EPISOD 11

USAI saja memarkir motornya di bawah pepohon, si lelaki berambut perang itu mencapai beg bimbit berisi wang seraya melangkah masuk ke dalam sebuah gudang usang. Kelihatan konco-konco ketuanya ligat memasukkan serbuk putih ke dalam anak patung. Masing-masing sibuk dengan kerja-kerja kotor mereka.

Demi habuan yang lumayan.

"Bos kecil bawa apa hari ini? Ada lauk special lagi ke untuk kita orang?"

Si lelaki bersubang di telinga sudah menjungkitkan keningnya. Dia melangkah menghampiri orang kanan ketuanya seraya menghulurkan sekotak rokok kepada lelaki itu.

"Dah dapat lauk bulan lepas kau tak kenyang lagi ke?"

Tak semena-mena, lelaki-lelaki itu tertawa sinis dengan sindiran itu. Bagaikan peristiwa bulan lepas memberikan nikmat kepada durjana yang bertuhankan nafsu.

"Ala bos ni janganlah mengungkit benda dah lepas. Kita orang cuma nak ajar..."

"Tapi aku tak suruh kau orang semua makan perempuan tu! Kau orang ni bengap dah kenapa!"

Amarah si lelaki mula kedengaran. Dia mendengus. Kepul-kepul asap dihembus ke udara. Tubuhnya disandarkan di sofa yang sudah koyak rabak itu seraya melunjurkan kakinya di atas meja.

"Kalau ikutkan hati aku ni kan. Nak je aku cincang kepala kau orang satu per satu. Benda yang aku tak suruh juga kau orang buat! Aku dah kata jangan sentuh perempuan tu tapi kau orang ni celaka betul!"

Tak semena-mena, suasana mula tegang tatkala amarah lelaki itu semakin membingitkan telinga. Enam orang lelaki sudah saling berpandangan. Risau jikalau perlakuan keji mereka dibalas dengan kematian.

"Sorry bos. Kita orang separuh mabuk malam tu..."

Belum sempat si lelaki menoktahkan bicara, matanya sudah membuntang tatkala lelaki yang diserang amuk itu mencucuh rokok ke kelengkangnya. Lolongan kesakitannya membingitkan suasana.

"Wei agaklah sampai nak cederakan kawan..."

"Kau nak juga ke?" ugut si lelaki berambut perang tatkala dua orang rakannya mara mahu membantu si lelaki durjana yang sudah mengerekot itu.

"Dalam beg tu gaji kau orang! Buat kerja tu jangan terlebih pandai sangat!" Si lelaki mendengus. Langkah diatur keluar dari gudang itu. Tak betah lagi berlama-lamaan tatkala hatinya dibakar amarah.

"Aku minta maaf, Shana. Tapi ni dah nasib kau. Kifarah sebab kau reject aku juga kut." Tak semena-mena, tawa sinis si lelaki meledak. Dia menggelengkan kepalanya dengan nasib malang yang menimpa gsdis idamannya itu.

Shana. Gadis itu hanya menjadi mangsa keadaan saja. Kasihan.

Telefon pintar lelaki itu bergetar di saku seluarnya. Lamunannya tentang Shana terhenti. Lantas, dia menyambut panggilan daripada ketuanya.

"Macam mana dengan kerja yang aku bagi dekat kau?"

"Tenang bos. Budak-budak tu tahu apa yang dia orang buat. Tinggal bagi duit, pandailah budak-budak buat kerja ikut arahan bos."

"Anak si bedebah tu kau dah lenyapkan atau belum?"

Tatkala soalan itu terpacul daripada mulut si ketua, lelaki bermata sepet itu terkelu. Tiada kata yang mampu dituturkan. Membunuh? Mana mungkin dia tega membunuh orang terdekatnya sendiri!

🥀🥀🥀

JAM di pergelangan tangannya dikerling. Sepuluh minit lagi, Jasmine, Elman ditemani dengan Elisa akan berangkat ke Ireland. Namun, sudah hampir sejam Jasmine melihat Datuk Zali sibuk berbual di dalam talian. Jelas ada ketegangan di wajah lelaki berkot biru gelap itu.

Entah apa yang dibincangkan oleh Datuk Zali dengan si pemanggil pun Jasmine tak tahu.

"Papa sibuk sangat ke, nek? Jasmine dah nak pergi pun dia masih sibuk hal kerja."

