EPISOD 16

SENYUMAN terkulum di wajah Puan Nijah melihat Jebat yang kelihatan berselera menjamah nasi lemak masakannya pada pagi itu. Sudah lama Puan Nijah tak melihat Jebat makan dalam kuantiti yang banyak.

"Ni memang Jebat anak mak ke?"

Mendengar soalan itu, Jebat berkerut. Dia menambah lagi nasi lemak buat kali kedua. Hairan dengan pandangan si ibu.

"Jebat anak mak yang membebankan keluargalah ni. Sedap sangat nasi lemak masakan Puan Nijah. Dah lama tak makan nasi lemak yang mak masak."

"Kau bukan beban. Kau dah banyak berkorban untuk keluarga kita. Mak yang bersalah hukum kau..."

"Mak, dahlah tu. Jangan fikir benda yang dah lepas. Apa yang penting sekarang, kita dah tak menumpang kat rumah Fawwaz lagi. Mak tolong Jebat jaga Kak Shana je sampai dia pulih. Tugas Jebat, jadi cari duit supaya kita boleh hidup selesa."

Puan Nijah tersenyum pahit melihat Jebat kelihatan berselera pada pagi itu menjamah nasi lemaknya. Sejuk hatinya setiap kali melihat wajah tenang itu. Perlahan-lahan, rambut Jebat diusap lembut. Berharap bahawa suatu hari nanti kebahagiaan akan menghiasi hidup anaknya.

"Jebat... boleh mak minta tolong?"

"Minta tolong apa?"

"Mak tahu permintaan mak akan buat Jebat tak puas hati. Tapi, mak tak nak anak mak balik dalam keadaan sakit-sakit. Mak sayangkan kau, Jebat."

Mendengar hal itu, Jebat mula serba tak kena. Dia menegakkan duduknya. Saling berpandangan dengan si ibu yang wajahnya tiba-tiba kelihatan sayu.

"Kenapa mak? Ada yang tak kena ke?"

Puan Nijah mengangguk lemah. Dia mengusap lembut pipi kanan Jebat yang masih lebam kebiruan selepas perlawanan tinju malam semalam. Semenjak Jebat kembali pulih, anaknya ini jarang benar kelihatan pada waktu malam. Dia tahu, Jebat bekerja dengan menerima perlawanan tinju tanpa henti.

Demi wang untuk menyara mereka sekeluarga.

"Mak..."

"Mak nak kau berhenti... bertinju. Boleh? Tu je yang mak minta. Mak minta maaf kalau permintaan mak keterlaluan tapi mak tak nak kau balik je dalam keadaan lebam-lebam macam ni, Jebat. Mak risau kalau sesuatu yang buruk jadi dekat kau."

Tatkala rayuan Puan Nijah menusuk dining hatinya, Jebat jadi kelu. Pandangannya dialihkan daripada menatap wajah si ibu. Dia serba salah.

Berhenti bertinju? Ya Tuhan, bertinju ini terapinya. Jebat boleh lepaskan semua bebannya dengan berlawan.

"Mak takut kalau suatu hari nanti kecederaan kau boleh membawa kepada kematian..."

"Mak... janganlah fikir macam tu. Tak ada apa-apa yang jadi. Mak jangan risau. Luka sikit je ni mak. Tak sakit..."

Tak semena-mena, Puan Nijah menekan kuat pinggang Jebat sehingga Jebat kematian bicara. Tertunduk pemuda itu menahan sakit dek penangan lawannya malam semalam. Tatkala ibunya menyelak pakaiannya, Jebat tangkas menghalang.

"Mak tekan sikit je pinggang kau Jebat, kau dah berkerut. Sakit kan? Sini mak tengok. Mak ubatkan ya."

"Jebat tak apa-apa... mak. Okeylah Jebat nak tengok kakak sebelum pergi kerja."

Buru-buru, Jebat bangun seraya mencapai maskot Hello Kitty yang sentiasa menjadi perantaraannya bertemu dengan Shana. Entah sampai bila dia akan berselindung di dalam maskot agar trauma kakaknya berhadapan dengan lelaki pun Jebat tak tahu.

"Kau fikir-fikirkanlah Jebat. Tolonglah... mak merayu. Berhentilah daripada bertinju."

