BAB 9

"KAU tau, Siah... Aku rasa ni gembira sangat sekarang. Aku bersyukur sangat sebab Faris dah ceraikan anak pendatang tanpa izin tu. Balik aje dari UK dia terus ceraikan budak tu. Abang Jamal mengamuk pun tak guna sebab talak dah jatuh. Dia ingat dia layak jadi menantu aku. Jadi orang gaji pun aku tak izinkan. Anak dari mak bapak yang tak tau asal usul. Simpang malaikat empat puluh empat. Mujur sangat Faris ceraikan dia. Kalau tak puaslah aku nak menghadap muka tak malu dia tu."

Aisya cuba pekakkan telinga. Maria pandang dia dengan muka marah. Aisya gelengkan kepala. Dia tak mahu Maria huru-harakan pasar sebab mulut Mak Som yang busuk macam loji Indah Water tu. Mak Milah masih leka memilih sotong dan udang. Kalau Mak Milah dengar pasti sudah tercetus perang dunia di tengah pasar ni.

"Sekarang anak aku dah jumpa pasangan yang sama padan. Dapatlah aku berbesan dengan Dato. Tak payah nak menghadap anak tak ada mak bapak tu. Belum jadi menantu dia dah bagi aku handbag mahal. Apa jenama yang Dato Vida pakai? LV... Ha, LV. Original, Siah. Ada tag lagi. Tak macam bekas menantu aku tu. Entah apa jenama dia beli."

"Wah, bertuahnya kau, Som. Tahniah... Bolehlah kau menumpang senang menantu kau nanti. Jangan lupa jemput aku bila si Faris kahwin nanti."

Aisya menahan pedih dalam hati. Kenapa hal keturunannya diungkit sama? Bukan salah dia kalau ayahnya meninggal di lautan. Bukan salah dia kalau ibunya pendatang tanpa izin. Itu semua takdir Allah. Aisya memeluk bahu Maria. Dia takut kalau dia tak dapat menahan emosi di situ. Dia beristighfar dalam hati.

"Kali ni aku nak buat majlis besar-besaran. Jemput satu kampung datang. Biar semua orang tengok menantu lulusan luar negara aku. Kali ini aku tak malu dah mengaku menantu. Bukan macam yang sebelum ni, asyik pakai baju lusuh aje. Sama macam nyonya jual sayur tu."

Aisya tak dapat menahan air matanya daripada gugur. Maria sudah hilang sabar. Tangan Maria sudah menggenggam cili padi. Aisya segera menangkap tangan Maria. Maria melepaskan genggamannya. Aisya geleng kepala lagi. Maria pandang Aisya tajam. Dia tak setuju dengan tindakan Aisya. Mak Som patut kena ajar.

"Kau cakap anak aku nyonya jual sayur, Som? Kau ingat selama ni kau duk melaram pakai duit jatuh dari langit? Tak ada jenama pun kau ingat baju kau harga dua ringgit? Kalau bukan anak aku yang kerja siang malam, jangan harap kau mampu nak melaram macam tu." Mak Milah sudah singsing lengan baju kurung. Bakul berisi barang basah entah tercampak ke mana.

"Dasar tua kutuk tak sedar diri!" pekik Mak Milah.

Mak Som buat-buat tak dengar dan sibuk memilih sayur. Mak Siah mencuit bahu Mak Som.

"Dari tadi aku dengar kau jaja mulut pasal anak aku. Kau ingat anak kau tu bagus sangat ke walaupun lulusan luar negara? Otak dia kat tapak kaki aje. Sebab tu dia pergunakan anak aku. Anak dengan mak sama aje." Mak Milah mula menyerang Mak Som dengan kata-kata tak kurang pedasnya. Mak Milah cuba untuk bersabar dan tak mahu menimbulkan huru-hara, tapi Mak Som sudah melampau. Mak Milah menolak Mak Som. Tahap sabarnya sudah pun kosong.

