EPISOD 19
DADA langit yang kelihatan mendung pada petang itu menandakan sebentar saja lagi hujan akan turun. Tubuhnya disandarkan di badan kereta. Jebat berpeluk tubuh sambil menghembuskan kepulan asap rokok ke udara.
Sesekali, angin yang bertiup lembut menampar kulit wajahnya. Nyaman. Tunak anak matanya memerhatikan wanita muda yang hanya duduk termenung di hadapan sebuah pusara.
Jelas, terpancar mendung di wajah Jasmine Qasrina yang baru saja menyedekahkan surah yassin buat penghuni kubur.
"Kerja kau senang je. Jaga anak dengan cucu aku lebih penting daripada kau jaga nyawa kau sendiri!"
Tatkala pesanan Datuk Zali terngiang-ngiang di telinga, Jebat tersenyum sinis. Dia memijak puntung rokok seraya memasukkan kedua-dua belah tangannya ke dalam saku seluar.
"Jasmine Qasrina... apa yang berlaku dalam hidup kau sebenarnya sampai kau bergaduh dengan si jahanam? Muka kau... kenapa penuh dengan kesedihan? Eh, tapi bagus juga kalau kau orang anak beranak bergaduh. Senang kerja aku..."
Jebat menggaru pelipisnya yang tak gatal. Pelbagai strategi sudah bermain di benak fikiran pemuda itu. Dia mengerti bahawa hubungan Jasmine dan Datuk Zali tak begitu baik. Itu peluang emas untuk dia menjadi racun dalam hidup keluarga musuhnya itu.
"Kau silap percaturan. Tak sepatutnya kau tugaskan aku untuk jaga anak kau, orang tua. Kalaulah kau tahu aku hidup... cuma nak hancurkan keturunan kau seperti mana kau hancurkan arwah ayah aku dan kakak aku. Macam mana kau buat mak aku menderita."
Tak semena-mena, rintik-rintik hujan bagaikan butiran peluru yang membasahi lantai bumi. Jebat mendongak. Membiarkan saja titisan hujan membasahi wajahnya yang penuh dengan dendam. Keluhan berat dilepaskan. Tanpa berlengah, Jebat mengambil payung yang terletak di bonet kereta.
Langkah diatur menghampiri Jasmine yang sedang mengusap batu nisan. Ada senyuman pahit terukir di bibir wanita muda itu. Sontak, langkah Jebat jadi perlahan. Pandangannya tajam memerhatikan Jasmine yang sesekali mengesat air mata yang mengalir ke pipi.
Kenapa dengan dia? Kenapa hatinya ini membuak-buat ingin mengetahui isi hati Jasmine Qasrina?
"Mama... Jasmine janji Jasmine akan kuat macam mama. Jasmine tak akan sesekali... biarkan perampas tu buat papa lupakan mama. Selagi Jasmine hidup, Jasmine akan pertahankan mama dalam hidup papa."
Jasmine menghela nafas panjang. Tak lagi mempedulikan dirinya yang basah kuyup. Dia mahu melepaskan rindu buat si ibu. Enam tahun dia tak dibenarkan pulang atas alasan Jasmine perlu fokus dengan rawatan psiaktrinya saja.
"Anak mama dah kuat. Anak mama tak akan biarkan sesiapa jatuhkan dia lagi. Jasmine tak akan biarkan kita kalah dengan perempuan tu. Dia tak ada hak untuk buang mama dalam hidup papa!"
Selangkah demi selangkah, Jebat menghampiri Jasmine seraya melindungi wanita itu dari kebasahan. Jadi, Jasmine juga punya isu dengan ibu tirinya. Satu lagi peluang untuk Jebat hancurkan keluarga Datuk Zali. Melalui Jasmine Qasrina.
"Puan..."
Jasmine tersentak tatkala suara Jebat kedengaran. Kaget tatkala pemuda itu sudah berdiri di sisinya. Memayungi dirinya dan Membiarkan pemuda itu kebasahan. Perlahan-lahan, Jasmine bangun. Mengesat lembut air mata yang membasahi pipinya.
"Kita nak pergi mana lagi lepas ni?"
"Bukan saya suruh awak balik ke tadi?"
Jebat menjongketkan kedua-dua bahunya. Tangan kirinya dimasukkan ke dalam poket seluar. "Puan tak faham lagi ke?"
"Faham apa?"
"Kerja saya sebagai bodyguard puan."
Jasmine berkerut. Geram pula melihat sifat selamba Jebat menjawab. Ya Tuhan. Dia tak suka dikongkong seperti mana Jebat mengongkongnya saat ini. Jasmine mahu bersendirian! Apatah lagi dia tak mahu melihat wajah pemuda seiras dengan Zafri ini.
"Puan... memang suka menangis ke?"
