BAB 1


Bahagia yang ku damba namun derita yang kau hadirkan. Cinta yang ku tabur buat mu berbalas dengan racun berbisa. Jika bahagia mu bersamanya, hanya secebis doa aku mampu hadiahkan – Indah Rania

Rania berdiri memandang Ikram. Sesuatu yang dia takutkan kini benar-benar terjadi. Mereka berdiri di pintu pagar rumah orang tuanya. Alam bagaikan mengerti hatinya yang sedang menangis. Gerimis turun membasahi mereka. Dia cuba bertentang mata dengan Ikram tapi kekuatannya telah hilang. Sudahnya dia hanya memandang dada bidang Ikram.

"Kenapa?" tanya Rania. Soalan yang sering dia tanyakan kepada Ikram dan dirinya sendiri. Namun jawapan yang hadir membuatkan hatinya terluka. Begitu pun dia terus bertanya untuk sebuah kepastian.

"Saya tak sampai hati menduakan dia."

"Saya isteri awak, sepatutnya awak fikirkan hati saya bukan dia." Rania sakit hati mendengar jawapan Ikram. Rumah tangga yang mereka bina sudah sampai ke penghujungnya.
"Saya cintakan dia."

"Mana pergi cinta awak yang dulu. Cinta Ikram kepada Rania."
Ikram membisu.

"Apa salah saya Ikram? Kenapa cinta kita boleh jadi macam ni?"

"Saya sangka cinta saya teguh buat awak tapi bila dia hadir, dengan mudahnya cinta itu hilang. Saya yakin cinta kedua lebih teguh dari cinta pertama. Saya juga yakin dialah bidadari syurga saya, bukan awak." Ikram jujur dengan Rania.
Kehadiran Marissa buat jiwanya bergetar. Marissa sangat berbeza dengan Rania. Marissa pandai menggoda dia. Buatkan dia tidak sabar untuk mendirikan mahligai cinta dengan gadis itu.

"Awak jahat Ikram. Kenapa awak kejam sangat." Ujar Rania perlahan.

Pedih. Hanya itu yang dapat Rania rasakan. Dia korbankan cita-citanya demi Ikram. Janji Ikram rupanya hanya dusta. Dua tahun tempoh dia berumah tangga dengan Ikram. Namun hanya setahun dia benar-benar merasa bahagia.
Sekali lagi Ikram hanya membisu.

"Kalau itu yang awak kata. Saya cuma mampu doakan kebahagiaan untuk awak dan dia. Saya maafkan semua dosa-dosa awak dunia akhirat. Harap awak juga mampu maafkan saya andai terkasar bahasa dan tersalah laku sebelum ini. Halalkan semua makan minum saya. Bahagiakan dia. Jangan lukakan hati di seperti awak lukakan hati saya." Rania sedar tiada gunanya merayu cinta yang telah hilang. Ini ujian buat dia. Allah pasti punya rencana yang lebih baik.

"Indah Rania... Aku ceraikan kau dengan talak satu." Tutur Ikram. Sedikit pun hatinya tidak terusik melihat air mata Rania yang mula mengalir. Malah dia bersyukur kerana semuanya mudah. Seperti permintaan Rania biarlah talak dilafazkan di tempat di mana dia melamar Rania dahulu.

"Terima kasih Encik Ikram. Terima kasih untuk setahun yang sangat membahagiakan saya. Terima kasih untuk luka yang awak berikan." Rania hadiahkan senyuman manis untuk Ikram sebelum berpusing. Pintu pagar ditolak perlahan. Air mata yang tadi perlahan mula melebat. Selebat hujan yang turun.
Ikram turut berpusing. Berjalan perlahan menuju ke kereta. Meninggalkan kawasan rumah keluarga Rania yang sudah bergelar bekas isterinya.

Tujuh bulan berlalu...

