BAB 14
"Assalamualaikum..."
"Waalaikumussalam. Masuklah. Pintu tak kunci," sahut Puan Maznah yang sedang menjahit di ruang tamu.
"Apa mak long pintu rumah biar terbuka macam tu je. Buat orang jahat ke yang datang, macam mana?" Bebel Aini yang sudah naik ke rumah ibu saudaranya itu.
Puan Maznah hanya senyum nipis, "Nak takut apa. Abang Firash kamu ada dalam bilik tu. Orang jahat datang, mak long jerit je nama dia!"
Aini tersengih sikit dengan kata-kata Puan Maznah lalu dia duduk bersimpuh di atas lantai, siap menongkat wajahnya pada peha ibu saudaranya itu.
"Ni kenapa ni? Kamu gaduh dengan ibu ayah kamu lagi?"
Aini mencebik sikit, "Saja nak menumpang kasih dengan mak long. Kat sana, kakak yang jadi pujaan hati ibu ayah."
"Apa lagi yang tak kena, Aini?"
Aini mengeluh perlahan, "Ibu ayah tahu yang Aini pergi cari Abang Mail hari tu."
"Ya Allah, Aini!" Keluh Puan Maznah, tak percaya.
"Kenapa lagi kamu cari Mail tu? Kamu dengan dia dah tak ada apa-apa."
"Tapi bukan Aini yang nak putuskan pertunangan kami..." Aini bersuara, sedih!
"Bukan Aini? Bukan Aini ke yang kata, Aini tak nak hidup susah dengan Mail. Aini tak suka Mail lebihkan adik-adik dia...."
"Aini terpaksa mak long!" Aini sudah teresak kecil, "Ibu ayah yang paksa Aini putuskan pertunangan. Ibu ayah cakap Abang Mail sengkek, sebab tu dia tak nak buat majlis resepsi asing. Kakak pun jadi batu api, cakap keluarga Abang Mail nak harta kami yang seciput tu!"
"Habis tu Aini tak reti nak pertahankan diri ke? Biar je diri tu kena racun?" Puan Maznah menghamburkan kata! "Aini kata Aini marah bila ibu dan ayah pilih kasih. Lebihkan Aiza. Ni bila Aini buat macam ni, ibu ayah Aini ada sanjung Aini ke? Jangan cakap Aini nak berbaik dengan Mail sebab dah tengok Mail dah senang. Bagitahu mak long. Apa sebabnya kamu tiba-tiba cari anak Acik Hasni tu balik?!"
Sungguh dia marah dan malu! Hasni dengan dia bukan orang lain. Mereka kawan baik. Bestie forever bak kata orang sekarang.
Tapi sekarang, dia nak pergi menegur sahabatnya itu pun dia dah malu. Malu kerana keluarga adiknya sendiri telah menghina keluarga kecil sahabatnya itu.
"Aini... Aini..." Mati kata-kata Aini bila ada satu susuk tubuh keluar dari salah satu bilik tidur yang ada dalam rumah papan itu.
"Apa kecoh-kecoh ni, mak? Tak senang abang nak tidur," anak lelaki Puan Maznah keluar bilik dengan wajah yang jelas masih mengantuk dan rambut yang serabai.
Aini yang memandang terus saja alihkan pandangan. Malu melihat abang sepupunya itu.
"Tak ada apalah. Mak bergosip pasal orang kampung je dengan Aini ni ha..." Ujar Puan Maznah, melindungkan perkara sebenar.
Firash memeluk tubuh memandang Aini lalu dia bersuara, sinis! "Orang kalau dah tak nak, jangan nak terhegeh-hegeh. Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong."
Aini menunduk malu. Tahu yang abang sepupunya itu menyindirnya. Bukan dia tak tahu lelaki itu anti betul dengannya. Sejak dulu lagi!
Melihat Firash yang dah berlalu, Puan Maznah gosok kepala Aini, "Cuba bagitahu mak long, Aini... kenapa kamu tiba-tiba nak berbaik semula dengan Mail tu?"
Aini diam sekejap lalu dia pejamkan matanya, "Ibu ayah nak kahwinkan Aini dengan orang kaya kampung sebelah sebab Kak Aiza cemburu Abang Radhi baik dengan Aini."
"ALLAHUAKBAR!!!"
.
.
.
.
.
"Apahal tok ketua tu macam marah je dengan kau, Mail?"
Mail pandang tok ketua yang sedang berbual dengan Kip mengenai kereta orang tua itu sebelum wajah Deng dipandang, "Aku sidai dia lama sangat kat pasar tadi."
"Aik? Bukan ke kau terus pergi dekat orang tua tu tadi?" Deng bertanya pelik.
Mail geleng kepala, "Ada kecemasan tadi. Aku pun cemas sangat sampai lupa tok ketua tengah tunggu aku!"
Deng pandang Mail dengan wajah penuh curiga, "Kau ni betul-betul pergi skodeng rumah Cikgu Nur tu ke?"
