BAB 6
AISYA melangkah masuk ke dalam rumah. Azan maghrib berkumandang dari surau berhampiran. Dia lihat Faris bersama ayah dan ibu mentuanya sedang duduk di sofa. Menanti kepulangannya barangkali. Melihat wajah Faris dia jadi sebak. Wajah yang begitu dia rindukan selama ini sudah ada di depan mata. Namun hanya kepedihan yang dia dapat setelah setia menunggu.
"Suami balik dia tak ada kat rumah. Isteri apa namanya tu?"
"Abah... Hannan naik atas dulu, ya. Nak solat." Aisya membiarkan pertanyaan ibu mentuanya tak berjawab. Sakit hatinya mendengar nada suara Mak Som yang sudah berubah. Dari dulu lagi Mak Som memang tak sukakan dia. Dia tahu itu namun dia berbaik sangka. Dia seharusnya sedar Mak Som hanya menerima dia kerana Faris. Sekarang Faris sudah bencinya. Jadi Mak Som turut membencinya juga. Aisya pandang Mak Som sekilas. Rasa sakit hati melihat wajah tua itu.
"Ha, yalah. Kamu Faris dah solat ke belum?" Pak Jamal menegur anaknya.
"Hmmm... Yalah." Faris mengalah apabila melihat pandangan mata garang ayahnya. Faris bangun lambatlambat menuju ke bilik. Sebenarnya dia mengelak untuk berdua-duaan dengan Aisya.
Faris lihat Aisya sudah pun memakai telekung. Aisya mengangguk. Dia membentangkan sejadah untuk Faris. Dia menunggu Faris mengambil wuduk. Melihat wajah Faris yang basah dengan air wuduk, Aisya jadi hiba. Kenapa wajah sejernih ini tega menyakiti hatinya? Mungkin ini kali pertama dan juga kali terakhir dia solat berimamkan Faris Hakimi sebagai suaminya.
Faris mengangkat takbir. Aisya cuba sedaya upaya untuk khusyuk dalam solat. Suara Faris yang tenang dan lancar menusuk ke kalbunya. Inilah tiga rakaat paling panjang dia rasakan. Kenapa lambat sangat nak habis? Solatnya jadi tak khusyuk kerana menahan tangis dalam hati. Apatah lagi imamnya adalah orang yang membuatkan dia sakit hati. Dia biarkan air mata yang bercucuran. Maafkan hamba-Mu Ya Allah kerana gagal menunaikan perintah-Mu dengan sempurna. Sebaik saja selesai solat, Aisya cepat-cepat mengelap air matanya dengan telekung.
"Nak salam..."
Faris hulurkan tangan tapi cepat-cepat ditarik apabila Aisya mahu menciumnya. Aisya rasa kecewa tapi dia tetap senyum. Dia sedar dia begitu hina di mata Faris.
"Aku turun dulu."
Air mata Aisya luruh lagi. Tiada lagi panggilan sayang. Faris juga membahasakan dirinya aku dan bukan abang seperti kebiasaannya. Kini Aisya sedar sepenuhnya dia telah kelihangan suaminya. Faris bukan miliknya lagi.
"KAU ni dah kenapa? Nak pergi mana dengan beg ni?" Faris mendekati Aisya. Dia terkejut melihat Aisya meletakkan sebuah beg di ruang tamu. Faris yang tadi duduk dengan ibunya terus bangun lalu mendapatkan Aisya di tangga.
"Sya dah dengar semua tadi, abang. Kalau betul dah tak ada cinta buat Sya, tolong lepaskan Sya. Tolong izinkan Sya pergi." Aisya memandang tepat ke mata Faris. Faris tampak terkejut. Namun riak Faris terus berubah. Dia terus palingkan wajah. Seakan-akan tak terusik langsung dengan permintaan Aisya.