Rania menangis semahunya. Sudah enam bulan sejak perceraian dia dengan Ikram disahkan oleh mahkamah. Maka sudah enam bulan juga dia menyandang gelaran janda. Urusan perceraian mereka jadi mudah kerana kedua-duanya sepakat tidak mahu menghadiri kaunseling. Tuntutan harta sepencarian, Ikram langsung tidak berkira. Ikram mahu segera membina istana baru.

Hari ini, persandingan Ikram dengan Marissa. Sampai hati Ikram. Sudahlah luka lelaki itu berikan malah ditabur garam pula. Kad jemputan dari Ikram dikoyakkan menjadi cebisan kecil. Kalau dia tahu luka yang akan dia dapat, sumpah dia akan tolak lamaran Ikram dan melanjutkan pelajaran ke New Zealand.

"Ara sudahlah... kata dah reda. Kenapa mesti menangis lagi." Puan Rahila cuba memujuk Rania.

"Mak... biar Am pujuk dia." Amri menepuk bahu Puan Rahila. Meminta ruang agar diizinkan masuk ke bilik Rania.

"Am cubalah. Mak dah tak mampu nak buat apa lagi. Pak long tak dapat datang pulak. Izzati baru bersalin." Puan Rahila memberi keizinan kepada Amri, anak arwah adik iparnya merangkap anak susuan. Dibela sejak bayi lagi. Amri baru sahaja pulang dari Perancis. Baru selesai pengajian.

Amri mendekati sisi katil. Dia rebahkan punggung. Tangannya mengusap belakang Rania yang sedang meniarap dengan selimut menutupi seluruh tubuh. Rania menyingkap selimut dan memandangnya sekilas sebelum kembali menyorokkan muka.

"Ara.. Kau tak gembira ke tengok aku balik. Jomlah kita pergi makan. Pergi jalan-jalan. Aku rindu nak makan roti canai." Amri bersuara.

Pedih hatinya melihat Rania yang tidak terurus. Wajah cantik Rania nampak sembap dan tidak bermaya. Entah berapa lama Rania menangis dia pun tidak tahu. Kata emak Rania mula berkurung di dalam bilik sejak hari pernikahan bekas suaminya dua hari lepas. Makan minum pun tidak dipedulikan.

"Aku tak ada mood nak makan. Kau pergilah sorang." Rania mengesat mata dan hidungnya dengan tisu. Kotak tisu yang kosong dia campak ke lantai. Dicapai kotak tisu baru yang dia letakkan di meja katil. Kehadiran Amri langsung tidak membuat dia gembira padahal dia sudah lama tidak berjumpa sepupunya itu. Lebih kurang empat tahun Amri berada di Perancis.

"Mana perginya Rania yang kuat dan gagah tu. Takkan sebab sorang lelaki kau hancurkan diri macam tu."

"Rania tu dah mati."

"Rania mati... Rania dah mati. Habis tu yang bercakap ni siapa? Hantu... jembalang... puntianak. Eee seramnya." Amri cuba berlelucon. Mengharapkan Rania turut ketawa. Namun tiada sebarang reaksi dari Rania. Hanya kedengaran suara menangis dan hidung dihembus sahaja.

Kalau ikutkan hatinya dia mahu ganyang Ikram. Dulu semasa cinta gila kepada Rania, bermacam-macam janji ditabur. Sekarang, Rania dicampak begitu sahaja. Malah tergamak menceraikan Rania kerana jatuh cinta kepada perempuan lain.

Dia tidak kenal Ikram. Rania menikah saat dia di Perancis. Saat dia pulang Rania sudah pun bercerai dengan Ikram. Sungguh singkat usia perkahwinan yang Rania banggakan dulu. Lama dia menunggu reaksi Rania, tetap tiada.

"Rania dah mati kan. Dah jadi hantu kan? Apa kata kau pergi serang Ikram dengan bini dia tu. Tak payah nak gentayangan kat sini. Seram daku." Amri dengan lenggok suaranya yang agak lembut.

Rania tetap tidak memberi sebarang reaksi. Masih seperti tadi.