Luluh hati Puan Nijah tatkala memikirkan nasib keluarga mereka yang menderita tika ini. Setitis air mata yang mengalir ke pipinya dikesat lembut. Walau siapa pun penghancur keluarganya, kemaafan itu takkan pernah diberikan hingga maut menjemputnya.

Jebat kehilangan kata. Hanya langkahnya saja yang masuk ke dalam kamar Shana yang hanya termenung di tepi tingkap. Ya Tuhan, Jebat dilema. Dia tak mahu ibunya bersedih. Namun dalam masa yang sama, dunia tinju sudah sebati dalam jiwa Jebat.

Tatkala Shana tiba-tiba memeluknya, lamunan Jebat terhenti. Bibirnya mengulum senyum tatkala wajah Shana kelihatan ceria melihat figuranya yang memakai maskot kartun kegemaran Shana. Kehangatan kakaknya benar-benar memberikan terapi buat pemuda itu.

🥀🥀🥀

TERIK mentari pada pagi itu berbahang hingga ke kulit. Para pekerja bangunan yang sedang dibina itu kelihatan sibuk mengangkat batu bata dan seguni pasir sambil dipantau oleh penyelia. Tika itu juga, fikiran Jebat menerawang memikirkan permintaan si ibu sambil memikul guni di atas bahunya.

Sudah dua hari dia berada dalam keadaan dilema.

Lantas, sebatang rokok dikeluarkan dari saku seluar jeansnya yang lusuh. Jebat bersandar di dinding sambil merehatkan dirinya yang sudah kelelahan. Peluh yang merenik di dahinya dikesat dengan belakang tangan. Kepulan asap rokok dihembus ke udara. Jebat pejam mata buat seketika untuk menjauhkan fikirannya daripada kekusutan.

"Jebat!"

"Apa?"

Fawwaz mendengus. Dia menepuk kuat bahu Jebat tatkala Jebat seakan mahu tidak mahu saja melayan kehadirannya saat ini.

"Kau ada masalah ke? Dah dua hari kau suruh orang lain ganti tempat kau. Munif dah bising kau blah tak bagi tahu dia langsung! Bernanah je tak telinga aku ni dengar orang tua tu mengamuk!"

"Biarlah. Bagilah orang lain peluang..."

"Tapi masalahnya lawan dia orang tu tak sesuai untuk dia orang! Tu semua lawan kau, Jebat Khuwailid!"

Puntung rokok dipijak. Jebat mencelikkan matanya semula. Pandangannya bertaut dengan wajah sugul Fawwaz.

"Mak aku suruh aku berhenti. Dia risau tengok anak dia kena belasah kat gelanggang tu. Entahlah, aku serabut fikir permintaan mak aku ni."

Jebat duduk mencangkung sambil memerhatikan rakan sekerjanya yang sedang berehat.

"Tapi duit bertinju tu lebih banyak daripada gaji kau jadi kuli bangunan. Mak kau tak tahu ke semua tu?"

"Tak."

Fawwaz mencebik. Dia duduk mencangkung bersebelahan Jebat.

"Haih! Kau ni pun satu. Benda macam ni kau kena bincang dengan mak kau. Jelaskan dekat dia kenapa kau nak bertinju. Macam mak aku dulu, dia tak nak aku bertinju lepas abang aku jadi pekak sebab kena bantai dengan lawan dia kat gelanggang. Tapi, aku explain kat mak aku yang dengan bertinju ni jugalah duit masuk! Dengar je macam tu mak aku tak halang aku lagi."

Mendengar hal itu, Jebat terkelu. Dia mengiakan bicara Fawwaz. Benar. Dia tak pernah jelaskan kepada ibunya bahawa dengan bertinjulah dia bisa tenang daripada memikirkan masalah keluarga mereka. Bertinju jugalah yang banyak membantu dia menyara keluarga.

"Balik ni... kau settle dengan mak kau lagi."

Perbualan Jebat dan Fawwaz terhenti tatkala telefon Jebat bergetar di saku seluarnya. Tatkala pemuda itu menyambut, terpampang nombor yang tak dikenali menghantar pesanan ringkas berupa sebuah klip video. Saat itu juga, jantung Jebat berdebar kencang. Terasa berbahang wajahnya ingin membuka klip video tersebut.