"Eh! Memang kerja suka masuk campur urusan orang ke?" Wajah Jasmine sudah memerah dengan soalan cepumas Jebat. Buru-buru wanita itu merenggut payung di tangan Jebat seraya meluru ke kenderaan yang diparkir di luar kawasan tanah perkuburan. Tak mahu orang memberikan simpati kepadanya.
"Makin lebat kan hujan ni?" Jebat masih berbasa-basi tatkala dia melangkah masuk ke bahagian pemandu. Rambutnya yang basah disebak ke belakang.
"Lepas hujan ada apa?"
"Boleh diam tak?"
"Saya tanya je. Salah ke?"
Buat seketika, pandangan Jasmine bertaut dengan Jebat. Semakin Jebat bersuara, Jasmine makin rimas. Kenapa ya baru hari pertama mereka bersua emosinya ini sudah berbolak-balik berhadapan dengan Jebat Khuwailid? Seakan-akan Jebat punya kuasa untuk memainkan emosinya.
"Lepas hujan ada matahari untuk bagi sinar dekat manusia. Menangislah kalau puan rasa nak menangis. Tak salah. Sebab saya yakin tangisan puan tu akan berakhir dengan mentari yang akan bagi sinar dalam hidup puan."
Tika itu, Jasmine sudah terkelu untuk berbicara. Hanya sorotan matanya saja yang memerhatikan Jebat yang sedang memandu. Ya Tuhan, bukan wajah dan suara Jebat saja yang sama seperti Zafri tapi setiap perkataan yang keluar daripada mulut Jebat membuatkan Jasmine dejavu.
"Puan belum makan lagi kan sejak kita balik tadi? Puan nak makan apa? Kalau puan tak tahu nak makan apa... saya boleh cadangkan. Hujan macam ni, makan sup boleh hangatkan badan kita."
Jasmine mengalihkan pandangannya tatkala Jebat memandangnya sekilas. Kedua-dua belah tangan digenggam erat. Jasmine hanya diam. Memerhatikan deretan kenderaan di atas jalan raya. Melihat air hujan yang mengalir di tingkap kereta.
"Saya tak ada selera."
"Nak abang masakkan sup? Hujan macam ni sup pilihan yang sesuai untuk isteri abang dengan anak kita. Biar badan sayang tu segar."
"Awak ada kembar?"
Tiba saja di lampu isyarat berwarna merah, Jebat jadi sangsi. Pandangannya bertaut dengan Jasmine. Aneh Sekali soalan wanita yang wajahnya kelihatan sembap ini.
"Kenapa puan tanya saya macam tu? Saya ni buat puan teringat dekat seseorang ke?"
Ya Tuhan, soalan Jebat benar-benar melumatkan dinding hati Jasmine. Dia mengalihkan pandangan ke tingkap semula. Tak mampu lagi bersuara tika soalan Jebat membuatkan air matanya mengkhianatinya lagi.
🥀🥀🥀
"ELMAN suka tak tinggal kat sini dengan atok dan nenek?"
"Suka. Kat rumah ni ada kolam renang. Elman suka berenang."
Datin Bahriah tersenyum nipis. Dia mengusap lembut kepala Elman yang berselera menjamah ayam goreng. Sesekali, wajah Jasmine dan Datuk Zali di pandang silih berganti. Masih jelas ketegangan di wajah dua beranak itu.
"Nanti nenek bawa Elman pergi pantai. Kat sana boleh main pasir sekali."
"Wah! Seronoknya. Elman memang suka pantai. Dah lama mama tak bawa Elman pergi sana. Mama, boleh tak kalau Elman pergi pantai dengan nenek?"
Segelas air suam diteguk. Jasmine menghela nafas panjang. Wajah Datin Bahriah dijeling sebelum bangun dari duduknya. Jasmine sudah hilang selera mahu menjamah makan malamnya lagi dengan drama si ibu tiri yang cuba menarik perhatian Elman pula.
"Elman... lepas ni terus naik. Buat homework dengan mama. Jangan fikir main je."
"Ala mama. Elman nak borak dengan nenek..."
"Elman. Jangan degil." Jasmine menjengilkan matanya tatkala anak kecil itu mahu membantah. Mana mungkin dia membiarkan Elman rapat dengan Datin Bahriah. Wanita itu boleh disamakan dengan ular yang kulitnya boleh berubah-ubah.
"Macam tu ke Zafri ajar kau didik anak? Paksa anak buat benda yang dia tak nak?"
Tak semena-mena, sindiran Datuk Zali kedengaran. Hampir saja Jasmine meletup dengan bicara si ayah yang sedang menyuakan makanan ke dalam mulut. Seenaknya saja menyalahkan Zafri yang tiada kaitan.
"Biar jelah budak tu sembang dengan nenek dia. Kalau kau tak suka..."
