BAB 7


"Apa patut aku buat sekarang?" tanya Rania kepada Amri. Tiada sebarang jawapan. Rania buat muka sedih sambil pandang biasan tubuh Amri di cermin. Zuhaida sedang membetulkan solekan di wajahnya.

Pertunjukan fesyen sudah selesai. Sebentar lagi sidang akhbar mengenai majlis perkahwinan dia dengan Kai. Dia berazam mahu menutup pintu hatinya kepada mana-mana lelaki selepas Ikram. Namun perancangan Allah menghadirkan Kai. Tersilap kaut orang membuatkan dia terpaksa menjadi isteri Kai

"Kahwin aje dengan dia." Amri membuka mulut.

"Giler." Ucap Rania sepatah. Dia masih berharap agar semua ini hanya mimpi.

"Pertama sekali. Kau yang giler. Bukan aku. Kau perempuan gila, mereng, salah kaut orang... eerr apa lagi."

Rania terus berpusing. Habis comot pipinya terkena lipstik yang dipegang Zuhaida. Sengaja dia pandang Amri dengan tajam. Dia tidak hiraukan Zuhaida yang kelam kabut mengesat pipinya dengan tisu basah.

"Tak payah buat muka garang ok. Aku tak takut."

Rania kembali memandang cermin dengan muka cemberut. Angin sungguh dengar Amri kata dia gila. Sedap mulut dia mengata orang. Tapi kalau difikirkan kembali semua itu memang betul.

"Kau berniat nak kenalkan aku sebagai suami dekat Ikram dengan niat nak menunjuk kau dah move on. Tapi kau terkaut Kai, penyanyi terkenal tu. Itu giler kau yang pertama. Kedua, bukan sekali tau... dua kali kau mengaku... Dua kali! Dua kali kau mengaku depan Ikram yang Kai tu bakal suami kau. Jadinya kau yang giler." Amri menunjukkan angka dua dengan jari.

"Aku tak sengaja kaut dia."

"Kalau kau dengan Kai mengaku tak ada apa-apa. Sah-sah Ikram akan ketawakan kau. Dan keyakinan Ikram yang kau cintakan dia bukan setakat seratus peratus tapi naik seribu peratus. Siap sedialah kau kena kacau dengan Ikram tu." Amri membayangkan Ikram yang berwajah ala-ala model Arab yang penuh dengan jambang menunggu di hadapan butik setiap hari untuk memujuk Rania. Perkara itu pernah Ikram lakukan semasa bercinta dengan Rania. Dia tahu sebab Rania yang cerita.

"Aku tak cintakan Ikram." Bidas Rania.

"Aku tau kau tak cintakan Ikram tapi Ikram akan anggap kau cintakan dia kalau kau tak kahwin dengan Kai." Terang Amri. Dia lelaki. Dan faham bagaimana lelaki terdesak berfikir.

Dalam situasi ini dia lebih rela Rania memilih Kai daripada kembali ke pangkuan Ikram. Siapa tahu dah memang takdir Allah Kak dengan Rania berjodoh. Kai adalah jodoh salah kaut Rania.

"Aku takut." Rania akhirnya memberitahu perasaannya yang sebenar.

"Ara... kau kena pilih antara Ikram dengan Kai. Dan aku pilih Kai."

"Kenapa Kai?"

"Sebab dia bukan lelaki yang pernah campak kau dulu. Dia bukan lelaki yang buat kau hilang arah dulu. Aku yakin Kai akan jaga kau dengan baik." Ujar Amri. Itu adalah pendapat dia. Berdasarkan gerak hatinya.

Daripada luarannya Kai nampak kasar dan beku tapi dia dapat lihat bagaimana Kai melindungi Rania dari Ikram tadi.

"Cik Indah. Kai lelaki penyayang. Dia akan sayang Cik Indah." Zuhaida yang sejak tadi membisu, meluahkan perasaannya.

Dia tidak kenal Kai secara peribadi tetapi melihat cara Kai melayan peminat dia yakin telahannya tidak salah. Meskipun Kai jarang tersenyum.

"Tapi saya takut. Macam mana kalau gagal lagi."

"Masa Cik Indah kahwin dengan suami pertama dulu, ada tak bayangkan rumah tangga tu akan gagal."

Rania geleng. Dia hanya fikirkan kebahagiaan berpanjangan. Dikurniakan anak-anak sebagai penyeri rumah tangga. Dia dan Ikram akan bersama hingga mereka tua.