"Baguslah tu, Faris. Tak payah Faris nak dengar cakap abah lagi. Ceraikan aje betina ni sekarang." Mak Som menghasut Faris. Permintaan Aisya membuatkan dia girang. Sudah lama dia bersabar dengan Aisya. Malu apabila dikata orang menantunya anak orang gaji. Dan yang lebih memalukan apabila orang sibuk mengatakan dia bermenantukan anak pendatang tanpa izin.
"Sya sayangkan abang, mak. Sya nak abang bahagia. Kalau Sya tak boleh bahagiakan abang, Sya rela abang cari kebahagiaan dengan orang lain," ujar Aisya.
"Aku mintak maaf sebab aku silap menilai dulu. Aku sangka kaulah perempuan terbaik untuk aku tapi aku silap. Kau tak layak langsung untuk aku. Aku ceraikan kau..."
"Abah tak izinkan Faris ceraikan Hannan!" bentak Pak Jamal. Pak Jamal muncul dari dapur. Melangkah selaju yang mungkin mendekati mereka.
"Anak tak kenang budi!" Pak Jamal menampar pipi Faris. Faris memegang pipinya yang pijar. Dia sudah jangka abahnya akan mengamuk.
"Abah... Sabar. Jangan ikut rasa marah tu. Nanti darah tinggi abah naik." Aisya tahu bapa mentuanya begitu sayangkan dia. Tapi yang penting Faris. Jika Faris tak cintakan dia lagi, tak guna dia terus bertahan di sini.
"Abah, Hannan sayangkan Faris. Sayang sangat.Tapi Hannan tak boleh bahagiakan Faris, abah. Hannan nak Faris bahagia. Biarlah dia kahwin dengan pilihan dia. Izinkan dia bahagia, abah," ucap Aisya dengan suara yang tersekatsekat. Hiba hatinya menuturkan apa yang diluahkan sebentar tadi. Faris telah menghancurkan hati dan juga cintanya. Tapi inilah yang terbaik. Terus menjadi isteri Faris akan menyeksa dia dan juga Faris sendiri.
"Tapi abah dah janji dengan Hannan, kan?" Wajah tua itu turut hiba. Dia tak pernah menjangka ini pengakhiran buat menantu sebaik Hannan Aisya.
"Biar ajelah anak kita ceraikan dia. Lagipun dia yang mintak cerai, bukan anak kita yang nak ceraikan," sampuk Mak Som.
"Kamu diam, Som! Kamu pun dah jadi gila macam anak kamu tu!"
"Hannan bebaskan abah dari janji tu. Hannan tetap anak abah walaupun bukan lagi isteri Abang Faris. Ini rumah tangga kami, biar kami selesaikan sendiri." Aisya cuba bertutur setenang yang mungkin. Dia mahukan pengertian daripada bapa mentuanya. Tak guna dihalang jika jodoh sudah sampai ke penghujungnya.
"Hannan... Abah sayangkan Hannan." Pak Jamal mengusap kepala menantunya. Menantu yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu tentu lebih menderita. Penantian selama lima tahun menjadi sia-sia.
"Kalau abah sayang Hannan, tolong izinkan Hannan pergi."
Pak Jamal angguk. Dia tunduk dan membawa dirinya duduk di tangga. Melihat isteri dan anaknya hanya akan menambahkan rasa bersalah kepada Hannan Aisya. Sebagai ayah, dia telah gagal melindungi anak perempuannya.
"Sejak bila abang jatuh cinta dengan perempuan tu?"
"Sejak setahun lepas... Kenapa kau nak tau? Untuk pengetahuan kau, dia anak Dato dan kau langsung tak setanding dengan dia," jawab Faris angkuh.
"Kenapa abang tak beritahu Sya awal-awal? Kenapa tak ceraikan Sya awal-awal?"
"Kalau aku beritahu awal-awal, nanti tak ada siapa nak jaga mak dengan abah aku. Kau dah tentu akan tinggalkan mereka." Jawapan Faris begitu jujur namun sangat menyakitkan hati Aisya. Patutlah sejak setahun lalu tiada kata-kata manis daripada Faris untuknya. Rupanya sedang menyulam cinta dengan perempuan lain. Jadi wang yang diminta Faris setiap bulan untuk siapa? Adakah untuk kekasih hatinya?
