BAB 7
“Jemur baju ke Puan Fika,” tegur Kimi yang sedang membasuh keretanya.
Fika hanya mendengus kasar. Pertanyaan Kimi itu diibaratkan angin lalu saja di telinganya. Malas mahu melayan duda merenyam sebelah rumahnya itu. Kalau tengok wajahnya saja pasti terconget senyuman nakal pada wajah Kimi. Meluat, tahu tak!
“Sombongnya janda saya seorang ni. Peluk nanti baru tau.” Kimi ketawa. Dia sedang membayangkan dirinya menerima flying kick daripada Fika jika dia betul-betul memeluk bekas isterinya itu. Sejak mereka berjumpa semula, sudah dua kali kakinya menjadi mangsa Fika.
“Diam boleh tak? Jangan sampai saya pergi sana basuh awak pula.” Fika menghempas kasar bakulnya. Pagar yang memisahkan rumah mereka didekati.
“Boleh juga. Kita main basuh-basuh dekat dalam ya. Nanti boleh kahwin free.” Kimi tersengih.
“Awak jangan melampau, Kimi. Jangan nak mempermainkan maruah saya dekat sini. Saya bukan Fika yang dulu lagi. Awak yang buat saya jadi macam ni. Awak lupa ke?” Tinggi nada suara Fika pada dudanya itu. Digoncang pagar pemisah rumah mereka dengan kuat. Habis jatuh pakaian yang tersangkut di pagar itu.
Kimi melepaskan paip air yang dipegangnya tadi. Dia menggeleng seketika sebelum mengutip pakaiannya yang bertaburan di atas tanah itu. Kena basuh lagi sekalilah jawabnya. Kimi mengeluh. Nak marah tak sanggup. Rasa sayang mengatasi segalanya. Buatlah apa pun, Kimi terima saja dengan hati yang rela.
“Baju ni tak salah. Saya yang salah pada awak. Tak ada peluang kedua ke untuk saya?”
Fika tersenyum sinis. Sambil berpeluk tubuh, mata merenung tajam pada bekas suaminya itu. Angin dari negara mana dah sampuk si Kimi ni agaknya. Bukan ke dulu Kimi sendiri tidak mahukan dirinya. Kenapa mahu meminta peluang kedua pula?
“Semudah tu awak nak saya maafkan awak lepas apa yang awak buat pada saya? Jatuhkan talak lepas seminggu kita berkahwin. Awak ada fikir ke perasaan saya masa tu? Ada ke, Kimi? Awak buat saya macam perempuan tak ada maruah. Saya benci awak, Kimi.” Fika tahan air mata yang mahu gugur. Dia tidak akan sesekali menjatuhkan air matanya di hadapan lelaki ini. Bila diingati kisah lalu, hatinya sakit. Cinta yang diberi tidak pernah dipandang lelaki itu. Sekarang mahu minta peluang kedua. Boleh blahlah.
“Awak yang setuju Fika. Saya tak akan lafazkan kalau awak sendiri tak setuju.” Kimi mengingatkan semula Fika tentang penceraian yang berlaku antara mereka. Dia hanya lafazkan bila Fika sendiri bersetuju. Kalau bukan daripada bibir Fika yang meminta, mungkin sehingga kini mereka masih kekal sebagai suami isteri. Mungkin sudah melimpah ruah cinta antara mereka berdua. Menyesal pula kerana mengikut kehendak Fika pada waktu itu.
Fika diam. Ya, memang lafaz itu lahir hasil daripada persetujuannya tapi Kimi tahu ke kenapa dia setuju? Malas mahu melihat wajah Kimi, Fika berpaling.
“Fika,” panggil Kimi bila Fika seperti mahu masuk ke dalam rumah.
Fika menghentikan langkahnya. Berpaling pada Kimi tidak mungkin. Dia tidak mahu air matanya menjadi tontonan lelaki itu.
“Saya tahu awak sakit sangat dengan perbuatan saya pada awak sebelum ni. Saya minta maaf. Beri saya peluang Fika. Saya janji saya akan bahagiakan awak.”
Fika menarik nafasnya. Hatinya tidak mudah untuk dibeli lelaki itu. Menahan esakan, Fika bersuara.
“Cukuplah sekali Kimi. Hati saya dah tak ada ruang untuk awak. Awak yang tolak saya. Awak pilih dia daripada saya. Tahu tak kenapa saya tetap teruskan berkahwin dengan awak biarpun awak tak cintakan saya? Sebab saya cintakan awak. Lama sangat saya pendam cinta saya pada awak tapi awak sikit pun tak pernah nampak cinta saya ni. Awak kejar dia. Awak tolak cinta saya sampai awak akhirnya buang saya. Sakit sangat dekat sini. Sakit Kimi.” Fika menepuk dada kirinya berkali, biarpun Kimi tidak nampak kelakuan dia itu. Air mata yang jatuh dengan lebatnya dibiarkan saja. Dengan pantas Fika berlari masuk ke dalam rumahnya. Berdentum bunyi pintu dihempas Fika.
Fika bersandar pada pintunya. Perlahan-lahan tubuhnya menurun sehingga dia terduduk di atas lantai. Dihamburkan segala tangisnya di situ. Kenapa lelaki itu perlu kembali dalam hidupnya? Dia sudah bahagia dengan kehidupan barunya di sini. Kehadiran lelaki itu ternyata membuatkan dia sukar untuk memadam rasa cinta yang masih ada di hatinya buat Kimi.
Kimi mengeluh. Ternyata dia telah melukakan dengan teruk sekeping hati milik Fika. Apa yang harus dia lakukan demi memujuk sekeping hati yang begitu keras itu? Salah dirinya kerana lambat tersedar tentang perasaan Fika padanya selama ini. Kalaulah dia boleh berpatah semula ke masa lalu, dia tidak akan sesekali melepaskan Fika pergi daripada hidupnya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top