BAB 3
Lima tahun berlalu...
HARI ini Aisya murah dengan senyuman. Sejak pagi tadi bibirnya tak habis-habismenguntumkan senyum. Tak ada sedetik pun senyuman itu hilang. Wajahnya kelihatan ceria dan berseri-seri. Maria cuba mentafsirkan perasaan sahabat baiknya yang sedang sibuk mencuci pinggan. Sambil mencuci pinggan sambil tersengih. Tadi masa Aisya mengelap meja pun asyik tersenyum juga.
"Kena sampuk hantu senyum ke?" tanya Maria. Dia jadi kurang sabar apabila melihat sahabatnya asyik tersenyum. Biasanya senyuman Aisya boleh dilihat apabila suami tersayang telefon atau memberi khabar. Cuma seketika. Selepas itu muka Aisya akan masam semula memikirkan mana nak cari duit untuk dikirim kepada Faris.
"Faris nak balik minggu depan," jawab Aisya dengan senyuman melebar.
"Patutlah happy semacam aje." Barulah Maria faham kenapa Aisya asyik tersenyum di sebalik mukanya yang letih tu. Suami tersayang akan pulang rupanya. Dia tumpang gembira untuk Aisya. Sudah tiba masanya Aisya berehat. Dia sendiri penat melihat Aisya yang bekerja siang dan malam tanpa sebarang rehat.
"Siapa tak happy? Lima tahun aku tak jumpa suami aku, Mar. Macam mana agaknya dia lepas lima tahun ni? Muka dia sama tak macam dulu atau dah bertambah handsome?" Aisya teruja. Dia membayangkan wajah suaminya yang kali terakhir dia temui lima tahun lalu. Biasa tengok dalam online tapi takkan sama dengan yang sebenar. Faris Hakimi lelaki biasa yang sangat sederhana. Memiliki seraut wajah tampan berkulit sawo matang. Apa yang istimewanya, apabila Faris tersenyum matanya akan menjadi sepet. Bagi Aisya Faris sama seperti Edward Cullen versi Melayu.
"Khayal..."
"Maaf... Aku... Aku gembira sangat, Mar. Akhirnya aku akan hidup dengan suami aku, Mar. Tak payah aku nak rindukan dia lagi lepas ni." Aisya sangat teruja. Dari nada suaranya juga terpancar kegembiraan yang tak terhingga.
"So lepas ni kau jadi suri rumah sepenuh masalah ni?"
"Tak juga. Kalau nak jadi suri rumah pun mungkin lepas dia kerja dalam dua tiga bulan ke... Bukanlah minggu depan juga aku berhenti kerja. Kewangan tak kukuh lagi aku nak berhenti."
"Semoga lepas ni kau capai impian kau nak jadi suri rumah sepenuh masa untuk Encik Faris Hakimi tu. Tapi jangan lupakan aku pula," pesan Maria.
"Insya-Allah aku tak akan lupakan kawan baik aku ni. Tapi tengok muka aku ni macam orang tua dah rasanya." Aisya membelek mukanya di cermin yang tergantung di sebelah singki. Dia memandang wajah yang kusam dan pucat. Enam belas jam sehari masa dia peruntukkan untuk kerja. Tak ada masa untuk membelek muka sendiri.
"Memang pun muka kau tu dah macam nyonya jual sayur aku tengok. Kusam aje. Pergilah ambil cuti buat facial ke apa. Bagi berseri sikit. Nak sambut suami ni." Maria memberi cadangan. Kesian Aisya banyak sangat bekerja sampai penampilan diri tak terjaga.
"Mana ada masa nak buat facial segala ni. Kena kerja juga. Hutang banyak lagi nak bayar. Bila Faris balik nanti aku mungkin buat satu kerja aje."
Banyak lagi urusan yang perlu dia selesaikan sebelum berhenti kerja. Selepas ini dia akan menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangganya. Impian yang tertangguh selama ini akan tertunai. Rindu yang selama ini menyeksanya akan hilang. Insan yang dia tunggu selama ini akan berada di depan mata. Aisya senyum lagi. Tak sabar rasanya menunggu minggu depan.
"Gelilah aku tengok orang angau ni. Kejap sengih, kejap senyum. Pinggan mangkuk pun dah rupa Faris agaknya. Cepatlah sikit buat kerja tu. Asyik senyum, sengih, senyum, sengih, sampai besok pun tak siap."
"Tak dapat aku gambarkan betapa bahagianya aku sekarang." Aisya senyum lagi. Dia peluk pinggan yang baru dicuci. Seakan-akan memeluk suami yang tersayang.
"Mak cik, yang kau peluk tu pinggan, bukannya suami tersayang. Habislah siapa yang makan guna pinggan tu gila bayang nanti. Dapat bekas peluh Aisya." Maria tergelak.
"Kau ni, Mar. Tak boleh biarkan aku bahagia langsung." Aisya membasuh pinggan tadi sekali lagi. Dah Maria cakap macam tu, rasa malu pula terpeluk pinggan tadi.
