BAB 7

"FARIS nak jadikan Sya milik Faris dunia akhirat. Faris nak Sya tetap di sisi Faris janji akan membahagiakan Sya hingga akhir hayat Faris."

Aisya membuang pandang ke arah padang. Dia duduk di bangku tempat dia selalu berjumpa dengan Faris dulu. Dia teringat kembali ayat yang dilafazkan Faris saat melamarnya ketika mereka di Kuala Lumpur. Kenangan itu tak pernah pudar dari ingatannya. Hari yang paling menggembirakan dia. Namun kenangan itu sekarang menjadi racun buat dirinya. Hatinya bagai disiat-siat.

Kenapa sukar benar untuk menyingkirkan bayangan Faris dari ingatannya? Sudah dua minggu dia keluar dari rumah. Tak pernah sekalipun Faris bertanya khabar atau menelefon. Ternyata Faris memang gembira dengan perpisahan ini. Cuma dia yang rasa derita dan terseksa. Cinta kepada Faris buat dia payah untuk meneruskan hidup. Dia sudah bergelar janda. Faris pula hanya perlu membayar denda kerana melafazkan talak di luar mahkamah. Tiada langsung rasa penyesalan di wajah Faris. Malah Faris begitu gembira mahu memulakan hidup berumah tangga dengan Damia. Hanya dia seorang yang terkesan dengan perceraian mereka.

"Faris, kenapa awak curang? Kenapa awak boleh jatuh hati pada orang lain?" Aisya meletakkan tangan di dada. Rasa sesak mengetuk ulu hatinya. Terasa sukar untuk bernafas dengan betul. Peritnya rasa hati apabila orang yang disayangi curang kepada kita. Air matanya mengalir laju. Entah untuk kebeberapa dia menangis hari ini. Air mata yang mengalir tak pernah bertemu kata surut. Sentiasa muncul saat dia rasa hiba.

"Kenapa awak mungkir janji yang awak buat sendiri? Kenapa awak hadirkan derita buat saya bila awak janjikan bahagia? Kenapa awak kejam, Faris? Kenapa? Kenapa?" Aisya tertunduk. Lemah rasanya seluruh tubuh. Sentap dalam hatinya membuatkan dia hilang jiwa. Pedih yang dia rasa bagaikan tak tertanggung peritnya. Terlalu banyak persoalan yang dia ingin tanya kepada Faris.

Aisya mengesat air matanya. Kemudian dia melihat dirinya. Baju kurung yang dipakainya sudah terlalu lusuh. Lima tahun dia memakai pakaian yang sama. Di kakinya hanya tersarung selipar jepun sahaja. Sepanjang lima tahun dia hanya fikirkan Faris dan keluarga mentuanya. Hari raya pun dia tak sambut demi sesuatu yang bernama rezeki. Dia faham kalau Faris malu. Tapi Faris tak tau ke ini semua untuk dia? Mencari sesuap nasi untuk melangsungkan kehidupan keluarga Faris. Dia sangat kecewa.

"Aisya... Kau kata nak lupakan dia." Maria duduk di sebelah Aisya. Dia dah agak Aisya ada di situ apabila tiada di dalam bilik.

Aisya diam. Dia tak mengharapkan Maria mengerti perasaannya.

"Kau tenung bumbung rumah dia ke?" tanya Maria lagi. Aisya menoleh ke arah Maria. Dia harap Maria faham akan situasinya sekarang. Bukan mudah untuk dia lupakan Faris.

"Aku tak boleh lupakan dia, Mar... Aku rindukan dia." Aisya merebahkan kepalanya ke bahu Maria. Dia menangis lagi. Kenapa rindu itu masih ada lagi?

"Kau kena lupakan dia, Sya. Kau kena kuat. Jangan patah semangat..." Maria menepuk bahu Aisya. Dia tahu bukan mudah untuk Aisya lupakan Faris.

"Kenapa susah sangat aku nak lupakan dia, Mar? Dia ada kat mana-mana. Setiap ceruk aku nampak muka dia. Dia tengah senyum... Dia tengah ketawa... Dia tengah main bola kat tengah padang tu. Macam mana aku nak lupakan dia kalau aku asyik nampak dia?"

Mereka bertiga membesar bersama. Sudah tentulah bayangan Faris ada di mana-mana. Tempat itu juga merupakan tempat lepak Faris setiap petang. Faris adalah bintang bola sepak sekolah dan setiap petang pasukan sekolah akan berlatih di padang itu. Dia dan Maria jadi tukang sorak di tepi padang. Sudah pasti kenangan itu menjerut perasaannya sendiri.

