BAB 2
"ALHAMDULILLAH, kini Impian kita menjadi nyata. Abang harap Sya tak menyesal dengan pernikahan kita ni. Abang minta maaf sebab tak dapat mengadakan majlis besar-besaran untuk Sya." Faris mengucup dahi Aisya yang kini sah menjadi isterinya. Panggilan saya sudah bertukar menjadi abang.
"Ini pun dah cukup buat Sya gembira. Asalkan Sya ada abang, itu dah cukup." Aisya memeluk Faris. Sesuatu yang ingin dia lakukan sejak mereka bergelar kekasih. Hilang sudah rasa kekok dan malu. Aisya mengizinkan bibir Faris singgah di bibirnya. Dia rasa sungguh indah berdua-duaan dengan suaminya.
Aisya bersyukur walaupun majlis pernikahan mereka sangat ringkas dan hanya dihadiri keluarga Faris dan keluarga Maria. Majlis pernikahan mereka berlangsung lepas isyak di masjid. Aisya memang tiada keluarga lain selain daripada keluarga Maria. Faris pula tidak memanggil saudara-maranya kerana faktor masa.
"Nanti bila abang habis study, kita akan adakan majlis persandingan. Tak dapat buat besar kita buat sederhana pun jadilah." Faris melepaskan tautan bibirnya. Aisya tergelak melihat bibir Faris merah kerana terkena lipstiknya. Faris turut ketawa dan mengelap bibirnya dengan tangan.
Faris pandang wajah Aisya lama. Dia gembira kerana pernikahan mereka akhirnya menjadi nyata walaupun mendapat tentangan hebat daripada Mak Milah dan ayahnya sendiri. Malah Maria pun tiba-tiba menentang mereka. Kalau dah jodoh, datanglah banyak mana tentangan, dia dan Aisya tetap bersatu.
Ayahnya tak mahu perkahwinan yang hanya di atas kertas sahaja. Menikahi Aisya seminggu sebelum dia berangkat ke UK ibarat memenjarakan gadis itu. Namun jika dia tak mengikat Aisya, dah tentu 'kumbang' lain akan sentiasa datang mengganggu. Dia perlu pastikan Aisya jadi miliknya. Bukan dia tak tahu ada suara-suara sumbang menyatakan ingin memikat Aisya sebaik sahaja dia pergi ke luar negara.
Dia tahu Aisya cukup pakej sebagai seorang wanita. Aisya seorang yang cantik malah memiliki wajah yang unik. Tidak diketahui dari mana datangnya kecantikan Aisya kerana ibunya meninggal ketika melahirkan Aisya manakala ayahnya pula hilang di laut. Aisya juga handal dalam memasak dan menjahit kerana dia adalah cucu angkat Nenek Zaharah, tukang masak terhandal dan juga tukang jahit terkenal di kampung mereka. Semua ilmu Nenek Zaharah diturunkan kepada Aisya. Mana mungkin dia lepaskan perempuan sebegitu.
"Pengantin baru... orang nak balik ni."
Kedengaran suara Maria di luar bilik. Mesti Mariamenganggap yang bukan-bukan kerana mereka terus sahaja masuk ke bilik selepas balik dari masjid tadi. Niat hanya nak menukar baju tapi tiba-tiba Faris mengekori Aisya. Akhirnya dari lima minit sudah menjadi hampir setengah jam mereka duduk berdua di dalam bilik. Mula-mula terasa kekok berduaduaan dengan Faris. Tapi segan tu beransur hilang. Aisya belum sempat menukar pakaian. Masih tersarung lagi baju kurung berwarna putih gading di tubuhnya.
Faris melepaskan pelukannya. Aisya terus bangun dan membuka pintu. Maria menunggu di luar pintu dengan muka yang agak sedikit masam. Aisya pelik kenapa tiba-tiba Maria menghalang pernikahannya dengan Faris. Sedangkan Maria tak kisah pun masa mula-mula Faris melamar. Tapi Aisya buat tak tahu sahaja. Mungkin Maria takut hilang sahabat agaknya.
"Nak balik ke? Awal lagi ni..."
"Awallah sangat... Tengok jam tu dah pukul berapa?"
Aisya tengok jam. Dia terkejut. Sudah hampir tengah malam. Maknanya dia dan Faris duduk di bilik lebih dari setengah jam. Sungguh dia tak sedar masa berlalu begitu pantas.
"Abang... Sya nak turun bawah salam dengan mak." Aisya menoleh ke arah Faris. Faris angguk. Dia turut bangun dan keluar dari bilik. Walaupun Mak Milah bukan ibu kandung Aisya, sekurang-kurangnya dia patut ada rasa hormat kepada wanita yang banyak membantu Aisya.
