BAB 1
Saya tunggu awak kat bawah pokok tepi padang. Dress nicely... - Faris'
AISYA tersenyum. Hatinya berbunga riang membaca nota yang disampaikan oleh Maria. Dia merebahkan badan di atas katil sambil merenung siling. Hatinya tertanya-tanya, apa pula kejutan Faris kali ini? Biasanya kalau ada nota dan perkataan dress nicely, pasti ada sesuatu yang istimewa. Ada hadiah atau... Ah, dia sendiri pun tak boleh nak fikir. Faris seorang lelaki yang penuh dengan kejutan. Aisya tersenyum sambil membaca nota daripada Faris sekali lagi.
"Apa agaknya kejutan dia kali ni?" Aisya bergolek golek di atas katil sambil tersenyum. Nota yang diberikan Faris hampir renyuk kerana dibaca berkali-kali. Rasa gembira dan berdebar sama tinggi seperti KLCC. Gembira kerana nak berdating dengan kekasih tersayang dan pada masa yang sama berdebar memikirkan kejutan yang bakal diterima.
"Mar, kau tak tau ke apa kejutan dia?"
Maria jongket bahu tanda tidak tahu. Dia cuma posmen sahaja.
"Mar, bagi taulah..."
Maria geleng kepala sambil meletakkan jari telunjuk di bibir.
"Maria tersayang, bagi taulah aku apa kejutan dia?"
Maria sengih sesaat kemudian menunjukkan isyarat zip mulut.
"Tak apalah kalau tak nak bagi tau. Mesti something special, kan?" Aisya tersengih sambil keningnya menari zapin. Dia tahu pasti Maria tahu sesuatu. Tapi kalau dia tahu dah tak ada kejutan lagi. Hilang pula elemen surprise. Kesian Faris penat-penat rancang tapi tak surprise.
"Tak payahlah banyak tanya sangat. Pergi siap cepat..." Maria baling anak patung yang diambil dari sudut meja. Sikit lagi nak terkena Aisya. Mujur Aisya sempat mengelak. Dia tersengih ke arah Maria.
"Huh... Tak bagi can langsung aku nak beranganangan dulu. Salah ke aku nak membayangkan apa kejutan dia?" Aisya bangun. Dia cuit hidung Maria yang masih setia berdiri di tepi almari sejak tadi. Maria menepis tangan Aisya. Orang kalau dah terlebih gembira, macam-macam ragamnya.
Aisya memunggah beg untuk mencari baju. Mereka datang dan menumpang di rumah abang Maria untuk bercuti. Tak sangka ada kejutan pula. Manalah dia bawa baju lawa. Dia keluarkan pakaiannya satu per satu lalu diacukan ke tubuhnya di hadapan cermin. Apabila dia rasa tak sesuai, dicampaknya baju itu ke atas katil.
Maria geleng kepala. Apalah yang nak dipilih Aisya kalau semua baju yang dibawa hanyalah baju kurung? Dan yang lebih sadisnya, semua baju kurung Aisya hanya berwarna hijau dan merah hati sahaja. Dua warna kegemaran Aisya. Beza cuma corak sahaja.
Akhirnya Aisya memilih baju kurung berwarna merah hati yang dihiasi bunga tampal dan manik. Itu saja baju yang paling cantik dia rasakan. Setelah menukar pakaian, sekali lagi dia berdiri di hadapan cermin. Berkalikali dia membelek penampilannya. Senyuman memang tak pernah lepas dari bibir. Aisya rapikan rambutnya yang pendek separas bahu.
"Cantik tak?" Aisya tanya Maria. Sejak tadi sahabatnya itu cuma memerhati dan langsung tidak menegur. Biasanya mulut Marialah paling becok komen itu ini. Dia berharap penampilannya cukup cantik di mata Faris.
"Dah cantik dah. Kau pakai apa pun cantik. Jom... Lama pula dia tunggu nanti. Aku pun dah penat tengok kau ni." Maria menarik tangan Aisya. Kalau dibiar nanti sampai petang Aisya tak habis di depan cermin.