"Aku tak boleh hidup tanpa dia, Mar... Aku tak boleh," ratap Aisya lagi. Tangisannya sudah tidak dapat dikawal. Dia menangis sepuas-puasnya.

"Sudahlah... Malu kat orang tu... Ingat Allah."

Aisya menoleh ke sebelah. Memang ada seorang lelaki sedang duduk di bangku sebelah. Tapi dia yakin lelaki itu tak dengar apa-apa kerana di telinganya ditutup headphone. Lelaki itu pun nampak terangguk-angguk seperti sedang menikmati lagu.

"Jom kita balik... Kau pun belum makan lagi dari pagi tadi, kan?"

"Aku tak ada selera nak makan..."

"Hannan Aisya yang aku kenal seorang yang kental dan kuat. Takkan mengaku kalah sebab seorang lelaki. Apalah sangat setakat Faris Hakimi tu? Kau boleh dapat anak Tan Sri kalau kau nak. Anak raja pun bolehlah..."

Aisya senyum. Sedikit tercuit hatinya mendengar kata-kata Maria. Anak Tan Sri manalah yang akan sangkut kat dia nanti? Mana mungkin dia bergandingan dengan seorang yang hebat sedangkan dia hanyalah perempuan biasa yang asal usul pun kelam. Dengan Faris pun dia tak sepadan apa lagi dengan anak Tan Sri yang mungkin seorang tokoh terkenal di Malaysia. Memang mustahillah jawabnya.

"Kalau kau terus senyum macam ni, pasti beratur lelaki nak kat kau. Supermodel Kampung Kelip-kelip Kuala Selangor mana boleh sedih. Dah, jom balik. Semak aku tengok tempat ni... Buat aku ingat kat Faris bengong tu. Aku nak sekeh dahi jendul dia kau tak bagi. Biar tambah jendul macam flowerhorn." Maria menarik tangan Aisya.

"AKU cukup tak suka perempuan lembik macam ni. Baru kena tinggal pakwe, sedih macam suami yang mati. Malanglah siapa dapat isteri lembik macam dia." Shauqi membebel seorang diri. Headphone di telinga dikalungkan ke leher. Nampak macam dia dengar lagu tapi sebenarnya tidak. Jelas kedengaran di telinganya perbualan dua orang perempuan tadi. Pantang dia mendengar seseorang tak boleh hidup tanpa kekasih. Nyawa kurniaan Allah. Sepuluh kali putus cinta pun kalau belum ajal hidup harus diteruskan.

Kebetulan dia duduk di bangku sambil menunggu Khalil. Sambil dia melayan Facebook dan WhatsApp, dia mendengar separuh perbualan perempuan tadi. Dia mula pasang telinga apabila menyedari gadis yang menangis tadi adalah gadis yang sama dia temui sebelum ini. Dia kenal dengan gadis yang berimej kampung tu. Berbaju kurung lusuh dan hanya memakai selipar jepun. Baju pun macam baju yang sama dia pernah nampak sebelum ini. Tambahan pula dia kenal sangat rambut panjang gadis itu yang berwarna keperangan. Baju tak mampu nak beli tapi boleh pula warna rambut. Dasar perempuan.

Malangnya dia tak mendengar keseluruhan perbualan mereka. Apa yang dia tahu gadis yang berambut panjang itu asyik menangis dan mengatakan tak boleh hidup tanpa lelaki. Nak saja dia berdepan dengan gadis tu dan bagi pengajaran. Tapi apa pula yang dia patut ajar? Dah besar panjang. Lagipun tak ada kena-mengena dengan dia pun.

Shauqi tersenyum sendiri mengingatkan pertemuan pertama dia dengan gadis yang berambut perang dan panjang mengurai tadi. Kalau tak silap, dia dengar nama perempuan itu Sya. Dua minggu lepas dia datang melawat Khalil dan Azila. Dia hampir tersesat dan menunggu Khalil di padang ini. Kali pertama memandu sendiri sesat. Kali kedua pun sesat juga. Tak boleh pakai Waze ni.

Entah apa perancangan Allah menemukan dia dan Sya. Boleh pula cap yang dipakainya ditiup angin. Angin yang nakal menerbangkan capnya ke kaki Sya. Lucu pula apabila dia berdiri berhadapan Sya, gadis itu hanya separas lehernya. Dan yang tak boleh dia lupa rambut panjang gadis itu mengenai pipinya semasa ditiup angin. Tapi dia gagal melihat wajah gadis itu kerana Sya menunduk. Nampak rambut aje. Hari ini pun dia cuma nampak Sya dari sisi.