"Tapi rencana Allah lain kan... setiap apa kita buat sebenarnya tiada pengakhiran pasti. Hujung nyawa kita bila dan bagaimana, kita tak pernah tahu. Jodoh... sama juga. Bila kita menikah, kita harapkan bahagia. Namun takdir Allah tiada siapa tahu."

Sekali lagi Rania mengeluh. Kenapa Zuhaida yang selama ini nampak tidak matang boleh memberi nasihat kepada dia tentang kehidupan. Mungkin selama ini dia silap menilai sisi orang. Zuhaida yang nakal nampak lebih matang dari dia.

"Kakak saya pun alami nasib yang sama macam Cik Indah. Nasib dia lagi teruk. Dia difitnah berkelakuan sumbang dengan lelaki lain. Dia diceraikan. Lepas habis idah dia terpaksa kahwin pulak dengan lelaki tadi. Sekarang dia bersyukur sangat sebab benda tu terjadi. Alhamdulillah suami kedua dia jauh lebih bagus dari suami pertama. Rupanya suami pertama kakak saya ada perempuan lain. Dia nak ceraikan kakak saya tapi keluarga dia tak bagi. Takdir Allah Maha adil." Zuhaida bercerita panjang lebar. Sebab itu dia boleh memahami perasaan majikannya sekarang.

Lama Rania berfikir. Betul kata Zuhaida. Allah Maha Adil. Dia berpisah dengan Ikram dan pada masa yang sama mengenali siapa lelaki itu sebenarnya. Cinta Ikram kepadanya bukan cinta tulus. Kai, dua kali lelaki itu muncul menyelamatkan dirinya. Kata-kata Kai di pentas tadi masih terngiang-ngiang di telinganya.

"Kau boleh buat kontrak kahwin kalau nak." Amri memberi cadangan. Menolak Kai bererti Rania akan berdepan dengan Ikram. Dia kenal Ikram bagaimana. Kalau tidak dapat cara baik pasti akan menggunakan cara jahat.

"Dia tak cintakan aku. Macam mana..." kata-kata Rania terhenti sebaik sahaja pintu diketuk.

Amri membuka pintu. Kai masuk bersama June dan Yusman. Lelaki itu sudah menukar pakaian. Selesai pertunjukan fesyen tadi Kai terus kembali ke bilik untuk menukar pakaian. Memakai sut serba hitam. Memang Kai menjaga penampilannya. Sebab itu dia ada juru mekap dan stylist sendiri.

Rania melihat biasan imej Kai dari cermin. Dia tidak dapat menahan jantungnya dari berdegup lebih laju. Sesekali dia beradu pandang saat Kai menjeling. Lelaki itu sedang berbual dengan June dan Amri. Tidak susah untuk jatuh cinta kepada lelaki itu. Tapi adakah mereka punya rasa yang sama kelak.

"Cik Indah. Dah siap."

Rania hanya tersedar bila Zuhaida menegurnya. Ralit sangat melihat Kai. Dia membetulkan tudung dan merapikan penampilannya dengan dibantu Zuhaida.

"Rania... Nanti you anggukkan aje apa kata-kata Kai." June mendapatkan Rania. Dia sudah berbincang dengan Kai tentang itu

Rania angguk. Tiada apa yang mampu dia lakukan sekarang. Ke mana pun dia lari wartawan akan tetap mengekorinya. Lari dari wartawan, bertembung pula dengan Ikram. Jalan terbaik mengikut sahaja apa kata June. Harap-harap tiada siapa akan menghidu pembohongan mereka.

"Kalau wartawan tanya apa-apa biar Kai yang jawab." Pesan June lagi. Seterusnya June keluar dari bilik persalinan. Dia paling kelam kabut sekarang. Sidang akhbar tergempar mereka terpaksa adakan memandangkan begitu ramai yang berminat untuk tahu. Segala yang terjadi di luar perancangan mereka.

Perkahwinan tiba-tiba Kai membuatkan kerjanya bertambah banyak. Panggilan dari pelbagai pihak masuk bertalu-talu. Bukan setakat akhbar, malah syarikat yang pernah menggunakan khidmat Kai sebagai duta juga menelefon. Mahu menaja perkahwinan Kai.

"Kau dah siap." Kai mendekati Rania. Matanya turun naik melihat penampilan 'bakal isterinya'. Cantik, desis Kai. Tadi cantik, sekarang pun cantik.

