BAB 3
"Ya kami akan menikah." Kai senyum. Tangan perempuan itu dikepit kuat-kuat dengan lengannya. Nama gadis itu pun dia tak tahu bagaimana mungkin mereka akan menikah. Cuitan June di lengannya dia tidak hiraukan.
"Nama kau siapa?" Bisik Kai ke telinga perempuan di sebelahnya. Suaranya agak keras sedikit.
"Rania... Indah Rania." Jawab Rania.
"Kenalkan bakal isteri saya Indah Rania." Dengan penuh bangganya Kai memperkenalkan Rania sebagai bakal isterinya. Senyuman kegembiraan dia lemparkan buat semua wartawan.
Matanya mencari lelaki yang berbicara dengan Rania tadi, namun sudah tiada. Barangkali tertolak ke belakang. Entah dari mana datangnya wartawan tiba-tiba berkerumun. Rasanya tadi hanya ada dua tiga orang wartawan yang berniat ingin menemu ramah dia.
"Bila masanya Kai bercinta."
"Siapa Indah Rania?"
"Boleh Kai kenalkan Indah Rania kepada semua."
Soalan demi soalan tidak mampu Kai jawab. June , pengurusnya tidak putus asa mencuitnya dari tadi. Dia tolehkan muka ke arah June. Pengurusnya itu membisikkan sesuatu.
"Maaf ye... kami ada hal lain. Nanti kami buat PC." Kai lambaikan tangan ke arah wartawan. Dia mengheret Rania menuju ke arah lif. Pengawal peribadi Kai menghalang wartawan dari mengejar mereka.
"Kau serius Kai. Kahwin? Tiba-tiba?" tanya June setelah mereka berada di dalam perut lif. Dia melihat Rania yang kelihatan rasa bersalah. Mata dikecilkan melihat Rania lebih jelas di sebalik cermin matanya. Kemudian dia kembali memandang Kai. Kegilaan apa yang dua orang manusia ni lakukan.
"Tanya dia. Jangan tanya aku. Dia yang mengaku nak kahwin dengan aku." Kai masih tidak melepaskan tangan Rania. Dia perlu buat perhitungan dengan perempuan itu. Tiba-tiba sahaja muncul dan mengatakan dia bakal suami.
"Saya salah orang. Saya minta maaf. Saya sanggup bayar ganti rugi." Rania bersuara sayu memohon simpati agar Kai simpati kepadanya. Dia masih lagi berusaha melepaskan tangannya dari Kai. Namun tidak berjaya. Takut dengan pandangan Kai dan juga perempuan bercermin mata itu.
"Ini June pengurus aku. Syakira, makeup artist aku. Yusman stylist aku. Ini Johan dengan Amat pengawal peribadi aku." Kai memperkenalkan seluruh pasukannya. Dia ke mana-mana pasti akan ditemani mereka semua.
"Kau tau tak huru-hara yang bakal kau cipta Kai." June mengingatkan Kai.
Wartawan yang tiba-tiba muncul tadi sebenarnya datang untuk pelancaran sebuah filem di dewan hotel. Majlis baru sahaja selesai dan mereka semua ingin pulang. Berita tentang perkahwinan Kai tersebar dalam sekelip mata.
"Salah dia bukan salah aku. Marah dia." Kai meninggikan suara.
"Maaflah. Saya tak sengaja." Rania bersuara lagi.
Kai buat-buat tidak dengar kata-kata Rania. Begitu juga dengan June. Mereka berdua berbincang mengenai sesuatu. Nampak sangat serius.
Rania memerhatikan Kai dari sisi. Dia langsung tidak menyangka akan bertemu dengan artis itu. Dia bukanlah peminat Kai tapi ada satu dua lagu Kai yang dia suka. Dia sangat sukakan lagu Cinta Hatiku. Lagu paling meletup dari album terbaru Kai bertajuk KAI-Sayangan.
Kai nampak lebih kacak berbanding di dalam TV dan majalah. Wajah serius Kai sangat kacak. Walaupun tidak tersenyum sesiapa pun boleh jatuh hati. Manis macam lolipop. Dia rasa beruntung sangat. Kalau Amy tahu pasti gadis itu akan mengamuk. Amy peminat setia Kai.
Pintu lif terbuka. Rania terpaksa melangkah mengikut rentak Kai memandangkan lelaki itu masih tidak melepaskan tangannya.