"Aku doakan kau akan bahagia dengan Faris. Aku harap Faris tak sia-siakan pengorbanan kau selama ni." Maria bernada serius. Entah kenapa tiba-tiba perkara ini terlintas di dalam kepalanya. Dia menyaksikan sendiri jerih perit Aisya bekerja untuk menampung keluarga Faris dan juga perbelanjaan Faris selama di luar negara.
"Insya-Allah, Faris tak macam tu orangnya. Kau pun kenal dia, kan? Aku yakin dia masih lagi Faris yang sama."
"Dia call kau ke bagi tau pasal ni?"
Aisya geleng. Dia tahu pun daripada bapa mentuanya.
"Aku rasa dia peliklah sejak kebelakangan ni. Aku perasan kau bagi tau Faris call mintak duit aje."
Maria tak perasan riak muka Aisya berubah. Sedikit sebanyak kata-kata Maria bermain dalam fikiran Aisya. Tempoh masa lima tahun sudah cukup untuk membuatkan seseorang itu berubah. Dia berharap Faris bukanlah orang yang senang lupakan janji. Faris berjanji akan membahagiakannya. Dia pegang kata janji Faris hingga saat ini.
"Nanti teman aku pergi bank sekejap. Aku nak bank in duit untuk Faris..."
"Okey..."
"LAIN kali ada mata tu guna! Kalau tak nak guna bungkus aje dalam plastik. Lepas tu buang dalam tong sampah. Sebab kau ni tak pakai mata, habis baju aku kena air Milo!"
Aisya dan Maria tak jadi melangkah apabila mendengar pekikan ibarat halilintar sekejap tadi. Mereka berdua menoleh ke dalam restoran. Maya sedang tertunduktunduk di hadapan seorang lelaki. Mereka hanya nampak bahagian belakang lelaki itu. Pasti Maya dengan mata gatalnya lagi. Maya memang pantang melihat lelaki tampan. Apatah lagi orang luar.
"Maaf, encik. Saya tak sengaja..."
"Maaf... Maaf... Dengan maaf kau ni tak boleh bersih baju aku, tau tak?! Buat hilang selera aku aje."
Siapa tak marah kalau baju putih kena simbah air Milo. Memang ketara sangat kotornya. Lelaki itu kedengaran sombong dan angkuh. Orang dah mintak maaf tu takkan tak nak maafkan kut? Kawan lelaki itu terburu-buru keluar mengekori lelaki itu. Maya pun satu. Cubalah kawal mata tu. Kan dah kena tengking. Aisya hilang sabar. Biarpun dia tak suka Maya, tapi dia lebih angin apabila pelanggan mulut cabul macam tu. Dia berkira-kira hendak melangkah apabila Maria menahan. Maria menggeleng kepala.
"Tunggulah... Kata lapar tadi."
"Malaslah. Bengang aku."
Lelaki tadi berjalan laju hingga terlanggar Aisya di bawah tangga restoran. Aisya jatuh tertonggeng.
"Ni lagi seorang. Tak nampak ke orang nak lalu?! Tepilah sikit! Ingat muka tu cantik sangat nak bersidai kat depan kedai ni?!"
Tanpa menoleh ke belakang, lelaki itu terus menghamburkan kata-kata kesat yang membuatkan Aisya sakit hati. Aisya geram. Bukan nak mintak maaf atau tolong dia bangun. Sebaliknya kena sembur pula. Gila lelaki ni.
"Maaf ya, cik. Kawan saya period pain kut..."
Maria membantu Aisya bangun. Dahinya berkerut mendengar alasan tak masuk akal tu. Gila betul lelaki seorang ni. Bukan saja berlagak, tapi sombong melangit tahap ketujuh. Dia yang salah sebab jalan tak pandang depan, boleh pula marah Aisya.
"Lelaki ada period pain ke?" tanya Aisya bingung.
"Alasan aje tu. Lelaki dua alam pun tak ada period inikan pula lelaki normal. Apa kata kau bagi sepak Melayu kau kat dia? Baru tau siapa Aisya." Maria geram. Kalau ikutkan hati, dia nak tumbuk aje lelaki angkuh tadi. Nasib baik dia perempuan yang lemah. Tengok lengan sado lelaki itu dah tiga kali ganda dengan lengan dia.
"Biarlah dia. Aku tak nak rosakkan mood gembira aku hari ni. Biarlah dia nak berlagak sombong ke apa... Tak tergores pun kulit aku ni..." Aisya hanya melihat lelaki itu pergi bersama kawannya.
"Mister berlagak ni hebatlah. Bukan saja handsome tapi kaya." Maria tiba-tiba buat muka teruja. Aisya pandang Maria. Mister berlagak? Apa punya namalah. Baru dia perasan lelaki itu memandu kereta BMW berwarna silver.
"Handsome ke?"