"Tapi sayang lembik sangat. Macam agar-agar... Setakat kena tinggal pakwe dah macam runtuh langit kat bumi ni. Siap tak nak makanlah, tak boleh hiduplah... Dia pun sama bodoh juga." Shauqi membebel lagi. Tak puas hati dengan gadis itu.

"Rambut dia cantik mesti rupa dia pun lawa." Shauqi tertanya-tanya. Tapi kenapa dia panasaran nak lihat wajah perempuan lembik tu?

"Hoi... Siapa yang rupa lawa tu? Auzan Rudi Shauqi Tan Sri Ammar dah jatuh cinta ke? Ini berita baik ni. Kena beritahu Puan Sri." Khalil yang baru datang menegur Shauqi. Terdengar perkataan lawa terdetik dalam hatinya mungkin Shauqi yang berhati berlian ini dah jatuh cinta. Pertama kali pujian buat seorang gadis meluncur dari bibir Shauqi. Akhirnya hati berlian Shauqi sudah ditakluki seorang gadis. Gadis manalah yang cukup bertuah itu agaknya.

"Kau ni mengarut ajelah. Mana ada aku jatuh cinta," nafi Shauqi.

"Siapa pula yang kau puji lawa tu? Jarang tau Auzan Rudi Shauqi puji perempuan. Kalau dah kata lawa tu mesti taraf supermodel." Khalil diserang rasa ingin tahu. Bukan Shauqi namanya kalau memuji seorang perempuan. Satu-satunya wanita yang Shauqi sering puji dan sayangi hanyalah Puan Sri Rodziah, mama Shauqi. Perempuan lain hanya akan dapat kata-kata sinis Shauqi. Pujian memang jauh panggang dari api.

"Rupa cantik dan lawa buat apa kalau lembik macam agar-agar. Baru kena tinggal pakwe dah runtuh langit. Perempuan macam ni bukan setakat kena reject tapi langsung tak boleh masuk senarai. Pangkah terus," ujar Shauqi penuh yakin. Bukan mudah untuk Shauqi jatuh cinta setelah kecewa dengan cinta pertama. Walaupun cik agaragar tadi cantik, tak semestinya dia akan jatuh cinta. Dia cuma simpati kerana gadis itu tak boleh hidup kerana putus cinta. Dia boleh aje hidup aman damai dan tenang walaupun ditinggal kekasih.

"Amboi... Pangkah terus. Mulut tu jangan cabul sangat. Nanti yang kau pangkah tulah yang kau duk angaukan. Kalau tak suka takkan kau nak sebut pasal dia banyak kali. Lagipun kau tu bukannya kalis perempuan pun. Saja aje menggedik konon tak percaya cinta lepas kena reject dengan awek." Khalil sindir Shauqi.

"Aku dah pangkah dialah. Gerenti takkan jatuh hati kat dia. Confirm," ujar Shauqi angkuh. Yakin dengan dirinya sendiri. Siap mendabik dada kerana terlebih yakin.

"Suka hati kaulah. Tapi aku pelik dengan kau ni. Kenapa bengap sangat sampai tersesat ke sini? Bukan kali pertama kau datang sini. Rumah mak mentua aku kat baris belakang sana aje."

"Waze bengong," jawab Shauqi. Dua kali dia datang ke rumah mak mentua Khalil dan dua kali jugalah dia sesat ke padang ini. Sebelum ini dia datang dengan Khalil memang tak sesat.

"Aku tau kenapa..." Khalil tersengih. Hatinya dapat merasakan sesuatu yang lain.

"Kalau pandai sangat beritahulah kenapa."

"Takdir membawa kau ke sini berjumpa dengan jodoh kau. Mesti perempuan lembik tadi tu bakal isteri Auzan Rudi Shauqi. Siapa nama dia? Cantik tak?" Khalil melebih-lebih. Sengaja mahu mengenakan Shauqi.

"Mengarutlah kau ni. Tak mungkin aku berjodoh dengan dia. Tak nak aku perempuan lembik macam tu." Shauqi menidakkan kata-kata Khalil. Gilalah Khalil ni. Mana pula dapat idea pasal takdir segala bagai ni?

"Bongkak betul. Dah, jom kita pergi rumah mak mentua aku. Malam nanti kita gerak balik KL."

"Azila?"

"Dia belum habis pantang lagi, kan. Biarlah dia kat sini. Mak mentua aku jaga."

Selamat tinggal, cik agar-agar. Kuatkan semangat, tabahkan hati dan jangan menangis lagi. Dunia takkan berakhir sebab seorang lelaki, bisik hati kecil Shauqi. Bangku tempat cik agar-agar duduk dipandang lama.


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top