"Mak..." Aisya mencium tangan Mak Milah. Dia memeluk erat tubuh wanita tua itu. Rasa kasihnya kepada wanita itu sudah seperti ibu kandungnya sendiri.
"Anak mak ni dah dewasa rupanya. Mak ingatkan masih budak-budak lagi. Dah jadi isteri orang pun. Jaga diri baik-baik ya, sayang. Belajar jadi isteri yang baik... Ikut cakap suami. Nanti mak mesti rindukan anak mak yang seorang ni." Mak Milah mengalirkan air mata. Aisya hanya anak susuan tapi sayangnya sama seperti Maria dan Malek. Aisya membesar di depan matanya.
"Kamu ni over sangatlah, Milah. Macamlah rumah kamu tu jauh sangat. Bila-bila masa aje Aisya boleh jumpa kamu." Pak Jamal menegur Mak Milah. Seperti biasa, Mak Milah terlebih over acting. Siapa tak kenal ratu kebaya kampung mereka, Jamilah Jamaluddin.
"Dia dah jadi anak Abang Jamal lepas ni. Mana tahu Abang Jamal kedekut ke nanti tak bagi Aisya datang rumah Milah..." Mak Milah buat-buat merajuk. Pak Jamal ketawa. Dia jeling isterinya Kalsom yang tak banyak bicara. Isterinya memang tak berapa suka dengan Jamilah. Maklumlah, masa muda dulu Pak Jamal antara lelaki yang merebutkan Jamilah. Namun jodoh Jamilah dengan Manan.
"Takkan abang nak halang Hannan balik rumah mak dia sendiri. Bukan jauh mana pun..."
"Sya jaga diri elok-elok tau. Abang doakan rumah tangga Sya akan kekal bahagia hingga akhir hayat..." Malek juga hiba. Melepaskan Aisya merupakan sesuatu yang berat untuk dia lakukan. Amanah arwah neneknya untuk lihat Aisya berjaya mencapai cita-cita tak kesampaian. Nenek Zaharah mahu Aisya meneruskan impiannya. Dia berharap Aisya akan dapat mencapai cita-citanya walaupun bergelar isteri Faris.
"Abang Malek, terima kasih..." Aisya tersenyum.
"Sya, aku pasti akan rindukan kau lepas ni." Maria memeluk Aisya.
"Mar, rumah ni dengan rumah mak bukan jauh mana pun. Dua tiga tapak aje. Taulah kau tu pewaris Milah over... Jangan tiru over acting mak kau," bisik Aisya sambil tersengih. Kenapa pula semua orang sedih bagaikan tak akan jumpa dia lagi?
"Dua tiga tapak pun kau jangan lupa kau tu isteri orang. Dah tak boleh huhahuha dengan aku lagi. Tak dapatlah nak lepak kat pantai cuci mata macam biasa," ujar Maria sayu.
Aisya tersengih saja mendengar luahan Maria. Takkan nak over acting macam Mak Milah kut? Maria lupa agaknya yang dia hanya ada masa seminggu sahaja dengan Faris. Selepas seminggu dia akan jadi Aisya yang lama. Cuma bezanya dia memegang status isteri orang. Maria memeluk Aisya terlalu erat seolah-olah tidak mahu melepaskan Aisya.
"Adik, sudahlah tu. Marah suami dia karang. Lagipun dah lewat malam ni. Bagilah peluang merpati dua sejoli ni memadu asmara..." Malek menarik Maria daripada terus memeluk Aisya. Kalau tak dihalang mungkin Maria akan terus memeluk Aisya.
"Abang... Nantilah."
"Adik... Jom balik. Tengok muka Faris tu dah macam nak tembak adik dah tu."
Maria akhirnya melepaskan pelukannya. Walaupun sedih dia harus relakan Aisya bersama Faris. Sahabatnya itu sudah menjadi milik seseorang bergelar suami.
"Kau kena janji Faris, jaga kawan aku ni baik-baik. Kalau kau berani lukakan hati dia, kau kena dengan aku nanti. Kalau kau buat dia nangis, aku belasah kau nanti." Maria memberi amaran. Dia kurang setuju dengan perkahwinan Aisya dan Faris kerana suara-suara nakal kawan mereka yang lain. Tambahan pula Faris bakal meninggalkan Aisya selama lima tahun. Ibarat Faris menyeksa jiwa Aisya. Tapi Aisya sendiri yang sanggup dan rela. Jadi dia tidak boleh menghalang.
"Maria, aku sayang Aisya. Kau jangan risau. Aku janji aku akan jadikan dia perempuan paling bahagia dalam dunia ni." Faris memberi janjinya.