"Masa kau terlentang lumpuh setahun yang lepas, siapa yang cuci berak kencing kau? Menantu yang kau tak hadap sangat itulah yang sibuk mandikan kau, suap kau makan. Dahlah gedik, tak nak masuk hospital kerajaan. Kau ingat duit siapa yang bayar bil hospital private kau tu? Anak pendatang tu yang siang malam kerja cari duit. Anak kebanggaan kau... mintak duit bini aje pandai. Setiap kali raya kau melaram baju baru siapa yang tanggung? Duit kau makan hari-hari siapa bagi? Semua dari dia!" Suara Mak Milah menarik perhatian pengunjung pasar. Mak Milah mencekak pinggang di hadapan Mak Som dan Mak Siah. Berani Mak Som bawa mulut fasal anak dia.

"Mak, jangan mak... Kita balik aje." Aisya menarik badan Mak Milah. Aisya yang kecil molek memang tak berdaya nak menarik Mak Milah yang gempal. Maria turut membantu ibunya yang sudah naik angin. Mereka berdua tak perasan bila Mak Milah hilang dari pandangan.

"Aku tak mintak pun dia yang bagi. Terhegeh-hegeh nak ambil hati aku. Kau ingat dia boleh beli aku dengan baju-baju mahal tu? Perempuan macam tu tak layak jadi menantu aku. Aku suka sangat bila Faris ceraikan dia."

Mak Som tak mahu kalah. Dia mencaci maki Aisya sesuka hati. Hati Aisya begitu terluka sampaikan dia tak sedar Mak Milah telah meloloskan diri.

"Anak kau yang tak layak jadi suami anak aku." Mak Milah hilang sabar. Dia mengambil buah tomato dari atas meja lalu dibaling ke arah Mak Som. Mak Som tak sempat mengelak. Buah tomato masak ranum melekat di bajunya. Mak Milah capai bungkusan cili giling di atas meja lalu ditepek ke dahi Mak Som. Baru puas hati dia. Mulut cili kena diajar dengan cili.

Aisya terkejut melihat muka bekas mak mentuanya penuh dengan lelehan cili giling. Mak Som terjerit-jerit kepedasan. Mujur ada seorang pembantu kedai menyimbah sebaldi air bekas rendaman tauge ke badan Mak Som. Tomato, cili giling bercampur sisa tauge melekat di badan Mak Som.

"Mak, sudahlah mak... Jom kita balik." Maria menarik ibunya. Sekuat mana pun dia tarik, Mak Milah tetap tak berganjak. Aisya turut sama menarik Mak Milah. Pertengkaran Mak Milah dan Mak Som menarik perhatian lebih ramai pengunjung. Beberapa orang lelaki bertindak meleraikan mereka berdua. Mak Milah bertindak membaling apa sahaja yang mampu dicapainya ke arah Mak Som.

"Mak, kenapa ni?" Faris muncul secara tiba-tiba. Mak Milah dan Mak Som masing-masing senyap.

"Ni janda kau ni kemaruk gila talak. Nak kat kau balik. Keluarga dia pun sama. Marah-marah mak. Kau tengok apa diorang buat kat mak." Mak Som berbohong. Aisya terkejut. Tak sangka Mak Som sanggup berbohong. Maria dan Mak Milah pun turut geleng kepala. Masih ada lagi manusia talam dua muka seperti Mak Som.

"Tolong jaga kelakuan sikit. Jangan jadi macam orang gasar kat sini. Memang betul pilihan aku untuk ceraikan kau. Kalau perangai macam ni, malu aku nanti." Faris menarik ibunya untuk meninggalkan kawasan pasar. Air mata Aisya menitik satu per satu. Teganya Faris mengatakan dia orang gasar.

"Dan satu lagi jangan harap aku nak kembali pada kau. Andai bumi terbelah dua pun aku tetap tak akan terima kau. Sedar sikit kau tu tak sepadan dengan aku. Tolong jangan ganggu hidup aku dan keluarga aku lagi." Sempat lagi Faris berhenti dan melemparkan kata-kata yang menghiris hati Aisya. Mak Som tersenyum puas. Dia seronok mendengar kata-kata Faris.

"Hei, jantan tak guna! Bumi terbelah ke, dunia kiamat ke, memang si Sya ni tak akan balik kat kau. Kau ingat kau hebat sangat? Kita tengok nanti siapa yang gila talak!" Maria hamburkan amarahnya. Kalau tak kenangkan Aisya tadi, mahu dia berjemaah baling tomato kat Mak Som.

"Kau dengar sini, Som... Faris... Hari ni korang hina, keji dan tindas anak aku. Kau jangan lupa tu..." Mak Milah halakan jari telunjuk ke atas.