Aisya mengikut Maria dari belakang. Hatinya berdebar-debar memikirkan kejutan Faris. Mungkin Faris akan membacakan puisi cinta seperti sebelum ini ataupun memberikan dia hadiah patung beruang yang hampir sama saiz dengan dia. Aisya tersengih mengingatkan kejutankejutan Faris sebelum ini. Bahagianya dia menjadi kekasih Faris Hakimi yang memang pandai menjaga hati perempuan.
"Pokok mana pula dia ni? Bukan ada satu pokok kat sini tapi banyak. Tak beritahu betul-betul pokok yang mana. Dah satu hal nak cari pula," bebel Maria. Sebagai orang tengah dan juga posmen tak bertauliah, Maria sentiasa menemani Aisya apabila bertemu dengan Faris.
"Ha, itu dia." Aisya menunjuk ke arah Faris yang sedang duduk beralaskan tikar di bawah pokok di sudut padang. Dia berjalan mendahului Maria. Rasa tak sabar membuatkan langkah kakinya semakin laju. Maria ditinggalkan di belakang.
Buk! Aisya terlanggar seseorang. Dia menjerit dan memejamkan mata. Akibat perlanggaran tersebut, dia hampir jatuh tapi mujur ada tangan yang memaut pinggangnya daripada jatuh.
Aisya buka mata. Sepasang mata yang redup sedang merenung tepat ke arahnya. Pandangan mereka bertaut seketika. Masing-masing senyap tak bersuara. Masa seakanakan terhenti dan memberi peluang kepada mereka berdua saling bertatapan. Seorang lelaki yang kelihatan agak kusutmasai betul-betul berada di depan Aisya. Lelaki itu mendekatkan mukanya ke arah Aisya. Aisya tergamam. Dia cuba meronta tapi pegangan lelaki itu terlalu kejap di pinggangnya.
"Lain kali ada mata tu guna. Kalau tak nak guna, bungkus aje dalam plastik. Lepas tu buang dalam tong sampah. Sebab kau tak pakai mata, tak pasal-pasal aku tanggung dosa sebab sentuh perempuan bukan muhrim," bisik lelaki itu di telinga Aisya.
Aisya terkedu. Erk! Adakah lelaki itu sedang memaki dan menyalahkan dia? Dia tak sengajalah. Tak perasan pun lelaki itu tadi. Tiba-tiba saja muncul menghalang laluannya.
"Ramai lagi orang yang perlukan mata untuk melihat. Kita yang ada mata ni pakailah elok-elok. Jangan bila berjalan sampai tak nampak orang." Sekali lagi lelaki itu berbisik di telinganya. Aisya kaku.
"Erk..."
"Mata kau tu cantik sangat tapi sayang tak pakai elok-elok. Celik tapi tak nampak." Tangan lelaki itu masih lagi di pinggang Aisya. Mata Aisya terkebil-kebil memandang pemuda itu. Cuba untuk menghadam apa sebenarnya yang sedang terjadi.
"Kau kena kahwin dengan aku sekarang." Pemuda itu melontarkan idea yang tak masuk akal.
"Kenapa pula saya kena kahwin dengan awak?" bantah Aisya. Mana mungkin dia akan kahwin dengan orang yang baru dia kenal. Lagipun dia dah punya buah hati yang seratus kali ganda handsome dan romantik.
"Sebab aku dah janji cuma akan sentuh perempuan yang akan aku nikahi... Dan sekarang kita dah bersentuhan. Kau faham kan erti bersentuhan tu? Atau otak kau tu dah jatuh kat lutut?"
Aisya pandang diri mereka. Memang mereka dalam keadaan berpelukan.
"Tak nak..." Aisya cuba meronta.
"Kau ingat aku nak ke? Harap muka aje cantik, akal tak ada. Otak letak kat lutut... Kau dah sentuh aku dan aku dah sentuh kau. Kita kena kahwin. Wajib kahwin tau tak? Aku nak bawa kau pergi rumah tok kadi." Lelaki itu terus mendesak. Rontaan Aisya tak berguna. Lelaki itu tak mahu melepaskannya.
"Tak naklah!" Aisya menendang keting lelaki itu. Lelaki itu mengaduh kesakitan lalu melepaskan pegangannya.
"Kau takkan terlepas dari aku. Aku pasti akan cari kau untuk kahwin dengan aku, wahai cik adik bermata hijau," ucap lelaki itu sebelum berlalu pergi.