"Batu belah batu bertangkup, telanlah Ara, makanlah Ara. Dia kata dia nak mati. Bangkitkan dia jadi hantu tapi lebih seram dari hantu Mak Lampir. Sesuailah dengan gelaran janda serabai giler." Suara Amri seakan mengikut dialog filem Batu Belah Batu Bertangkup.

"Kau mulut jahat." Rania menolak selimut. Bangun dan terus menumbuk bahu Amri. Mula-mula hanya sekali tetapi menjadi berkali-kali selepas Amri berdiam.

Amri membiarkan perlakuan Rania. Kalau dia harus jadi punching bag untuk Rania, dia rela. Asalkan hati Rania menjadi tenang. Setiap air mata Rania yang gugur merupakan satu tusukan di hatinya. Dia berdoa agar Allah membalas perbuatan Ikram.

"Aku tak boleh lupakan dia. Aku cintakan dia." Rania memeluk Amri. Menangis di bahu lelaki itu sepuas hatinya.

"Ara... kau nangislah sepuas hati kau. Aku nak bila kau dah tak larat nangis, kau muncul sebagai Indah Rania yang baru." Amri mengusap belakang Rania.

"Kau mesti kuat. Kau kena tunjuk kat Ikram yang kau tak perlukan dia untuk hidup. Kalau Ikram nampak kau macam ni sah dia ketawakan kau. Dia dengan isteri baru dia akan gelakkan kau. Kau nak ke?"

Rania geleng.

"Kau patut jadi Indah Rania yang kuat. Takkan kau nak hancurkan diri sebab lelaki tak guna tu. Kau kena buat dia telan balik kata-kata dia. Allah pisahkan kau dari dia sebab dia tak sesuai untuk perempuan baik macam kau. Dia memang sesuai dengan bini baru dia yang gedik tak hingat tu."

Rania angkat kepala. Kata-kata Amri sedikit sebanyak membuat dia sedar. Ikram bahagia bersama Marissa. Kenapa dia harus bersedih untuk manusia yang tidak menghargai dia. Kenapa dia harus menyeksa diri untuk lelaki seperti Ikram. Lelaki yang hanya pandai mempermainkan cinta dia.

"Apa patut aku buat sekarang?" Rania betulkan kedudukannya.

"Sekarang pergi mandi. Solat. Minta kepada Allah agar hati kau kuat untuk melupakan Ikram." Amri mengesat air mata Rania dengan jari.

"Aku..."

"Aku tak nak dengar alasan. Kita keluar macam dulu-dulu. Usyar pakwe handsome kat mall." Amri ketawa mengenangkan kenakalan mereka semasa remaja. Bersidai di mana-mana kompleks membeli belah hanya sekadar teman Rania cuci mata.

"Aku dah jadi janda. Layak ke nak usyar pakwe handsome." Rania turut ketawa. Mengenangkan status yang disandangnya, malas dia hendak fikirkan soal lelaki. Susah hendak mencari lelaki yang punyai kualiti terbaik saat ini.

"Janda pun perempuan jugak. Kenapa kalau janda. Tak layak hidup dah. Harus mati bunuh diri sebab pikul status janda. Status tu muncul sebab lelaki tak guna macam Ikram tu. Kalau dapat kat aku si Ikram tu. Aku sunatkan dia seratus kali. Biar tau rasa."Amri bersuara geram sambil membuat isyarat guntung dengan jarinya.

Rania ketawa melihat 'gunting' Amri. Malah ketawanya menjadi lebih kuat dari tadi. Dia tidak akan memikul gelaran janda kalau bukan kerana Ikram.

"Lupakan lelaki tak guna tu. Suatu hari nanti kau akan dapat pengganti yang lebih baik. Lebih menghargai kau. Lelaki yang akan mencintai kau sampai kau rasa lemas dalam cinta dia." Tambah Amri sambil membetulkan rambut Rania yang kusut.

