EPISOD 20

SESEKALI, Jasmine yang ligat menyediakan bekalan makanan buat Elman memerhatikan tingkah si kecil yang kelihatan seronok bermain di taman mini rumah bersama Jebat. Ada rasa aneh bertandang di lubuk hati wanita itu dengan wajah Elman yang mendadak ceria.

Walhal, baru saja malam semalam Elman merengek tak mahu ke sekolah. Hanya kerana tiada yang mahu berteman dengan budak lelaki berumur enam tahun itu.

"Pandai betul Jebat pujuk Elman. Magis apalah kan agak-agaknya Jebat guna sampai Elman selesa bermain dengan dia."

Jasmine jungkit bahu. "Saya pun tak tahu. Rasa macam baru beberapa minit Jebat sampai... Elman dah nampak ceria balik."

"Jebat pandai layan budak-budak. Sebab tu Elman selesa dengan anak buah abang."

Serentak Jasmine dan Elisa menoleh memandang figura Jazimin yang baru saja melabuhkan duduk di kitchen island sambil meneguk secawan susu.

"Macam mana encik tahu Jebat sukakan budak-budak?"

"Dah enam tahun dia kerja dengan papa. Setiap kali papa ada program dengan anak-anak yatim, memang Jebat jugalah yang selalu layan budak-budak tak ada mak bapa. Nak harapkan aku? Lambat lagi!" jelas Jazimin sambil menyapukan jem coklat ke atas roti.

"Haih. Suka betullah saya dekat lelaki yang pandai layan budak ni. Hah nanti kalau kahwin dapat suami macam Jebat ni confirm tak payah nak urus anak seorang-seorang dah." Elisa mengulum senyum. Dia turut memerhatikan Elman yang sedang melambung bola kepada Jebat. Manis benar senyuman Jebat Khuwailid ini.

Elisa suka!

"Tak payah nak berangan. Pergi sambung buat kerja." Jazimin menyelar. Kepalanya tergeleng-geleng tatkala Elisa hanya tersengih seperti kerang busuk.

Melihat Jasmine hanya berdiam diri membuatkan Jazimin sangsi. Tak lekang dia memandang raut wajah adik tirinya itu. Dia menopang dagu seraya memetik-metik jari tatkala Jasmine seakan-akan tenggelam dengan lamunan panjang lagi.

Entah apa yang berada di fikiran Jasmine pun Jazimin tak tahu.

"Fikir pasal apa?"

"Bukan urusan kau." Tanpa berlengah, Jasmine melangkah keluar dari ruangan dapur. Lebih baik dia mendapatkan Elman sebelum anaknya itu terlewat ke sekolah.

"Uncle! Jom kita berenang! Elman tak berenang lagi hari ni."

Telatah Elman yang sudah menarik tangan Jebat ke arah kolam renang membibitkan rasa geli hati pemuda berjas kelabu itu. Suka benar dia melihat kepetahan anak kecil ini.

"Petang nanti kita main lagi..."

"Elman!"

Nada suara Jasmine yang tegang mematikan bicara Jebat. Dia kaget tatkala Elman sudah memeluk kakinya di belakang. Terpampang wajah Jasmine yang bengis menghampiri mereka sambil menggalas beg Elman. Pasti ada lagi yang tak kena dengan dua beranak ini sehingga Jasmine kelihatan marah.

"Elman. Tak payah main lagi. Sekarang mama kena hantar Elman pergi sekolah. Kita dah lambat." Jasmine sudah menghela nafas panjang sambil menjengilkan matanya. Ya Tuhan, jujur dia tak selesa berdiri di hadapan Jebat.

Tak mahu emosinya bercampur baur lagi.

"Elman tak nak pergi sekolah!"

"Boleh jangan degil tak? Dah seminggu Elman tak sekolah. Kenapa susah sangat nak dengar cakap mama?" Tak semena-mena, Jasmine mencengkam pergelangan tangan Elman. Ditariknya anak kecil itu berdiri berhadapan dengannya.

"Elman tak nak sekolah. Jangan paksa Elman..."

"Puan... saya minta maaf tapi bukan macam ni caranya nak pujuk anak puan. Mesti ada sebab dia tak nak pergi sekolah." Jebat mencelah. Kasihan melihat Elman yang sudah merengek.

"Awak tak perlu masuk campur..."

"Saya minta maaf. Bukan niat saya nak masuk campur tapi kita kena tanya dia apa masalah dia sampai dia tak nak pergi sekolah."

Tika itu, tiada lagi bicara yang meniti di bibir Jasmine. Kelembutan Jebat melayani Elman buat Jasmine buntu. Dibiarkan saja Jebat duduk melutut di hadapan Elman. Biar sama tinggi.

"Elman..."

"Uncle... Elman tak nak pergi sekolah. Bagi tahulah mama Elman tak suka sekolah tu. Dia orang jahat..."

Jebat mengenggem kedua-dua belah tangan Elman. Rambut hitam pekat Elman diusap lembut.

"Siapa yang jahat?" Lembut saja nada bicara Jebat bertanya.

