Bab 5
"UNTUK sementara waktu, Nia perlu berada di hospital untuk pemantuan lanjut."
"Berapa lama doktor?" soal Encik Ismail dengan nada resah. Puan Asmina masih berada di ruang rawatan Nia.
"Bergantung kepada perkembangan Nia. Menurut kami, Nia ada tekanan perasaan. Untuk budak kecil yang umurnya masih lima tahun, tekanan perasaan tu tak baik untuk tumbesaran dia."
Perkhabaran yang disampaikan itu benar-benar mengguris luka di hati Encik Ismail. Satu-satunya cucu yang dia punya itu mengalami tekanan perasaan kerana sikap pentingkan diri Aiden. Sampai bila sikap buruk itu perlu ada dalam diri anak lelakinya?
"Encik Ismail, dalam usia sekarang, Nia perlukan perhatian yang sepenuhnya daripada ibu dan ayahnya. Kasih sayang atuk dan nenek takkan pernah sama."
"Baik, doktor. Terima kasih atas ingatannya."
"Sama-sama, encik. Saya pergi dulu. Apa-apa, saya akan khabarkan encik."
Doktor Kamal berlalu. Encik Ismail pula mengatur langkah masuk ke dalam ruang rawatan Nia. Puan Asmina masih setia di sisi cucunya.
"Bang, apa kata doktor?"
Sepi seketika suasana di dalam ruangan itu. Encik Ismail duduk di birai katil dan tangan kecil Nia dielus lembut.
"Nia ada tekanan perasaan. Jadi, dia perlu ada di sini untuk sementara waktu."
"Allahuakbar..."
Luluh hati Puan Asmina mendengarkan khabar itu. Matanya memandang sekujur tubuh yang masih terlantar di atas katil. Wajah Nia yang dulunya ceria berubah menjadi suram.
"Sampai bila Aiden nak teruskan sikap buruk dia tu? Tengoklah sekarang ni. Nia yang jadi mangsa."
"Ina, jangan burukkan Aiden depan Nia. Sejahat apa pun Aiden, dia tetap ayah pada Nia. Dia ada hak ke atas Nia. Buat masa sekarang, kita kena kembalikan semangat Nia. Mesti dia pun tertekan dengan apa yang jadi."
Encik Ismail cuba meredakan kemarahan isterinya. Sekarang bukannya masa yang sesuai untuk mencari salah siapa. Paling utama, Nia perlu sembuh dahulu.
.
.
.
.
.
.
.
"FARAH."
Farah memandang ke arah suara yang memanggilnya. Matanya dikecilkan sedikit kerana cahaya yang terlalu cerah itu. Serba putih pemakaian si dia.
"Mak?"
Wanita tua itu hanya mengukir senyum sebelum Farah sedar ada seorang lagi di sisi ibunya.
"Bapak?"
Air matanya mula mengalir. Sungguh bersih wajah ibu bapanya. Terlalu suci.
"Farah jaga diri ya? Kami tunggu Farah dekat sana. Farah kena kuat ya, nak?"
Orang tuanya berpaling dan mula berjalan ke arah satu cahaya putih yang sangat cerah. Farah cuba untuk mengejar namun kakinya kaku di tempatnya. Dia hanya melihat kedua orang tuanya hilang di sebalik cahaya itu.
"Mak... Bapak..."
Mata dibuka luas. Hanya siling yang berwarna putih memenuhi pandangan mata.
"Mimpi," katanya perlahan. Mimpi itu berulang lagi. Mimpi yang akan berputar setiap kali rasa rindu Farah terhadap orang tuanya menebal.
Jam di dinding dilihat. Baru pukul lima petang. Memandangkan dia sudah menunaikan solat asar, Farah bangun daripada baringannya. Dia mahu mengambil angin sekejap. Sesak juga asyik berkurung di dalam bilik rawatan.
Tiang IV drip juga dibawa bersamanya. Walaupun badannya masih lemah, Farah cuba untuk gagahkan diri. Takkan nak layan je rasa sakit tu?
Wad yang Farah berada itu berhampiran dengan wad kanak-kanak. Lalu sahaja di hadapan wad itu, Farah dapat lihat seorang budak perempuan yang panjang rambutnya duduk bersendirian di kerusi menunggu. Dilihat sekelilingnya dahulu sebelum dia mendekati si kecil itu.
"Assalamualaikum, adik."
Budak perempuan itu mengangkat wajahnya untuk melihat Farah. Farah terkejut apabila mata mereka bertemu.
"Waalaikumusalam, aunty," balas si kecil seraya tersenyum manis. Terasa jantungnya direntap keluar. Mata dan senyuman itu sama seperti orang yang sudah banyak berjasa pada dirinya.
"Aunty?"
Panggilan Nia membuatkan lamunan Farah mati.
"Ya, sayang. Maaf aunty termenung."
Farah cuba membuang rasa yang tadinya sempat singgah di hati. Cuba untuk fokus kepada budak perempuan yang comel di hadapannya ini.
"Nama adik apa?"
"Nia," jawab si kecil ringkas. Farah mengulum senyum.
"Nia kenapa masuk hospital? Sakit apa?"
Malangnya, soalan Farah itu dibiarkan tidak berjawab. Nia hanya mendiamkan diri lalu menghela nafas berat. Bahunya juga jatuh menunjukkan dia sedang bersedih. Farah mengerutkan dahinya.
"Nia, kenapa aunty tengok muka Nia macam sedih ni?"
"Papa bencikan Nia, aunty. Nia dengar papa cakap yang Nia satu kesalahan. Apa maksudnya?"
Luahan si kecil itu membuatkan jantung Farah bagai direntap keluar. Seakan-akan apa yang Nia ucapkan itu adalah satu ejekan untuk dirinya sendiri.
"Kau tu satu kesalahan!"
Ayat itu mula terngiang-ngiang di fikiran Farah. Ayat itu dilontarkan ketika umurnya lima belas tahun. Rasa pedih amat. Inikan pula kata-kata itu dilemparkan kepada budak yang baru sahaja usia 5 tahun.
Farah mengangkat wajah Nia untuk memandang dirinya. Rambut budak perempuan itu diusap perlahan.
"Kehadiran Nia bukan satu kesalahan tapi anugerah untuk semua orang. Mana ada manusia yang lahir itu adalah satu kesalahan. Setiap nyawa yang lahir itu adalah satu hadiah dan kurniaan terindah."
Secara tiba-tiba, Nia memeluk tubuh Farah dan Farah hanya membalas pelukan itu.
"Nia rindu mama..."
Air mata kanak-kanak perempuan itu mengalir kejap. Sungguh, dia rindukan dakapan ibunya.
Nia meleraikan pelukan mereka dan memandang wajah Farah.
"Boleh tak aunty jadi mummy Nia?"
Terkedu Farah apabila mendengar soalan yang Nia ajukan.
"Aunty macam mama. Baik, cantik, wangi. Macam mama," sambung Nia.
"Mama Nia dekat mana?"
Sejurus itu, Nia terus mendongak kepalanya memandang langit. Farah turut melakukan hal yang. Pandangan mereka berdua tepat ke arah langit biru yang dihiasi awan.
"Tok mi cakap, mama dah ada dengan Allah kat atas sana."
Jeda.
"Nia rindukan mama..."
Bergenang air mata Farah mendengar rintihan si kecil. Suara Nia benar-benar sarat dengan rasa rindu.
"Nia..."
Pandangan dialihkan kepada Farah.
"Aunty boleh jadi mummy Nia."
XXX
Berminat nak dapatkan Ebook JDBT? Boleh klik link di description atau message board untuk pembelian!
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top