Jom... Bercinta! - Bab 4

ATILIA menuju ke taman mini setelah badannya

sihat sepenuhnya. Dia juga ingin meninjau kawasan

rumah yang telah sekian lama ditinggalkan dan menuju

ke tempat rahsianya. Tempat yang biasa digunakan untuk

menyembunyikan rahsia hati. Namun petikan gitar dan

alunan suara yang mendendangkan lagu, amat menarik

perhatiannya. Lalu dihampiri pemilik suara tersebut. Begitu

khusyuk sekali lelaki itu meluahkan perasaan. Apakah yang

membelenggu jiwa anak saudaranya itu? Adakah sepertinya?

Cinta tak kesampaian.

Atilia memerhati dengan penuh asyik. Terpegun dia

seketika mendengar suara Rafiq.

Aku menyedari telah jatuh cinta

Tapi aku tak bisa mengungkapkan

Terasa bahagia kumencintaimu

Walaupun kau belum mencintaiku

Aku di sini kan selalu menunggu

Yang selalu ada di setiap waktumu

Selalu menanti jawapanmu

Untuk cinta yang terakhir

'Oh, Tuhan! Izinkanlah aku menjadi kekasih hatinya

yang halal. Yang mampu menjadi imam dan ketua keluarga

buat kami sekeluarga. Yang bisa menjaga dirinya di saat suka

dan duka, sakit dan sihatnya. Yang bisa memimpin tangannya

dan memeluknya. Yang mampu membahagiakan dirinya

hingga ke hujung nyawanya. Apa yang harus aku lakukan

agar dia kekal di sampingku? Setia di sisi menemaniku?

Menjadi milikku?' bisik hati Rafiq.

Hanya gadis itu yang mampu membuatkan hidupnya

lintang-pukang dan tak tentu hala. Hanya gadis itu yang

mampu menjadikan hidupnya sasau akibat cinta. Gadis itu

seolah-olah memegang alat kawalan yang menentukan hala

tuju hidupnya walaupun hakikat sebenarnya bukan begitu.

Hidupnya akan bermaya dan ceria apabila berada berhampiran

dengan gadis itu. Cukuplah sekadar memandang dari jauh

walaupun ingin benar dia menyentuh dan memeluknya. Dia

sedar bahawa impian tersebut terlalu jauh dari gapaiannya.

Rafiq membuka matanya sebaik sahaja terasa ada

sesuatu yang asing berhampiran dengannya. Bulat matanya

apabila melihat ibu saudaranya berdiri tidak jauh dari situ

sambil memerhatikan dirinya.

"What are you doing here? Spying on me?" tanya

Rafiq kasar. Sakit hati apabila ada yang mengganggu waktu

santainya. Hilang nikmat privasi di taman mini neneknya itu.

"Err... taklah. Che Su nak pergi kat pokok

mangga tu," jelas Atilia tergagap-gagap. Sangkanya dia

ingin menikmati seketika sahaja suara anak saudaranya

itu. Alih-alih hingga habis lelaki itu menyanyi, dia masih

menunggu. Tak pasal-pasal dituduh skodeng anak saudara

sendiri. Hesy... mulut anak saudaranya yang seorang ini pun

satu. Kalau tak menuduh atau marah dirinya dalam sehari,

boleh jatuh pengsan agaknya. Ada sahaja yang tidak kena di

mata anak saudaranya itu. Apalah yang Rafiq sakit hati setiap

kali memandang wajahnya? Nak kata hodoh? Tidak! Nak kata

busuk? Juga tidak!

Rafiq alih gitarnya ke sisi. Dia berjalan menghampiri

Atilia. Dia tahu apa yang ada di situ. Itu pun secara kebetulan

dia pernah ternampak Atilia terbongkok-bongkok di bawah

pokok itu. Atas dasar ingin tahu, dia mendekati kawasan itu.

Memang orang tidak akan perasan kehadiran balang kaca

misteri di situ kerana dikelilingi pokok-pokok bunga renek

berhampiran dengannya. Di dalam balang kaca itu terdapat

luahan hati dan kata-kata cinta, rindu dan sayang ibu

saudaranya itu terhadap lelaki bernama Raid. Namun nota

ringkas untuk lelaki bernama Raid itu terhenti apabila ibu

saudaranya melanjutkan pelajaran ke luar negara dan balang

kaca itu juga turut lesap.

