BAB 4

                AISYA mengesat air mata menggunakan hujung lengan baju kurung yang dipakainya. Entah berapa banyak air mata yang tumpah sejak tengah hari tadi, dia pun tak pasti. Kaki langit mula bertukar warna. Warna jingga mula menjengah. Dia tahu hari sudah beransur senja. Sudah agak lama dia berada di situ, di taman permainan berhampiran rumah keluarga suaminya. Atau mungkin dia patut mula panggil bekas suami. Aisya mengimbas semula kejadian tengah hari tadi.

"Assalamualaikum, abang. Aisya rindukan abang." Aisya mencium tangan Faris lalu memeluk suaminya. Lima tahun dia menunggu kepulangan suaminya, hari ini segala kerinduannya terlerai.

"Segan sikit kat orang." Faris menolak badan Aisya dengan kasar.

Aisya terpinga-pinga. Takkan Faris tidak rasa apa yang dia rasakan? Faris tak rindukan dia ke? Mana ada orang lain di situ? Hanya ayah dan ibu Faris. Setakat peluk sahaja takkan Faris segan? Mereka suami isteri yang lama terpisah. Wajarlah untuk dia memeluk suaminya bagi melepaskan kerinduan. Tiada keterujaan di wajah Faris.

"Sya bawa beg abang naik atas, ya," ujar Aisya diiringi senyuman. Walaupun dia terkesan dengan sikap Faris tadi, dia tidak mahu berburuk sangka. Mungkin suaminya penat.

"Hmmm," jawab Faris acuh tak acuh.

Senyuman Aisya mati. Kenapa Faris begitu dingin? Tiada segaris senyuman di bibir Faris sejak suaminya melangkah masuk ke rumah. Jawapan Faris juga cukup membuatkan hati Aisya galau. Kalau pun penat, takkan tak boleh senyum kat isteri sendiri? Bukan dia mengharapkan hadiah atau apa. Cukup sekadar wajah gembira suaminya. Faris menghilang ke bilik ibu bapanya. Aisya mengangkat satu per satu bagasi Faris ke bilik mereka.

Selesai mengangkat bagasi, Aisya terus ke dapur untuk menghidangkan makanan. Dia tahu pasti Faris lapar. Ayah dan mak mentuanya pun belum makan lagi. Mereka menunggu Faris sejak pagi tadi lagi. Aisya senyum sendiri. Semua lauk-pauk kegemaran Faris. Sejak pagi tadi lagi dia bertungkus lumus memasak seorang diri. Dia pun tak sabar mahu makan semeja dengan suaminya. Lima tahun Faris di perantauan. Tak sekali pun Faris pulang ke Malaysia kerana kekangan kewangan. Duit yang dia kirim untuk Faris cukupcukup untuk menampung perbelanjaan Faris di sana.

"Kenapa Is nak ceraikan Hannan? Apa salah dia?!"

Aisya mendengar namanya disebut. Dia tahu hanya ayah mentuanya yang memanggilnya Hannan. Orang lain selalu memanggilnya Aisya. Aisya tak jadi untuk mengetuk pintu. Selain namanya, dia mendengar perkataan cerai tadi. Aisya mulai cemas. Tak mungkin Faris akan menceraikannya. Faris dah berjanji untuk menjadi imamnya sehingga akhir hayat. Mungkin dia salah dengar.

"Is dah ada pilihan lain yang lebih sepadan dengan Is. Damia lebih sesuai jadi isteri Is berbanding Aisya. Kami sama-sama lulusan ijazah luar negara. Aisya lulusan SPM aje, abah. Lagipun Is tak nak isteri imej kampung macam Aisya tu. Malu Is nanti kalau orang sebut. Jawatan hebat ada kelulusan tapi dapat isteri budak kampung yang lulusan SPM aje. Jadi wajarlah kalau Is ceraikan dia..."

"Ya Allah..." Aisya terkejut. Tak salah apa yang didengarnya tadi.

Lututnya menjadi longgar secara tiba-tiba. Dia jatuh terjelepok di depan pintu bilik mentuanya yang separuh tertutup. Air mata gugur setitis demi setitis tanpa tertahan. Dia cuba menahan tangis tapi gagal. Dia menutup mulutnya agar tangisannya tidak didengari sesiapa. Hatinya bagai ditusuk dengan ratusan jarum yang tajam. Tergamak Faris melukakan hatinya. Segala impian untuk hidup bahagia sudah lenyap sebagaimana lenyapnya cinta Faris kepadanya tika ini.

"Is segan, ayah... Dia kampung sangat."

