BAB 8


"SYA... Kau tak makan lagi, kan? Jomlah kita makan..." Maria risau dengan keadaan Aisya. Sejak balik dari keluar semalam, dia terus berkurung di bilik. Makan tak mahu, minum pun tak mahu. Apabila disuruh makan mesti alasan tak ada selera. Aisya duduk bersandar di dinding dalam gelap dengan bertelekung. Puas Maria memanggil dari luar bilik tapi tak berjawab. Daun pintu dikuak. Kaki melangkah mendekati Aisya.

Mungkin Aisya rasa sakit hati melihat kemesraan Faris dengan Damia. Mereka ada terserempak dengan Faris di pusat membeli-belah. Aisya yang pada mulanya nampak ceria mula berubah riak apabila melihat Faris. Nampak sangat kemesraan merpati dua sejoli yang sedang sibuk mencuba pakaian pengantin. Maria tahu Aisya juga punya impian menjadi raja sehari. Dan Faris menjanjikan itu semua apabila tamat belajar.

"Sya, jomlah turun makan..."

Aisya diam. Dia bangun dan berdiri di depan tingkap. Dia memusatkan perhatiannya ke arah rumah Faris. Dia boleh lihat dengan jelas bumbung rumah Faris dari tingkap. Ajakan Maria langsung tak diendahkan. Aisya mengelap air matanya. Sampai hati Faris melukakan hatinya.

"Sya... Kau dengar tak? Kau dah solat belum?"

Aisya membatu lagi. Suara Maria seakan tenggelam timbul di telinganya. Sayup-sayup kedengaran. Dia tak mampu nak menjawab pertanyaan Maria. Dirinya sudah hilang sebagaimana hatinya yang sudah hancur berkecai. Makan dan minum bukan keutamaan ketika ini. Solat pun dia masih berbelah bagi untuk tunaikan atau tidak. Telekung masih tersarung di tubuh sejak siang tadi.

Allah tak adil, bisik hati kecil Aisya. Lututnya menjadi longgar. Dia terduduk dan bersandar di dinding. Dia letakkan tangan kanan di dada. Terasa susah untuk bernafas dengan lancar. Kenapa dia mesti lalui semua ni? Kenapa dia tak diberi peluang untuk gembira? Kenapa mesti Faris bergembira dengan orang lain sedangkan dia terseksa di sini? Pedih luka ditoreh pisau tidak mampu menandingi kepedihan hati kerana dilukai orang tersayang.

Aisya menjerit nyaring sambil menangis. Dia memukul dadanya sambil meraung. Maria terkejut dengan jeritan Aisya. Dia berundur. Selepas seketika Aisya diam dan membatu semula. Maria simpati kepada Aisya tapi dia tak tahu apa yang harus dia buat. Puas dia pujuk tapi Aisya tetap macam tu. Mak Milah pun penat nak pujuk. Mungkin agak tertekan dengan perceraian dia dengan Faris.

"Abang..." Maria mendapatkan abangnya yang muncul di pintu bersama ibunya.

"Dia macam mana?"

"Tak taulah, bang... Kejap dia diam. Kejap lagi dia menjerit... Dari semalam lagi. Makan minum tak payah tanyalah... Dia kata tadi nak solat tapi diam aje..."

"Tak apa, biar abang cuba. Dia dah hanyut sangat dengan perasaan dia." Malek menghampiri Aisya yang diam membatu. Kesian melihat Aisya. Berperang dengan perasaan sendiri.

"Aisya." Terasa bahunya digoncang. Aisya mendongak. Abang Malek rupanya. Namun Aisya hanya mampu memandang.

"Aisya boleh dengar abang tak?"

Aisya diam. Dia pandang Malek. Fikirannya kosong. Kenapa dia terlalu lemah walaupun hanya untuk mengerdipkan mata? Sya dengar, abang... Tapi Sya tak daya, bang. Abang Malek... Sya derita sangat. Ingin Aisya menjerit sekuatnya. Tapi suaranya tersekat di kerongkong. Hanya air mata yang mengalir.

"Aisya... Tolong jangan macam ni, dik. Abang risau ni... Mak pun risau. Jangan anggap perceraian ni pengakhiran hidup. Tolong sedar, dik. Tak guna adik terus macam ni. Mak, abang dengan Maria sayang adik. Sya tak sayang kami semua? Sya tak sayang diri Sya? Sya cuma sayang Faris seorang?" Malek bersuara hiba. Aisya gadis nakal yang dikenalinya tak ubah seperti jasad tak bernyawa. Dirinya ada di sini namun fikirannya melayang entah ke mana.