Mail senyap tak menjawab. Niatnya tadi hanya mahu temankan Kaisarah sampai ke kereta saja. Tapi kerana dia risaukan keselamatan Kaisarah, dia dengan rela hati escort Kaisarah dengan motorsikalnya sampai ke rumah wanita itu.
"Kau ni..." Keluh Deng sambil ketawa kecil bila dia sudah dapat tebak jawapan kepada soalannya tadi!
"Dia kena kacau dengan bekas tunang dia kut! Takkan aku nak buat tak tahu," ujar Mail cuba membela diri.
Deng ketawa lagi besar dengan jawapan Mail itu, "Mesti berkicap ketiak orang tua tu kau sidai. Patut member marah."
"Ah, diamlah kau!"
"Jangan marah-marah, Abang Mail. Tu marka hang sudah mari..." Deng memuncungkan mulut pada sebuah kereta yang berhenti di depan bengkel kereta Mail.
Mail laju memandang ke arah yang ditunjukkan Deng. Bibirnya mahu menguntum senyum namun dikeraskan seluruh otot wajah. Kalau dia senyum sekarang, kena bahan dengan Deng dan Kip sampai tahun depan!
.
.
.
.
.
"Hai!" Kaisarah melambai sikit pada Mail bila lelaki itu sudah pun mendekatinya.
"Kenapa datang bengkel? Kereta rosak lagi?" Tanya Mail, sedikit serius.
Berkerut dahi Kaisarah dengan keseriusan Mail namun tetap dia ukir senyum, "Tak. Kereta saya okey. Saya datang nak bagi ni..."
Mangkuk tingkat yang dihulur Kaisarah dipandang Mail dengan wajah keliru, "Apa ni?"
"Sia lah. Ambik ni cepat. Tak usahlah buat muka kelam macam tu."
"Kenapa awak bagi ni dekat saya?"
Melihat Mail yang macam nak main tarik tali dengan dia buat Kaisarah mengeluh, "Saya saja nak buat bekal makanan ni untuk awak. Tapi kalau awak tak nak, saya bagi dekat pekerja awak tu je. Saya buat ni untuk berterima kasih sebab awak tolong saya pagi tadi."
Baru dia nak gamit pekerja Mail yang mengikat rambut gaya man bun itu, Mail lebih laju mencapai mangkuk tingkat yang dipegang Kaisarah, "Kata untuk saya. Saya punyalah. Nak bagi dekat budak tu kenapa."
"Dah awak macam tak nak ambik je," jawab Kaisarah.
"Bukan tak nak ambik..." Mail leretkan suara. Kepala naik menggaru kepala. Dia dapat rasa senyuman keji Deng dan Kip padanya sekarang.
"Saya buat lauk simple je tapi. Sayur campur, sambal telur goreng dan ikan keli berlado. Harap kenalah dengan selera awak."
"Cikgu Nur, kalau cikgu bagi lauk rumput goreng pun, mesti kenalah dengan selera Abang Mail kita ni," teriak Deng dari belakang Mail langsung buat Kaisarah ketawa kecil. Mail pula rasa macam nak tuju spanar dekat kepala Deng.
"Saya balik dululah, Mail. Lauk tu kongsilah dengan pekerja awak. Saya letak banyak," pesan Kaisarah sambil tersenyum manis.
Melihat senyuman manis Kaisarah, Mail rasa hatinya dah jatuh tergolek-golek. Bukanlah Kaisarah itu tidak pernah tersenyum kepadanya. Pernah tapi tidak semanis sekarang! Ah, parah dah kau ni, Ismail!
"Saya balik dulu. Assalamualaikum..."
Mail masih statik ketika kereta milik Kaisarah sudah pun berlalu pergi meninggalkan bengkelnya.
"Sedapnya bau, makan besar kita hari ni!" Tak tahu bila, Deng sudah mendekati Mail dan bahu bosnya itu dipeluk.
Mail seperti tersedar dari lamunam, berdeham sedikit lalu tangan Deng dibahunya ditolak. Sehelai not lima puluh ringgit dikeluarkan dari poket seluarnya lalu dihulurkan pada Deng, "Nah, ambik duit ni."
"Aik? Apahal kau bagi duit kat aku?"
"Kau dengan Kip pergi beli makanan lain. Yang dalam ni..." bekas sia yang diberi Kaisarah, Mail angkat tinggi "... yang ini aku punya."
Tercengang Deng bila Mail sudah pun berlalu meninggalkannya sambil bersiul kecil. Lauk Kaisarah masak, Ismail yang punya!
Kip yang baru selesai menulis bil untuk tok ketua pandang Deng bila lihat Mail berjalan seperti dapat durian runtuh, "Apahal tu?"
Deng ketawa lalu dia menjawab, "Orang angau, Kip. Baru dapat lauk dah berjalan macam beruk!"
Kip yang mendengar turut ketawa. Macam ni rupanya bila bosnya itu jatuh cinta, ya?
.
.
.
.
.
Bersambung...
p/s; hensem pulak firash ni. Hmmm...
Jangan lupa vote dan komen!!! Muahciked 🤎🫶
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top