PROLOG

BUK!!! Aisya terlanggar seseorang. Dia menjerit dan memejamkan mata sambilmenanti badannya menyembah bumi. Tiba-tiba ada satu tangan sasa memaut pinggangnya.

Aisya membuka mata. Sepasang mata yang redup sedang merenung tepat ke arahnya. Pandangan mereka bertaut seketika. Masing-masing senyap tak bersuara. Masa seakan-akan terhenti dan memberi peluang kepada mereka untuk saling bertatapan. Seorang lelaki yang kelihatan agak kusut-masai betul-betul berada di depan Aisya. Lelaki itu mendekatkan mukanya ke arah Aisya. Aisya tergamam. Dia cuba meronta tetapi pegangan lelaki itu terlalu kejap di pinggangnya.

"Lain kali ada mata tu guna. Kalau tak nak guna, bungkus aje dalam plastik. Lepas tu buang dalam tong sampah. Sebab kau tak pakai mata, tak pasal-pasal aku tanggung dosa sebab sentuh perempuan bukan muhrim," bisik lelaki itu di telinga Aisya.

Aisya terkedu. Erk! Adakah lelaki itu sedang memaki dan menyalahkan dia? Dia tak sengajalah. Tak perasan pun kehadiran lelaki itu tadi. Tiba-tiba saja muncul dan terpacak menghalang laluannya.

"Ramai lagi orang yang perlukan mata untuk melihat. Kita yang ada mata ni pakailah elok-elok. Jangan bila berjalan sampai tak nampak orang." Sekali lagi lelaki itu berbisik di telinga Aisya.

Aisya kaku. Mummy... Terasa macam Trinidad Scorpion Butch T di dalam mulut lelaki itu. Cili yang paling pedas di dunia. Kepedasan yang menyengat ibarat kala jengking.

"Erkkk..."

"Mata kau tu cantik sangat tapi sayang tak pakai elok-elok. Celik tapi tak nampak." Tangan lelaki itu masih lagi di pinggang Aisya. Mata Aisya terkebil-kebil memandang pemuda itu.

"Kau kena kahwin dengan aku sekarang." Pemuda itu melontarkan idea yang tak masuk akal.

"Kenapa pula saya kena kahwin dengan awak?" bantah Aisya. Mana mungkin dia akan kahwin dengan orang yang baru dia kenal.

"Sebab aku dah janji cuma akan sentuh perempuan yang akan aku nikahi... Dan sekarang kita dah bersentuhan. Kau faham kan erti bersentuhan tu? Atau otak kau tu dah jatuh kat lutut?"

Aisya pandang keadaan diri mereka sekarang ini. Memang mereka dalam keadaan berpelukan. Sesiapa yang melihat pasti akan salah sangka. Perbuatan mereka boleh mendatangkan fitnah. Masalahnya, siapa peluk siapa ni? Minda Aisya bertingkah.


"Tak nak..." Aisya cuba meronta.

"Kita kena kahwin. Aku nak bawa kau pergi rumah tok kadi." Lelaki itu terus mendesak.

"Tak naklah..." Aisya menendang keting lelaki itu. Lelaki itu mengaduh sakit lalu pegangannya terlepas.

"Kau takkan terlepas dari aku. Aku pasti akan cari kau untuk kahwin dengan aku, wahai cik adik bermata hijau."

Lelaki itu terus berlalu pergi. Aisya kaku. Ayat tadi tu sekadar di bibir atau serius? Tiba-tiba dia gerun. Macam mana kalau lelaki tak betul tu jadi suami dia? Bikin gila seantero Malaya. Lelaki tadi bukan spesies yang dia nak jadikan suami. Mulut berapi kalah lahar meletus.

"KENAPA tak bagi tendangan maut kat lelaki tu tadi?" tanya Faris. Aisya agak terkejut dengan pertanyaan Faris. Sangkanya Faris akan salah sangka atau marah.

"Dari tadi saya tengok dia duduk kat bangku sana. Saya bagi salam tapi dia tengking saya. Mental agaknya..." terang Faris lagi. Patutlah Faris tak marah. Dia memang tahu lelaki itu bermasalah. Lelaki penuh misteri.

Faris mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya lalu diletakkan di atas tikar. Perlahan dia menolak kotak baldu berbentuk hati ke arah Aisya. Aisya terkaku. Terkelipkelip memandang kotak baldu itu. Otaknya bekerja keras meneka apakah isi di dalam kotak tersebut. Apa yang dia tahu, kotak baldu sebegitu biasanya berisi cincin. Dia biasa tengok apabila ada majlis bertunang atau perkahwinan.


Aisya merenung kotak itu dalam-dalam. Tak berani untuk menyentuhnya. Dia sedar Faris sedang memerhatikannya dengan penuh minat. Kalau betul isi di dalam kotak itu cincin, bermakna sekarang ini Faris sedang melamar dia ke? Aisya pandang Faris.

"Cincin ke?" tanya Maria lantas mengambil kotak di hadapan Aisya lalu membukanya. Tak sempat Aisya menghalang Maria. Sebentuk cincin emas dihiasi sebutir batu permata tersua di pandangan Aisya dan Maria. Aisya terkejut kerana sangkaannya betul.

"Saya nak awak jadi yang halal buat saya."

Aisya terkedu mendengar pengakuan Faris. Faris mendekatinya lalu menggenggam kemas kedua-dua belah tangannya. Mulutnya seakan-akan terkunci untuk mengucapkan sesuatu.

"Faris nak Sya tetap di sisi Faris. Faris nak jadikan Sya milik Faris dunia akhirat. Faris janji akan bahagiakan Sya hingga akhir hayat Faris."

Aisya rasa terharu mendengar kata-kata Faris. Hatinya berbunga riang. Putik-putik cinta yang sedia berputik mula mekar. Tanpa dia sedar, air matanya jatuh menitik. Dia tak jangka ini kejutan yang bakal diterima. Sejujurnya dia tak mengharapkan sesuatu daripada perhubungan mereka. Dia dan Faris bakal terpisah. Perhubungan mereka hanya diibarat cinta monyet. Dia pun muda lagi. Baru meniti usia lapan belas tahun.

"Faris harap Sya akan setuju..."

Gila betul. Dalam tidak sampai satu jam, Aisya terima dua lamaran. Satu penuh misteri. Satu realiti. Entah siapa jodoh dari syurga untuknya. Cinta siapa yang perlu dia jaga sehingga nyawa bercerai dari badan? Cinta Faris atau lelaki penuh misteri?

:

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top