Jasmine mengeluh berat. Ada rasa sebal di ruang hati dengan sikap acuh tak acuh si ayah. Kadang-kadang, Jasmine merasakan dirinya ini hanyalah sekadar halimunan saja dalam hidup Datuk Zali.

"Kau macam tak faham papa kau macam mana Jasmine. 24 jam asyik sibuk semedang aje dengan kerja. Tak apa. Apa yang penting sekarang, nenek kan ada depan mata Jasmine."

Nek Timah mengusap lembut kepala cucunya yang berbalut dengan selendang. Mereka saling berbalas senyuman. Lima tahun Jasmine akan merantau ke bumi Eropah. Bukan mudah mereka hidup berjauhan. Apatah lagi sejak Jasmine berusia sepuluh tahun lagi dia dijaga oleh neneknya itu dengan penuh kasih sayang.

"Nek... betul ke keputusan Jasmine..."

"Ish budak bertuah ni! Nenek kata apa? Jangan fikir bukan-bukan. Cuba fikir ke depan. Rancang masa depan Jasmine dengan Elman. Mulakan hidup baru, kumpul semangat Jasmine dan jadi Jasmine Qasrina yang teguh!"

Tangan Jasmine digenggam erat oleh Nek Timah. Menghulurkan kekuatan buat cucu tunggalnya itu. Dia mengerti bukan mudah Jasmine mengumpul sisa semangatnya setelah pemergian Zafri.

"Semuanya akan baik-baik saja, Jasmine Qasrina. Percaya cakap nenek. Kalau nenek yakin yang cucu nenek ni akan kembali kuat jadi Jasmine pun kenalah percaya diri sendiri. Pasal nenek... ramai je yang boleh tengokkan nenek nanti," tutur Nek Timah lagi.

Senyuman pahit terukir di bibir Jasmine. Dia hanya mengangguk lemah dengan nasihat neneknya. Semuanya akan baik-baik saja. Semangatnya akan pulih. Dia akan bangkit daripada kesedihannya. Bina semula kebahagiaannya bersama tanda cintanya dengan arwah Zafri.

"Ala cicit oyang ni. Comotnya dia. Mari sini duduk dengan oyang." Nek Timah mendukung tubuh kecil Elman yang sudah meluru ke arahnya sambil menjamah kek coklat. Didudukkan budak lelaki itu di atas pangkuannya seraya mengesat mulut Elman.

"Nanti Elman jaga ibu tau. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap ibu. Jadi anak yang baik dan soleh. Kalau oyang dah tak ada... Elman kena selalu buat ibu senang hati ya. Oyang sayang Elman sangat tau."

Kata-kata Nek Timah membibitkan rasa hiba di lubuk hati Jasmine. Pandangannya tunak memerhatikan neneknya yang ligat mengacah Elman. Ya Tuhan, jujur Jasmine agak keberatan untuk meninggalkan neneknya.

Peristiwa kehilangan Zafri benar-benar membuatkan Jasmine trauma dengan kehilangan orang tersayang. Sakitnya seolah-olah nyawa turut direnggut daripada jasad.

"Nak saya tangkapkan gambar tak sebelum kita fly?"

Suara Elisa kedengaran. Mematikan lamunan Jasmine serta-merta. Lantas, Jasmine mengambil posisi memeluk erat lengan neneknya. Senyuman mekar di bibir wanita muda itu. Ingin mengabadikan  foto memori bersama nenek dan anak kecilnya sebelum dia kembali semula ke Malaysia dalam versi Jasmine Qasrina yang teguh.

"1...2...3 cheese!"

🥀🥀🥀

SUARA jeritan dan rintihan kesakitan yang membingitkan telinganya benar-benar menganggu ketenangan Jebat. Rintikan hujan di luar tingkap tak lagi memberikan ketenangan buat pemuda yang hanya berdiri kaku di hadapan tingkap dibantu dengan topang.

Amarah, kecewa, sedih. Semuanya sebati menjadi satu dalam dinding hati Jebat Khuwailid. Ruang memorinya bagaikan pita rakaman yang mengimbas semula kejadian gelap itu.

"Aku minta maaf kak... aku minta maaf..."

Tak henti-henti kata maaf terlafaz di bibir Jebat tatkala rasa bersalah kian mencengkam sanubarinya. Wajahnya membahang. Nafasnya benar-benar sesak tatkala ruang memorinya tak henti-henti bermain dengan kejadian yang menimpa Shana.

"Wo Jebat! Ngam kau dah bangun kita orang ada bawakan sate kambing special untuk kau!"

