EPISOD 1

GURUH yang berdentum kuat di kaki langit seakan menggegarkan lantai bumi yang mula dibasahkan dengan rintikan hujan. Sesekali, angin malam mengetuk sebuah pintu kayu rumah kecil. Sayup-sayup kedengaran tangisan bayi yang baru saja dibendung oleh Nek Timah yang sedang mendukung cicitnya. Ada senyuman menghias wajah wanita tua itu.

"Comel anak kau Jas. Pipi gebu. Hidung mancung. Putih melepak sama macam ibu dia."

Perlahan-lahan, Nek Timah meletakkan tubuh si kecil di sisi Jasmine yang hanya terbaring lesu di atas kasur. Masih jelas terpancar wajah pucatnya. Rintik-rintik peluh mengalir ke pipi wanita yang baru saja bertarung melahirkan zuriatnya.

Namun, laju saja Jasmine mengelak seraya bangun daripada pembaringannya. Jiwanya dirusuh resah. Fikirannya bercangkaliwang memikirkan masalah yang masih belum selesai. Tatkala pinggangnya terasa mencucuk, air mata Jasmine mengalir jua.

Ya Tuhan, sakit melahirkan zuriat bukan kepalang! Tulang-temulangnya seakan dipatahkan sekelip mata.

"Jangan bangun dulu. Kamu tu baru je lepas bersalin. Bawa berehat..."

"Jas nak cari abang. Dia kena sambut kelahiran anak kami, nek. Dah seminggu dia tak balik. Dia dah janji yang dia akan balik untuk anak kami," pintas Jasmine. Ada getaran sayu di sebalik suara wanita yang sudah terhincut-hincut menghampiri almari pakaiannya.

Sakit.

Tapi, Jasmine tak rela membiarkan Zafri hilang tanpa jejak lagi. Dia rindukan Zafri. Jasmine mahu menyambut kelahiran zuriat mereka bersama-sama. Sudah terlalu lama mereka menanti kelahiran penyeri dalam keluarga kecil mereka.

Mana mungkin Jasmine membiarkan si kecil kehilangan kasih seorang ayah. Keluarga kecil mereka harus berkumpul semula.

"Kau tak kuat mana lagi, Jasmine! Boleh tak jangan degil? Sekali ni je kau dengar cakap nenek. Orang kampung tengah usaha cari Zafri. Tapi, cuaca buruk sekarang ni tak mengizinkan dia orang nak sambung pencarian! Dah! Bawa berehat dulu sampai kau pulih!"

Sungguh, melihat Jasmine yang sudah menukar pakaian dan menyarung selendangnya membuatkan Nek Timah berang. Degil benar cucu tunggalnya ini sehingga dia sendiri pusing mahu memujuk hati rawan Jasmine.

Seakan, lut dengan kesakitan selepas bersalin!

"Jasmine! Kau tengok anak kau ni! Kau tak pandang, tak cium dia langsung pun lagi. Kau tak kesian anak kau yang perlukan kasih sayang mak dia ke? Kenapa degil sangat ni hah!"

Omelan yang tak henti-henti itu hanya ditulikan saja oleh Jasmine. Dengan langkah yang pincang, wanita itu melangkah keluar dari kamarnya. Tiada langsung empati mencengkam sanubarinya tatkala tangisan si bayi semakin membingitkan telinga.

Zafri.

Jasmine hanya mahukan suaminya. Hanya itu...

"Jasmine Qasrina! Kau..."

"Nenek boleh diam tak! Diamkan budak tu sekali! Bingit! Jasmine tak suka! Serabut! Jasmine cuma nak cari suami Jasmine. Bukan nak pandang muka budak ni! Jasmine rasa nak mati selagi abang Zafri tak ada depan mata Jasmine! Nenek faham tak!"

Tak semena-mena, nada suara Jasmine naik seoktaf. Nafasnya sesak di dada. Wajahnya membahang panas tatkala amarah mula mencengkam sanubarinya. Wajah si kecil yang berada di dukungan Nek Timah dipandang dengan penuh kebencian.

Seakan, ada sesuatu yang merasukinya sehingga ada kebencian mula menjentik tangkai hatinya buat si kecil.

Nek Timah mencengkam lengan Jasmine. Mematikan terus langkah wanita itu. Pandangan mereka saling bertaut buat seketika.

Sungguh, melihat tatapan Jasmine meluluhkan hati tua Nek Timah.

"Jasmine... jangan macam ni. Kau rehat dulu. Kau susukan anak kau yang tengah lapar..."

"Jasmine kisah apa dia lapar ke tak! Budak ni pembawa sial! Dia lahir je... Jasmine hilang suami..."

"Astagfirullahalazim! Bawa mengucap Jasmine Qasrina! Ni anak kandung kau. Nenek tak pernah ajar kau untuk lawan takdir Allah. Dua tahun kau tunggu kelahiran zuriat kau! Semudah tu je kau kata budak ni pembawa sial? Jangan melampau, Jasmine!"