"Setiap perbuatan kejam korang, setiap ayat korang yang buat anak aku menangis, Allah akan pulangkan balik. Lambat atau cepat korang akan dapat hukuman. Ini doa seorang ibu..." Mak Milah tepuk dadanya. Dia kenal perangai busuk hati Mak Som. Kemudian dia peluk Aisya yang berdiri tegak tanpa jiwa.

Aisya terkaku di situ. Kenapa Faris tergamak mengeluarkan kata-kata sebegitu? Hatinya terluka dengan penipuan Mak Som tadi. Sekarang hati yang luka sudah hancur lumat dengan ungkapan beracun dari mulut insan yang pernah melafazkan cinta kepadanya. Mana hilangnya Faris yang dia kenal dulu?

"Sya... Aisya!" Maria menggoncang bahu Aisya yang sedang tegak berdiri. Maria terus memeluk Aisya. Dia faham kalau sahabatnya terluka. Aisya menghamburkan tangis. Dia tak peduli pandangan pengunjung di situ. Ratarata yang melihat rasa sayu. Rasa kasihan kepada Aisya.

"Sya kita balik, nak... Mak mintak maaf, sayang. Mak sakit hati sangat tadi." Mak Milah mencium dahi Aisya. Siapa tak sakit hati bila anak yang disusukan sejak kecil dihina dan dicaci? Aisya bukan hanya anak angkat tapi anak susuannya. Kasih sayangnya sama seperti sayang kepada Malek dan Maria. Aisya sakit dia turut sakit.

"Kenapa ni mak? Dengar ada kecoh-kecoh tadi." Malek sampai setelah keadaan reda. Dia terkejut melihat sayur-sayuran bersepah di lantai. Apa yang dia dengar tadi Mak Som dan ibunya sedang bercakaran. Dia yang sedang melepak di kedai mamak segera datang ke sini.

"Mak Somlah, mulut macam loji Indah Water. Dia kutuk-kutuk Aisya. Dia cakap Aisya macam-macam. Mak pun marahlah. Lepas tu yang lagi tak tahan tu, Mak Som boleh pula cakap Aisya nak rayu Faris balik. Tua bangka macam tu pun masih lagi nak buat dosa," ujar Maria geram.

Malek menggeleng kepala. Memang ibunya kalau marah boleh menghuru-harakan satu pasar. Kalau dia beradu tenaga dengan Mak Milah, bukan saja satu pasar tapi satu kampung mereka boleh meraka huru-harakan.

"Aisya kenapa pula?"

"Faris panggil Sya orang gasar. Lepas tu dia warning Aisya jangan ganggu hidup dia. Jangan mimpi Faris nak kat dia balik... Aisya tak cakap apa-apapun. Mak yang

gaduh dengan Mak Som." Mak Milah tolong jawab bagi pihak Aisya. Aisya masih lagi menangis di dalam pelukan Maria.

"Kenapa teruk sangat perangai dia? Kalau tak suka pun janganlah hina orang macam ni. Maria, tolong bawa Aisya pergi ke kereta. Abang dengan mak nak settlekan hal kat sini. Kan bagus kalau mak baling labu ni kat Mak Som. Biar betul sikit otak senget dia. Apa barang baling tomato."

Mak Milah senyum kelat. Dia fikirkan Malek akan marah, tapi sempat lagi bergurau. Aisya yang sedang menangis tiba-tiba ketawa. Maria jadi pelik. Tapi dia turut ketawa. Mak Milah turut ketawa dan akhirnya mereka berempat ketawa di situ. Petang nanti nama Mak Milah pasti akan masyhur di pelosok kampung. Silap-silap akan viral berita pergaduhan di pasar.

"Mak tempek dahi Mak Milah dengan cili gilinglah, abang. Abang tak tengok dia terjerit-jerit tertelan cili giling. Macam monyet melompat-lompat." Maria ketawa. Mak dia kalau marah hilang ayu ratu kebaya. Milah super ganaz.

"AISYA patut keluar dari kampung ni, mak. Malek takut emosi dia merosot lebih teruk." Malek menyuarakan pendapatnya. Dia terlalu risaukan Aisya yang sekejap okey sekejap tak okey. Ada ketikanya Aisya akan tegak merenung bumbung rumah Faris dari tingkap bilik Maria. Harapan untuk melihat Aisya senyum semula bagaikan pudar.