"Dah." Rania angguk. Bagaikan berjanji mereka memakai pakaian warna senada. Dia memakai jubah berwarna hitam, rekaan terbaru Amri. Kebetulan Amri bawa untuk dia kalau-kalau ada kecemasan.

"Kau yang mulakan permainan ni. Jangan sesekali tarik diri."

Rania geleng. Dia bukannya pengecut. Dia tidak akan lari dari masalah.

"Kalau macam tu jom." Kai menaikkan lengan bawahnya separuh. Memberi isyarat yang dia mahu mengepit lengan Rania.

"Kau diam aje. Ikut apa aku cakap." Pesan Kai. Mereka berdua keluar dari bilik persalinan menuju ke pentas.

Sesekali dia menjeling ke arah Kai yang kelihatan tenang. Bagaimana lelaki itu boleh tenang menghadapi masalah sebegini besar. Dia sebaliknya, rasa kecut perut dan mahu muntah kerana takut. Di atas pentas tadi memang dia bergantung sepenuhnya kepada Kai. Dia pertama kali berjalan di atas pentas peragaan.

Sebaik sahaja kaki menjejak pentas. Kerlipan flash kamera menghujani mereka. Rania gugup. Langkahnya terhenti seketika.

Namun pantas Kai mengusap lengan Rania. Memberi semangat kepada perempuan itu. Dia menarik kerusi untuk Rania duduk. Sebaik sahaja Rania duduk dia melambaikan tangan ke arah wartawan. Sebuah senyuman dia hadiahkan untuk seisi dewan. Dia tarik kerusi di sebelah Rania dan duduk. June duduk di sebelahnya.

Kehadiran wartawan boleh dikatakan luar biasa walaupun waktu hampir tengah malam. Mereka menggunakan dewan yang terlebih dahulu Butik Cinta Indah gunakan untuk pertunjukan fesyen.

"Assalamualaikum." Kai bersuara.

Tiba-tiba semua wartawan bertanya serentak hingga keadaan dewan menjadi riuh. June bertindak bangun dan mengambil mikrofon Kai.

"Seorang demi seorang ye. Angkat tangan dan kami akan beri mikrofon."

Barulah suasana dewan tenang seketika. June memberi isyarat kepada Yusman untuk melaksanakan tugasnya. Semua mengangkat tangan. Yusman memilih seorang wartawan perempuan untuk menjadi penyoal pertama.

"Betul ke bakal isteri Kai ni pernah berkahwin. Indah Rania sebenarnya janda."

Belum hilang rasa gemuruh, Rania dihujani soalan cepumas. Dia tunduk malu. Tidak mampu menjawab soalan wartawan. Pasti statusnya jadi persoalan utama memandangkan Kai masih bujang.

"Kenapa kalau dia janda? Adakah haram seorang lelaki teruna dan bujang macam saya kahwin dengan dia." Kai menjawab dengan tenang. Sengaja dia menekankan perkataan haram itu. Geram dengan soalan yang ditanyakan.

"Bagaimana hubungan Kai dengan Tengku Amanda. Dia tahu pasal pernikahan ini?"

Kai mahu meletup namun June terlebih dahulu menepuk lengan Kai. Memberi isyarat agar tenang. Wartawan memang kerjanya mencari berita sensasi

"Saya dengan Tengku Amanda sudah putus tiga tahun lalu. Dia tak ada kena mengena dalam hidup saya... hidup yang bakal kami bina. Sekarang saya dengan Indah Rania. Jadi tanyalah soalan fasal kami." Jawab Kai. Kenapa nama itu boleh timbul.

"Kenapa pilih Indah Rania? Apa menariknya Cik Indah sedangkan dia janda." Mikrofon bertukar tangan dan soalan lain muncul. Sekali lagi soal janda diungkit.

Rania yang sejak tadi tunduk dilanda debaran. Hatinya mahu tahu apakah jawapan Kai. Sejauh mana lelaki itu sanggup berlakon. Mereka baru bertemu beberapa jam yang lalu.

"Saya cuma pandang hati dia dan cinta dia. Bukan status janda yang dia sandang. Saya cintakan dia sepenuh hati saya."

Spontan Rania angkat kepala dan berpaling melihat Kai. Dan secara kebetulan Kai juga sedang memandangnya.

"Saat pertama kali mata saya melihat dia, hati saya berbisik mengatakan dialah orangnya. Dialah insan paling tepat untuk menjadi pendamping saya. Setiap saat, minit dan jam saya merindui dia. Saya tak sabar untuk menghalalkan hubungan kami."