"Kau nak buat apa kat situ tengah-tengah malam

begini?" Adakah ibu saudaranya ini ingin memulakan kembali

aktivitinya?

"Err... nak ambil angin malam," dalih Atilia gugup.

Kecut perutnya apabila direnung seperti orang salah.

Rafiq angguk-angguk kepalanya.

"Pergilah ambil angin malam, biar sampai kembung

perut kau tu," ujar Rafiq sambil mengambil tempat duduknya

kembali.

Terdetik rasa sayu dalam hati Atilia sebaik sahaja

mendengar ayat yang terluncur dari mulut Rafiq. Terbantut

sudah rasa hatinya hendak menikmati keindahan malam itu.

"Terima kasih kerana sudi bantu Che Su tengah hari

tadi." Atilia berlalu pergi meninggalkan lelaki itu sebaik sahaja

usai mengucapkan terima kasihnya. Walaupun perangai Rafiq

amat menjengkelkan hati namun kebaikan lelaki itu tengah

hari tadi tidak boleh dipandang sebelah mata. Jika Rafiq tidak

menyuruh Kartini menghantar makanan untuknya, entah

bila dia akan turun makan. Jika Rafiq tidak memaksanya

makan, entah bila perutnya akan terisi.

Rafiq mengeluh berat sebaik sahaja Atilia berlalu

pergi. Gitar yang berada di tangannya diletak kasar ke atas

meja di hadapannya. Kenapalah terlalu sukar untuk dia

memujuk hati supaya berbaik dengan ibu saudaranya itu?

"TIA dari mana sayang?" tegur Puan Ainon.

"Ambil angin malam mama."

"Tia kan baru sihat, jangan duduk kat luar lama-lama.

Nanti sakit balik."

"Mama janganlah risau sangat. Tia tahu jaga diri.

Lagipun kalau Tia tak sihat, takdenya Tia keluar rumah tadi,"

ujar Atilia sambil berjalan menghampiri mamanya.

"Tia dah timbangkan permintaan mama?"

"Tia tak rasa nak bekerja di situ mama," jelas Atilia

bersama rasa serba salah. Dia bimbang mamanya berkecil

hati. Dia memang kurang berminat hendak bekerja di syarikat

milik keluarganya.

"Mama nak sangat Tia kerja di situ. Sama-sama

membangunkannya dengan Raf. Tia kena ingat, Polimerlatex

tu milik keluarga kita. Rugi kalau Tia tak guna kepakaran

yang Tia miliki untuk memajukannya." Bahu Atilia diusap

lembut.

Atilia mengeluh perlahan. Sudah berulang kali

mamanya berkata begitu. Namun hatinya terlalu berat

hendak bekerja sebumbung dengan anak saudaranya itu.

Mahu nanti pekerja-pekerja di situ asyik memandang mereka.

Bukan sebab mereka baik dan rapat, tetapi disebabkan asyik

bercakaran.

"Mama bagi Tia masa, boleh? Tia nak fikir

semasak-masaknya."

Geleng kepala Puan Ainon dengan sikap Atilia. Entah

apalah yang membuatkan Atilia enggan bekerja di syarikat

sendiri.

"Berapa lama masa yang Tia perlukan? Beritahu

mama."

"Bagi Tia masa setahun." Tidak sampai hati pula

Atilia hendak berkeras apabila melihat wajah sendu mamanya.

"Lamanya masa yang Tia nak ambil. Kalau kahwin

dah boleh dapat anak."

"Mama... ada fikir sampai ke situ pulak," rajuk Atilia.

"Habis tu, lama benar nak memikirnya."

"Apa yang riuh sangat ni mama?" sampuk Abdul

Razak.

"Ni... adik kamu ni, bukan main panjang lagi masa

yang dia minta untuk berfikir."

"Fikir tentang apa mama?" Siti pula bertanya.

