Bab 1

"TAK nak! Kenapa Aiden kena pergi sana? Ibu janganlah paksa Aiden."

Aiden mula melenting. Setiap kali dia disuruh ke sana, pasti suaranya meninggi.

"Kamu boleh sembuh. Kenapa susah sangat nak ikut cakap ibu ni?"

"Untuk apa Aiden boleh berjalan kalau Damia takde dengan Aiden? Lebih baik Aiden hidup macam ni, ibu."

Puan Asmina menggelengkan kepala apabila kerusi roda itu mula digerakkan. Penat dengan sikap anaknya yang masih menafikan. Puan Asmina mendekati Aiden yang sudah berada di muka pintu.

"Tak rindu nak jejak tanah ke? Sampai bila Aiden nak duduk atas kerusi roda ni?" soal sang ibu dengan lembut. Cuba memujuk anaknya dengan cara halus.

"Buat apa Aiden jejak tanah kalau tak boleh melangkah bersama Damia? Kesempurnaan Aiden dah hancur bila Damia ditanam, ibu."

Aiden menghela nafasnya. Rasa berat setiap kali dia menarik dan menghembus nafas. Terlalu sukar untuk dia jalani hidupnya tanpa isteri tercinta.

"Habistu Nia macam mana? Sampai bila kamu nak layan anak kamu macam tu? Sampai dia besar? Sampai dia dah kahwin?"

"Nia kecik lagi, ibu. Tak payah cakap pasal kahwin bagai."

"Sekarang ni keciklah. Kalau kamu tak layan dia dengan baik, sekelip mata je dia boleh jadi hak orang lain. Nia dah nak masuk 6 tahun, Aiden. Sekarang ni sepatutnya masa untuk dia dapatkan kasih sayang kamu sepenuhnya. Sanggup ke kamu tengok Nia membesar tanpa kasih sayang seorang ayah? Yang meninggal itu cuma mama Nia, bukannya papa Nia sekali."

Puan Asmina semakin mendesak. Walau apa pun caranya, dia perlu memastikan Aiden meneruskan rawatan fisioterapi. Kaki anaknya itu bukannya lumpuh. Patah kaki saja. Kalau menjalani rawatan yang betul, pasti boleh berjalan seperti biasa.

Aiden hanya mendiamkan diri. Dia mengaku bahawa layanannya terhadap Nia masih dingin walaupun sudah sebulan berlalu sejak kematian isterinya. Wajah ibunya dipandang.

"Baik. Aiden setuju. Tapi, dengan satu syarat."

"Apa syaratnya?" Puan Asmina mula bertanya.

"Lepas je Aiden boleh berjalan, Aiden nak balik ke kondo Aiden. Alone."
.
.
.
.
.
.
.
.

SELESAI solat isyak berjemaah, Nia mendekati ayahnya yang duduk di atas kerusi roda.

"Papa, Nia nak salam boleh?"

Si kecil itu menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan sang ayah. Aiden menyambut baik huluran tanan Nia. Laju saja Nia mengucup tangan ayahnya. Kemudian, dia memandang Aiden.

"Nia... Nak peluk papa boleh?" soal sang anak dengan nada ragu-ragu. Perlahan-lahan Aiden menganggukkan kepalanya.

"Yeay!"

Nia memeluk ayahnya namun pelukan itu tidak dibalas. Tubuhnya kaku, hanya membiarkan sahaja si kecil itu mendakap tubuh sasanya.

"Terima kasih, papa!" Dikucup laju pipi bersih Aiden sebelum Nia berlari ke arah neneknya.

"Tok mi! Harini, Nia dapat salam papa!" Cerita si cucu dengan ceria. Wajahnya benar-benar tampak bahagia kerana kali ini Aiden mahu bersalaman dengannya. Puan Asmina tersenyum sambil mengusap lembut kepala cucunya yang masih berbalut telekung.

"Tok mi nampak. Sudahlah. Jom kita masuk tidur. Sebelum tidur, kita baca surah Al-Mulk sama-sama, ya?"

"Okay, tok mi."

Puan Asmina membawa cucunya masuk ke dalam kamar. Encik Ismail memandang Aiden yang masih termenung di atas kerusi roda.

"Kamu tak kesiankan Nia? Dah berapa lama kamu tak luangkan masa dengan dia? Nia tu anak kamu, Aiden. Perlukan kasih sayang kamu untuk membesar."

"Cukuplah dia ada nenek dengan atuk dia."

Mendengar jawapan Aiden, Encik Ismail menggelengkan kepala. Ikutkan hati, mahu saja dia hantukkan kepala anaknya ke dinding. Geram benar dengan sikap dingin Aiden melayan Nia.

"Kasih sayang seorang atuk dan nenek takkan sama dengan kasih kamu sebagai ayah dia, Aiden. Fikirlah. Nia tu dah tak lama nak masuk sekolah. Apa yang dia akan ceritakan pada guru dan rakan-rakan dia kalau cikgu minta kenalkan siapa ibu bapa dia? Kamu tak fikirkan perasaan Nia ke? Kenapa kamu sekat Nia untuk jalani kehidupan dia macam kanak-kanak lain?"

Seperti biasa, tidak akan ada jawapan jika perihal Nia yang menjadi isu. Aiden masih bingung dengan diri sendiri. Kenapa dia melayan Nia sedingin itu sedangkan itu hasil cintanya dan Damia?

"Esok bangun awal. Ayah nak bawak Aiden ke pusat fisioterapi tu."

"Siapa yang akan rawat Aiden?" soalnya malas.

"Syazwan namanya. Jangan buat perangai keras kepala kamu bila sampai sana."

Encik Ismail berlalu. Aiden hanya memerhatikan langkah ayahnya sebelum dia mengeluh sendiri.

"Nasib lelaki," katanya perlahan sebelum dia mengeluh berat.

"Aiden, berapa banyak kali kau nak mengeluh ni?" Dia berbicara sendirian. Sejak kematian Damia, Aiden sedar dia sering mengeluh.

"Cukup, Aiden. Kau kena kawal perasaan ni." Lama-kelamaan, sifat buruknya sudah kembali menguasai diri. Sifat pentingkan diri sendiri tanpa pedulikan perasaan orang lain.

Dan sekarang, Nia yang menjadi korbannya.

XXX

Berminat nak dapatkan Ebook JDBT? Boleh klik link di description atau message board untuk pembelian!

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top