"Adi dengan Yaza." Elman menundukkan kepalanya. Pandangannya sudah kabur teringatkan kelakuan mereka terhadapnya.

"Dia orang buat apa?"

"Dia orang selalu buli Elman sebab Elman tak ada ayah."

Mendengar saja penjelasan Elman, dinding hati Jasmine seakan ditikam dengan berjuta-juta belati. Dia mula serbasalah dek terlalu terikutkan emosi. Hanya kerana konfliknya bersama Datuk Zali, Elman jadi mangsanya.

"Elman cakap ayah dah tak ada sebab Allah sayangkan ayah. Tapi dia orang cuma ketawakan Elman. Dia orang kata... ayah Elman dah kena makan ulat kat dalam kubur. Betul ke uncle?"

Buat seketika, Jebat mendongak. Pandangannya bertaut dengan Jasmine. Terasa kelat liur di rangkungan tika pandangan wanita itu meresap ke relung hatinya. Ada satu rasa halus yang membuatkan Jebat alpa dengan niatnya.

Simpati.

Jadi, Jasmine Qasrina merupakan seorang balu kematian suami. Jebat tak pernah tahu hal yang satu ini. Ya Tuhan, kenapa dia kasihan dengan Jasmine? Rasa ini haram bagi Jebat!

Tak seharusnya dia memberikan simpati dengan anak kepada musuhnya sendiri.

🥀🥀🥀

ANGIN petang yang menampar kulit mulusnya terasa begitu nyaman. Pandangannya menerawang memerhatikan Elman yang sedang bermain istana pasir. Wajah si kecil yang kelihatan ceria buat Jasmine rasa senang. Sekurang-kurangnya, Elman lupa perkara yang diucapkan oleh rakan-rakannya.

Ya Tuhan, betapa kesalnya Jasmine kerana terlalu beremosi hingga tak tahu masalah yang dihadapi oleh Elman. Walhal, dia sudah berjanji bahawa dia akan menjaga dan membahagiakan tanda cintanya dan Zafri.

"Puan okey?"

Jasmine tersentak tatkala figura tinggi lampai berdiri di hadapannya. Menghalangnya daripada memerhatikan Elman. Pandangannya bertaut dengan mata galak itu.

"Saya cuma arahkan Elisa..."

"Untuk temankan puan dengan Elman. Ya. Saya tahu tapi saya pun diarahkan untuk jadi pengawal peribadi puan dengan Elman." Jebat menghulurkan sekotak teh bunga kepada Jasmine.

"Minum dulu, puan."

Tak semena-mena, Jasmine merasakan dadanya sesak tatkala Jebat menghulurkan teh bunga kepadanya. Dahinya berkerut. Teh bunga dipandang silih berganti dengan wajah Jebat yang kelihatan tenang.

Teh bunga. Jasmine rasa dejavu.

"Kenapa? Puan tak minum teh bunga ke?"

Jasmine hanya menggelengkan kepala. Lambat-lambat, dia menyambut huluran Jebat. Hanya pandangannya yang tunak memerhatikan Jebat yang sudah bersandar di tiang gazebo tempatnya berteduh.

"Kenapa tak minum? Nak saya bukakan straw?"

"Isteri abang ni manja betul! Kalau abang tak ada nanti siapa nak bukakan straw untuk sayang? Nasib baik abang jumpa juga teh bunga. Kalau tak, mesti sayang merajuk lagi kan sebab abang balik lambat."

"Tak... kau bukan dia..."

Tanda tanya mula bermain di fikiran Jebat tatkala wajah Jasmine semakin pucat. Bibir wanita itu terkumat-kamit mengucapkan sesuatu yang Jebat tak mengerti. Bahkan, pandangan wanita itu sudah berkaca-kaca. Menunggu air mata yang bertakung di tubir matanya mengalir saja.

"Puan? Kenapa? Puan sakit..."

"Boleh tak lepas ni... awak tak payah jadi bodyguard saya lagi? Saya tak suka... tengok muka awak, Jebat." Jasmine bangun seraya menghulurkan semua minuman kepada Jebat. Dia menghampiri Elman tatkala hatinya meronta-ronta merindui Zafri.

"Kenapa puan? Saya ada salah dengan puan ke?"

Langkah Jasmine terhenti. Kakinya seakan terpasak di atas bumi dengan soalan cepumas Jebat. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat tatkala derapan tapak kaki Jebat menghampiri.

Jebat tak salah. Hanya dia yang terlalu beremosi. Terlalu sakit merindukan Zafri apatah lagi wajah Jebat yang seiras dengan arwah suaminya.

"Salah ke saya prihatin dengan majikan saya? Saya cuma jalankan tanggungjawab saya.  Saya dibayar untuk sentiasa melindungi puan dengan Elman. Tak lebih daripada itu."

Bersungguh-sungguh, Jebat memberikan penjelasan kepada Jasmine tentang niatnya menjadi pengawal peribadi wanita itu. Mana mungkin Jebat berhenti daripada berada di sisi Jasmine. Peluangnya menjadi racun sudah luas. Jebat tak akan sia-siakan matlamatnya!

Bersambung...
1.9.2024

65 vote,  15 comment update new chapter  🔐

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top