BAB 10

'ABAH... Hannan mintak maaf kalau ada sebarang salah dan silap sepanjang Hannan tinggal dengan abah." Aisya bersalaman dan mencium tangan bekas ayah mentuanya.

"Hannan anak yang baik. Abah yang patut mintak maaf atas kelakuan Faris. Abah juga mintak Hannan halalkan semua apa yang abah termakan atau terminum selama ni. Hannan yang bekerja keras selama ni tanggung mak dengan abah. Budi baik Hannan abah akan kenang sampai mati." Pak Jamal tidak dapat menahan sebak. Tubuh tua itu gagal menahan air mata agar tidak tumpah. Naluri seorang bapa membuatkan dia sedih. Kalaulah Aisya itu anaknya, dah lama dia libas Faris dengan pedang samurai yang tergantung di ruang tamu rumahnya. Sampai hati gadis sebaik ini disiasiakan.

"Abah... Itu tanggungjawab Hannan sebagai anak. Hannan sayang abah. Terima kasih sebab anggap Hannan macam anak sendiri." Aisya menggagahkan diri untuk senyum. Dia tak pernah merasa kasih sayang seorang ayah sejak kecil lagi. Cukuplah baginya tempoh lima tahun menumpang kasih sayang ayah Faris.

"Abah mintak maaf bagi pihak mak sekali. Harap Hannan tak kecil hati dengan mak. Abah pun tak tahu apa yang menghasut mak kamu tu sampaikan lupa semua jasa kamu. Siang malam kamu jaga dia kat hospital masa sakit dulu langsung tak dikenangnya." Pak Jamal kecewa kerana isterinya berkelakuan buruk selepas perceraian Aisya dengan Faris. Dia sebagai suami gagal mengawal isterinya.

"Abah ni... Hannan dah cakap tadi, kan... Itu semua tugas Hannan sebagai anak. Hannan tak ambil hati langsung pasal mak," bohong Aisya. Dia kecewa sebenarnya. Dia sayang ibu mentuanya. Tapi dia tak sangka kasih sayang Mak Som selama ini hanyalah wayang semata-mata. Ibu dengan anak sama aje perangai. Tak mengapa, Allah kan ada.

"Abah gagal sebagai seorang ayah... Abah juga gagal sebagai suami. Abah tak sangka Faris dan maknya akan kecewakan abah macam ni. Hannan anak yang baik. Abah doakan Hannan akan jumpa jodoh yang lebih baik daripada Faris selepas ni..." Sebak dada Pak Jamal kerana anak dan isterinya sendiri memusnahkan hidup gadis sebaik Hannan Aisya. Kalau dia tahu begini nasib Hannan Aisya, dia tentu akan tentang sekeras-kerasnya niat Faris untuk menikah dulu. Biarlah Faris marah atau mengamuk asalkan hidup Hannan Aisya tak hancur sebegini.

"Insya-Allah, abah... Jangan sedih lagi. Abah tak gagal. Abah dah didik Abang Faris dengan baik. Dia dah matang, abah. Kalau dia rasa ini yang terbaik buat hidup dia, kita kena terima. Hannan kena terima yang dia bukan lagi suami Hannan. Apalah daya Hannan untuk menghalang takdir ini, abah."

"Bang Jamal berhentilah salahkan diri sendiri. Hannan dah cakap tadi Faris dah dewasa. Dah mampu menilai apa yang baik dan yang buruk. Abang jangan bebankan fikiran dengan hal Faris." Mak Milah tiba-tiba mencelah. Mak Milah terpaksa akur dan membenarkan Aisya dan Maria berpindah ke tempat lain kerana tak mahu Aisya terus murung dan patah hati.

"Aku kecewa, Milah. Bukan setakat Faris buat hal. Si Som pun sama cari pasal. Langsung tak diingat jasa-jasa si Hannan ni. Dia pun jadi batu api terus setuju bila Faris nak ceraikan Hannan. Sakit hati aku, Milah."

"Nak buat macam mana kalau itu pilihan Faris dan Kak Som."

"Sudahlah, abah. Jangan fikir lagi. Hannan pun dah tak nak ingat lagi semua ni. Hannan nak bina hidup baru kat KL nanti. Abah jangan risau, Hannan tetap akan jadi anak abah sampai bila-bila." Aisya tersenyum. Dia sedaya upaya mahu menyembunyikan kesedihannya. Kalau dia sedih, abah dan Mak Milah pasti akan turut sedih. Biarlah dia berpurapura agar hati dua orang insan yang menyayanginya tenang.

"Nanti jangan lupa telefon abah."

