Jujurlah... Sayang! - Bab 4

"YANG aku tahu, mamat tu memang cerewet

nak mampus. Semua kena complete. Sera dah pernah hantar

proposal. Memang kena campak masuk TS tau." Laju je Alza

biru lembut milik Ruden membelah jalan raya. Nak racing

ke apa ni?

Masalah kereta rupanya tak habis lagi. Hari tu kereta

pa, lepas tu kereta Ajrun buat hal pula pagi ni. Malang tak

berbau, kereta aku berjangkit sekali. Berjangkit sebab kena

kebas dek Ajrun. Katanya ada hal penting benar. Jadi Ajrun

memang tak boleh naik teksi. Oh, dia tak boleh guna teksi,

aku boleh pulak?

"Okey... ini seram. Dah berapa lama company kita

bekerjasama dengan syarikat Xrex ni?"

"Baru enam bulan je. Sebelum ni Sera yang handle

kerja ID dengan company ni. Hari tu aku pergi dengan Sera.

Naik hantu Mr. Choo sebab proposal kena tendang ke laut."

Sera dah pindah, ikut suami dia ke Abu Dhabi. Rezeki dia di

sana.

"Dahlah Mr. Choo kenal dengan bos Xrex. Lepas tu

proposal kena reject pulak. Malulah weh. Xrex ni memang

popular among the wealthy. Tiptop services gitu."

"Apa dahsyat sangat punya lelaki tu? Kalau ya

pun, cakaplah elok-elok... tak payah nak bagi masuk TS

sangatlah..." TS? Tong sampah. Singkatan yang digunakan

oleh kami apabila proposal kena tolak.

"Mana kau tahu lelaki?" Ruden dah gelak. Soalan tu

buat aku garu pipi yang langsung tak gatal.

"Entah... tiba-tiba aku rasa kaum lelaki je yang

kejam macam tu."

"Ada juga perempuan yang jenis tak sayang mulut.

Aku ni apa? Lelaki separuh?"

"Aku tak cakap... kau yang mengaku..." Aku sambung

gelakkan Ruden.

Aku dan Ruden menjadi partner dalam tugasan

projek terbaru kami. Bekerjasama dengan syarikat Xrex

yang selama ini memang sepenuhnya di bawah seliaan Sera.

Tetapi disebabkan wanita itu sudah berpindah, aku dapat

satu lagi projek besar. Pelik betul Mr. Choo, kenapa tidak

diberikan kepada Iqa sahaja projek ni? Aku yang hilangkan

fail Puan Jamiliah, sepatutnya sampai ke sudah aku perlu

bertanggungjawab.

Paling buat aku menyampah, ada ke meeting pukul

11? What the heck is that? Dah hampir tengah hari kut.

Kalau presentation sangkut, terpaksa lanjutkan meeting dua

tiga jam, memang meranalah badan. Terlepas lunch. Tapi

disebabkan manusia yang atur itu namanya pelanggan, sabar

ajelah. Sabar kan separuh daripada iman. Kalau tak sabar,

pelanggan lari.

Aku tumpang kereta Ruden. Ingat nak naik teksi.

Tapi panjang pula bebelan Ruden. Siap masuk bab 'apa

guna kawan sejati kalau tak boleh tumpang kawan'. Terharu

rasanya.

Eh, aku terkejut bila sampai di depan sebuah

bangunan. Macam kenal je. Ni bukan tempat Ajrun kerja

ke? Tingkat lain kut. Otak aku tengah terfikir-fikir, apa nama

tempat kerja Ajrun. Sahlah aku ni kurang prihatin. Maaf ya

dik, kakak tak ingat.

Aku dan Ruden berjalan seiringan ke tingkat 15.

"Ya encik, ada apa yang saya boleh bantu?" si gadis

penyambut tetamu itu menyoal aku dan Ruden.

"Ya... kami dari GS Design, ada appointment dengan

Mr. Jerrisson."

"Oh ya... sekejap ya? Mr. Jerrisson is not around tapi

saya akan pass pada orang bawahannya." Interkom ditekan.

Aku pandang Ruden.

"Baguslah tu... tak masuk TSlah kiranya proposal

kita."

"Bukan bos besar yang campak masuk. Anak buah

dialah yang aku cakap tadi."

Ala... habis terbang angan-angan. Tak boleh jadi ni.

