Jom... Bercinta! - Bab 2

Rafiq Idlan menghabiskan malamnya bersama

Gina. Sewaktu dia memandu tanpa arah tujuan di sekitar

Bandaraya Johor Bahru, gadis itu menghubunginya.

Kebetulan Ayman Hyeqal sedang sibuk dan dia tidak tahu

hendak berbuat apa, terus dia menerima pelawaan gadis

itu. Gina dikenalinya lewat lima bulan yang lalu ketika

penerbangan dari Johor Bahru ke Jakarta, Indonesia. Bukan

main ramah lagi Gina menegurnya semasa dalam kapal

terbang. Selalu sahaja bertanya jika dia memerlukan apa-apa.

"Bila you fly lagi?" Rafiq bersuara apabila mereka

tiba di Apartmen Sri Wangi di Taman Tampoi Indah.

"Esok," balas Gina malas. Jika boleh, dia tidak mahu

berjauhan dengan Rafiq. Bimbang buah hatinya ini diambil

orang. Sengaja dia tidak tinggal di Senai semata-mata ingin

berdekatan dengan Rafiq walaupun tempat tinggal mereka

tidaklah sedekat mana.

"Berapa lama?"

"Tiga hari."

Rafiq angguk kepala mendengar penjelasan Gina.

"Raf, sampai bila kita nak macam ni?"

"Maksud you?" Terjongket kening Rafiq. Pura-pura

kurang mengerti sebenarnya.

Gina mendengus kasar. Bukan dia tidak pernah

bertanya sebelum ini tetapi Rafiq sering sahaja mencipta

alasan dan mengelak.

"Maksud I, sampai bila kita nak berkawan macam ni?

I nak hubungan yang lebih selamat dan selesa antara kita,"

luah Gina tanpa rasa malu.

"I belum terfikir ke arah tu. I lebih selesa kita

berkawan dulu dan kenal hati budi masing-masing," balas

Rafiq sambil memberhentikan keretanya.

Gina mengeluh. Dia takut bakal kehilangan Rafiq.

"Tapi I takut you akan beralih arah."

Rafiq tertawa kecil. Kemudian menggeleng

kepalanya.

"You tak perlu takut kalau memang ternyata ada

jodoh antara kita berdua. Kalau bukan, itu bermakna you

kena terima hakikat bahawa antara you dengan I hanya

ditakdirkan sebagai kawan."

Gina memandang dengan perasaan tidak puas hati.

Begitu mudah Rafiq meletakkan harga hubungan mereka.

Kalau tidak ada usaha untuk menjuruskan hubungan mereka

ke arah yang lebih serius, bagaimana hendak tahu mampu

bersama ataupun tidak?

"Kita dah sampai, you tak nak turun lagi ke?" Wajah

Gina yang sedang memandangnya ditatap. Bukan niatnya

hendak mempermainkan perasaan Gina, tapi hatinya belum

terbuka untuk bercinta. Dia lebih suka mereka berkawan

sahaja daripada menjadi pasangan kekasih.

"I harap you fikirkan permintaan I," ujar Gina sambil

membuka pintu kereta.

Rafiq mengangguk dan tersenyum. Namun hatinya

menolak keras untuk memikirkan permintaan Gina.

"I tak minta banyak, cukuplah kalau you anggap I

seseorang yang istimewa dalam hati you."

Rafiq hela nafasnya. Berat sungguh dia rasakan

permintaan Gina itu. Mula-mula minta diangkat sebagai

seseorang yang istimewa dalam hatinya. Lepas itu, paksa dia

iktiraf sebagai kekasih pula. Akhir sekali ajak kahwin. Oh... ini

benar-benar menyesakkan kepala otak Rafiq. Dia tidak mahu

memberatkan fikirannya dengan perkara yang dia belum

bersedia lagi.

"Tengoklah macam mana," balas Rafiq ringkas.

Gina angguk kepala, akur. Dia kemudiannya

melangkah lemah. Namun tekad untuk memiliki Rafiq tidak

pernah luntur. Dia akan mencuba dan terus mencuba hingga

berjaya. Rugi besar jika dia melepaskan lelaki itu pergi.

Rafiq terus memandu laju Audi TTnya sebaik sahaja

Gina hilang dari pandangan. Ada baiknya dia pulang ke rumah

daripada memikirkan perkara itu.

"BARU balik Raf?" tegur Puan Ainon. Matanya menjeling

seketika jam antik yang berdiri megah di sudut dinding.

Sudah menghampiri satu pagi. Baru ingat jalan pulang cucu

bertuahnya ini. Tidak pernah-pernah balik lewat, hari ini buat

hal pula.