"Insya-Allah, abah. Mak, Aisya pergi dulu. Aisya mintak maaf kalau Aisya banyak susahkan mak. Aisya juga nak mintak maaf sebab culik Maria dari Mak." Aisya memeluk Mak Milah. Besar sungguh pengorbanan Mak Milah kerana membenarkan Maria menemaninya. Selama ini memang Maria tidak diizinkan untuk ke mana-mana.

"Mak cuma nak anak-anak mak gembira selalu. Maria dengan Aisya jaga diri baik-baik."

"Mak, Mar pergi dulu tau. Nanti kalau mak rindu jangan lupa telefon Mar." Maria memeluk ibunya. Buat kali pertama dalam hidupnya dia akan berpisah dengan ibunya.

"Mak... Malek nak beransur dulu. Pasal Aisya dengan Maria mak jangan risau. Malek dah carikan budak berdua ni kerja kat KL." Malek memeluk ibunya. Ini kali terakhir dia memeluk ibunya. Lusa dia akan berangkat ke Dubai.

"Yalah. Malek pun jaga diri baik-baik. Jangan lupa telefon Mak."

Malek terus menuju ke kereta. Enjin sudah lama dibiarkan hidup. Maria duduk di sebelah pemandu. Manakala Aisya duduk di belakang. Aisya melambai ke arah Mak Milah. Pak Jamal juga melambai ke arahnya. Aisya lihat Pak Jamal dan Mak Milah mengesat air mata. Dia merasa kasihan kepada bekas bapa mentuanya.


"KERJA apa yang abang dah carikan untuk kami?" Maria terus bertanya sebaik sahaja kereta Malek meninggalkan kawasan perumahan mereka.

"Kerja cleaner," jawab Malek sambil tersengih. Dia tahu pasti Maria sakit hati. Budak pemalas macam Maria mana mahu kalau jadi cleaner.

"Abang saja, kan. Melampau betul. Carilah kerja elok-elok sikit untuk adik ni. Jadi cleaner pula. Kejam betul." Maria memasamkan muka. Takkan Maria yang glamor ni nak jadi tukang cuci?

"Suruh belajar malas, nak kerja yang kelasss aje." Malek sindir adiknya. Maria tak sempat pun habiskan diploma di kolej swasta kerana tak suka belajar. Maria palingkan muka. Merajuk dengan Malek.

"Aisya okey aje. Asalkan dapat gaji yang halal... Abang Malek, boleh tak Sya nak buka tingkap kejap." Dibiarkan saja abang dan adik bergaduh. Sekejap lagi baiklah mereka.

"Tingkap tak boleh buka. Kalau turunkan cermin tingkap tak apa." Malek tersengih. Aisya turut tersengih. Salah guna ayat. Abang Malek ni memang suka kalau dapat kenakan dia. Dia rindu semua itu. Baru dia perasan selama menjadi isteri Faris, Abang Malek berhenti menyakat dia.

Aisya menekan punat untuk menurunkan cermin tingkap. Dia membiarkan angin menampar pipinya. Rambutnya yang panjang separas pinggang beralun ditampar angin. Dia pernah berniat untuk memotong rambut suatu ketika dulu tapi Faris tak izinkan. Mungkin ini masa yang sesuai untuk dia memotong rambut. Aisya jengulkan sedikit kepala ke luar tingkap. Ingin merasai angin yang bertiup. Angin menerbangkan rambutnya ke luar tingkap.

Ketika kereta Malek berhenti di lampu isyarat, sebuah BMW berwarna silver berhenti perlahan-lahan di sebelah mereka. Aisya pandang ke kiri dan melihat tepat ke arah pemuda yang memandu kereta itu. Dan kebetulan pemuda itu juga memandang ke arahnya. Pandangan mereka bertaut seketika.

Comel macam perempuan. Kali pertama dia memuji seorang lelaki dalam hidupnya selain Faris. Tapi pemuda itu memang nampak cantik dan comel. Memiliki kulit putih dan licin. Kalah dia yang sememangnya perempuan asli. Rasanya kulit pemuda itu lebih cerah daripada kulitnya. Pemuda itu turut memiliki mata yang kecil dan comel.

Jarang dia jumpa lelaki yang suka memakai T-shirt lengan panjang. Apa yang menarik perhatian Aisya, pemuda itu memakai cap dan T-shirt yang sama warna. Headphone yang tergantung di leher pemuda itu juga sama warna. Ingatkan perempuan saja suka matching pakaian. Lelaki pun sama juga.

Lampu isyarat bertukar hijau. Malek meneruskan pemanduan. Aisya lihat BMW tadi sudah jauh ke depan. Dia tersenyum sendiri. Kenapa tiba-tiba dia boleh memuji pemuda tadi?

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top