"Aku pegang janji kau, Faris..."
"Maria, sudahlah... Jangan risau, okey. Insya-Allah semuanya baik-baik aje." Aisya menarik Maria keluar dari rumah namun langkah Maria memberat sebaik sahaja tiba di pintu pagar. Entah kenapa hatinya rasa tak tenteram. Hatinya rasa pernikahan Faris dan Aisya satu kesilapan. Maria pandang Aisya dengan sayu.
"Adik, jom." Malek menarik tangan Maria.
Faris menggenggam tangan Aisya. Memang tak mudah untuk berpisah dengan orang yang paling rapat dengan kita. Aisya melentokkan kepalanya ke bahu Faris. Dia mengekori Maria dengan pandangan mata hingga kelibat Maria hilang di sebalik padang. Rumah Faris dan rumah Maria hanya dipisahkan dengan sebuah padang bola sepak.
"Faris... Dah lewat malam ni. Pergilah bawa Hannan naik tidur. Mak kamu ni dah pening kepala. Ayah pun nak masuk tidur dulu..."
"Baik, ayah..." jawab Faris. Dia menarik Aisya untuk masuk ke dalam. Sudah lewat malam. Ada agenda lain di dalam kepala Faris.
"Abang, kita kemas dapur dululah baru naik tidur..." Aisya menarik tangannya sebaik sahaja kaki Faris menjejak tangga untuk naik ke atas. Dada Aisya tiba-tiba bergetar hebat. Dia sudah jadi isteri orang. Dia tahu apa tugas seorang isteri pada malam pertama setiap perkahwinan. Kalau boleh dia nak mengelak kerana belum sedia.
"Okey. Abang teman Sya sampai habis buat kerja. Abang tolong sekali..." Faris senyum. Dia faham kalau Aisya gemuruh. Dia dapat rasa dari tapak tangan Aisya yang tibatiba sahaja sejuk dan basah kerana peluh.
Aisya angguk.
"Abang nak makan ke? Rasanya dari siang tadi abang tak makan lagi," tanya Aisya. Selepas balik dari masjid, dia dan Faris meninggalkan mereka yang lain untuk naik ke bilik dan tak jamah langsung makanan yang Mak Som sediakan. Tapi kenapa sampai sekarang dia tak rasa lapar?
"Abang nak makan Sya aje sekarang ni..." Faris senyum nakal sambil menopang dagu. Tak ada tapisan SIRIM langsung. Mentang-mentang dah sah jadi isteri.
Hampir tercabut jantung Aisya melihat senyuman nakal Faris. Dia telan air liur. Apabila dengar Faris nak makan dia haruslah dia faham. Itu permintaan suami mahukan dirinya. Grandma... Tolong. Dada Aisya sudah dup dap dup dap. Aisya senyum cuba sembunyikan gemuruh dan rasa takut. Kalau tak kerana mekap di muka, mungkin boleh nampak muka pucat Aisya. Aisya cuba buat biasa. Tapi dia gagal kerana mata Faris tak lepas daripada memerhatikanya. Dah sah jadi suami, Faris memang tak cover langsung. Dulu masa bercinta Faris sering mengelak untuk merenungnya.
Selepas setengah jam berhempas-pulas mengemas dapur, akhirnya kerja Aisya selesai. Faris masih lagi duduk sambil menopang dagu. Pandangan matanya masih belum lepas dari isteri tersayang. Walaupun berbaju kurung namun susuk tubuh Aisya nampak jelas apabila isterinya berdiri di bawah lampu. Sudahlah memakai baju putih. Dadanya sejak tadi berombak menahan gejolak rasa. Kalau tak kenangkan Aisya minta dia duduk jangan bangun-bangun, dah lama dia terkam isterinya.
"Dah sudah ke? Jom kita naik..."
Aisya tak dapat mengelak lagi apabila Faris menarik tangannya. Sabarlah, wahai suami. Tak ke mananya dia. Sampai saja di bilik, Aisya terkaku. Tiba-tiba fikirannya kosong. Dia belum bersedia menghadapi semua ini. Faris pula selamba membuka baju. Baju Melayu yang dipakainya tadi sudah dicampak ke dalam bakul. Sekarang Faris hanya bersinglet putih.
Mata Aisya sudah terkebil-kebil. Kali pertama melihat Faris tak berbaju. Walaupun tak sado macam pelakon atau model, namun dada bidang Faris tetap tak lepas dari pandangan matanya. Apabila terpandang sengihan nakal Faris, Aisya tertunduk malu. Faris mula menghampirinya. Jantungnya yang tadi agak normal mula melompat-lompat akibat debaran yang hebat.