Rudenlah punya pasal. Tapi aku bukan jenis yang rendah

keyakinan diri. Jadi kenapa nak gubra tak tentu pasal dengan

cerita kejam yang secubit cuma tu? Bentang elok-elok. Dah

usaha, tawakal!

Kami dibawa masuk ke bilik perbincangan. Aku

mula mengeluarkan designku.

"Cik Aira dan Encik Rusdi, Encik Arjun akan sampai

dalam lima minit lagi. Dia sampaikan kata maaf kerana

terpaksa biarkan tetamu menunggu. Ada urgent matter kat

tempat parkir katanya."

Aku dan Ruden menghadiahkan senyum manis.

"Terima kasih. Tak apa. Kami tunggu."

"Harap-harap mood dia baiklah. Aku kenal kau.

Kerja tungkus lumus. Tak main-main. Aku yakin dengan kau,

Ra. Proposal kau tak pernah kena reject." Ruden memberi

semangat.

Aku tersengih dalam diam. Tak sampai lima minit,

pintu bilik diketuk perlahan. Lantas kami berdiri sebagai

tanda hormat.

Dan demi terpandangkan lelaki itu, terus kaku

bibirku saat salam dilafazkan. Riak lelaki yang baru

menjengah masuk itu juga turut sama berkerut kening. Dia

menjongketkan kening sebelum melabuhkan punggung di

hadapan kami.

"Cik Aira Al-Imani Yasman?" soalnya senafas. Aku

perasan Ruden dah kerut dahi. Pelik agaknya nama penuhku

meluncur laju di bibir si teman urus niaga.

"Ya, saya!"

Lelaki itu menarik kerusi, melabuhkan punggung

dengan senyuman yang perlahan-lahan terukir lebar.

"Maaf kerana terpaksa buatkan you all menunggu."

"Tak apa."

"You must be expecting my boss to be here, but from

now on, anything related to this project, just contact me. My

boss sangat sibuk dan dia dah serahkan hal ini untuk saya

uruskan."

"Dah berpindah tangan?" soal Ruden ingin tahu.

Ruden menyiku lenganku yang membisu sedari tadi.

"Ermmm... not really, but I can handle."

"Shall we get down to business then?"

"Cik Aira, you senyap je? You yang bentang, kan?"

Aku mencebik apabila mendengar ketawa kecil lelaki

itu.

Pembentangan yang mengambil masa hampir

setengah jam itu berjalan dengan lancar. Aku menjawab

soalan demi soalan yang diajukan dengan tenang. Tidak

langsung mencampuradukkan hal peribadi dengan kerja.

Profesionallah katakan.

"Encik Rusdi, I nak hantar Cik Aira. You tak kisah,

kan?"

Ruden berpaling saat mendengarkan soalan itu pada

akhir perbincangan kami. Matanya dikalihkan kepadaku. Dan

Ruden jelas berkerut apabila aku mengangguk sahaja.

"Kau gila ke, Ra?" Soalan itu disambut dengan tawa

daripada si lelaki. Aku turut menyembunyikan senyuman.

Beberapa minit kemudian, aku sudah menuju ke lif

untuk ke basement. Adoilah. Aku rasa nak gelak guling-guling

sekarang ni. Tapi apabila fikir-fikir, baik aku gelak nanti. Mesti

si Arjun palsu itu pun akan tumpang sekaki. Cik kak manis

tu pun, sebut nama adik aku tu betul-betullah sikit. Ajrun

bertukar jadi Arjun. Ingat Arjun Rampal ke apa? Memang tak

dinafikan nama Ajrun tu unik dan tak pernah dibuat orang.

Agaknya sebab tu tergeliat lidah nak sebut.

Bentang proposal depan adik sendiri? Yang dikatakan

cerewet nak mampus tadi. Okey... memang boleh masuk buku

555. Punyalah masing-masing cuba tahan ketawa tadi.

"Auch... ma!"

"Berangan sampai terlanggar pintu lif ni kenapa?"

Errr... aku terkedu. Kaku. Kalau ditoreh muka aku

kala ini, tidak berdarah agaknya. Aduh! Banyak-banyak lelaki,

kenapa aku perlu bertembung dengan mamat ini sekali lagi?

"Langgar sampai amnesia." Dia ketawa kecil. Sinis.

Pintu lif tertutup.

"Where to?" soalnya selepas menekan butang

nombor tujuh pada lif.

Aku mencebik. Sibuk je. Aku panjangkan tangan

dan tekan butang bawah sekali. Dia menjongketkan bahu.