Keong yang baru melangkah masuk ke dalam wad meletakkan plastik berisi sate kambing di atas meja sisi katil. Dia menghampiri Jebat yang hanya kaku itu. Senang hatinya melihat Jebat sudah semakin pulih daripada kecederaan. Tak lagi terbaring kaku di atas katil.

"Hari ni kita kena raikan kemenangan Fawwaz. Dia belanja kita sate kambing hari ni. Jom makan dulu, Jebat!" Tori membantu menyediakan sate kambing. Semerbak bau daging menusuk rongga hidungnya. Enak!

Melihat Jebat hanya statik membuatkan Fawwaz mengerti bahawa sahabatnya itu masih dalam dunianya sendiri. Lantas, dia menghampiri Jebat. Bahu Jebat ditepuk lembut.

"Jebat! Jomlah. Sejak kau masuk hospital ni kau langsung tak nak makan. Dah macam lidi dah aku tengok kau ni. Kurus kering tak bermaya. Kau kena makan banyak supaya bertenaga. Bagi badan kau tu fit balik supaya kau boleh bertinju lagi."

Jebat menggeleng. Dia menepis kasar tangan Fawwaz. Tanpa pamit, pemuda berjambang itu melangkah keluar dari wad. Langkahnya sedikit pincang dek kaki kanannya yang patah masih dalam proses penyembuhan.

"Kau nak pergi mana?"

"Nak tengok kakak aku."

Buru-buru, Tori menghalang. Berdiri setentang dengan sepupunya. Wajahnya berubah tegang tatkala Jebat mula berdegil untuk melihat keadaan Shana. Sungguh, dia tak mahu Jebat semakin tertekan.

"Rehat dulu. Kau tak sihat..."

Belum sempat Tori menoktahkan bicara, tubuhnya sudah ditolak kasar oleh Jebat. Pemuda itu menonong keluar dengan wajahnya yang bengis. Terkocoh-kocoh Tori mengejar langkah Jebat.

"Jebat! Kalau kau nak tengok kakak kau janganlah dalam keadaan emosi kau tak stabil lagi. Kau baru je sedar, cubalah dengar cakap aku ni!" jerkah Tori seraya menghalang langkah Jebat di kaki lima hospital.

"Kau jangan halang aku boleh tak?"

"Aku cuma tak nak kau sakit!"

"Aku dah tak sakit lagi. Aku dah boleh bangun. Aku tak lembik macam mayat hidup lagi!"

"Ya! Tapi emosi kau..."

"Aku kata jangan halang aku sial!"

Sontak, Tori tersungkur tatkala Jebat menghenyakkan tumbukan ke wajahnya. Terasa kelat liur yang sudah bercampur darah di rangkungannya dengan amukan Jebat. Sepupunya itu benar-benar dihurung dengan amarah.

"Kau ingat... aku boleh tenang lepas apa yang jahanam-jahanam tu dah buat dekat kakak aku? Kau ingat... aku boleh terima dengan apa yang dia orang dah buat dekat kakak aku? Asal kau tahu... sampai mati pun aku takkan maafkan syaitan-syaitan tu semua! Sebelum aku mati... aku akan pastikan manusia laknatullah tu terseksa di tangan aku!"

Suara parau Jebat bergema di lorong itu. Dadanya berombak kencang. Urat-urat hijau timbul di dahi Jebat. Dinding hatinya serta-merta disemai dengan dendam dan amarah.

"Kakak aku dirogol depan aku, Tori! Maruah kakak aku kena pijak depan aku!  Aku dah gagal... lindungi kakak kandung aku sendiri! Satu-satunya kakak yang sanggup terima adik dia yang tak sempurna. Selama ni... kakak aku selalu pertahankan aku tapi bila sesuatu yang buruk berlaku dekat dia... aku langsung tak mampu nak lindungi dia!"

Pandangan Jebat mula kabur. Tubir matanya terasa hangat. Bibirnya diketap menahan tangis. Ya Tuhan, betapa hancurnya hati seorang Jebat Khuwailid tika ini. Dia gagal menyelamatkan Shana.

"Aku rasa nyawa aku ni dah tak bermakna lagi lepas aku gagal jadi pelindung buat kakak kandung aku! Jadi, kau jangan halang aku untuk jumpa kakak aku!"

Jebat mengesat kasar air mata lelakinya yang membasahi pipi. Dia tak boleh lemah. Dia harapan keluarga. Dia pelindung keluarga. Ketua keluarga setelah kematian ayahnya. Lantas, Jebat melangkah ke wad yang ditempatkan oleh Shana.