"Kenapa abang sanggup seksa Sya macam ni? Kenapa abang? Apa salah Sya pada abang?" Aisya tidak dapat menahan rasa amarahnya. Dia tumbuk dada Faris berkalikali. Alasan dan jawapan Faris membuatkan dia rasa nak gila. Sanggup Faris menyembunyikan semua ini hanya kerana tak ada siapa mahu menjaga orang tuanya. Sanggup Faris sembunyikan kebenaran kerana pentingkan diri sendiri.
"Boleh tak kau jangan bising? Aku rimas tengok air mata murahan kau ni. Kalau tak kerana rayuan abah, memang aku nak ceraikan kau sejak tadi lagi." Faris memegang kedua-dua belah tangan Aisya. Menahan Aisya daripada terus menumbuk dadanya.
"Ceraikan aje perempuan tu, Is. Dia nak sangat jadi janda. Abah kau pun dah tak halang tu."
Faris menarik nafas panjang. Dia renung mata Aisya dalam-dalam. Ini demi masa depannya. Biarlah abah marah sekalipun, dia harus fikirkan dirinya dan cintanya kepada Damia.
"Saya Faris Hakimi bin Jamal ceraikan awak Hannan Aisya binti Hisham dengan talak satu." Terluah juga talak dari mulut Faris. Aisya menjarakkan dirinya. Dia dan Faris kini orang asing. Aisya kesat air matanya lalu tersenyum.
"Terima kasih, abang. Semoga abang bahagia. Abang tau kan kita dah tak boleh patah balik sekarang? Aisya akan keluar dari sini. Besok kita pergi uruskan perceraian kita sama-sama."
"Kau boleh tinggal kat sini sementara uruskan perceraian kita. Kau boleh tinggal kat sini sampai habis idah." Faris menarik lengan Aisya. Dia tak mahu kelihatan kejam dengan membiarkan Aisya keluar dari rumah pada hari pertama dia jejakkan kaki ke Malaysia. Aisya senyum sinis. Faris lupa sesuatu.
"Kau lupa ke? Tak ada idah untuk isteri yang masih suci. Aku tak berhak tinggal kat sini. Dan aku pun tak sanggup nak tengok muka kau. Penipu... Mungkir janji dan pentingkan diri sendiri. Aku kat sini bagai orang gila rindukan kau, tapi kau sedap-sedap mengulit cinta dengan perempuan lain. Mana janji kau, Faris? Takkan dah tanam dalam tanah kut?" sindir Aisya. Dia bukan lagi Aisya gadis kesayangan Faris. Jadi tak perlu cakap baik-baik lagi.
Walaupun pedih, itulah kenyataannya. Sebaik sahaja Faris menjatuhkan talak, semuanya telah berakhir buat mereka berdua. Faris tak pernah menyentuh dirinya secara batin. Talak satu adalah penamat bagi hubungan mereka. Jalan untuk mereka bersatu seakan-akan tertutup. Hanya pernikahan semula yang boleh menyatukan mereka. Namun cinta Faris sudah beralih arah.
"Allahuakbar!" Pak Jamal sekali lagi terkejut. Dia kecewa kerana gagal mendidik anaknya menjadi insan bergelar lelaki. Entah di mana silapnya mendidik anak sehingga Faris menjadi seorang lelaki yang zalim dengan menceraikan isterinya yang langsung tak berdosa.
Aisya capai beg kemudian terus melangkah keluar. Dia tak menoleh lagi. Panggilan Pak Jamal juga dia tak hiraukan. Maafkan Hannan, abah. Hannan tak mampu bertahan.