Rania tidak mampu alihkan pandangan matanya dari mata Kai. Kata-kata yang dilontarkan oleh Kai membuat hatinya bergetar. Kedengaran sangat tulus ikhlas. Jujur dia katakan dalam hati, dia mula jatuh suka kepada Kai.

"Sudah berapa lama Kai kenal Rania?"

Soalan yang paling Rania takut. Apa pula pembohongan yang akan Kai lontarkan. Rania alihkan pandangan. Kembali melihat ke bawah.

". Saya dekati dia dan kami berkenalan. Sejak itu kami berhubung secara rahsia. Betulkan sayang." Kai pandang Rania meminta jawapan.

"Betul." Rania menjawab dengan gugup. Dia tersenyum malu. Malu yang dibuat-buat. Dia tidak tahu bagaimana Kai boleh tahu dia pergi ke London. Tapi itu jawapan paling baik dia rasakan. Kalau kata berjumpa di dalam Malaysia pasti lagi banyak persoalan timbul.

"Apa yang Kai suka tentang Indah Rania."

"Saya suka senyuman dia, mata dia... Saya suka semua. Tapi paling saya suka bila dia merajuk. Comel sangat."

Rania cuba berlagak selamba walaupun dia rasa mahu melonjak. Dia kena ingat ini semua hanya lakonan. Kata-kata Kai hanya pembohongan. Lelaki itu memang pandai bermanis mulut. Semua soalan wartawan dijawab dengan mudah dan tenang.

"Cik Indah. Kenapa pilih Kai. Apa istimewanya Kai."

Rania tersentak. Soalan untuk dia. Spontan wajah Kai dia pandang. Kai memberi isyarat agar dia jawab soalan itu. Dia kembali pandang ke hadapan. Para wartawan sedang menanti jawapan dia. Nafas ditarik sedalam-dalamnya. Perlu ke dia berbohong?

"Istimewanya Kai... Dia tulus mencintai saya. Saya tak kenal siapa Kai masa kami mula-mula jumpa. Dia nampak macam sombong sebab tak suka senyum. Nampak beku. Tapi bila dah kenal dia... Saya jatuh hati." Rania puas hati dengan jawapan sendiri. Entah kenapa dia tidak rasa jawapannya bohong.

Sekali lagi dia menoleh ke arah Kai. Dan kebetulan juga lelaki itu sedang melihatnya. Agak lama mereka saling berpandangan. Bagaikan ada sesuatu yang mahu Kai katakan.

"Bila majlis pernikahan Kai dengan Cik Indah akan berlangsung? Dan di mana?"

Kai dengan Rania sama-sama tersedar.

"Rasanya sampai di sini sahaja sidang akhbar kita. Detail tentang majlis kami, pembantu saya akan jawab." Kai memberi isyarat agar Rania bangun.

Rania mengikut langkah Kai. Mereka meninggalkan June seorang diri di pentas. Menjawab soalan-soalan lain yang wartawan tanyakan.

"Kenapa kita lari." Tanya Rania sebaik sahaja mereka masuk ke dalam bilik persalinan.

"Aku tak nak kita bohong lebih lagi." Kai buka baju kotnya lalu dicampak ke arah Yusman. Kai melipat lengan bajunya hingga ke siku. Dua butang bajunya di bahagian atas di buka.

Rania angguk faham sambil matanya melihat perlakuan Kai. Melihat Kai secara dekat, dia faham kenapa begitu ramai gadis gilakan Kai. Habislah dia kalau tidak jaga hatinya sendiri. Bila-bila masa boleh cair dengan pesona Kai.

"Am aku lapar." Rania memanggil Amri namun mata masih ralit memperhatikan Kai.

"Mana ada Amri kat sini."

Rania memperhatikan sekeliling. Amri tiada. Yusman juga sudah hilang. Hanya tinggal dia dengan Kai. Macam mana dia boleh tidak perasan Amri tiada bersamanya. Mungkin Amri sedang membantu June menjawab soalan wartawan.

"Gatal tengok lelaki. Sampai tak perasan kita tinggal berdua."

"Gatal dengan bakal suami sendiri apa salahnya." Rania tidak mahu kalah.

"Baru bakal suami Cik Indah oi... belum jadi suami. Kalau kena tangkap basah habis kita."

"Menyampah." Rania angkat kaki mahu keluar dari situ.

"Aku keluar. Kau tunggu sini aku panggilkan Amri." Kai menahan Rania. Selesai berkata-kata dia keluar dari situ.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top