Jasmine mendengus. Ditepisnya kasar tangan tua neneknya. Tiada langsung serba salah dengan kata-kata yang dilontarkan sebentar tadi. Bibirnya yang sudah menggeletar menahan tangis diketap.

"Jasmine cakap benda betul! Sepanjang Jas mengandungkan budak ni, ada je masalah yang jadi. Sekarang, dia lahir je bapa dia hilang! Dia ni memang pembawa sial! Kalau Jas tahu dia ni bagi musibah, baik Jas gugurkan..."

Jasmine terkelu.

Mulutnya terpelongo tatkala pipinya terteleng dengan tamparan kuat Nek Timah. Telinganya berdesing kuat. Suasana sepi buat seketika. Hanya bunyi butiran hujan bagaikan peluru di luar rumah. Seakan mengerti gelodak di jiwa Jasmine Qasrina.

"Tergamak... kau cakap macam tu dekat anak kandung kau sendiri? Kalau Zafri dengar apa yang kau cakap pasal cicit nenek, hancur hati suami kau, Jasmine! Dua tahun dia tunggu zuriat kau orang. Kau sendiri dah penat bila orang kampung mengata kau ni mandul! Sekarang, bila Allah kurniakan rezeki buat kau... ni yang kau balas?"

Kolam mata Jasmine mula terasa hangat tika kata-kata Nek Timah seakan merobek hatinya. Kakinya seakan goyah. Ya. Dua tahun dia menanti kehadiran cahaya mata. Dua tahun dia terpaksa makan hati di saat orang kampung mengata bahawa dia ini mandul.

"Mengucap Jasmine. Jangan biarkan syaitan kawal fikiran kau. Kita teruskan berdoa supaya Zafri pulang dengan selamat. Sambut kelahiran anak kau orang. Kita berkumpul lagi jadi satu keluarga. Ya?"

Perlahan-lahan, Nek Timah mengusap lembut bahu Jasmine. Dibacakan doa penenang hati agar Jasmine kembali teguh. Dia mengerti hati cucunya ini sudah rapuh dengan kehilangan separuh sayapnya.

"Abang... akan balik kan nek?"

"Ya. Dia akan balik untuk kau. Untuk cicit nenek. Kita rehat. Ya?" pujuk Nek Timah seraya memimpin tangan Jasmine kembali masuk ke dalam kamar.

Namun, baru selangkah mereka menapak, pintu rumah diketuk bertalu-talu dari luar. Laju saja Jasmine ke muka pintu tanpa mempedulikan kesakitannya. Pasti Zafri sudah pulang!

Terherot senyuman di bibir kering Jasmine. Air matanya dikesat lembut. Tak mahu air mata menyambut kepulangan Zafri.

"Abang..."

"Assalamualaikum."

Malangnya, tiga figura lelaki yang mengenakan baju hujan kelihatan di luar rumah. Intuisi Jasmine negatif. Apatah lagi melihat wajah sayu mereka yang tunak memandangnya.

"Waalaikumsalam. Rahim, Pak Saiful, Jafar? Ada apa ya?"

"Maaf nek kalau kami ganggu malam-malam ni. Tapi, ada benda yang kita orang nak sampaikan dekat nenek dengan Jasmine," tutur Rahim. Dia menghela nafas berat. Seakan melepaskan beban di pundaknya.

"Pasal apa?"

"Zafri. Kami harap..."

"Kau orang dah jumpa abang Zafri? Mana dia? Dia okey je kan? Tak ada benda buruk jadi dekat suami saya kan?"

Bertubi-tubi soalan daripada Jasmine membuatkan ketiga-tiga lelaki itu saling berpandangan. Masing-masing buntu mahu menyampaikan berita ini. Seakan kehilangan kata untuk menyusun ayat.

"Kenapa kau orang diam? Mana suami saya..."

"Jasmine, Pak Saiful harap... kau bawakan bersabar dulu. Tenang..."

"Macam mana saya nak tenang kalau suami saya hilang kat laut? Dah seminggu dia hilang! Saya dah nak gila sebab benda ni, Pak Saiful!"

Tak semena-mena, Jasmine kembali diserang amuk. Bersabar? Sampai bila dia harus bersabar sedangkan jiwanya tak tenteram selagi Zafri tak ditemukan?

Ya Allah, Jasmine lelah!

"Jasmine... bawa mengucap."

Tangisan Jasmine pecah jua akhirnya saat ketakutannya semakin mencengkam sanubari. Angin yang menerobos masuk ke dalam rumah tak terasa nyaman lagi. Masih terbayang di ruang memori dia menghantar Zafri ke samudera demi mencari rezeki.