"June... Aturkan PC secepat mungkin. Kalau boleh malam ni juga." Kai memberi arahan sambil melangkah laju-laju.
"Untuk apa Kai?" June pura-pura tidak tahu. Laju dia mengekori lelaki itu. Sesekali pandangannya jatuh ke arah Rania.
"Nak umumkan pasal perkahwinan aku dan kenalkan calon isteri aku." Langkah Kai terhenti di hadapan pintu bilik hotel. Dia perasan Rania masih lagu cuba melepaskan diri. Namun dia tidak akan izinkan perempuan itu lari.
"Kai." June membukakan pintu bilik. Kai memberi isyarat agar yang lain masuk ke dalam dahulu.
"Masuk." Kai memberi arahan kepada Rania. Namun perempuan keraskan badan. Malah sempat lagi memijak kasutnya.
"Aku..." Kai hampir menarik telinga Rania bila June menegur.
"Kai... Kita selesaikan kat dalam. Dinding-dinding ni ada mata. Bahaya kat kau." Ujar June.
Kai mengikut nasihat June. Dia heret Rania masuk ke bilik namun perempuan itu berpaut pada alang pintu menggunakan sebelah tangan.
"Ara..." seorang lelaki berlari anak mendapatkan Rania.
"Amri tolong aku." Rania mahu menangis. Sebelah tangan menggapai tangan Amri.
"Kau... Masuk dalam jugak!"
"Oh kau kacak bergaya." Amri melatah. Gugur jantung disergah begitu.
Cepat-cepat Amri masuk ke dalam bilik.. Sempat lagi dia memberi isyarat agar Rania mengikut. Rania akur. Dia masuk bersama Kai.
Sebaik sahaja mereka masuk Kai melepaskan tangan Rania. Sesak nafasnya bersama Rania lama-lama. Menyakitkan hati sahaja. Ada pakwe tapi sibuk tarik orang lain.
"Amri kau pergi mana?" Rania terus meluru mendapatkan Amri sebaik sahaja Kai melepaskan tangannya.
"Sorry Ara, aku pergi tandas tadi. Kenapa? Apa yang dah jadi?"
"Ikram... aku jumpa dia kat lobi." Rania bersuara. Fikirannya berkecamuk sekarang. Pertemuan dengan Ikram membuat lukanya kembali berdarah. Permintaan Ikram untuk mereka kembali menjadi suami isteri membuatkan dia terperangkap dalam masalah lebih besar.
"Kenapa kau sebut nama dia. Geli telinga aku. Dia datang sini buat apa? Honeymoon ke?" Tanya Amri. Mereka berdua berborak tanpa menghiraukan orang lain.
"Dia dah bercerai dengan Marissa."
"Kau serius Ara."
"Serius." Rania tersenyum lebar dengan mata dibuntangkan. Dia mengangguk berkali-kali.
Jeda seketika. Berita yang menggemparkan itu membuatkan Amri kehilangan kata-kata. Dia dan Rania saling berpandangan. Secara tiba-tiba mereka ketawa terbahak-bahak. Rania terlupa yang banyak mata memerhatikan mereka.
"Woi. Korang ingat ni show Raja Lawak!" Kai bercekak pinggang. Boleh pula perempuan ni bergosip dengan lelaki separa kepit ni. Ini ke bakal suami Rania. Tiada ada cita rasa langsung. Baru dia perasan sesuatu, dia dengan lelaki kepit itu pakai jaket yang serupa.
"Patutlah kau salah kaut." Kai cepat-cepat membuka jaketnya dan dicampak ke lantai. Kerana sehelai jaket itu dia mendapat masalah. Dia hanya memerhatikan Yusman mengutip jaket itu. Mahu dibuang sayang pula kerana harganya mahal. Jadi bakal suami Rania bukanlah calang-calang orang. Sekarang skrip apa pula dia mahu hidangkan kepada wartawan. Memang betul perempuan ini ada calon suami. Bagaimana gadis ini boleh jatuh cinta dengan lelaki sebegini.
"Saya minta maaf. Saya silap orang tadi. Saya akan terangkan dekat wartawan nanti. Dia ni bakal suami saya yang sebenarnya." Rania berdiri rapat dengan Amri. Risau kalau tiba-tiba lelaki itu naik angin.
"Kau gile Ara." Amri terjerit. Mengejutkan Kai yang leka memerhatikan Rania.
