EPISOD 18
SUASANA yang sibuk di lapangan terbang tika itu seakan-akan tenggelam tatkala pandangan dua figura saling bertaut lama. Timbul persoalan di benak fikiran Jebat tatkala tubir mata Jasmine sudah berkaca-kaca. Ada kesedihan terpancar di wajah manis itu.
Aduh.
Apa dia punya salah sehingga wajah Jasmine dirudung duka? Setahu Jebat, dia hanya memperkenalkan diri sebagai pengawal peribadi Jasmine saja. Kenapa ya pandangan Jasmine yang terselindung dengan duka itu seakan-akan Jebat membuat kesalahan?
"Ya Tuhan, indahnya ciptaan Tuhan di depan mata!"
Nada suara Elisa yang nyaring mematikan lamunan panjang Jebat. Dia berdeham. Mengalihkan pandangannya daripada menatap wajah Jasmine Qasrina. Sedar khilafnya merenung isteri orang.
"Hai! I Elisa!" Elisa menghulurkan tangannya ingin bersalaman dengan Jebat. Senyuman tak lekang di bibir gadis kecil molek itu tatkala pandangannya bertaut dengan mata galak Jebat. Pemuda tinggi lampai bertubuh kekar di depannya ini memang berkarisma!
"Jadi, kaulah Elisa. Bodyguard Puan Jasmine selama enam tahun ni?" Jebat inginkan kepastian meskipun dia sudah diberitahu mengenai Elisa oleh ketuanya.
"Macam mana you tahu? You stalk I dalam diam..."
"Mulai hari ni, kita akan bekerjasama sebagai bodyguard Puan Jasmine. Kau boleh panggil aku Jebat. Aku harap, tak akan ada isu di antara kita untuk jalankan tanggungjawab masing-masing."
Elisa kematian kata dengan ketegasan Jebat. Lidahnya sudah terkelu dengan aura pemuda itu. Kepalanya yang tak gatal digaru-garu. Baru saja dia terpegun dengan ketampanan pemuda itu tapi nampaknya Jebat ini tak ramah orangnya.
"Puan Jasmine okey?"
Jasmine tersentak tatkala lengannya dicengkam kuat oleh Elisa. Pandangannya dialihkan daripada menatap wajah Jebat. Sedar bahawa Jebat bukan Zafri. Hakikatnya, hanya wajah mereka saja yang seiras. Ya Tuhan, Jasmine merasakan kakinya ini sudah longlai untuk berdiri tegak.
"Kenapa puan pandang saya macam tu? Saya ada salah cakap ke?"
"T... tak ada apa-apa. Sa... saya cuma letih." Jasmine memimpin tangan Elman melangkah keluar dari lapangan terbang. Tanpa hala tuju. Tak mampu lagi berhadapan dengan Jebat tatkala hatinya yang sudah sembuh kembali rapuh.
Jasmine buntu.
Kepalanya kusut dengan kejutan yang maha hebat ini. Ada wajah Zafri di depan matanya. Sayangnya, wajah itu tak mampu disentuh kerana si pemuda bukanlah Zafrinya...
"Hati-hati puan!"
Serentak dengan jerkahan itu, bunyi hon yang bertalu-talu berdengung di telinga. Bingit. Langkah Jasmine terhenti tatkala lengannya ditarik kuat ke bahu jalan. Jantung Jasmine sudah berdegup kencang tatkala menyedari bahawa dia dan Elman hampir saja dirempuh oleh sebuah kereta.
"Puan tak okey ni. Muka puan pucat."
Suara itu kedengaran lagi. Suara yang persis seperti suara Zafri. Tatkala Jasmine mendongakkan kepala, terpampang lagi wajah Jebat yang hanya sejengkal daripada tubuhnya. Terasa kelat liur di rangkungan tika bayangan Zafri masih melekat di ruang fikiran.
"Siapa awak yang sebenarnya? Kenapa papa upah awak untuk jadi bodyguard saya? Sedangkan saya dah ada Elisa untuk jaga saya dengan Elman."