Aisya singgah di kedai pak cik Maria. Biasanya Maria bekerja di kedai ketika ini. Dia perasan mata-mata yang memandangnya dengan penuh minat. Dia tahu pelbagai sangkaan buruk pasti berlegar dalam fikiran mereka. Siapapun akan nampak wajah putih Aisya sudah bertukar merah. Sama merah dengan matanya.
"Sya ni apa hal bawa beg segala ni? Kamu baru lepas nangis ke?" Belum sempat Aisya bertanya, Pak Mail terlebih dahulu menegur. Bapa saudara Maria memang sangat prihatin.
"Maria mana, Pak Mail?" tanya Aisya. Dia memanjangkan leher melihat kelibat Maria. Tak ada pula Maria di situ. Bukan ke sepatutnya Maria bekerja hari ini? Dia bercuti hari ini demi menyambut kepulangan Faris.
"Maria tak sambung kerja. Malek baru sampai dari Kuala Lumpur. Ni kamu bawa beg ni kenapa? Faris dah balik, kan?" Pak Mail masih menanti jawapan daripada Aisya.
"Tak apalah, Pak Mail. Saya pergi rumah Maria aje." Aisya tak jawab soalan Pak Mail. Lambat laun orang akan tahu juga. Biarlah Mak Som yang bercerita. Entah versi apa yang akan keluar nanti, dia tak peduli.
Pak Mail melihat sayu anak kawan baiknya. Tiada siapa menyangka Hisham akan ditimpa masalah ketika mandi di pantai. Sampai sekarang mayat kawan baiknya tak ditemui. Berkubur tanpa nisan di tengah laut sana.
Aisya buru-buru keluar dari kawasan restoran. Sebuah kereta BMW diparkirkan betul-betul di hadapan kedai. Dia terus lalu di sebelah kereta. Namun malang nasibnya apabila tiba-tiba pintu kereta di bahagian pemandu dibuka. Akibatnya dia terlanggar pintu. Mujur juga tak kena kepala. Aisya jatuh terduduk.
"Saudari, maaf..." Seorang pemuda meminta maaf dan menghulurkan tangan untuk membantu Aisya bangun. Aisya tidak mempedulikan huluran tangan tersebut. Dia bangun sendiri. Dia ingin memarahi pemuda itu kerana cuai. Aisya berdiri tegak namun dia hanya melihat bahagian leher pemuda itu sahaja.
Namun dia batalkan sahaja hasratnya. Dalam keadaan macam ni, tak guna dia marah. Takut terbawa-bawa dek emosi yang sedang bercelaru. Risau pula kalau ada insan lain yang terima akibat daripada perbuatan Faris.
"Tak apalah... Saya salah sebab jalan menonong aje." Aisya terus berlalu. Dia kena cepat. Rumah Maria tak jauh lagi. Dia mahu sampai di rumah Maria sebelum azan isyak berkumandang. Aisya mempercepatkan langkahnya.
"Assalamualaikum..." Aisya memberi salam. Tak lama selepas itu pintu dibuka.
"Waalaikumussalam." Maria membuka pintu. Melihat Aisya di pintu, dia sudah tahu apa yang terjadi.
"Dia dah jatuhkan talak." Tanpa ditanya, Aisya memberitahu Maria. Aisya cuba tahan air matanya daripada gugur.
"Sabar, Sya... Aku ada kat sini untuk kau. Jangan risau." Maria memeluk Aisya.
"Mak dah tahu?"
"Belum. Aku tak berani bagi tau mak." Maria menggeleng. Baginya, biarlah Aisya sendiri yang memberitahu. Takut emaknya akan melenting nanti.
Aisya melangkah masuk dengan penuh debaran.
Dulu Mak Milah menentang keras pernikahan dia dengan Faris. Alasannya, dia masih muda dan Mak Milah mahukan dia melanjutkan pelajaran. Dia yang degil mahu menikah dengan Faris. Sekarang dia diceraikan oleh Faris. Apa pula reaksi Mak Milah nanti.