"Kita mana boleh kahwin. Harammm tau. Kita adik beradik susuan. Mati kau kena ganyang dengan Puan Rahila nanti." Tambah Amri lagi sambil menunjal bahu Rania berkali-kali. Perkara halal haram jangan dibuat main.
Rania tepuk dahi. Pembaris sungguh. Amri memang tidak boleh jadi pelakon. Kenapalah lurus sangat. Dengan selambanya dia pukul kepala Amri. Kalau bukan kerana lakonan tidak cemerlang Amri mungkin mereka sudah boleh melarikan diri tadi.
Rania terpandangkan Kai. Kenapa mata lelaki itu tiba-tiba macam terlebih bulat. Marah sebab kena tipu agaknya. Rania cepat-cepat bersembunyi di belakang Amri. Matilah dia nanti.
"Kejap... jadi dalam cerita ni aku mangsa situasi. Kau dengan lelaki tadi pasangan kekasih. Lepas tu guna sedara susuan kau ni nak bagi dia cemburu. Macam tu!" Perlahan-lahan Kai cuba memahami situasi dia sekarang.
Dia duduk di sofa sambil matanya memerhatikan Rania yang berdiri di belakang Amri. Dah sah perempuan itu menipu. Kai tunduk dan sembunyikan senyum. Namun wajahnya diangkat dan riak serius dia pamerkan. Nampaknya perempuan itu hanya berlakon.
"Ikram tu bekas suami dialah bukan kekasih. Lelaki tu jahat. Ceraikan Ara sebab perempuan lain. Sekarang terhegeh-hegeh nak kat Ara balik. Mujur aku tak ada tadi, kalau tidak memang aku dah sunatkan dia."
Sekali lagi Rania pukul kepala Amri. Mulut tu langsung tidak dijaga. Habis semua kisah peribadi dia dibongkar. Sekarang Kai pasti akan bertambah marah. Bukan setakat tersalah kaut. Malah mempergunakan penyanyi itu lagi.
"Saya minta maaf sebab salah kaut orang tadi. Kita bagitau wartawan ini semua prank. Boleh kan. Awak pun salah jugak mengaku tadi."
"Sekarang kau nak salahkan aku pulak?" Kai meninggikan suara sambil menunjukkan dirinya sendiri. Perempuan tidak betul. Bukannya mahu berterima kasih malah menyalahkan dia pula. Pengakuan dia tadi mengambil kira maruah Indah Rania. Kalau dia berkata tidak pasti satu Malaysia akan mencerca gadis itu.
Tetapi sekarang mereka berdepan dengan masalah baru. Pengakuan bakal isteri haruslah disusuli dengan ikatan perkahwinan. Jika tidak, dia juga bakal dikecam nanti kerana berbohong. Memang betul dia juga bersalah kerana mengaku. Kai kusutkan rambutnya sendiri. Serabut.
"Kau punya fasal ni Am." Rania mencubit bahu Amri.
Kai hanya melihat drama pergaduhan Rania dan Amri. Seterusnya dia memerhatikan June yang asyik melihat tablet. Ada berita menarik ke? Yusman dan Syakira hanya berdiri sambil memerhati. Begitu juga dengan Johan dan Amat. Mereka semua memandangnya dengan muka penuh tanda tanya. June dengan Amri masih bertengkar. Siap ada adegan pukul memukul bahu.
"Kai." June menyuakan tablet untuk Kai lihat.
Kai melihat skrin tablet. Serta merta riak wajah Kai berubah. Dia berpandangan dengan June. Berita pernikahan mereka mula tersebar di alam maya. Menjadi topik hangat di Instagram dan Facebook. Pantas mata dihalakan ke arah Rania. Melalui berita yang tular barulah dia tahu lebih lanjut tentang isteri bidan terjunnya.
Jari menari lagi di atas skrin tablet. Membaca berita pernikahannya di sebuah portal berita gosip. Bibir diketap menahan marah. Pantas tablet dirampas dari tangan June. Dia mendekati Rania dan menarik bahu perempuan itu.
"Ini yang kau cakap nak mintak maaf. Cerita kita nak kahwin dah tersebar satu dunia. Satu dunia tau tak... bukan satu kampung. Mana aku nak taruk muka aku?"
"Taruk muka kat mukalah. Huh." Selamba sahaja Rania merampas tablet dari Kai. Asyik nak mengamuk sahaja lelaki ini. Rania menjeling Kai.