Nada suara Jasmine bergetar menahan sebak. Dia tak mampu berhadapan dengan figura ini. Dia tak mahu tenggelam dengan kesedihan lagi. Kepulangannya ke bumi Malaysia untuk menjadi Jasmine yang teguh. Bukan si penyedih kehilangan suami lagi.
"Memang puan dah ada Elisa untuk jadi pengawal puan. Tapi saya hanya ikut arahan papa puan untuk jaga puan ke mana saja puan pergi. Ini arahan dan sebagai pekerja saya hanya menurut arahan Datuk Zali."
Perlahan-lahan, Jebat melepaskan lengan Jasmine. Dia menghela nafas panjang. Ini masanya. Setelah enam tahun dia menjadi pengawal peribadi keluarga Datuk Zali, maka inilah saatnya dia bermain dengan permainannya dengan kepulangan Jasmine Qasrina.
🥀🥀🥀
"WELCOME BACK Qasrina. Mummy dah masak yang sedap-sedap special untuk Qasrina dengan cucu mummy tau. Rindu betul mummy dengan Qas. Enam tahun Qas duduk sana mesti seronok kan. Kalau Qas nak share apa-apa dengan mummy, Qas cerita je mummy nak dengar."
Keluhan berat dilepaskan tatkala tubuhnya sudah berada dalam pelukan Datin Bahriah. Jasmine mencebik. Rimas dengan drama ibu tirinya yang tak pernah serik mencari perhatian.
"Qas sihat?"
"Papa rasa?"
Jasmine mengherot senyum sinis. Dia menolak lembut tubuh Datin Bahriah seraya melangkah masuk ke dalam rumah. Kelihatan dekorasi rumah agam itu sudah berubah. Tapi satu perubahan yang buat Jasmine mula tak selesa tatkala terpampang foto Datuk Zali, Datin Bahriah dan Jazimin di ruang tamu.
"Papa tengok muka kau pucat semacam. Kenapa? Tak sihat?"
Langkah Jasmine terhenti di hadapan foto besar keluarganya. Tak lekang dia merenung foto yang menyambut kepulangannya dengan hati yang sudah dibakar dengan amarah. Jasmine tercabar!
"Jasmine sihat ke tak tu bukan urusan papa! Ni... mana gambar arwah mama yang tergantung kat sini?"
Seketika, pandangan Jasmine saling bertaut dengan Datuk Zali. Jari telunjuknya dihalakan ke arah foto yang terpampang dengan kebahagiaan ayah dan keluarga tirinya.
"Dah buang."
"Papa! Siapa yang suruh papa buang gambar mama?" Tak semena-mena, nada suara Jasmine naik seoktaf. Dadanya berombak kencang dengan jawapan si ayah.
"Qas... orangnya dah tak ada buat apa lagi kita nak gantung gambar dia? Kita yang hidup ni teruskan hidup dan lupakan orang yang dah tak ada. Simpan je orang tu dalam hati kita." Datin Bahriah pula menyampuk. Dia berdiri di sisi suaminya sambil berpeluk tubuh.
"Kau tak payah nak masuk campur urusan aku dengan suami kesayangan kau ni! Aku tak tanya kau pun kan kenapa gambar mama aku dah tak ada!"
"Qasrina! Watch your mouth! Jangan kurang ajar..."
"Papa yang ajar Jasmine kurang ajar! Papa menangkan sangat perempuan jalang..."
"Cukup Qas..."
"Jasmine cakap benda yang betul pa! Papa sanggup buang gambar mama, gambar Jasmine sebab perempuan ni je! Perempuan yang dah bunuh mama..."
"Papa cakap cukup Jasmine Qasrina!"
Tak semena-mena, kepala Jasmine terteleng ke kanan tika tamparan kuat dihayunkan ke pipinya. Pijar! Tapi, hatinya ini lebih sakit dengan setiap perilaku Datuk Zali yang tak pernah berubah. Sering saja memenangkan ibu tirinya yang licik.
Jebat dan Pak Ayub yang baru saja membawa masuk barangan Jasmine dan Elman ke dalam rumah juga kaget dengan pertelingkahan dua beranak itu. Tak pernah lagi mereka melihat Datuk Zali naik hantu.