"Handsome sangat! Tak dapat aku gambarkan betapa tampannya lelaki itu. Macam pelakon Korea aku tengok. Tapi kalau jambang comel tu dia tebas, pasti lagi comel kut. Memang handsome gila. Wajarlah kalau Maya naik juling sampai lupa di mana letaknya meja." Maria dah mula dengan perangai gatalnya. Bercakap dengan penuh perasaan sambil tangan di dada. Aisya senyum. Maria ni biar betul? Takkan lelaki macam tu dia nak? Mulut dan macam cili padi.
"Handsome ke, comel ke, kalau perangai macam tu buat apa? Aku tak nak orang macam tu jadi suami... Mati kering aku hari-hari kena maki."
"Hoi... Mister berlagak tu untuk aku. Kau dah ada laki, lupa ke? Kenapa pula dia tiba-tiba muncul dalam hidup kau?" Maria cubit pinggang Aisya. Tiba-tiba lupa Faris apabila jumpa lelaki berlagak ni.
"Sakitlah." Aisya mengaduh sakit. Dia gosok tempat yang dicubit Maria tadi. Tangan ketam betul.
"Jomlah kita gerak... Kata nak pergi bank." Maria menarik tangan Aisya.
"HANNAN baru balik?" tegur Pak Jamal. Dia melihat jam di dinding sudah pukul dua pagi. Sengaja dia menunggu menantunya pulang dari kerja.
"Abah tak tidur lagi ke? Abah dah makan? Hannan ada bawa balik nasi goreng ni." Aisya terkejut melihat bapa mentuanya sedang duduk di meja makan. Dia pulang agak lewat hari ini kerana ramai pelanggan. Aisya mengambil air dari peti sejuk lalu duduk menghadap bapa mentuanya. Memang dia penat sangat hari ini. Pelanggan datang tak putus-putus sejak petang tadi.
"Lepas ni Hannan tak payah dah kerja susah payah lagi. Faris balik nanti bolehlah Hannan duduk rumah aje. Boleh teman abah layan Hindustan." Pak Jamal senyum.
Aisya juga turut senyum. Memang itu yang diharapkannya. Memang dia sudah penat kerana bekerja tanpa henti selama lima tahun ini.
Pak Jamal bangga punya menantu seperti Hannan Aisya. Bukan sahaja cantik tapi baik. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga digalasnya tanpa sebarang sungutan. Sepatutnya dia yang menanggung Hannan Aisya memandangkan dia ayah kepada Faris. Tapi semuanya terbalik sekarang. Hannan Aisya yang bertungkus lumus bekerja menampung kehidupan mereka bertiga. Dan segala keperluan Faris di luar negara Hannan Aisya yang menanggungnya. Harapkan duit pencennya berapalah sangat.
Dia terpaksa pencen awal kerana tiba-tiba disahkan mengidap kencing manis yang kronik. Ibu jarinya juga sudah dipotong akibat kencing manis. Dan kerana itu juga Aisya membatalkan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur. Semua ini berlaku enam bulan selepas Faris berangkat ke luar negara. Sekarang dia ada darah tinggi pula.
"Hannan, terima kasih sebab jaga abah dengan mak selama ni. Sepatutnya kami yang jaga Hannan, tapi dah terbalik pula. Lepas ni abah akan pastikan Faris balas semua jasa kamu. Abah akan pastikan Faris membahagiakan kamu."
"Abah... Ni dah tugas Hannan sebagai anak. Apalah sangat yang Hannan buat ni berbanding kesudian mak dengan abah terima Hannan sebagai sebahagian daripada keluarga ni. Hannan tak pernah rasa kasih sayang ayah dengan ibu kandung Hannan. Mak dengan abahlah satusatunya keluarga Hannan." Aisya bersyukur kerana Allah mengizinkan dia menumpang kasih dengan keluarga suaminya.
Walaupun dia penat bekerja tanpa rehat yang cukup, dia tetap bahagia. Dia tak dapat menabur bakti kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya meninggal dunia semasa melahirkannya. Ayah kandungnya pula hilang di laut. Mayatnya gagal ditemui selepas dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai. Dia dibesarkan oleh Nenek Zaharah hingga berumur enam belas tahun. Selepas Nenek Zaharah meninggal dunia, dia menumpang di rumah Maria.
"Hannan naik tidur dulu, abah." Aisya sudah tidak tahan mengantuk. Beberapa kali dia menguap di hadapan bapa mentuanya.
"Ha... Pergilah tidur. Penat sangat nampak tu."
"Abah tak tidur ke?" Aisya bersalam dan mencium tangan bapa mentuanya.
"Kejap lagi abah tidur."
Aisya memanjat tangga untuk masuk ke bilik. Dia terus baring di katil tanpa menukar baju. Penat sangat. Aisya mengambil gambar Faris yang diletakkan di hujung katil lalu dibawa ke dada.
"Abang... Sya rindu sangat kat abang. Sya tak sabar nak hidup dengan abang lagi..." Aisya tersenyum sendiri. Dia pejamkan mata. Malam ini dia tidur sambil memeluk gambar suaminya sama seperti malam yang lain.
Minggu depan dia tak perlu peluk gambar lagi kerana tuan punya badan sudah berada di sisi. Dia berharap sinar bahagia akan menjelma selepas ini.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top