"Sya nak mandi dulu... Melekit badan ni." Aisya melarikan diri dari Faris. Lantas dia mengambil tuala dan baju dari dalam beg sebelum masuk ke bilik mandi.
Faris senyum dan geleng kepala. Dia tak mahu memaksa Aisya jika masih belum sedia. Dia ada masa seminggu lagi untuk bersama isteri tersayang. Faris baring di atas katil. Dia senyum sendirian. Comel pula lihat Aisya malu-malu. Lama pula Aisya di dalam bilik mandi. Ada apa-apa kejutan ke?
Sementara itu di dalam bilik mandi, Aisya berpusing-pusing sambil berfikir dugaan apakah ini. Dalam perkiraannya, ada seminggu lagi untuk 'saat' itu datang.
Kenapa datang awal sangat? Aisya membersihkan pakaian dalamnya yang dicemari warna merah. Nampaknya putih matalah Faris.
AISYA memerhatikan dua buah beg besar yang diletakkan di tepi katil. Hari yang dinantikan tiba juga. Hari ini Faris akan berangkat ke luar negara untuk mengejar cita-citanya. Dia akan keseorangan selepas ini. Masanya untuk bersama suami tersayang sudah tamat dan sekarang mereka harus berpisah untuk sementara. Aisya memerhatikan Faris yang sedang bersiap di depan cermin. Minggu lepas semasa menikah dia rasa cukuplah masa seminggu dengan suaminya. Sekarang dia rasa berat hati untuk membenarkan Faris pergi.
"Sayang, kenapa ni?" Faris duduk di sebelah Aisya. Dia lihat wajah mendung Aisya. Dia pun berperasaan sama seperti Aisya. Dia pun rasa berat hati untuk meninggalkan Aisya. Tapi dia tak mungkin akan melepaskan peluang untuk menimba ilmu di luar negara. Peluang hanya datang sekali.
"Tak payah pergi boleh tak?" rayu Aisya. Cuba menahan air mata daripada tumpah. Kenapa dia jadi lemah dengan perpisahan ini sedangkan dari awal lagi dia tahu semua ini akan terjadi?
"Tak boleh, sayang. Abang bukannya nak pergi pasar raya boleh batalkan suka hati. Abang nak sambung belajar... Kalau ikutkan abang pun tak nak pergi tinggalkan isteri abang ni." Faris memeluk Aisya. Cuba memberikan kekuatan kepada isterinya.
"Abang tak boleh balik ke bila cuti?" tanya Aisya lagi.
"Abang tak janji, sayang. Kalau ada duit abang balik. Sayang pun tahu mak dengan abah dah tua. Dah tak larat sangat nak kerja. Abang bergantung sepenuhnya kat biasiswa nanti..." terang Faris.
"Sya nak kerja. Nanti Sya kirim duit. Jadi abang boleh balik masa cuti..."
"No! Jangan buat macam tu. Abang nak Sya sambung belajar. Sya masuk mana-mana kolej ambil diploma dalam bidang yang Sya minat. Sya minat rekaan fesyen, kan? Tak pun ambil bakeri. Jangan risau pasal pinjaman PTPTN. Nanti abang bayarkan... Yang penting Sya belajar."
Aisya mengangguk. Faris melarangnya untuk bekerja jadi dia terpaksa akur. Sebenarnya dia sudah merancang untuk mendaftar di kolej swasta di Kuala Lumpur dalam bidang yang dia minati. Dia dan Maria merancang untuk keluar dari kampung dan tinggal bersama Malek. Mungkin apabila dia sibuk belajar, masa lima tahun akan berlalu tanpa dia sedari. Namun dia belum beritahu rancangannya kepada Faris. Dia risau kalau Faris takkan izinkan dia tinggal bersama Abang Malek.
"Sya jangan nakal-nakal tau..." Faris mengusik Aisya.
"Abang tu jangan nakal-nakal. Sya kat sini ada mak dengan abah yang pantau. Abang kat sana seorang aje. Jangan nampak minah salih mata sampai juling pula." Aisya membalas usikan suaminya. Pecah tawa Faris mendengarnya.
"Hati abang ni dah jadi milik sayang. Tak mungkin abang bagi kat perempuan lain..."
"Abang janji jangan curang dengan Sya. Kalau abang mungkir janji nanti Sya korek mata abang."
"Abang janji, sayang. Kalau abang mungkir janji, abang tak akan kenal erti bahagia dalam hidup abang. Bahagia abang cuma dengan wanita istimewa bernama Hannan Aisya." Faris mendaratkan ciuman di kedua-dua belah pipi Aisya. Dia gembira apabila melihat segaris senyuman di bibir isterinya.
"Jom kita turun. Abah dah tunggu tu..."
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top