Aisya pandang Malek yang sudah pun bersila di hadapannya. Kesian Abang Malek. Datang semata-mata nak tengok dia. Menyusahkan Abang Malek aje. Aisya menghalusi kata-kata Malek. Dia bukan hanya sayang Faris seorang. Dia sayang Maria, dia sayang Mak Milah dan dia sayang Malek, abangnya. Dia sayang semua orang. Dia pun sayang diri dia sendiri.

"Abang... Sya rindukan dia... Sya benci dia. Kenapa dia sampai hati tinggalkan Sya lepas apa yang Sya buat untuk dia? Hati Sya sakit, bang. Sakit sangat..." Aisya tanpa segan silu merebahkan kepalanya di paha Malek. Dia menangis sepuas-puasnya. Malek mengusap kepala Aisya yang dibaluti telekung. Dia sebagai abang memang hiba melihat adiknya dalam keadaan sebegini. Berkorban untuk lelaki bergelar suami namun akhirnya diceraikan.

"Kenapa Sya kena tanggung semua ni? Allah tak sayang Sya ke? Kenapa Sya terima balasan buruk? Sya dah cuba lupakan dia bang tapi tak boleh... Tak boleh, bang... Lima tahun lebih Sya pendam rindu... Lima tahun lebih Sya tunggu dia..." Lirih suara Aisya mengadu kepada Malek. Dia menangis sepuas-puasnya hingga basah seluar jean Malek. Hatinya turut terasa dengan perbuatan Faris. Kalau tak kerana Aisya melarang, memang dah lama Faris merasa penumbuknya.

"Aisya tak baik cakap Allah tak adil. Bila Allah bagi ujian, Dia tahu Sya kuat untuk hadapi. Allah tahu Sya kuat. Mengucap, dik. Abang tak nak sebab benda ni Sya lupa Allah, lupa Pencipta kita..." Malek mengucap panjang dalam hati. Kuat betul godaan syaitan kepada insan yang sedang rapuh seperti Aisya hingga sanggup mempersoalkan ujian Allah.

"Tapi..."

"Sya... Ingat tak Sya pernah cakap, di sebalik malam yang pekat adanya siang yang menunggu. Di sebalik hujan yang turun menggila adakalanya pelangi yang cantik akan timbul. Sya tau kan Allah sayang hamba-Nya? Allah sayang Sya sebab tu Sya diuji dengan dugaan ni. Siapa dulu yang beritahu abang mungkin cinta pertama kita cuma ujian untuk hati kita sebelum kita jumpa jodoh dari syurga kita? Mungkin Faris bukan jodoh dari syurga Sya."

Aisya termakan kata-katanya sendiri. Kata-kata itu dia ucapkan semasa Malek putus tunang tahun lalu. Kenapa dia lupa semua itu? Kenapa dia terlalu lemah sekarang? Aisya mengelap air matanya. Mungkin dia terlalu mengikut perasaan. Dia sebenarnya marah dan rasa dikhianati tapi pada masa yang sama dia merindui Faris.

"Sya jangan lupa Allah sentiasa ada untuk kita. Mengadu pada Allah, dik. Itu sebaik-baiknya. Mungkin Allah nak tunjuk Faris macam mana. Mujurlah Sya dapat tau dia curang sekarang. Kalau kata dah ada anak baru tau, kan lebih susah jadinya. Ingat Sya, Allah Maha Mengetahui. Dia yang pegang diari kehidupan kita." "Abang... Sya..."

"Abang tau Sya perlukan masa untuk lupakan Faris. Tapi abang mintak Sya jangan buat kami risau. Sya tau tak semua orang dalam rumah ni tak selera nak makan sebab risaukan Sya? Sya fikir mak boleh telan nasi tengok anak dia macam ni?"

Aisya duduk tegak. Dia tak tahu pun semua orang turut tak makan kerana dia. Dia pandang Maria yang sedang duduk di katil. Maria mengangguk. Maria menjuihkan bibir menunjuk ke arah pintu. Aisya terkejut melihat Mak Milah berada di pintu sedang mengesat air mata. Aisya rasa bersalah kepada semua orang. Dia lantas bangun dan berlari memeluk Mak Milah.

"Mak... Sya mintak maaf kalau susahkan mak." Aisya memeluk Mak Milah.

"Mak sayang Sya..." Mak Milah mencium kedua-dua belah pipi Aisya. Rasa risaunya hilang. Berkesan juga dia minta Malek balik pujuk Aisya.

"Mar, aku mintak maaf..." ujar Aisya kepada Maria.

Kejamnya dia membiarkan mereka semua turut terheret dalam masalahnya. Maria mendekat dan akhirnya mereka bertiga berpelukan sambil menangis. Aisya gembira kerana masih ada lagi kasih sayang untuk dia.