Dan apa yang tambah menghiris hati, Faris sudah pandai menghina penampilannya. Dia lihat dirinya. Dia sedar dia tak cantik. Muka kusam. Pakaian pun hanyalah baju kurung yang sudah lusuh. Bila kali terakhir dia membeli baju baru pun dia tak ingat. Duit gajinya semua dikorbankan untuk Faris. Setiap sen yang dia peroleh semasa bekerja hanya untuk Faris dan mentuanya. Bukan untuk diri sendiri. Dia sedar ada benarnya kata-kata Faris. Lima tahun dulu Faris hanya pemuda kampung biasa. Memang layaklah mereka berdua bergandingan. Namun sekarang Faris bukan lagi pemuda biasa.

Aisya bersandar di dinding. Kekuatannya telah hilang sekelip mata. Kakinya tak kuat lagi untuk bangun dan berdiri. Biarlah dia duduk di situ dan mendengar segalanya. Dia tahu Faris takkan berkata hal yang benar di hadapannya. Ya Allah, berikan aku kekuatan...

"Abah tetap tak setuju kalau Faris nak ceraikan dia. Ingat sikit pengorbanan dia terhadap keluarga kita. Lepas abah pencen, dia yang menggalas tugas ketua keluarga ni. Dia korbankan peluang dia untuk belajar di universiti untuk jaga abah dan juga mak kamu ni."

"Kita tak mintak pun dia buat semua tu. Dia yang nak buat. Takkan dia nak ungkit semua tu? Dasar perempuan tak ikhlas." Ibu mentuanya pula bersuara.

"Dia tak ungkit Som tapi kita ni takkan nak lupakan semua apa yang dia buat? Awak kena ingat dia bukan darah daging kita pun. Tapi dia jaga kita dah lebih daripada keluarga sendiri. Ingat sikit menantu awak itulah yang tukar Pampers awak hari-hari masa kena strok dulu. Takkan dah lupa? Bila raya awak melaram dengan baju baru pakai duit siapa? Awak pun dah lupa diri macam anak awak ni juga!"

"Som tak mintak pun. Dia yang buat semua tu. Dia sendiri yang terhegeh-hegeh nak buat. Nak ambil hati mak mentua konon. Faris dah tak suka dia, buat apa simpansimpan lagi?" Kata-kata yang keluar dari bibir ibu mentuanya menyentak tangkai hati Aisya.

"Som pun tak mahu ada menantu macam dia. Buat malu anak kita aje. Anak kita lulusan luar negara. Biarlah anak kita cari isteri yang setaraf. Baru kena," sambung Mak Som.

Aisya tidak menyangka semua itu keluar dari mulut insan yang dianggapnya seperti ibu sendiri. Insan yang pernah dia cucikan najisnya dan mandikan setiap hari semasa sakit. Dia tak minta apa-apa balasan. Cukuplah sekadar kasih sayang. Dia silap kalau menyangka Mak Som sudah boleh menerimanya sebagai menantu. Rupanya Mak Som tak pernah menerima dia. Aisya tidak mampu untuk menghadapi semua ini lagi. Allahuakbar, kenapa dia harus dengar semua ini?

"Dulu abah larang kamu kahwin dengan Hannan sebab inilah. Abah risau kalau-kalau kamu berubah hati bila dah ke luar negara. Dan sekarang betul dugaan abah. Kamu balik aje terus nak ceraikan dia. Bukan ke kamu nak sangat kahwin dengan Hannan sebab takut Hannan dipikat lelaki lain? Sekarang kenapa kamu yang curang? Kamu dah tak cintakan dia lagi ke?"

Aisya berdebar. Suasana mulai senyap. Dia menantikan jawapan Faris.

"Faris anggap cinta monyet aje, abah. Umur baru masuk dua puluh tahun. Tak matang lagi. Sekarang Faris dah sedar yang Faris tak cintakan dia pun. Faris cintakan Damia."

"Cinta monyet kamu kata?! Ya Allah, Faris... Abah tak besarkan kamu untuk menyeksa hati perempuan macam ni. Kalau Hannan dengar, mana abah nak letak muka? Abah dah janji akan pastikan kamu bahagiakan dia."

Aisya pejamkan mata. Air mata yang gugur bertali arus menjadi saksi betapa jiwanya luluh dan hancur dikhianati suami sendiri. Ya Allah, kenapa dia diuji sebegini hebat? Kenapa dia yang terpilih untuk terluka kerana dikhianati? Cinta yang disemai untuk suami tercinta ternyata sia-sia. Semua kata-kata cinta Faris hanya dusta belaka.

Dia tak kuat lagi untuk berada di situ. Dia tak mampu mendengar semua kata-kata dusta Faris. Kata-kata nista ibu mentuanya sendiri. Hanya ayah mentuanya sahaja yang membela dia saat ini. Aisya cuba untuk bangun. Ternyata kakinya terlalu lemah untuk berdiri. Sebagaimana dia sangat lemah saat ini mendengar semuanya. Aisya mengengsot sedikit dan berpaut pada meja. Semakin lama dia di situ terasa dirinya makin hilang. Jiwanya juga turut hilang.

