papa tanya kenapa? Kan Qas dah cakap yang Qas tak nak lelaki pervert macam bodyguard papa ni jadi bodyguard Qas lagi! Susah sangat ke..."

"Jasmine Qasrina. Jaga mulut tu. Sepatutnya Qas berterima kasih dengan Jebat. Kalau bukan sebab Jebat, entah-entah dah mati katak Qas semalam."

Mendengar hal itu, semakin berombak dinding hati Jasmine. Wajah Jebat dan Datuk Zali dipandang silih berganti. Oh Tuhan, benci benar dia mendengar ayahnya mempertahankan lelaki itu.

"Papa tak kenalkan Qas secara proper lagi dengan Jebat kan. Qasrina dengar sini. Ini Jebat Khuwailid. Mulai hari ni, detik ni dia akan tetap jadi penjaga Qasrina dengan Elman. Jaga kau orang daripada apa-apa bahaya. Dia yang akan escorts Qas juga sepanjang kat kampung. Qas terima ke tak terserah. Itu saja. Papa kerja dulu."

Datuk Zali menepuk-nepuk bahu Jebat. Memberikan tanggungjawab kepada pemuda berjas hitam itu menjaga anak dan cucunya. Berpamitan meninggalkan Jasmine yang masih tak bisa menerima keputusannya itu.

Bersambung...
1.9.2024

60 vote. 15 comment unlock new chapter 🔓

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top