BAB 5

SENJA sudah menjenguk. Azan maghrib bakal berkumandang tidak lama lagi. Kanak-kanak yang bermain tadi sudah mula pulang. Aisya tahu dia harus bersemuka dengan Faris. Dia harus kuat. Melepaskan Faris pergi bermakna melukakan hatinya. Tapi itu lebih baik daripada melihat kepura-puraan Faris. Ini semua urusan Allah. Mungkin Faris bukanlah imam yang diciptakan Allah untuknya. Aisya mengatur langkah untuk pulang ke rumah. Mungkin ini kali terakhir dia akan menjejakkan kaki ke rumah itu.

Angin tiba-tiba bertiup. Rambut Aisya yang panjang terbang mengikut arah tiupan angin. Tiba-tiba ada sesuatu mengenai kakinya. Sebuah cap bertulis NY betul-betul berada di kakinya. Aisya memungut cap tersebut. Dia melihat sekeliling padang. Seorang lelaki berlari-lari anak menuju ke arahnya. Mungkin tuan punya cap tersebut. Dia tak dapat melihat dengan jelas wajah pemuda itu kerana terhalang oleh rambutnya yang ditiup angin.

"Maaf saudari, cap saya tu." Pemuda itu mendekatinya. Teramat dekat hingga Aisya tak selesa.

"Oh... Okey. Nah..." Aisya menghulurkan cap tersebut. Dia memandang ke depan dan hanya nampak leher pemuda itu. Aisya ingin mendongak untuk melihat tuan empunya tubuh namun tiba-tiba angin bertiup agak kencang dari arah belakang Aisya. Angin menerbangkan rambut Aisya sehingga mengenai muka pemuda itu. Dia tak jadi untuk mendongak sebaliknya menunduk.

"Maaf..." Aisya menjarakkan dirinya. Dia menyelitkan rambutnya di telinga. Aisya terus menunduk. Malunya dia. Kenapa dia tak terfikir untuk mengikat rambut tadi?

"Tak apa. Terima kasih, ya..." Pemuda itu berlalu. Aisya hanya melihat belakang pemuda itu. Nampak simple gaya pemuda itu tapi pelik bagi Aisya. Berbaju lengan panjang dan jean. Sangat jarang dia melihat lelaki memakai baju lengan panjang melainkan baju Melayu. Dia meneruskan langkahnya.


"TAK apa. Terima kasih, ya," ujarnya sambil berlalu. Hatinya bergetar. Gadis itu baru pertama kali dia jumpa. Tapi kenapa dia rasa ingin berjumpa dengan gadis itu lagi? Siapa gadis itu? Bau rambut gadis itu membuatkan dia gila sekejap. Sang angin berbaik hati menemukan mereka.

Dia menoleh untuk melihat gadis itu. Tapi gadis itu sudah hilang. Ke mana pula perginya gadis itu? Agak lama dia memerhatikan gadis itu. Dia duduk di kerusi bertentangan dengan gadis itu. Saling menghadap dengan jarak seluas padang bola. Dia nampak gadis itu seakan-akan sedih. Duduk bersendirian sambil merenung ke tengah padang.

"Kau cari siapa?" Teguran kasar membuatkan dia berpaling.

"Tak ada cari siapa-siapapun," dalihnya.

"Macam mana boleh sesat ni? Jom balik rumah mak mentua aku dulu. Nanti lepas solat kita makan kat luar.

Aku dah jemu makan lauk orang berpantang ni."


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top