Akhirnya setelah berkali-kali mencuba barulah dia dapat kekuatan. Kakinya melangkah keluar dari rumah. Dia tak pasti ke mana arah tujuannya saat itu. Di dalam kepalanya hanya terbayang bangku tempat dia selalu melepaskan kerinduan kepada suaminya. Dan akhirnya dia di sini berteman air mata.

"KENAPA kau nangis kat sini? Bukan ke suami tercinta kau baru balik dari overseas? Patutnya happy-happy kat rumah." Maria duduk di sebelah Aisya. Mata Aisya masih memandang ke tengah padang. Dia ralit melihat kanak-kanak yang sedang bermain. Agak lama dia membiarkan soalan Maria tidak berjawab.

Maria tahu kalau Aisya diam pasti ada masalah. Melihat air mata Aisya yang luruh, hati Maria tak tenteram. Kali terakhir Aisya menangis semasa kematian Nenek Zaharah dahulu. Maria tidak sabar menanti jawapan Aisya. Hanya suara Aisya yang sedang menangis kedengaran. Semakin lama semakin kuat. Maria menjadi risau. Dia memusingkan badan Aisya supaya menghadapnya.

"Kenapa Sya? Kenapa kau menangis sampai macam ni sekali?" tanya Maria lagi. Dia menggoncang badan Aisya. Melihat Aisya menangis sebegitu, pasti ada masalah yang besar.

"Faris... nak... ceraikan aku. Dia dah ada orang lain." Suara Aisya tersekat-sekat. Berat hatinya untuk menjawab soalan Maria. Dia tahu pasti Maria tak percaya.

Maria terkejut. Betul ke apa yang dia dengar? Faris nak ceraikan Aisya. Segala kebimbangannya sudah menjadi kenyataan. Lima tahun dulu sebelum Aisya menikah, dia ada dengar khabar angin mengatakan Faris menikah dengan Aisya kerana tak mahu Zikri potong jalan. Zikri kawan sekelas mereka dan sudah lama cuba memikat Aisya. Maria tak mahu pernikahan sahabatnya kerana niat tak baik Faris.

Kalau betul Faris sudah berubah hati, dia memang simpati kepada sahabat baiknya. Bahagia yang diidamkan hancur sekelip mata. Erti kata bahagia belum menjenguk masuk ke dalam hidup sahabatnya.

"Kau serius ke? Betul ke Faris cakap macam tu? Dia dah janji kan akan jadikan kau perempuan paling bahagia." Maria mahu pastikan berita itu. Dia takut Aisya tersalah dengar.

"Aku dengar sendiri, Mar. Dia malu ada isteri tak ada kelulusan macam aku ni. Dia malu dengan imej kampung aku. Dia..." Aisya gagal meneruskan ayatnya. Hatinya teramat sakit dan pedih. Seakan-akan beratus jarum yang ditusuk dalam hatinya dicabut satu per satu. Sedikit demi sedikit kesakitan yang dia rasa.

"Dia kata aku ni cinta monyet dia, Mar. Dia... Dia... Dia tak pernah cintakan aku. Dia kahwin dengan aku sebab tak mahu ada lelaki lain dapat aku," sambung Aisya lagi.

Cuba untuk melawan kesakitan yang dia rasa. Dia curahkan semua rasa di dalam dadanya agar dapat mengurangkan rasa sakit hatinya. Namun semuanya sia-sia. Sakit tetap terasa.

"Ya Allah, kenapa dia berubah macam ni?" Maria turut mengalirkan air mata. Kasihan dengan nasib Aisya. Maria memeluk Aisya. Tak sangka kawan baiknya akan diuji sebegini hebat. Dia tak menyangka Faris akan berubah sebegini rupa. Dia kecewa kerana Faris memungkiri janjinya untuk membahagiakan Aisya.

"Dulu masa tak ada apa-apa, dia sayang kau. Tapi bila dah ada segulung ijazah, cakap tak sepadan pula. Betul kata orang, seorang wanita diuji saat suaminya tak ada apaapa tapi seorang lelaki diuji saat punya segalanya. Baru ada ijazah dah nak bongkak. Lupa jasa-jasa kau yang tolong dia selama ni. Aku rasa macam nak tumbuk aje muka dia yang tak cukup handsome tu," sambung Maria lagi dengan nada penuh kecewa dan marah.

Walaupun sukar untuk menerima hakikat perubahan diri Faris, dia percaya Aisya berkata benar. Maria membiarkan Aisya terus menangis. Mungkin air mata yang mengalir itu mampu mengurangkan galau dalam hati Aisya.