"Kai bakal menikah dengan pemilik butik Cinta Indah..." Amri membaca tajuk rencana itu.
"Lawa gila kau dalam gambar ni. Mesti sakit mata Ikram tu." Tambah Amri lagi sambil tergelak. Dia membaca keseluruhan artikel.
"Eeh... bila masa korang janji berdua untuk sehidup semati ni. Kenapa aku tak tau." Amri baru perasan apa yang terjadi. Dia hanya tahu Rania dia bawa naik secara paksa oleh Kai. Terus dia tanya pekerja hotel Kai menginap di tingkat mana. Dia menaiki lif lagi satu untuk mengejar Rania.
"Ikram punya fasallah ni. Dia ajak aku kahwin. Dia kata aku solo sebab cintakan dia. Jadi aku kenalkan bakal suami aku. Tapi... aku silap tarik orang. Aku ingatkan kau. Selamba aje aku kenalkan dia ni sebagai bakal suami aku kat Ikram..." terang Rania sambil menunjuk ke arah Kai.
"Gilee... mesti berbulu mata Ikram tengok kau. Bakal suami retis popular. Handsome pulak tu." Amri menjeling Kai yang kelihatan hilang punca.
"Aku nampak bijik mata dia macam nak terkeluar tadi. Mesti sakit hati gila." Rania ketawa lalu disambut oleh Amri.
Kai pandang June. Pengurusnya itu hanya angkat bahu. Rania dan Amri menganggap perkara itu bagaikan mainan sedangkan karier dan namanya menjadi taruhan.
"Korang berdua ingat benda ni main-main ke?" Kai merampas tablet.
"Kan saya cakap, saya akan minta maaf. Selesai cerita. Habis perkara." Keras Rania bersuara. Kai tak habis-habis nak mengamuk.
"Kau fikir perkara ni habis dengan minta maaf. Itu page LampamTilapia. Kejap lagi pasti bertambah viral cerita pasal kita!"
"Habis tu kau nak aku buat apa?" Tanya Rania dengan suara sedikit meninggi. Terus dia gunakan bahasa kau-aku. Dia tahu dia yang bersalah. Semua Ikram punya pasal. Tapi apa dia boleh buat selain berterus terang. Pasti peminat Kai di luar sana akan faham. Ini semua kesilapan kecil yang boleh diperbetulkan. Berkahwin memang tiada dalam perancangan hidup dia.
"Kita kahwin betul-betul."
Amri menganga. Rania buntangkan mata. Nikah kahwin adalah perkara yang menyeramkan bagi dia. Serik untuk hidup berdua dengan mana-mana lelaki. Apatah lagi lelaki yang dia langsung tidak kenal.
"Gila. Aku takkan kahwin dengan kau." Rania menolak.
"Kau kena kahwin jugak."
"Aku tak nak kahwin dengan kau."
"Kenapa kau tak nak kahwin dengan aku?" Tanya Kai.
"Sebab aku tak nak." Tetap Rania menolak.
"Kau kena kahwin dengan aku. Kau kena bertanggungjawab sebab buat nama aku busuk." Kai terus mendesak.
"No!"
Mereka berdua saling berbalah. Amri dan June sama-sama jadi pemerhati. Begitu juga dengan team pekerja Kai. Semuanya terdiam. Bergaduh bagaikan pasangan kekasih. Tiba-tiba telefon Amri berbunyi.
"Assalamualaikum mak..." Panggilan dari Puan Rahila, emak Rania. "Kejap mak."
"Ara... Mak." Amri mencuit bahu Rania dan menyerahkan telefon. Pasti ada benda penting yang mahu Puan Rahila sampaikan. Biasanya emak Rania tidak pernah menelefon kalau mereka ada pertunjukan atau apa-apa berkaitan kerja.
Rania mengambil telefon dari Amri. Kenapa emak tiba-tiba menelefon di saat genting begini. Kai memberi isyarat mahu bercakap dengan emaknya. Namun dia buat tidak tahu dan terus berpusing.
"Assalamualaikum mak."
"Ara... Betul ke Ara nak kahwin dengan penyanyi terkenal." Kedengaran suara di sebelah sana. Bukan hendak menjawab salam tapi terus dilontarkan dengan soalan cepumas.
Rania tergamam. Mak pun sudah tahu. Siapa pula yang membawa cerita. Dia tiba-tiba resah. Janganlah mak tuduh dia bercinta secara senyap-senyap. Selama ini mak selalu tanya bila dia hendak mencari pasangan hidup. Dan setiap kali itu juga dia mengatakan tidak bersedia.