"Mak..." Aisya menegur Mak Milah yang sedang ralit berbual dengan Malek. Mak Milah dan Malek terkejut melihat Aisya.
"Ni dah kenapa datang rumah mak malam-malam? Siap bawa beg lagi. Mata pun merah macam baru lepas nangis. Faris mana? Bukan ke dia baru balik? Mak baru nak pergi sana jenguk dia." Hati seorang ibu jadi tak enak melihat anaknya membawa beg dengan mata yang merah. Mak Milah bangun menghampiri Aisya.
Aisya diam tak menjawab. Dia berdiri ibarat patung di tengah ruang tamu. Mata Aisya mula bergenang. Suaranya seakan-akan tersekat di kerongkong. Tak sampai hati mahu memberitahu berita buruk ini. Aisya menoleh ke arah Maria.
"Faris dah lafazkan talak kat dia." Maria tolong jawab. Maria faham kalau Aisya berat untuk menjawab.
"Astagfirullahaladzim... Betul ke, Sya? Mak tak salah dengar ke? Betul ke Faris ceraikan kamu ni? Kamu ni biar betul? Bukan ke Faris tu baru aje sampai siang tadi? Kenapa pula jadi macam ni?" tanya Mak Milah bertubi-tubi. Seakan tidak percaya semua ini terjadi.
Aisya hanya mampu mengangguk. Tangisan yang ditahan sejak tadi terhambur keluar. Aisya memeluk Mak Milah. Mengadu nasib kepada ibu angkatnya. Mengongoingongoi Aisya di dalam pelukan Mak Milah. Mak Milah turut menangis.
Mak Milah memapah tubuh Aisya yang lemah untuk duduk di sofa. Ya Allah, kenapa berat sangat ujian yang diberi pada Aisya? Berapa banyak lagi derita yang perlu gadis ini tempuhi? Kenapa sinar bahagia tak kunjung tiba?
"Kenapa sampai bercerai ni? Bukan ke Faris baru balik dari luar negara?" Malek pula tak puas hati. Melihat tangisan Aisya sama seperti dia melihat kesedihan Maria. Sudah tentu hatinya juga terhiris melihat hiba si adik. Dia sama terkejut seperti ibunya. Dia kenal Faris dan tahu kisah cinta Faris dengan Aisya. Dia tak hairan kalau Faris berubah hati tapi dia tak sangka Faris sanggup menceraikan Aisya secepat ini.
"Faris dah ada orang lain, abang." Dengan berat hati Maria menjawab. Maria tahu baran abangnya. Takut nanti ditumbuk pula Faris.
"Sudah, Sya. Jangan nangis. Jom kita jumpa Faris. Biar abang belasah dia sampai lembik. Tak guna punya lelaki. Dulu masa nak merayu-rayu kat kita. Sekarang dibuang macam sampah," dengus Malek. Darahnya mula mendidih. Mahu saja diterjah rumah Faris dan hadiahkan penumbuk kerana berani melukakan hati adiknya. Dia menarik tangan Aisya.
"Sya tak nak jumpa dia. Biarkan dia kejar bahagia yang dia impikan," ujar Aisya sayu. Dia tak mahu berjumpa dengan Faris buat masa ini.
"Tapi abang tak puas hati ni. Kenapa dia buat Aisya macam ni? Manusia tak ada hati perut. Dia lupa ke jasa-jasa Sya kat dia? Kenapa dia..." Malek bengang. Dia menumbuk meja. Kalau Faris ada di depannya, pasti dah lunyai dia kerjakan. Lelaki kurang ajar macam Faris harus diberi pengajaran.
"Abang Malek... Terima kasih sebab bela Sya. Tapi Sya tak mahu abang pula yang meringkuk dalam penjara sebab lelaki tak guna tu. Lagipun Sya memang tak sedia nak tengok muka dia," ujar Aisya.
Akhirnya Malek terdiam. Tidak sampai hati melihat wajah sayu Aisya.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top