Bersahaja dan beriak selamba. Errr... Kedudukan kami yang

agak rapat membuatkan hidungku ditusuk bau wangian yang

semerbak. Spontan, aku menjauhkan jarak antara kami.

"You kerja kat sini? Bolehlah I ajak you dinner nanti.

Ataupun... kalau you nak guna tandas I, I boleh tumpangkan."

Aku ternganga.

"Eh, helo encik. I tak sudi nak guna tandas encik lagi

ya. Hari tu adalah yang pertama dan terakhirnya. I nak buat

apa kat sini, suka hati Ilah. Jangan nak sibuk, boleh tak?"

"Tak boleh!"

Aku tercengang apabila dia menjawab spontan.

"Lelaki gila!" kutukku perlahan tetapi cukup kuat

untuk menerobos masuk ke gegendang telinganya.

Lelaki itu memandang jam di tangan, mungkin dia

kesuntukan masa. Tiba-tiba dia menekan setiap butang lif.

"You buat apa ni?" Aku cuak. Suaraku agak tinggi.

Mulalah aku bayangkan benda-benda tidak elok.

"Drag our time." Suaranya berbaur nakal. Lantas, lif

itu berhenti, buka, tutup, buka, tutup.

"Hei... you ni memang..." Aku jengkel.

"Kalau you marah memang cantik, Cik Aira yang

manis."

"Kalau you diam, you pun handsome." Aku kerling

rambutnya. Handsome apa kalau rambut macam tu? Uweksss!

Lelaki itu bantai gelak.

"I rasa jodoh kita panjang. We've been bumping into

each other so many times, coincidentally..."

"Tak ada maknanya nak berjodoh dengan you."

"Jodoh rahsia Tuhan. Siapa you untuk halang? I tak

tolak kalau berjodoh dengan you."

"Masalahnya I yang tolak!" tekanku.

"Till we meet again, my dear girl..." Ah... aku

terpinga-pinga apabila lelaki itu mengorak langkah keluar.

Rupanya sudah sampai ke aras yang ingin ditujunya.

Sepeninggalan lelaki Cina itu, aku termangu-mangu

sendirian. Berjodoh dengan dia? Eee... minta simpang!

Lelaki itu sekadar tertawa sahaja. Gelak santai yang

membuatkan hatiku tidak tentu arah.

"Cik Aira dari GS Design, jangan nak lembap sangat

boleh tak? Aku dah kebulur tahap kelapan belas dah ni..."

Ajrun muncul di hadapanku.

"Aku tunggu kau kat kereta nak dekat 10 minit, tak

muncul-muncul... apa kes?" Mati khayalanku dengan teguran

Ajrun.

"Saja melawat kawasan."

"Kelakarnya... tahulah presentation smooth je,"

ejeknya.

Kali ni, aku ketawa lepas.

"Aku nak gelak sangat tengok muka kau tadi,

memang sakit perut aku tahan gelak."

"You were not alone, Ra..." Kan aku dah kata, Ajrun

pun tahan ketawa.

"Tengok muka partner kau tu, dah kerut semacam

masa aku ajak kau lunch. Dia tak tahu ke kau ada kembar

handsome tak ingat dunia ni?"

"Hei... aku dengar kau cerewet nak mampus, betul

ke?"

Ajrun menekan alarm keretanya. Buka pintu dan

duduk di tempat duduk pemandu.

"Cerewet dengan perempuan tak reti bahasa, gatal,

gedik tahap nak gempa bumi... tak salah, kan? Hei... oh...

aku tahu ni mesti pasal aku campak proposal kat sorang

perempuan bulan lepas, kan? Memang padan pun, cuba kau

baca proposal dia. Tak teratur langsung. Naik berbulu mata

aku baca. Merosakkan mood aku je pagi-pagi."

Errr... tengok Ajrun berceloteh bagai nak rak, aku

pula yang terpinga-pinga. Dia memang ada gaya cerewet ni.

Namun dalam diam, aku mengagumi peribadi Ajrun ketika

bekerja.

"MA... LAPAR!" Aku merengek manja macam budak tak

cukup umur kat dapur. Mentang-mentang ma baru balik

dari klinik, aku terus terjah! Pelik betul ma dan pa ni! Kerja

tempat sama... tapi selalu sangat balik asing-asing.

"Ma... just ignore." Aku dengar suara Ajrun menjerit

kuat-kuat dari ruang tamu.