"Fikir apa lagi... fikir pasal nak suruh kerja di syarikat

kita itulah."

"Biarlah dia nak berehat dulu mama. Lagipun Jak

dan Raf ada."

Atilia tersenyum lebar mendengar penjelasan

abangnya. Lega rasa hati apabila ada yang sudi menyokong

tindakannya.

Puan Ainon menjeling geram melihat keletah anak

bongsunya itu. Bukan main manis lagi senyuman apabila ada

yang menyokong tindak-tanduknya.

"Manjakan sangat adik kamu ni," luah Puan Ainon

tidak puas hati.

"Dia sorang aje adik yang Jak ada. Kalau Jak tak

manjakan dia, nak manjakan siapa lagi?" Abdul Razak

mengusik mamanya. Hendak ketawa dia melihat wajah kelat

mamanya itu.

"Mama kasihankan si Raf tu. Ke hulu ke hilir

tinjau perkembangan syarikat. Di Polimerlatex dia nak kena

uruskan dan di Dinamik Grup pun dia kena ambil tahu.

Sekurang-kurangnya dengan adanya adik kamu ni, bolehlah

ringankan beban dia di Polimerlatex tu." Puan Ainon

lontarkan buah fikirannya.

"Bercerita tentang apa ni?" Rafiq menyoal apabila

terdengar namanya disebut-sebut.

"Nenek kamu tanya, kamu bila lagi nak kahwin?

Setahun dua lagi dah nak masuk tiga puluh tahun," usik Siti.

Rafiq mendengus, tanda kurang senang. Umur tiga

puluh tahun bukan bermakna dia sudah terlalu tua dan

terlambat untuk berkahwin.

"Nak mama tolong carikan ke?" Puan Ainon

bercanda. Baginya dia lebih suka jika cucunya ini mencari

sendiri.

"Malas fikir lagilah mama, ibu." Rafiq memang

kurang senang apabila bab kahwin disentuh.

"Kamu ni serupa dengan ayah kamu dulu. Bila

sentuh bab kahwin, sering kali mengelak. Ada sahaja alasan.

Nasiblah mama jumpa dengan ibu kamu. Kalau tidak, mahu

sampai sudah tak kahwin." Terlupa sudah seketika dia tentang

Atilia.

"Itu tandanya jodoh belum sampai. Tapi bila jodoh

dah tiba, tak sampai sebulan terus nikah. Takkan mama dah

lupa?" usik Abdul Razak. Bahu isterinya dirangkul.

Siti pandang wajah suaminya. Memang benar

apa yang suaminya katakan. Walau sekuat mana berusaha

mencari cinta, tetapi jika belum tiba masanya, kita tak akan

bertemu juga.

Atilia tersenyum.

"Tia pula bila nak tamatkan zaman bujang?" Abdul

Razak pandang wajah adiknya.

Erk... dia pula ke yang jadi mangsa?

Rafiq pandang wajah Atilia. Dia juga ingin tahu. Kalau

Atilia ada teman istimewa, bagus juga. Tentu ibu saudaranya

itu akan berpindah ke tempat lain apabila berkahwin kelak.

Senang hidupnya.

"Belum bertemu yang sesuai, ayah." Itulah panggilan

untuk abangnya sejak kecil.

Rafiq mencebik. 'Si Raid tu nak campak ke mana?

Bukan ke itu nama buah hati dia?'

Atilia ketap bibir apabila terlihat cebikan Rafiq.

Apalah yang membuatkan anak saudaranya menunjukkan

mimik muka seumpama itu?

"Belum jumpa yang sesuai atau nak kumpul koleksi

biar ramai?" sindir Rafiq.

Atilia pandang wajah anak saudaranya. Matanya

merenung tajam Rafiq. Hatinya bertambah sakit melihat

keselambaan anak saudaranya itu.

"Raf... jaga mulut tu. Kenapa kata Che Su macam

tu? Tak baik. Raf kena hormat Che Su walaupun usia dia lebih

muda berbanding kamu," tegur Siti. Bahu Atilia diusapnya.

Dia yakin adik iparnya ini pasti terasa hati mendengar

kata-kata sinis anak sulungnya.