Dengan kejelitaan asli yang Rania miliki tentu ramai lelaki yang jatuh cinta. Cuma Rania agak ketinggalan dalam berfesyen. Masih dengan imej baju kurung kapas dan tudung bawalnya. Ada banyak fesyen wanita Muslimah sekarang. Dia yakin dengan sedikit sentuhan Amri, Rania akan menjadi janda yang paling cantik.

"Ada ke lelaki nak kat aku ni?" Rania agak kurang yakin.

"Percayalah kat aku... kalau Indah Rania senyum, anak raja pun boleh angau tau."

Rania senyum. Ya... dia layak untuk hidup gembira seperti dahulu. Persetan apa orang cakap. Selagi Allah beri nikmat untuk bernafas selagi itu dia akan terus hidup.

"Kau patut transform diri kau jadi janda hot. Bukan janda namatey macam ni."

"Kau... mulut... bukan kau duduk kat Perancis ke. Mana kau tau ayat namatey ni?" Rania pukul Amri dengan bantal. Dia masih ingat dosa pahala. Hidupnya tak akan berakhir hanya kerana Ikram.

"Malaysia-Perancis... satu saat aje dah sampai kalau guna FB."

Rania terus memukul Amri. Sekuat hati. Amri yang tidak sakit mengambil bantal dan turut memukul Rania. Mereka saling berbalas pukulan hingga keluar kekabu dari bantal. Rania ketawa melihat muka Amri dipenuhi kekabu. Beban masalah yang dia tanggung beransur hilang.

Puan Rahila mengalirkan air mata kegembiraan. Kepulangan Amri tepat pada masanya. Melihat anak tunggalnya ketawa, hati tuanya panjatkan syukur. Dia turun ke tingkat bawah untuk memasak.

"Jom kita bukak butik. Alang-alang kau dah balik ni. Boleh kita teruskan cita-cita kita nak ada jenama sendiri." Rania cuba mengatur pernafasannya. Melihat biliknya yang penuh dengan kekabu dia ketawa.

Satu ketika dulu dia pernah bercita-cita untuk membuka butik pakaian bersama Amri. Dia minat berniaga dan Amri minat fesyen. Mereka berdua melanjutkan pelajaran dalam bidang kesukaan masing-masing. Amri menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi manakala dia memilih untuk menikah dengan Ikram.

"Aku tak cukup duit nak buka butik. Aku pelan nak buat butik online. Jual rekaan aku kat FB. Ambik tempahan." Amri baring di atas riba Rania. Memang itu rancangannya buat masa sekarang.

"Aku rasa aku patut manfaatkan apa yang aku dapat dari perceraian kami. Aku ada dapat harta sepencarian. Banyak tau." Rania teringatkan harta sepencarian dia yang Ikram berikan.

"Berapa dia bagi kau?"

"100k. BMW dengan banglo kat Bangsar." Jawab Rania. Memang itu jumlah harta sepencarian yang diberikan oleh Ikram.

"Banyaknya." Amri terlopong.

"Dia anak orang kaya kan. Lagipun dia bijak dalam urusan jual beli hartanah ni. Adalah sikit dia beli hartanah masa awal-awal kami kahwin. Kononnya nak buat pelaburan. Jadi memang banyaklah dia kena bagi aku. Tambah lagi dengan duit idah." Rania tersenyum. Dia pernah berazam untuk tidak menyentuh sedikit pun duit dari Ikram. Tapi sekarang persetan semuanya. Itu memang hak dia.

"Besok jugak kita bukak butik. Cinta Indah nama label baju kita nanti."

"Cinta Indah... aku suka nama tu. Aku jadi bos kau jadi kuli." Rania sengih sengaja mengusik Amri.

"Tak guna punya perempuan. Kau jadikan aku kuli je. Aku nak gigit jari kau." Amri tarik tangan Rania dan gigit jari telunjuk perempuan itu.

"Amri!!!" Rania menjerit kesakitan.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top