"Ajrun... kau diam!"

"Akak ni makan bukan main banyak lagi, tapi badan

tak naik-naik. Risau ma tau." Ma menggeleng tengok anaknya

yang sorang ni.

Aku menggaru hujung pelipis. Aku dah tahu apa

yang ma nak cakap.

"Akak kurus sangat. Ma rasa you need to have a

treatment."

"Treatment apa, ma?" Aku buat muka malas nak

dengar.

"Naikkan berat badan, kena rujuk pakar pemakanan.

Atau mungkin cacing banyak sangat kut kat dalam perut."

Aku betulkan pengikat rambut.

"Cacing-cacing jangan sebut, ma." Macam inilah

kalau bercakap dengan doktor pasal makanan. Semua nak

dikaitkan dengan kesihatan. Bertabahlah Aira.

"Tak betul ke apa yang ma cakap?"

"Ma... this is not HKL and you are not a dietitian

right?" Aku sengih.

"Amboi... perli siapa ni?" Ma tepuk belakang badanku

lembut. Aku hanya gelak.

"Dah... dah... pergi ambil char kuetiau kat atas meja

tu. Ma beli dua. Untuk pa satu."

"Yeay... sayang ma." Pipi ma aku kucup bertalu-talu.

Aku dah capai bungkusan itu dan ambil satu sudu.

"Nakkk!" Ajrun menjerit bila nampak muka aku kat

sebelah.

"Siapa nak bagi?" Aku angkat makanan tinggi-tinggi.

Adegan berebut terjadi antara kami berdua. Akhirnya

aku mengalah. Sesudu disua ke mulut sendiri dan satu ke

mulut Ajrun.

"Thanks sis." Ajrun sengih dan tengok semula

laptop di atas ribanya. Siaran CSI channel 701 di televisyen

tak diendahkannya.

"Aku kan akak penyayang dari dalam perut ma lagi."

Aku gelak nakal.

"Banyaklah kau punya auta. Satu sudu lagi."

"Kau buat apa ni, der?"

"Aku ada kursus kat Sarawak minggu depan, 3 hari."

"Nak ikut!" Aku menjerit.

"Huish... apa hal kau ni? Aku pergi kursuslah, ingat

nak makan angin kat Sarawak ke?"

"Siapa cakap kau nak pergi makan angin? Angin kat

luar tu pun tak mengenyangkan langsung."

Ajrun julingkan mata selepas dengar lawak yang tak

berapa maha bijaksana daripada aku.

"Dah, jangan ganggu aku... syuh... syuh..." Dia buat

gaya halau lalat.

"Nak pergi jugak... dah lama tak naik flight. Plus...

aku tak pernah pergi Sarawak. Please!!!"

"Bukannya best sangat pun tercongok kat dalam

kapal terbang tu. Kau ni gaya cakap dah macam housewife

yang hidup goyang kaki tangan kat rumah aje."

"Ala... aku nak pergi... tak apa, nanti aku minta cuti.

Lima hari pun boleh. Dah lama tak apply cuti ni, mesti lepas

punya. Jomlah survey tiket."

"Aku punya flight, makan minum, accommodation

semua free... bos tanggung. Siapa nak sara hidup kau kat sana

nanti?"

"Kau ingat aku ni miskin sangat ke?" Aku ambil

laptop dan terus Google...

"Company aku hantar lima orang kat sana sekali

dengan bos. MASlah cik kak oi... pukul 10 pagi. 28 Mei..."

Ajrun membaca maklumat penerbangannya melalui laman

web AirAsia di laptop aku.

"Alamak... dah habis yang pukul 10 ni."

"Ambil je masa lain. Nanti aku tunggu kau kat

airport."

"Tak payah tunggu, nanti aku pergi sendiri. Hotel

apa?"

"Grand Margherita."

"Okey... Waaa... bestnya holiday. Dah lama

tinggalkan aktiviti ni..."

"Eleh... gaya macam 80 tahun kena kurung kat

dalam rumah."

"Seriuslah... jangan jealous dengan aku." Dengkilah

tu tak boleh bercuti. Padan muka! Aku gelak jahat. Dan mata

tiba-tiba jatuh pada satu benda yang bahagia bertapa di atas

meja empat segi kat depan TV tu. Aku angkat kening.

Ingatan terus terbang pada Wolverine kat Damansara.

Hoho... Aku ada idea baik, cantik lagi bergaya punya!!!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top