"Abang Malek... Sya minta maaf. Susahkan abang aje..." Aisya salam dan cium tangan Malek. Malek mengusap kepala Aisya.

"Sya adik abang, tak ada namanya susah untuk seorang adik. Cuma abang harap Sya jaga diri Sya. Abang rindu nak tengok adik abang yang dulu." Malek senyum. Alhamdulillah, dia lega melihat Aisya sudah boleh tersenyum. Kesian, Aisya. Berstatus janda pada awal usia dua puluh tiga tahun

"Mak... Sya laparlah..." rengek Aisya. Baru terasa perutnya begitu lapar. Dia tak ingat bila kali terakhir dia makan atau minum.

"Anak mak lapar... Kejap mak panaskan lauk. Aisya tunggu kejap, ya." Mak Milah mengesat air mata. Dia senyum gembira.

"Mak tak payah panaskan lauk. Kita makan kat luar aje. Sekarang Sya mandi segarkan badan. Lepas tu jangan lupa solat. Bau bangau Sya dah melekat kat hidung abang ni. Nak bernanah dah hidung ni." Malek sengaja mengusik Aisya. "Mak, abang kacau Sya..." Aisya muncungkan bibir.

"Memang kau bau bangau pun dari semalam tak mandi, kan. Ni acah-acah nak solat aje, kan..." Maria turut sama berkomplot dengan abangnya.

"Yalah... Orang pergi mandi ni..." Aisya hentak kaki. Apabila dua beradik bergabung, memang dia akan jadi mangsa buli.


"LAIN kali ada mata tu guna! Kalau tak nak guna bungkus aje dalam plastik. Lepas tu buang dalam tong sampah. Kau yang tak pakai mata aku pula yang jatuh!"

Aisya toleh ke belakang. Seorang lelaki mencekak pinggang dan memarahi dua orang gadis. Kenapalah lelaki seorang tu mulut macam longkang? Tak boleh ke tegur elok-elok? Tak jatuh maruah pun kalau marah secara berhemah. Dapat suami macam ni boleh jadi gila sebab stres. Ops! Aisya tutup mulut. Tak baik kutuk-kutuk orang. Mana tau kuasa Allah lelaki itu jadi suaminya pula. Sekarang dia dah single. Apa-apapun boleh jadi.

"Kenapa?" tanya Maria apabila melihat gelagat pelik Aisya. Mereka berempat baru sahaja keluar dari kereta menuju ke tempat makan. Destinasi pilihan mereka adalah Aroma Ikan Bakar. Tempat makan kegemaran Malek. Malek dan Mak Milah berjalan di depan manakala mereka berdua di belakang.

"Kau perasan tak mamat yang tengah marah-marah kat belakang tu?" ujar Aisya. Maria toleh ke belakang. Memang dia nampak ada seorang lelaki sedang mencekak pinggang.

"Mamat tu kan yang marah Maya hari tu? Alah... Mamat yang cakap bungkus mata buang dalam tong sampah tu... Mamat period pain tu," kata Aisya lagi separuh berbisik. Dia tahu pasti Maria akan ingat. Ayat tikam maut lelaki tu tak mungkin dia lupa walaupun tak pernah kenal rupa.

Maria angguk. Dia ingat dengan mamat period pain yang mereka jumpa dulu. Walaupun dah lama, dia tetap ingat sebab ayat yang dia guna sama aje. Memang kalau marah tak ada istilah cakap baik-baik agaknya. Cakap mesti ayat yang bikin hati sentap.

"Dia ada jodoh dengan kau rasanya," bisik Maria.

"Mana ada dengan aku. Dengan kaulah..." balas Aisya tak mahu kalah.

"Jodoh korang berdua kut?" Malek mencelah.

Maria tak perasan dia terlanggar abangnya. Sibuk berbisik-bisik sampai tak perasan Malek berhenti melangkah. Aisya sengih. Ni lelaki period pain tu punya pasal.

"Jalan tak pandang depan. Bahaya betul."

"Adik mintak maaf... Ni kau punya pasal, Sya..." Maria memukul bahu Aisya.

Aisya terdiam. Dia tidak mampu bersuara. Matanya melihat 'drama' di dalam restoran. Lututnya longlai dan hampir tumbang. Mujur Maria sempat menahan. Malek melihat ke dalam restoran. Patutlah Aisya tiba-tiba jadi macam tu. Ada adegan suap-menyuap antara Faris dengan Damia.

"Tekak mak ni tiba-tiba nak makan KFC. Malek, belanja mak makan KFC aje." Mak Milah bersuara.

Malek angguk. Kalau mereka makan di situ, pasti ada 'drama' nanti. Aisya baru saja nak pulih.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top