Hidup mereka serba daif. Tapi, tetap saja Jasmine rasa bahagia menjadi isteri kepada pemuda itu.

"Kenapa dengan Zafri?"

"Nenek... kita orang dah jumpa Zafri. Tapi..."

Jafar jeda. Wajah si kecil yang berada di dukungan Nek Timah dipandang sayu. Dia kasihan melihat anak yang baru lahir itu disambut dengan sebuah berita yang mengayat hati.

"Zafri tak berjaya diselamatkan. Dia lemas. Forensik dah bawa jenazah dia ke hospital untuk proses bedah siasat. Ni, kami nak bawa nenek ke sana..."

"Kau orang tipu! Tak mungkin! Suami saya tak akan tinggalkan saya! Dia..."

Raungan Jasmine pecah jua. Serentak dengan tangisan si kecil tanpa henti. Kakinya melorot di muka pintu. Kepalanya tergeleng-geleng seakan dia punya magis untuk menghapuskan takdir yang sudah tertulis buatnya ini.

"Inalillahiwainalillahirojiun..."

Nek Timah terduduk di sisi Jasmine. Air matanya mengalir ke pipi. Dia kaget. Buntu melihat cucunya yang sudah meraung tanpa henti. Ya Allah, besar sungguh dugaan yang sedang menimpa cucunya ini.

Tiada lagi Jasmine yang ceria. Apa yang tinggal, hanyalah penderitaan di wajah manis itu.

🥀🥀🥀

"Apa nak jadi dengan kau ni?  Elok-elok mak besarkan kau jadi manusia tapi jadi syaitan juga yang kau pilih! Tak cukup ayah kau dah hancurkan keluarga kita, sekarang kau nak hancurkan hati mak pula ke? Kenapa kau bebal sangat!"

"Jebat Khuwailid!"

Tatkala suara tegang itu kedengaran, si pemuda berbaju oren terbangun daripada  lena panjangnya. Kata-kata keramat si ibu masih terngiang di telinga. Jebat mengeluh berat. Wajahnya yang kusut meliar dengan jambang diusap kasar.

"Ada pelawat nak jumpa kau."

Jebat hanya mengangguk. Langkah diatur keluar dari sel. Tangannya yang digari oleh warden dipandang sinis. Sudah hampir empat tahun dia menjadi penghuni penjara ini.

Atas jenayah yang sengaja dilakukan agar matlamatnya tercapai.

"Jebat! Adikku!"

Melihat saja wajah ceria Tori, amarah terus mencengkam jiwa Jebat. Tajam saja mata helangnya merenung si lelaki bermata sepet yang sudah mengenggam telefon untuk berkomunikasi dengannya.

"Kau tak rindu abang kau ke?"

Senyap.

Tori mencebik sinis. Dipandangnya wajah kusut Jebat yang seakan mahu membunuhnya. Jelas ada kesan lebam di pinggir bibir pemuda pertengahan 20 an itu.

"Kau ni... kan aku dah cakap duduk kat dalam tu jangan bergaduh. Kau tak takut kena bunuh dengan jiran-jiran kau ke? Jangan cari pasal. Memang setiap kali aku datang melawat kau ada je lebam-lebam tu kat muka kau. Cubalah jadi anak yang baik..."

"Kau nak apa?"

Suara tegang itu mula kedengaran.

"Aku ingatkan kau dah bisu. Mana tahu otak kau dah terhantuk kat mana-mana ke kan sampai bisu..."

"Kau nak apa syaitan?"

Tak semena-mena, Tori ketawa terbahak-bahak mendengar panggilan sepupunya. Tajam. Sinis.

"Aku cuma nak melawat sepupu aku. Salah ke?"

"Kau tak akan jumpa aku kalau tak ada benda penting. Jadi, apa lagi plan kau kali ni?" Soalan dibalas dengan soalan.

Tori menghela nafas berat. Dia memandang sekelilingnya. Pelawat sibuk berbual bersama banduan melalui cermin lut sinar. Wajahnya sontak berubah bengis. Tubuh didedekatkan ke arah cermin.

"Tahun depan, kau dah boleh keluar dari neraka dunia ni. Aku dah ada jalan terakhir untuk kau cari manusia yang dah bunuh ayah kau."

Tika kata-kata keramat itu meluncur daripada Tori, dinding hati Jebat semakin terasa panas. Gagang telefon digenggam erat. Pandangannya tajam merenung wajah Tori.

"Jadi, jangan mati dulu kat penjara ni kalau kau nak tuntut keadilan untuk ayah kau. Jangan cari pasal dengan banduan kat dalam ni kalau tak nak mati awal."

Bersambung...

Terima kasih sudi luangkan masa dengan KYTT ✨️ jangan risau cerita ni pain sikit je 🤏

Cukup 50 vote, 5 komen saya update episod baru supaya lebih semangat gitu ✨️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top