"Mak pun fikir macam tu. Kesian dia... Boleh pula Mak Som laga-lagakan dia dengan Faris. Kenapalah dia benci sangat dengan Aisya tu?" Mak Milah duduk menghadap Malek. Petang-petang macam ni minum kopi O cecah biskut tawar memang sedap. Maria dengan Aisya berkurung di dalam bilik. Aisya nampak saja tenang lepas insiden di pasar pagi tadi, tapi hatinya cukup terluka.

"Milah! Oh, Milah! Keluar kau, Milah! Bawa sekali anak pendatang tu!"

Kedengaran suara orang menjerit dari luar rumah. Mak Milah yang sedang menghirup kopi terkejut. Malek juga terkejut. Siapa pula yang menjerit bagai orang gila kat luar sana? Malek dan Mak Milah terburu-buru keluar mahu melihat siapa yang menjerit.

Mak Som sedang berdiri sambil mencekak pinggang. Terdapat timbunan kain baju di sebelah Mak Som. Malek terpinga-pinga. Jiran-jiran mula keluar untuk melihat.

"Kau panggil sekali budak tu. Mana anak pendatang tu?!"

Tak perlu dipanggil, Aisya sudah berada di pintu. Aisya mendekat perlahan-lahan diikuti Maria. Dia kenal timbunan kain di sebelah bekas mak mentuanya. Itu bajubaju yang Mak Som minta dia beli. Kenapa ditimbunkan di sini?

"Kau nampak ni... Ini aje yang kau boleh bagi kat aku sepanjang jadi menantu aku. Cuma baju aje. Sibuk canang satu kampung. Kau tengok bakal menantu aku belikan aku apa." Mak Som melipat lengan baju blausnya. Aisya nampak di tangan Mak Som beberapa utas gelang yang agak besar. Hadiah daripada Damia ke? Mak Som sengaja berdehem dan meletakkan tangan di dada. Dia mahu semua orang nampak rantai besar yang Damia belikan.

"Baju-baju ni sampah aje..." Mak Som mencurahkan minyak tanah ke atas timbunan kain. Dan selepas itu mancis dinyalakan. Tak sampai beberapa saat,

timbunan kain tadi dimamah api. Mak Som ketawa terbahak-bahak. Aisya tidak mampu untuk menangis lagi. Dia hanya mampu melihat api menjilat keseluruhan timbunan kain.

"Mak, kenapa ni?" Faris tiba-tiba muncul. Aisya cuba untuk berlagak biasa.

"Mak geram sangat bekas isteri kau ni kuat mengungkit. Mak bakar semua baju-baju dia belikan untuk mak. Mujur juga kau ceraikan perempuan tak guna macam ni." Mak Som dengan pembohongannya. Faris kelihatan begitu marah. Dia mendekati Aisya.

"Hei, betina! Aku kan dah cakap jangan ganggu keluarga aku. Kenapa kau degil sangat? Kau ingat dengan cara ni aku simpati dan terima kau balik? Memang taklah. Kau tau tak sekarang ni aku rasa bersyukur sangat sebab ceraikan kau? Kau memang tak layak pun jadi isteri aku!" Jari telunjuk Faris lurus ke muka Aisya. Aisya tergamam. Faris di hadapannya bukan Faris yang dulu.

"Kau beritahu berapa yang kau dah guna untuk jaga mak dengan bapak aku. Aku ganti balik. Tak sangka kau ni manusia suka mengungkit. Dasar anak tak ada mak bapak!" Faris dengan sengaja menyakiti hati Aisya.

"Kurang ajar." Malek sudah kepalkan penumbuk ingin menumbuk Faris. Aisya menahan Malek. Mata Malek sudah merah menahan sabar.

"Aku nak kau bahagia dengan pilihan kau sehingga akhir hayat. Itu doa aku untuk kau dan Damia. Aku harap ini kali terakhir kita jumpa. Anggaplah aku tak kenal kau dan kau pun tak kenal aku. Hati aku sudah cukup terluka. Nama kau dah mati bersama matinya jiwa aku. Terima kasih atas segalanya," ujar Aisya tenang. Aisya terus melangkah masuk ke dalam rumah.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top