Belum sempat Datuk Zali menoktahkan bicara, Jasmine sudah meluru naik ke kamar. Dia mendengus. Tak puas hati dengan tingkah si anak.
"Cakap sikit lari! Tak berubah!"
"You! Agaklah nak marah sekali pun. Ada Elman ni. Tak baiklah tegur Jasmine depan anak." Datin Bahriah menggelengkan kepalanya. Tak mengerti mengapakah dua beranak ini tak mahu berdamai. Seakan-akan ada perang dunia ketiga di antara mereka.
"Budak biadab macam tu patut diajar depan anak. Itu caranya supaya tak ada lagi keturunan biadab dalam family I! Cukuplah you sendiri pun tak reti nak jaga anak!"
Mendengarkan itu, hampir saja Datin Bahriah terpelongo kaget. Dining hatinya seakan terguris. Dua beranak bergaduh, dia pula turut dipersalahkan. Apalah nasib.
🥀🥀🥀
TUMBUKANNYA tangkas dihayunkan ke arah samsak yang tergantung di koridor rumah pangsa. Sesekali, tendangan turut ditujahkan ke arah samsak. Rintik-rintik peluh sudah mengalir ke pipi pemuda berkulit sawo matang itu. Nafasnya berombak kencang. Seakan samsak di hadapannya merupakan musuh di gelanggang tinju.
"Takkan waktu macam ni nak berlatih lagi, Jebat?"
Puan Nijah meletakkan secawan teh panas di atas meja kopi. Kepalanya tergeleng dengan kelincahan anaknya itu. Tidak kenal erti rehat sama sekali. Dia risau.
"Dua hari lagi nama Jebat naik gelanggang . Jebat tak ada masa nak berlatih, mak."
"Kau masih nak jadi petinju lagi ke? Mak tengok kerja kau yang sekarang ni pun meletihkan. Siang malam tak berhenti kau kerja."
Senyuman terkulum di bibir Jebat. Dia menyeka peluh dengan tuala muka seraya melabuhkan duduk di sisi Puan Nijah. Secawan teh dihirup perlahan-lahan.
"Kalau kau perlukan duit... mak kan dah berniaga. Nasi lemak mak laku keras. Kau kena tahu tu Jebat. Jadi, tolonglah jangan paksa diri kau untuk kerja keras."
Jebat mencapai kedua-dua belah tangan ibunya. Wajah ibunya dipandang dengan penuh kasih. Tak mahu ibunya terus-terusan khuatir dengan dirinya ini.
"Mak... semua ni bukan sebab duit. Mak jangan risau... Jebat masih mampu sara mak dengan kakak. Mak tahu kan... jadi petinju tu dah sebati dalam jiwa Jebat. Masa arwah ayah ada lagi tu ajelah kerja yang Jebat tak mampu nak tinggalkan."
"Jebat anak mak... selalu je buat mak risau." Puan Nijah mengusap lembut pipi anaknya. Bukan niatnya mahu menghalang daripada menjadi seorang petinju. Hanya saja dia risau andai suatu hari nanti dia kehilangan Jebat dalam keadaan dia belum bersedia.
"Esok Jebat gaji. Mak nak makan apa? Jebat belikan. Ke nak gelang emas yang baru? Sebut je apa yang mak nak, Jebat tunaikan."
Nada suara Jebat yang bersemangat membuatkan Puan Nijah tercuit hati. Hailah. Sejuk saja hatinya melihat Jebat yang semakin hari semakin ceria ini. Tiada lagi kekusutan di wajah anaknya. Jebat nampak lebih maskulin semenjak bekerja bersama Datuk Zali.
"Mak tak nak apa-apa. Mak cuma nak anak-anak mak selalu ada depan mata dalam keadaan yang sihat. Tapi pasal kakak kau... mak..."
Puan Nijah terkelu. Mengalihkan pandangan daripada menatap wajah Jebat tatkala hatinya kembali sesak memikirkan penderitaan Shana selama enam tahun ini. Anak gadisnya itu benar-benar kehilangan sinar hidupnya lagi.
Puan Nijah trauma.
"Mak, janganlah fikir yang bukan-bukan. Mak kena percayakan Jebat yang tak akan ada lagi tangan-tangan yang sakitkan mak dengan Kak Shana. Jangan takut. Jebat ada... untuk mak. Apa yang dah berlaku dulu takkan berulang lagi. Kita kena sama-sama kuat untuk teruskan hidup kita."
Setiap pujukan Jebat meluluhkan lagi sekeping hati Puan Nijah. Dia tersenyum pahit sambil mengusap lembut pipi Jebat. Hanya anggukan yang mampu diberikan. Ya, dia tak perlu takut. Dia ada Jebat Khuwailid yang akan melindungi mereka sekeluarga.
Bersambung...
31.8.2024.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top