"Aku nak jumpa dia... Aku nak buat perhitungan dengan dia. Dia dah sakitkan hati kawan aku bermakna dia cari gaduh dengan aku!" Maria bangun tapi segera ditahan oleh Aisya. Maria duduk kembali.

"Tak payahlah, Mar... Biar aku selesaikan sendiri. Mungkin kami boleh berbincang. Tengoklah nanti."

"Kau tinggalkan aje lelaki tak guna tu. Jangan fikir pasal dia atau cinta palsu dia. Buang nama dia jauh-jauh. Dia bukan setakat khianati kau tapi dia hina kau. Kau yang kena hina, aku yang sakit. Dia khianat kau, aku yang rasa nak tumbuk dia. Kalau boleh aku nak tanam dia hidup-hidup. Bini susah payah kerja tanggung dia, dia pula senang-senang bercinta dengan perempuan lain."

"Aku cintakan dia. Aku cintakan dia, Mar. Macam mana aku nak tinggalkan dia? Aku nak pujuk dia untuk jangan tinggalkan aku." Aisya memohon pengertian Maria. Dia membetulkan duduknya. Dia perlukan Faris dalam hidupnya. Dia mesti perjuangkan keutuhan rumah tangga mereka.

"Hannan Aisya!" Suara Maria memetir.

"Sedar diri sikit yang dia tak cintakan kau. Dia tak cintakan kau, faham tak? Kau sendiri dengar dia cakap cinta korang cinta monyet. Kalau Faris fikirkan perasaan kau, takkan dia berniat nak ceraikan kau sebaik saja dia jejak kaki kat rumah. Tak guna kau rayu cinta orang yang langsung tak ada hati untuk cintakan kau. Mungkin Faris bukan imam kau, tapi orang lain. Jangan buang air mata untuk lelaki macam tu." Maria menggoncang bahu Aisya. Dia tak setuju kalau Aisya terhegeh-hegeh mahu merayu kasih Faris. Kalau Faris seorang lelaki yang baik, dia takkan terdetik sikit pun soal sepadan atau tak. Dia pasti ingat semua pengorbanan dan menghargai Aisya.

Aisya berhenti menangis. Betul kata Maria. Tak guna dia cintakan Faris kalau lelaki itu memang sudah ada cinta baru. Dia harus kuat untuk menempuh hari mendatang tanpa seorang suami. Memang selama ini pun dia hidup sebagai isteri Faris hanya di atas kertas. Faris jauh di perantauan. Dia sendirian di sini memikul tanggungjawab menggantikan Faris sebagai anak.

"Aku dah agak dah pasti ada sesuatu yang tak kena bila kau kata Faris sibuk sangat sampai tak sempat nak telefon. Dah ada orang lain rupanya. Kau aje yang baik sangat tak nak curiga. Baik kau izinkan aku tumbuk dia. Sekali pun cukuplah." Maria geram. Kenapalah semua kecurigaannya menjadi kenyataan? Kenapalah Faris berubah? Kasihan Aisya.

"Apa perlu aku buat sekarang, Mar? Aku tak ada sesiapapun kat dunia ni. Selama ni keluarga Farislah keluarga aku. Kalau betul dia ceraikan aku, mana aku nak pergi?"

"Hei, mangkuk. Kau dah lupakan aku? Lupakan Milah over tu? Kau ni dah sedih sangat sampai hilang ingatan pula. Habis tu sebelum ni kau duduk dengan siapa?" Maria cubit bahu Aisya. Geram juga dengan Aisya ni. Pengakhiran hidup bersama Faris tak bermakna hidupnya juga akan berakhir.

"Auwww!" Aisya menjerit. Cubitan Maria lebih bisa daripada ketam. Dia lupa dia punya sebuah lagi keluarga yang begitu sayangkan dia. Mak Milah, ibu kepada Maria sudah menganggap dia sebagai anak sendiri. Mak Milah yang menjadi ibu angkatnya selepas kematian Nenek Zaharah semasa dia di tingkatan empat. Kenapa dia boleh lupa semua itu? Dia bukannya keseorangan di dunia ni. Kesedihan dan air mata buatkan dia dungu seketika.

"Mak Milah nak ke tumpangkan aku lagi?" Aisya ragu-ragu. Sejak sibuk dengan kerja, dia jarang ada kesempatan melawat ibu angkatnya. Sekarang apabila ada masalah, baru sibuk nak meminta belas lagi.

"Mak Milah sayangkan kau. Kalau mak tahu Faris nak ceraikan kau, silap-silap dia berparang dengan Mak Som nanti. Kan kau anak ketiga dia. Tak ada masalahlah. Jom kita belasah dia berjemaah. Abang Malek pun boleh join geng kita." Maria mengesat air mata Aisya. Aisya senyum.

"Aku balik dulu. Nanti Pak Mail marah pula aku balik lama-lama. Kata nak solat kejap, ni dah terlajak lama."


Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top