Tori benar-benar terkelu melihat kekecewaan di wajah sepupunya. Tubuhnya kaku di atas lantai. Rasa simpati menyelinap masuk ke relung hati pemuda bermata sepet itu dengan nasib yang menimpa Jebat dan Shana.

"Tapi Shana dah tak macam dulu lagi, Jebat..."

🥀🥀🥀

"MAAF encik. Tapi hanya Puan Nijah yang dibenarkan masuk dalam wad. Keadaan Cik Shana masih belum stabil."

"Nurse, aku ni adik dia. Takkanlah aku pun tak boleh masuk?" Jebat bengang. Ada tanda tanya bermain di lubuk hatinya tatkala orang sekelilingnya menghalang untuk bertemu Shana. Membuak-buak Jebat ingin tahu keadaan Shana tika ini.

"Maaf encik. Buat masa sekarang encik tak boleh jumpa Cik Shana lagi. Baik encik balik je. Bila keadaan dah mengizinkan barulah..."

"Cik misi, aku cakap elok-elok ni. Tolong bagi aku jumpa kakak aku. Sekejap je. Satu saat pun jadilah. Tolonglah... aku merayu. Aku ni adik dia. Dia akan okey kalau tengok muka aku."

Nada suara Jebat yang dingin dan penuh autoriti itu membuatkan jururawat bertudung putih itu kecut perut. Dia berbelah bahagi. Bukannya dia tak mahu Jebat masuk ke dalam wad privasi itu. Tapi memikirkan keadaan Shana, dia khuatir.

"Cik misi... tolong. Aku merayu..."

"Satu minit je."

"Ya. Satu saat pun boleh."

Jururawat itu menghela nafas berat. Lambat-lambat, dia memulas tombol pintu. Dengan harapan tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Dia berganjak. Memberikan ruang untuk Jebat melangkah masuk.

"Terima kasih."

"Sama-sama."

Tatkala Jebat melangkah masuk ke dalam wad itu, pandangannya tertancap ke arah seorang gadis yang terbaring lesu di atas kasur. Membelakanginya. Perlahan-lahan, Jebat menghampiri. Dia lega melihat Shana masih bernyawa.

"Kak. J... Jebat datang..."

Baru saja Jebat mengusap lembut kepala Shana, gadis itu tiba-tiba bangun dari pebaringannya. Shana meluru ke penjuru dinding. Nafasnya turun naik tatkala pandangannya bertaut dengan Jebat. Seluruh tubuhnya menggigil.

"Kak... Jebat ni kak. Jangan takut..."

"Jangan! Jangan dekat! Jangan apa-apakan aku. Jangan sentuh aku!" Teriakan histeria Shana membuatkan Jebat kaget. Selangkah demi selangkah, Jebat menghampiri ingin memeluk erat tubuh kakaknya.

Malangnya, langkah Jebat terhenti tatkala tubuhnya dirempuh oleh Shana sehingga Jebat terduduk. Alangkah hancurnya hati Jebat melihat keadaan Shana yang sudah meraung tanpa henti. Tubuhnya menggigil melihat Shana sudah meniarap masuk ke bawah katil.

"Jangan sentuh aku! Jangan sakitkan aku! Aku merayu! Pergi! Aku tak nak tengok muka kau lagi!"

Tanpa henti Shana berteriak tatkala dia merasakan tangan-tangan jijik itu masih menyentuh setiap tubuhnya. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi gadis itu. Kelengkangnya mula basah tatkala ketakutan mencengkam sanubari. Nafas seakan tersekat di rangkungan tatkala pandangannya bertaut dengan Jebat Khuwailid.

"Ni Jebat. Adik kakak. Jebat nak jaga akak je. Bukan nak sakitkan akak. Jebat minta maaf kak... Jebat minta maaf..."

Jebat menepuk-nepuk dadanya tatkala dinding hatinya seakan ditusuk dengan berjuta-juta belati. Jebat hanyut dengan rasa bersalah. Patutlah dia dilarang bertemu dengan Shana. Nyata, kesakitan di tubuhnya ini tak sesakit yang dialami oleh Shana yang sudah hancur.

Bersambung...
30.7.2024

Terima kasih sudi singgah ✨️ semoga KYTT ni bukan sekadar karya kosong semata-mata. Kalau sukakan KYTT jangan lupa tekan vote

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top