"Mak tau dari mana ni?"
"Ni ha... Wartawan berkumpul kat depan rumah. Katanya nak tau fasal bakal isteri Kai. Siapa Kai... Kai lelaki handsome yang selalu keluar TV tu ke?"
"Apa mak?" Rania tidak sempat menghabiskan ayatnya bila Kai merampas telefon.
"Assalamualaikum mak... Saya Khairul bakal menantu mak. Ya saya Kai mak. Ya mak kami akan menikah. Maaf mak sebab tak sempat jumpa mak nak bincangkan pasal pernikahan kami. Kai yang minta Rania rahsiakan. Tadi Ikram datang kacau Rania. Terpaksa Kai buka cerita." Lunak sahaja suara Kai berbicara. Dia bergerak menjauh sedikit.
Rania tidak percaya apa yang dia dengar. Kai mereka cerita. Sanggup Kai berbohong kepada emaknya. Dia mahu merampas telefon tetapi gagal. Dengan ketinggian Kai agak sukar untuk dia merampas telefon. Dia tidak mahu Kai terus berbohong. Akhirnya dia putus asa dan kembali kepada Amri.
"Mesti mak happy giler nanti. Dapat menantu retis." Bisik Amri.
Rania terduduk di sofa. Haruskan dia menempuhi satu lagi perkahwinan yang bakal menyeksa hidupnya. Matanya memerhatikan Kai yang sedang berbual di telefon. Apa pula yang Kai bualkan dengan emaknya. Sesekali Kai tersengih dan tersenyum. Nampaknya lelaki tu melayan emak dengan penuh mesra. Terdetik suka di hatinya melihat senyuman itu. Ralit dia memerhatikan Kai hingga tidak perasan lelaki itu sudah menamatkan perbualan.
"Lain kali jangan main kaut aje mana-mana lelaki buat bakal suami. Padan muka kau kena kahwin dengan aku. Memang kau tak akan jumpa erti kata bahagia nanti." Kai duduk di sebelah Rania. Telefon dia campak ke arah Amri yang sedang berdiri.
"Aku tak nak kahwin..." Rania menangis.
"Aku dah meminang kau secara tak rasmi kat dalam telefon. Mak kau dah setuju kita kahwin dan dia akan bagitau pak long kau aka wali kau. Mak kau pesan jangan lupa bukak WhatsApp."
Rania palingkan kepala melihat Kai. Langsung tiada riak di wajah lelaki itu. Dia keluarkan telefon dari poket. Memang dia silentkan telefon tadi. Sebab ada banyak kerja yang perlu dia buat. Entah apa khabar pekerjanya di dewan sana. Mungkin semua sudah gempar agaknya. Ada di kalangan pekerjanya yang meminati Kai.
"Allah..." Itu sahaja yang Rania mampu ucapkan. Ada live FB dia memperkenalkan Kai sebagai suami. Bala apakah ini? Siapa yang merakamkannya?
"Kenapa kita kena kahwin?" Rania hampir menangis. "Kau jahat."
"Aku pulak jahat."
"Yalah... Kenapa kau mengaku kat mak aku."
"Habis tu kau nak ke orang tuduh mak kau tak reti didik anak. Jadi penipu, pembohong. Dah beria mengaku nak kahwin tiba-tiba... sebenarnya menipu."
Terkunci bibir Rania untuk membalas. Sudahnya dia hanya terdiam dan mengaku kesalahannya dalam hati. Dia pandang Amri. Sepupunya sibuk melayan Facebook. Kepada siapa dia hendak mengadu sekarang.
"Kau yang cari pasal aku pulak yang kena. Kena kahwin paksa." Kai sandarkan kepala ke belakang.
Kedengaran bunyi pintu di ketuk. Yusman segera membuka pintu. Agak lama dia di pintu. Setelah pintu di tutup Yusman mendekati Kai dengan bekas di tangannya.
"Tepat pada masanya." Kai senyum gembira.
Rania menjeling ke arah Kai. Kenapa lelaki itu tersenyum di saat genting begini. Apa pula yang terkandung di dalam bekas itu. Tiba-tiba dia berminat untuk tahu apakan benda bulat dan berwarna-warni di dalam bekas yang dipegang Kai.
"Mochi." Pelawa Kai.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top