"Kenapa?"

Jebat menggeleng. Dia menekan video tersebut. Tak semena-mena, mata Jebat membuntang melihat video yang terpampang. Tangannya menggigil melihat seorang lelaki berlumuran darah yang tergantung dalam keadaan terbalik di sebuah gudang.

"Pak cik..."

"Abah..."

Ya Tuhan, betapa remuknya Jebat melihat ayahnya dibelasah sehingga tak berdaya oleh seorang lelaki berpakaian serba hitam. Bahkan, beberapa orang lelaki turut menyeksa dengan mencucuh besi panas dan rokok di tubuh Encik Azmin hingga lunyai. Hanya erangan kesakitannya saja yang bergema di ruangan itu.

"Kau tak mampu bayar hutang kau. Lepas tu kau tambah hutang dengan kita orang lagi! Memang nak mampus dengan datuk..."

"Ampun... ampun datuk... ak... aku minta maaf..."

'Datuk...'

Jebat terbangun tatkala fikirannya langsung terimbas figura Datuk Zali. Adakah yang dimaksudkan oleh mereka ini Datuk Zali? Orang yang sudah membuatkan keluarganya menderita? Jiwa Jebat langsung serba tak kena. Matanya melilau. Dia mahu bertemu Datuk Zali saat ini juga!

Kau nak sangat bukti kau kan? Ni bukti yang kau nak! Kau nampak betapa seksanya ayah kau diperlakukan oleh binatang-binatang yang dah buat ayah kau jadi kambing hitam!

Dada Jebat semakin berombak kencang tatkala menerima pesanan ringkas daripada Tori.

Ya.

Jebat yakin Torilah yang sudah menghantar klip video penyeksaan Encik Azmin ini! Lantas, Jebat mula meluru keluar dari bangunan itu tanpa mengendahkan penyelianya.

"Jebat, kau nak pergi mana?"

"Ada urusan penting yang aku kena selesaikan sekarang!"

"Kerja kau tak selesai lagi! Kau jangan ponteng..."

"Hal mustahak! Kau potong jelah gaji aku untuk hari ni!" pintas Jebat. Nada suaranya yang sudah naik seoktaf membuatkan Kassim terkelu. Hanya sorotan matanya menghantar Jebat yang sudah mencapai helmet seraya memecut motosikal keluar dari tapak pembinaan itu.

🥀🥀🥀

KAKU.

Klip video yang masih bermain-main di ruang memori Jebat benar-benar membuatkan emosi pemuda itu bergelodak. Rayuan arwah ayahnya tanpa henti hanya ditulikan oleh si durjana. Angkara hutang, ayahnya diperlakukan seperti benda yang tak bernyawa.

Jadi, pemilik bangunan pencakar langit lima tingkat inilah kepala kepada penderitaan keluarga Jebat Khuwailid. Ya Tuhan, jiwa Jebat berkobar-kobar ingin menghapuskan riwayat Datuk Zali dengan tangannya sendiri!

Tanpa berlengah, Jebat meluru ke dalam syarikat itu. Namun, bukan semudah itu tatkala dua orang sekuriti sedang berjaga di pondok yang terletak berhampiran pagar utama.

"Ya encik? Ada apa datang sini?"

"Hantar barang staf."

"Letak je kat sini. Nanti kita orang hantar..."

Keluhan berat dilepaskan. Jari jemari diletupkan sambil ruang fikiran mula memikirkan cara untuk masuk ke syarikat itu. Ya Tuhan, Jebat tak mahu cari pasal. Tapi dia terdesak! Saat ini juga Jebat mahu bertemu dua muka dengan Datuk Zali.

"Mana barangnya?"

Tatkala seorang sekuriti sudah keluar dari pondok, tangkas Jebat menyerang dengan menghayunkan penumbuknya ke wajah si lelaki sebaya dengannya itu. Sontak, si lelaki tersungkur sehingga tidak sedarkan diri dengan hentakan Jebat.

"Woi! Kau buat apa..."

Belum sempat seorang sekuriti lagi melawan, Jebat terlebih dahulu menyerang dengan menghayunkan tendangannya ke kepala si lelaki. Dek penangan Jebat itu jugalah sekuriti itu terhuyung-hayang sebelum lehernya dicekak dari belakang.