"Eh, mama! Belum tidur lagi?" Rafiq menyapa

neneknya. Terasa bersalah pun ada. Gara-gara malas

bertembung dengan ibu saudaranya, dia melangkah keluar.

Akhirnya hingga lewat malam baru dia dilepaskan oleh Gina.

Jika Ayman Hyeqal ada, tentu dia boleh pulang awal dan tidak

perlu melayan kerenah Gina.

Selalunya Ayman Hyeqal yang akan menemaninya

jika ingin keluar bersama Gina. Bila Gina merengek-rengek

berkehendakkan itu dan ini, dia menyerahkan tugas tersebut

kepada Ayman Hyeqal dan dia berlalu pergi. Ayman Hyeqal

pula akan menyusul tidak lama kemudian apabila Gina

enggan ditemani sahabatnya itu. Mudah caranya kan hendak

mengelakkan diri. Lagipun dia hanya mampu bertahan

dengan kerenah Gina selama sepuluh minit sahaja. Selepas

itu dia mula bosan. Ada sahaja telatah Gina yang tidak kena

dengan jiwa dan hati lelakinya. Lalu bagaimana dia hendak

mengangkat gadis itu sebagai seseorang yang istimewa dalam

hatinya?

"Ke mana Raf pergi hingga lewat malam begini baru

ingat rumah? Sepatutnya Raf tak boleh pulang lewat sebegini.

Che Su kamu kan baru balik. Kita patut rai kepulangannya.

Ini tidak, kamu hilang lesap entah ke mana. Mana letaknya

nilai kasih sayang dan persaudaraan dalam diri kamu, Raf?"

Memang Puan Ainon panas hati dengan perangai cucunya

hari ini. Boleh pula hilang begitu sahaja. Sangkanya Rafiq

keluar hanya seketika, tetapi jauh malam baru nampak pintu

rumah. Mana hati tuanya tidak meradang? Dia benar-benar

terkilan dengan sikap cucunya itu.

Rafiq usap belakang kepala. Gara-gara Atilia,

dia dileteri tengah-tengah malam. Hatinya makin panas.

Bukankah bagus kalau perempuan itu menetap terus nun di

luar negara sana. Tidak perlu dia hadap perkara seumpama

ini.

"Maaflah mama, Raf terlupa tadi. Seronok sangat

jumpa kawan hingga lupa yang dia ada kat rumah." Rafiq

memberi alasan yang dia rasa mudah dan mampu diterima

akal logik.

"Siapa dia?" marah Puan Ainon. "Ingat sikit, dia tu

ibu saudara kamu. Tolong hormat. Jangan ikut sedap mulut

aje nak panggil yang bukan-bukan."

Rafiq mengeluh. Sejak Atilia hadir dalam keluarga

mereka lebih kurang dua puluh tiga tahun yang lalu, dia

memang kurang rapat dengan gadis itu. Dan hubungan

mereka makin renggang apabila dia meningkat remaja. Dia

tidak tahu kenapa sukar untuknya menerima Atilia sebagai

ibu saudaranya.

"Maaf mama." Malas dia hendak memanjangkan

perkara yang remeh-temeh ini. Ada baiknya dia pergi tidur.

Esok nak kerja.

"Mama tak nak tidur lagi ke? Dah jauh malam ni."

Sengaja dia bertanya. Mahu mengelak berbicara apa sahaja

perkara yang bersangkut paut dengan Atilia.

"Mama belum mengantuk lagi." Tahu sangat

Puan Ainon yang Rafiq ingin melarikan diri. Tapi apa dia

peduli. Ada perkara yang ingin diluahkan. Ingatkan boleh

berbincang semasa makan malam tadi, tapi Rafiq pula tidak

memunculkan diri.

Rafiq garu kepala. Bukan ke waktu-waktu macam ini

neneknya sudah tidur?

"Mama nak cakap sesuatu dengan Raf ke?" Dia

memandang neneknya. Panggilan 'mama' sudah sebati

dengannya sejak kecil lagi. Adiknya juga turut memanggil

neneknya 'mama'.

Puan Ainon angguk kepala. Sewaktu makan malam

tadi dia telah mendapat kata persetujuan daripada anak lelaki

dan menantunya. Kini dia ingin dengar apa pula kata Rafiq.

"Mama nak cakap apa?" Rafiq mengambil tempat

duduk di sisi neneknya.

"Mama nak Raf sediakan tempat untuk Che Su.

