6

SUASANA dinihari sekitar rumah pusaka tepi sawah itu cukup mengimbau kenangan lalu. Kadangkala, momen-momen indah ketika sedang bergelak ketawa bersama keluarga mulai menjelma di kebanyakan waktu. Seusai sahaja menunaikan tanggungjawab kepada sang pencipta, Ngatiman keluar seketika menuju ke beranda rumah untuk menjenguk-jenguk seketika pemandangan matahari terbit dan juga gelagat burung-burung di tengah sawah. Ketika memerhatikan pemandangan sawah padi dan pantulan matahari di ufuk timur, hati Ngatiman amat tertarik dengan pemandangan kaki langit pada waktu pagi.

Pemandangan kaki Gunung Ledang juga kelihatan menenangkan pagi itu. Langit yang pada awalnya tadi gelap gelita, sedikit demi sedikit semakin memperlihatkan bayang-bayang warna kebiru-biruan nila kandi dengan pancaran sinar fajar pagi menyingsing dari arah timur. Apatah lagi, petang semalam hingga ke hulu dinihari cuaca hujan dan suhunya cukup sejuk mengigit tulang belulang. Jadi suasana pagi kelihatan sedikit berkabus.

     Bahagian puncak Gunung Ledang pula jelas kelihatan. Objek pegun berbentuk menara telekomunikasi dan juga singkapan bantuan granit lebih jelas dapat di lihat daripada kejauhan selepas disimbah dengan deraian hujan lebat yang berlangsung selama hampir seharian semalam. Bau-bauan segar sungai Gersik mulai menerawang ke udara lalu aromanya dapat dihidu sejauh beberapa batu. Berdedai-dedai kawanan burung Bangau Putih dan juga burung Ruak-Ruak Sawah mula menghinggapi ke serata permukaan sawah padi yang kebasahan itu sambil mencari sisa sekam padi dan juga ulat pengorek batang padi yang samada bertaburan di atas batas sawah padi ataupun sedang menggelitis di pucuk-pucuk padi yang sedang ranum.

Sesekali, terlihat juga burung pipit yang menghinggap di rumah burung yang disediakan para petani sambil memerhatikan kelibat makanan. Kadangkala pula, kehadiran ayam dan juga lembu yang bertaburan di tepi jalan bendang turut memeriahkan suasana sawah padi yang maha luas itu. Seawal pagi biasanya, para penangkap belut sawah sudah mulai membawa pancing, tukil, taut ataupun lukah buluh masing-masing untuk memulakan operasi menangkap belut sawah.

Ngatiman bercadang pada pagi itu untuk melawat ke kebun kopi dan koko milik arwah ayahnya yang terletak tidak jauh dari kawasan bendang sawah tersebut. Pada masa ini, kebun kopi dan koko itu sedang dijaga oleh seorang pekerja ladang berbangsa Bangladesh bernama Sohil. Sohil sudah menetap di Malaysia selama tiga belas tahun dan telah berkahwin dengan wanita warga tempatan disini. Tidak hairanlah jikalau Sohil agak fasih bertutur dalam bahasa Melayu walaupun kedengaran sedikit pelat dan masih ada kedengaran bunyi slanga Asia Selatan.

Sebelum ke kebun koko dan kopi, dia singgah sebentar ke Warung Pak Supardi bagi mengisi perut seketika. Beberapa orang pelanggan juga sedang enak menjamu selera di Warung Wak Supardi itu. Ada di antara mereka yang Ngatiman kenal, ada juga yang langsung tidak dikenalinya. Ngadiron, seorang tukang kait sawit juga singgah untuk mengeteh di Warung Wak Supardi itu. Sambil memesan beberapa keping roti canai kosong samada untuk dimakan dan juga dibungkus, Ngatiman membelek-belek beberapa keping surat khabar utama hari ini yang diletakkan di atas meja.

     "Krisis Makanan Dunia : Seluruh Dunia Berjaga-jaga." ujar Ngatiman sambil membaca tajuk utama dengan nada yang sedikit kuat. Suaranya hampir didengari oleh beberapa orang yang berada dalam Warung Wak Supardi itu.

     "Ya, iyo lah. Memang sekarang ini kan sedang zaman krisis makanan, zaman kemelesetan ekonomi." Ngadiron mengajuk Ngatiman. Ngatiman yang duduk di meja berhadapan dengan Ngadiron hanya tersenyum.

     Ngadiron kelihatan sedang mencicip secangkir kopi panas. Lagaknya seperti mahu lekas selesai bersarapan. Beberapa detik kemudian, dia berteriak kepada Wak Supardi.

     "Wak, masuk buku 555, yo!" sambil tersengih-sengih sebelum keluar menuju lorinya yang enjin tidak dimatikan sejak sedari tadi.