Akibatnya, kedua-dua sekuriti yang sudah pitam itu diheret masuk ke dalam pondok. Jebat mengeluh berat.

"Encik cari siapa?"

Baru saja Jebat melangkah masuk di lobi, seorang gadis berambut perang menyambut kehadirannya pula.

"Datuk Zali."

"Atas urusan apa?"

Jebat menghela nafas panjang. Pucuk hidungnya digaru. Rimas tatkala gadis itu mahu mengetahui niatnya bertemu Datuk Zali.

"Urusan mustahak. Kau tak perlu sibuk nak tahu apa urusan mustahak tu."

Gadis itu mula berkerut. Dipandangnya saja figura Jebat dari bawah hingga ke atas. Serabai! Penampilannya tak ubah seperti seseorang yang mengambil barang terlarang. Dia jadi kecut perut apatah lagi melihat wajah bengis Jebat.

"Saya ada hak untuk tahu dengan siapa datuk berurusan. Kalau..."

Belum sempat si gadis menoktahkan bicara, hampir saja dia terjerit tatkala Jebat mengacukan pisau lipat ke arahnya. Mulutnya terpelongo tatkala mata pisau itu hanya sejengkal dari pinggangnya.

"Sekarang, aku masih tak ada hak lagi ke?" Nada suara Jebat semakin dingin. Bibirnya didekatkan ke cuping telinga si gadis yang kelihatan pucat. Pandangan mereka saling bertaut. Terherot senyum sinis di bibir Jebat.

Terketar-ketar, gadis itu menekan interkom untuk berhubung dengan setiausaha Datuk Zali. Nafasnya kencang. Dadanya berombak kencang dengan ugutan Jebat. Apatah lagi tika itu staf sibuk di dalam bahagian pejabat masing-masing. Tiada siapa yang perasan ancaman tika itu.

"Mel... da... datuk masih meeting ke?"

"Baru je keluar. Kenapa?"

"Ada orang... nak jumpa. Hal mustahak katanya." Gadis itu menundukkan pandangannya. Tubir matanya sudah terasa hangat tatkala ketakutan semakin mencengkam sanubari.

"Tapi hari ni datuk tak ada temu janji dengan sesiapa. Siapa orang tu?"

Jebat mendengus bila soalan demi soalan diajukan oleh setiausaha Datuk Zali. Dia melilau memerhatikan kawasan yang kelihatan lenggang. Namun, sayup-sayup kedengaran tapak kasut menghampiri mereka.

Nyata, rezeki itu milik Jebat. Kelihatan lima orang pengawal peribadi yang kelihatan gagah dengan kot hitam mengiringi Datuk Zali yang sibuk dengan telefon pintarnya. Jantung Jebat mula kencang. Amarahnya meluap-luap terkenangkan setiap penderitaan keluarganya.

Laju saja Jebat meluru ke arah mereka. Pisau lipat yang berada di tangannya digenggam erat. Membayangkan dia membenamkan pisau ini di jantung Datuk Zali.

"Kau tak boleh bunuh dia serta-merta, Jebat! Kau kena buat dia dan keluarga dia merana!"

Sontak, Jebat kematian langkah tatkala ruang hatinya seakan menjerit. Menghalangnya daripada membunuh lelaki kejam itu. Turun naik nafas Jebat tatkala dia mula bermain dengan emosi. Kakinya seakan terpacak dengan paku.

Hanya membiarkan Datuk Zali melintasinya saja. Tiada kata yang mampu dituturkan oleh Jebat.

Tak! Dia tak boleh kalah. Ini peluangnya untuk menghapuskan riwayat lelaki itu!

"Datuk Zali!"

Tatkala namanya dipanggil, Datuk Zali terkaku di muka pintu syarikat. Dia kalih memandang si figura. Tak semena-mena, rasa kaget mula menerpa dinding hati lelaki berkaca mata itu tatkala renungan membunuh Jebat meresap ke jiwanya!

25.8.2024
Bersambung...

Thank you sudi singgah. Sorry kalau KYTT ni bosan. Kalau sudi jangan lupa tekan vote dan komen ✨️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top