"Raf mengata Che Su ni, Raf pula macam mana?

Ayah dengar bukan main ramai lagi kawan perempuan. Yang

terbaru ni stewardess dengarnya." Abdul Razak pandang

anaknya itu.

"Kawan-kawan ajelah ayah dengan mereka semua

tu. Lagipun bukannya Raf yang terhegeh-hegeh nak pikat dia

orang. Dia orang yang datang goda dan pikat Raf."

"Yalah, orang tu kacak sangat. Mana orang tak terliur

nak buat pakwe," usik Puan Ainon.

Rafiq senyum senget mendengar pujian neneknya.

Bangga. Tapi hatinya belum mahu terikat dengan sesiapa. Ada

sesuatu yang menghalangnya lebih sepuluh tahun lalu. Saat

dia kenal apa itu cinta, rindu dan sayang.

Atilia tunduk sedikit. Dia cebik meluat melihat aksi

bongkak Rafiq. Agak-agaknya dah ramai yang terluka dan

makan hati dengan sikap mata keranjang anak saudaranya

ini. Mana tidaknya, asyik bertukar pasangan silih berganti.

"Tia nak tak kalau ibu carikan pakwe?" usik Siti buat

adik iparnya.

Atilia angkat kepala. Wajah kakak iparnya dicari.

"Ibu cakap apa tadi? Tia tak dengar sangat," dalih

Atilia.

"Ibu carikan calon suami, nak tak?"

"Tak naklah ibu. Tia nak cari sendiri." Laju sahaja

Atilia geleng kepala.

'Alasan! Cakap ajelah dah ada buah hati. Tak

payahlah nak kelentong semua orang,' gumam Rafiq Idlan.

Tentu lelaki yang bernama Raid itu melekat kukuh dalam hati

ibu saudaranya, sebab itulah beria-ia menolak.

Abdul Razak perhati tingkah laku anaknya. Bukan

main lagi mimik mukanya. Apalah yang membuatkan

anaknya tidak senang dengan kehadiran Atilia di rumah ini?

Macamlah Atilia kacau atau ganggu hidup anaknya itu selama

ini.

"Betul cakap Tia tu Siti. Tak payahlah kita

susah-susahkan diri nak cari calon untuk mereka. Buatnya

runtuh rumah tangga mereka kelak, disalahnya kita pulak.

Biar susah senang mereka tanggung sendiri." Puan Ainon

bersuara. Anak lelakinya dulu pun dia sekadar suruh

berkenalan. Kalau berkenan, ambil buat isteri. Jika tak suka,

cakap elok-elok kata tak nak. Janji hati orang yang ditolak itu

tidak terluka atau kecewa. Namun hendak memaksa anaknya

agar bersetuju dengan calon pilihannya, tidak sama sekali.

Atilia tersenyum bahagia mendengar jawapan

mamanya. Lantas tubuh tua itu didakap dan pipi mamanya

dikucup sayang tanda terima kasih kerana memahami.

Rafiq menjeling melalui ekor matanya. Bukan

main mengada-ada lagi ibu saudaranya itu apabila ada yang

menyokong tindakannya.

"Cakap-cakap juga, tapi mama nak Tia fikirkan

permintaan mama tadi ya." Puan Ainon tepuk lembut

belakang tapak tangan anaknya.

Atilia mengeluh kecil. Ingatkan mamanya sudah

terlupa dengan perbincangan sebentar tadi.

"Permintaan apa mama?" Rafiq ingin tahu.

"Pasal kerja kat Polimerlatexlah..."

Rafiq pandang Atilia. Adakah ibu saudaranya itu

menolak? Ini sudah bagus. Tak payah dia pening-pening

kepala hendak fikir ke mana dia perlu menghantar Atilia

pergi.

"Tia akan fikirkan jawapannya," ujar Atilia sambil

mengangkat punggung. "Tia masuk tidur dulu." Wajah dan

tangan mamanya dikucup begitu juga dengan kakak iparnya

sebelum berlalu. Dia tidak betah lagi berlama di situ. Dia

dapat membaca apa yang ada dalam fikiran dan hati Rafiq.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top