KadirKadariah 6

Marhamah cantik!

Wajahnya bak mempelam epal, pipinya tembam bagai pau baru dikukus, matanya bersinar seperti nyalaan lampu di atas ambulans. Tak kurus, tak gemuk. Tak tinggi, tak rendah.

Budi bahasanya pun, sopan, lembut. Tak kisahlah dia cuma berjubah hitam, tak bergaya. Orangnya mesra. Alah, berkenanlah Bada sekeluarga tengok.

"Jadi Marhamah memang ambil upah menjahit baju sambil jual telekung melalui Instagram... Sebelum ni, kerja apa?" tanya Bada yang berkunjung ke rumah Mak Aji Maznah lima hari selepas dapat tahu, adiknya Kadir itu punya pendamping purba yang mempengaruhi perangainya.

"Sebelum ni, saya mengajar Bahasa Melayu di sekolah swasta di Singapura. Tapi bila mak dan ayah saya nak pencen dan duduk Melaka balik, saya berhenti. Di Malaysia ni, kelayakan saya tak boleh dapatkan saya kerja. Tapi jual telekung pun seronok juga. Seronok terbayang setiap pembeli saya, makin dekat dengan Ilahi," cerita Marhamah, sopan.

"Minumlah Bada, ni Marhamah yang buat kuih ni. Memasak pun, dia pandai juga," puji Mak Aji Maznah. Dia seolah-olah risau sedikit bila Marhamah bercerita panjang-panjang.

Kuih ketayap dijamah Bada. Hamdan ikut makan. Maria dan Hafiz juga.

"Sedaplah," komen Maria. "Tak manis sangat, tak tebal sangat."

Hafiz bersetuju dengan mengambil sebiji lagi kuih.

Kadir diam saja di hujung sofa di ruang tamu yang sama. Minuman panas pun tak dijamahnya.

Bada agak lega Kadir bukan dalam persona Kadariah, kerana kalau tidak, Kadir pasti mahu berdegil pakai baju kurung Kedah yang dijahitnya tempoh hari. Hari ini, dia pakai jeans Levis dan T-shirt biasa saja. Nampak muda.

"Kadir, minumlah. Membatu je di situ kenapa?" pelawa Mak Aji Maznah. Teh o kurang manis yang sudah dituang ke cawan didekatkan pada Kadir.

"Apa salahnya membatu," gurau Kadir, nampaknya hadir sendiri tanpa pendampingnya merasuk, sambil tersenyum.

"Batu biasa tak apa, batu nisan jangan," tiba-tiba Marhamah berjenaka. Kemudian terus tangannya memekup mulut.

Maria dan Hafiz tersembur ketawa. Hamdan dan Bada terdiam seketika. Mak Aji Maznah, berpeluh dahinya.

Aduh, si Marhamah Morbid dah mula... getusnya dalam hati.

"Batu nisan? Ish," Kadir ikut anak-anak saudaranya tergelak.

"Kalau nak tempah, kawan Instagram saya ada. Akaunnya, NisanCefiro," sahut Marhamah lagi. Tangan kirinya pula automatik menyinggah ke bibir.

Kali ini seluruh ruang tamu ketawa, kecuali Bada dan Mak Aji Maznah.

"Mesti laju servisnya!" Kadir sambung pula.

"Laju jugalah, tapi kalau meniti sirotul mustaqim, belum tau lagi!" ujar Marhamah. Kemudian dia pekup mulutnya lagi.

Mereka semua gelihati.

Bada dan Mak Aji Maznah berpandangan.

Marhamah tak sudah-sudah bikin lawak maut, Kadir tak pula pandang dia semacam atau menganggap perangainya pelik.

Elok saja bergurau dua bujangan terlajak ni.

Nak risau ke, nak gembira?

Itu maksud pandangan mereka.

Melihat Kadir mencapai sebiji kuih ketayap yang hijau warnanya, Mak Aji Maznah fikir, elok dia doa yang baik-baik saja.


Nota khas untuk pembaca: Terima kasih kepada semua yang sudi membaca KadirKadariah. Kisah Kadir dan Marhamah versi Wattpad berhenti di sini.

Mohon doakan ada rezeki untuk kisah mereka diteruskan dalam versi e-book.

Kalau ada, pembaca juga akan tahu kisah asal-usul Kadariah yang sebelum ini mendamping Sadalifah, ibu kepada Kadir dan Bada.

Kemaskini 2021: Maaf, sepatutnya saya buat Nota Khas Untuk Pembaca yang novella KadirKadariah ini sudahpun berada di e-Sentral pada harga cuma RM6 sahaja. Moga sudi meneruskan bacaan anda di https://bit.ly/2Tk1cQR atau bikin saja carian atas talian dengan kata kunci 'KadirKadariah' dan 'e-Sentral'. Selain itu saya juga ada meletakkan satu lagi novella khas untuk anda yang sukakan pekan kecil bernama Ipoh. Tajuk novella kedua saya di e-Sentral itu ialah 'Budak Ipoh Selipar Putus'. Moga sudi cuba baca juga ya. Yang penting, terima kasih kerana sudi membaca KadirKadariah di ruangan oren ini. ❤️

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top