Kalau boleh, mama nak dia sertai Raf di Polimerlatex. Boleh

dia bantu Raf di sana. Raf pun tak menang tangan, kan? Selalu

terkejar-kejar hendak uruskan Polimerlatex dan Dinamik

Grup." Dia tahu tugas dan tanggungjawab Rafiq Idlan terlalu

berat. Di Dinamik Grup, cucunya itu punya tanggungjawab

dan peranan yang besar di sana. Di Polimerlatex pula, cucunya

itu merupakan pemilik syarikat tersebut. Oleh itu diharapkan

kehadiran Atilia dapat membantu meringankan beban tugas

Rafiq selama ini. Apatah lagi kilang berasaskan getah sintetik

itu makin hari makin berkembang pesat.

Rafiq mengeluh perlahan. Inilah perkara yang paling

ingin dia elakkan, bekerja sebumbung dengan ibu saudaranya

itu. Dia memang tidak mampu dan tidak boleh berada dekat

dengan Atilia. Ada nanti gadis itu menerima herdikan dan

amarahnya tanpa amaran.

"Nantilah Raf fikirkan." Rafiq ingin mengelak. Kalau

setuju pun dia akan hantar Atilia menjaga perusahaan mereka

yang terletak di luar negara. Sama ada di Vietnam, Itali atau

Jerman. "Mama, Raf naik tidur dululah. Mata dah mengantuk

ni." Dia beralasan.

"Mama bukan suruh fikirkan. Mama hendakkan

tempat untuk Che Su kamu tu." Puan Ainon berkata tegas.

"Tengoklah macam mana," ujar Rafiq sambil

mengangkat punggungnya.

"Degil betul," rungut Puan Ainon sambil melihat

Rafiq yang sedang memanjat anak tangga. Dia mahu Atilia

bekerja di syarikat milik arwah suaminya. Dia mahu Rafiq dan

Atilia berganding bahu membina empayar yang ditinggalkan

oleh arwah suaminya. Tujuannya hanya satu. Dia tidak mahu

anak bongsunya bekerja di syarikat orang lain dan pergi jauh

meninggalkannya lagi. Cukuplah selama empat tahun mereka

berjauhan. Itu pun sudah nanar dia menanggung rindu.

"Mama buat apa kat sini? Belum tidur lagi?" tegur

Atilia sambil menyentuh lembut bahu Puan Ainon.

"Belum sayang. Mama belum mengantuk," ujar

Puan Ainon sambil menepuk lembut tangan anaknya.

Atilia menghenyak punggung di sebelah mamanya

kemudian merebahkan kepalanya ke riba Puan Ainon.

"Kalau belum mengantuk, jomlah teman Tia

berborak."

Tergelak kecil Puan Ainon. Kepala anak bongsunya

diusap.

"Kenapa anak mama belum tidur lagi? Dah larut

malam ni."

"Tak boleh tidur mama. Mungkin perubahan tempat."

Wajah mamanya direnung kasih. Dari tadi lagi sebenarnya dia

hendak turun mendapatkan mamanya namun terlihat sahaja

wajah Rafiq, niatnya terus terbantut. Sebaik sahaja lelaki itu

berlalu ke kamarnya, terus dia mendapatkan Puan Ainon.

Puan Ainon tersenyum.

"Tak lama lagi bolehlah tu sesuaikan diri."

Atilia angguk kepala dan tersenyum manis.

"Mama, esok nak sarapan pagi roti jala, boleh? Tia

rindulah nak makan."

"Boleh sayang. Esok mama buatkan."

Atilia peluk tubuh mamanya erat. Menzahirkan rasa

kasih dan sayangnya.

Puan Ainon tersenyum bahagia. Sejak Atilia hadir

dalam hidupnya, dia dan arwah suaminya tidak lagi kesunyian.

Keletah dan telatah manja Atilia buatkan mereka suami isteri

terhibur. Atilia juga merupakan pelajar pintar dan aktif di

sekolah. Setiap tahun dia akan mendapat tempat pertama

dalam peperiksaannya dan sering menjadi johan dalam acara

yang disertainya.

"Mama tak nak tidur lagi? Tak elok kalau mama tidur

lewat." Atilia pandang wajah Puan Ainon. Tangan mamanya

ditarik lembut dan dibawa ke pipi.

"Mama nak temankan anak mama. Lagipun belum

hilang lagi rindu mama ni." Hidung mancung anaknya

ditarik.

Atilia tergelak kecil akan perbuatan mamanya.

"Jom mama, kita tidur." Kasihan pula dia hendak

membiarkan mamanya berjaga hingga lewat malam. "Malam

ni Tia tidur dengan mama, boleh?" Bibirnya mengukir

senyum.

Puan Ainon menepuk bahu Atilia dan memberi

isyarat supaya bangun. Tangan anak perempuannya ditarik.

Atilia tersenyum hingga ke telinga. Walaupun dia sudah besar

dan dewasa, adakala perangai manjanya muncul jua.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top