"You! Janganlah sampai naik tangan dengan Qas... dia baru je balik!" Datin Bahriah mengeluh berat. Menyentuh pipi Jasmine yang sudah memerah. Namun, dia terkesima tatkala tubuhnya ditolak kasar oleh si anak tiri.
"Kau dah bunuh mama aku. Sekarang, kau nak jadi ibu yang baik untuk aku pula? Kau ingat aku tak tahu... apa yang kau dah buat dekat mama aku sebelum dia meninggal?"
Jasmine membentak sekuat hatinya. Dia mendengus. Langkah diatur keluar dari rumah. Sungguh, fikirannya bercangkaliwang selagi dia ada di rumah keluarganya itu. Tak seharusnya dia pulang ke rumah lagi apatah lagi kehadirannya tak pernah diperlukan lagi.
Tatkala Jasmine melintasi Jebat yang hanya kaku di muka pintu, tekanannya semakin berada di kemuncak. Dadanya sesak. Sungguh, Jasmine perlukan ketenangan. Bukannya melayan emosinya yang kembali kacau.
"Janganlah berkasar..."
"Jebat!"
"Ya, datuk?"
Datuk Zali hanya membuatkan isyarat mengarahkan Jebat untuk mendapatkan Jasmine. Buru-buru, pemuda itu meluru keluar. Jasmine sudah kelihatan menerobos masuk ke dalam BMW yang masih diparkir di halaman rumah.
"Puan Jasmine nak pergi mana?"
Jasmine hanya diam tatkala Jebat sudah menghalangnya di muka pintu kereta. Setitis air mata yang mengalir ke pipi dikesat kasar.
"Pergi berambuslah! Jangan kacau saya!"
"Bagi tahu saya puan nak pergi mana."
"Tak payah masuk campur! Bukan urusan awak kalau saya nak pergi mana sekali pun!" jerkah Jasmine seraya membuka pintu kereta. Nafasnya sudah berombak kencang menahan amarah yang kian membara.
Baru saja Jasmine memijak pedal minyak, tiba-tiba saja pintu penumpang bahagian hadapan dibuka. Hampir saja Jasmine terpelongo dengan ketangkasan Jebat melompat masuk ke dalam kenderaan. Pandangan mereka saling bertaut buat seketika.
"Awak nak apa sebenarnya daripada saya? Saya dah cakap jangan masuk campur urusan saya! Awak pergi jaga tepi kain majikan kesayangan awak tu dahlah!"
Jebat menggeleng. Sebungkus gula-gula berperisa coklat dihulurkan kepada Jasmine. "Puan stres. Caranya, kena makan benda manis supaya muka puan manis macam gula-gula."
Mendengarkan ayat itu, tak semena-mena tubir mata Jasmine terasa hangat. Dia rasa dejavu. Gula-gula berjenama dynamite yang dihulurkan oleh Jebat membuatkan hati Jasmine meruntun pilu sekali lagi. Bibirnya diketap menahan sesak yang mula mencengkam jiwa.
"Awak stres sebab papa lagi kan? Nah makan gula-gula. Saya nak tengok muka isteri saya ni manis lagi."
"Puan Jasmine?"
Buru-buru, Jasmine mengalihkan pandangannya tika Jebat sudah memetik-metik jari. Menyedarkan daripada lamunan panjangnya.
"Turun... saya boleh jaga diri saya..."
"Maaf puan. Saya dah diberikan tanggungjawab untuk jaga puan. Lagipun, kalau puan nak Elisa temankan puan saya rasa dia dah sibuk temankan Elman."
Bantahan Jebat benar-benar membuatkan Jasmine kehilangan kata. Sorotan matanya memerhatikan figura Elman yang sedang bermandi-manda di kolam renang ditemani oleh Elisa dan seorang pembantu rumah. Anak kecil itu kelihatan seronok bermain air.
"Jadi, kita nak ke mana Puan Jasmine Qasrina?"
Bersambung...
28.8.2024
60 vote. 15 comment unlock new chapter 🔐
Jebat si rambut panjang, berjambang, kurus macam penagih dadah dah glow up jadi kemas demi misinya 🥊
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top