Wak Supardi hanya mengangguk faham. Dia sudah lali dengan karenah pelanggannya yang mahu cepat dan kebiasaannya menggunakan sistem hutang itu.

     Helaian lain pada surat khabar bertarikh hari ini diselak Ngatiman. Sambil menghirup kopi kampung, Ngatiman sekali lagi membaca dengan kuat beberapa tajuk utama di surat khabar yang berlainan pula.

     "PBB: Krisis Inflasi Melanda Dunia."

    "Krisis Kemelesetan Ekonomi Pasca Pandemik : Tiada Jalan Keluar Kelihatan kata Pakar"

     "BERNAS : Bekalan Beras Negara Membimbangkan."

"Harga Bahan Mentah Naik 150% dalam tempoh seminggu."

"Malaysia Gagal Layak ke Piala Dunia 2030."

     "Roti canai bungkus, siap!" Wak Supardi berteriak ke arah Ngatiman.

Ngatiman yang ketika itu sedang khusyuk meneliti setiap berita yang dipaparkan dalam akhbar akhirnya bangkit. Dia menutup helaian terakhir akhbar berkenaan.

"Berapa Wak?" Ngatiman mengeluarkan dompet daripada bahagian poket seluarnya.

"Sepuluh ringgit, semuanya." Wak Supardi menunjukkan kedua-dua belah tapak tangannya kepada Ngatiman.

Ngatiman menghulurkan sekeping not wang kertas berjumlah sepuluh ringgit lalu keluar daripada Warung Wak Supardi sambil mengucapkan terima kasih.

Bungkusan plastik hitam yang terisi roti canai dengan kuah diletakkan dalam bakul motor kapcai. Ngatiman menghidupkan motor kapcai dan berlalu pergi.

***

Selepas bersarapan pagi di Warung Wak Supardi di pinggir jalan, Ngatiman menunggang motosikal kapcai menuju ke kebun kopi dan koko. Kebun itu terletak lima belas minit perjalanan dengan menunggang motosikal. Perjalanan ke kebun kopi dan koko itu perlu melalui laluan denai-denai laluan kebun. Di sekeliling denai itu adalah belukar dan kawasan parit kecil tempat remaja menangguk ikan puyu dan keli. Sambil membawa bungkusan roti canai yang dibeli di kedai Wak Supardi, Ngatiman akhirnya tiba ke kebun koko dan kopi milik arwah ayahnya itu.

***

"Assalamualaikum boss. Lama tarak nampak boss?" Sohil menegur keberadaan Ngatiman di kebun kopi seusia sahaja dia tiba di kebun peninggalan arwah ayahnya itu.

"Iya laa, Sohil. Saya kerja di KL. Sekarang kilang sudah banyak yang tutup, saya balik kampung la." Ngatiman menerangkan situasi dirinya sambil membelek-belek buah kopi yang sudah matang.

     "Nah, sarapan." Ngatiman menghulurkan bungkusan roti canai yang masih panas.

     "Terima kasih, boss!" Sohil hanya tersengih-sengih sambil menyambut bungkusan roti canai itu.

     Buah kopi yang sudah matang akan memperlihatkan warna kemerah-merahan saga. Buah koko yang sudah boleh dituai pula akan menghasilkan warna kekuning-kuningan. Buah kopi yang telah ranum akan dipetik sebelum dijual kepada Ah Heng, tauke kopi secara timbang kilo. Hasil koko yang sudah dikeringkan pula akan dijual kepada peraih yang selalunya datang ke kebun dalam jangka masa dua minggu sekali.

     Ngatiman memeriksa beberapa batang pokok kopi dan koko sambil bertanyakan beberapa soalan kepada Sohil. Pokok kopi dan koko itu ditanam secara bersulam antara satu sama lain. Ini bagi memberikan ruang yang sedikit luas kepada pokok-pokok itu untuk membesar dan menghasilkan buah yang berkualiti tinggi.

     "Sudah petik ini buah kopi kah, Sohil?"

    "Sudah, boss. Ini buah kopi sama buah koko juga sudah saya petik. Ini buah koko saya sudah keringkan itu bawah matahari, boss." Sohil menjawab dengan penuh yakin.

     "Bagus. Ini cuaca kalau hujan, kamu letak ditempat yang kering ya?" Ngatiman menitipkan nasihat kepada Sohil sambil menunjukkan arah gudang kecil di tempat pengumpulan hasil kopi dan koko yang sudah dituai.

     "Siap, boss." Sohil menangguk faham.

"Itu pokok ubi, belakang gudang itu masih ada lagikah, Sohil?" Ngatiman bertanyakan kepada Sohil tentang keberadaan pokok ubi yang ditanam oleh arwah ayahnya dahulu.

"Masih, boss. Kadang-kadang itu rumput saya kasi cabut." Sohil mengiakan sambil arah telunjuknya diarahkan ke kawasan belakang gudang kecil.

***

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top