"Geramnya..." Aisya rasa macam nak kejar dan bagi sepak Melayu aje. Mulut dah kalah Mak Cik Siah. Tiba-tiba Aisya terfikir sesuatu. Ayat tadi tu sekadar di bibir atau serius? Perasaan gerun tiba-tiba muncul. Macam mana kalau lelaki tak betul tu jadi suami dia? Haruslah dia rasa takut setakut-takutnya. Bikin gila seantero Malaya. Lelaki tadi bukan spesies yang dia boleh jadikan suami. Mulut berapi kalah lahar meletus.
"Siapa dia tu? Macam penyamun aku tengok."
"Aku tak sengaja langgar dia. Tapi dia mengamuk macam nak makan aku."
"Sudahlah. Biarkan dia... Jom."
Aisya membiarkan Maria menarik lengannya. Dia menoleh ke belakang untuk melihat kelibat lelaki tersebut. Namun lelaki tersebut sudah pun menghilang. Dia rasa bersalah kerana melanggar lelaki itu. Walaupun mulut lelaki itu pedas, dia tetap salah dan harus minta maaf.
Hatinya tetap tidak dapat melupakan renungan mata lelaki tadi. Renungan yang Aisya rasa sarat menanggung penderitaan. Sarat menanggung rindu lebih tepatnya. Tapi tak dinafikan renungan itu membuatkan hatinya bergetar. Renungan tajam yang seakan-akan menelan hatinya. Sesuatu yang tak pernah dia alami ketika bersama Faris.
Apa yang mereka bicarakan tadi biarlah menjadi rahsia. Dia pasti takdir tak mungkin akan menemukan mereka lagi. Lelaki misteri dan penuh tanda tanya itu pasti akan lenyap juga dari kotak fikirannya. Apa yang penting sekarang, buah hatinya yang sedang menunggu. Dia harus kembali ke dunia realiti. Lelaki tadi mungkin hanya hadir ibarat angin.
Dari jauh Faris tersenyum ke arah mereka berdua. Aisya membalas senyuman Faris. Apa agaknya tanggapan Faris bila melihat dia seperti berpelukan dengan lelaki tadi? Harap-harap Faris tak marah.
"Kenapa tak bagi tendangan maut kat lelaki tu tadi?" tanya Faris. Aisya agak terkejut dengan pertanyaan Faris. Sangkanya Faris akan salah sangka atau marah.
"Dari tadi saya tengok dia duduk kat bangku sana. Saya bagi salam tadi tapi dia tengking saya. Mental agaknya..." terang Faris lagi. Patutlah Faris tak marah. Dia memang tahu lelaki tu bermasalah. Lelaki yang sangat misteri.
"Duduklah, kenapa berdiri aje? Kita piknik kat sini aje. Boleh, kan?" Sebagai seorang lelaki budiman, Faris menjemput Aisya duduk. Sempat lagi Faris membersihkan tempat kosong di hadapannya. Maria sudah pun duduk sejak mereka sampai tadi. Aisya senyum. Melihat senyuman Faris, dia boleh jangka memang ada kejutan untuk dia hari ini. Tapi Aisya tak jadi duduk sebaik sahaja terpandangkan bakul makanan.
"Ni bukan bakul makanan aku siapkan tadi ke? Kata Abang Malek..." Kata-kata Aisya terhenti apabila melihat sengihan tak bersalah Maria. Memang dia dah jangka Maria pasti tahu sesuatu. Boleh pula Maria tipu dia. Kata Abang Malek ada jamuan di pejabat. Rupa-rupanya dia memasak makanan untuk mereka bertiga.
Maria dengan muka tak bersalah mengeluarkan semua makanan dari bakul. Memang dengan senang hatinya pagi tadi dia menggunakan nama abangnya untuk menyuruh Aisya masak. Tapi itu pun atas permintaan Faris dan kerjasama Abang Malek juga. Abang Malek pun tahu hubungan cinta Aisya dan Faris.
"Duduk ajelah makan... Lapar ni. Orang dah ajak duduk tu duduk ajelah." Maria buat tak tahu pandangan geram Aisya. Dia tarik kain baju kurung Aisya, memaksa Aisya duduk. Faris suruh duduk tak nak. Nak kena paksa duduk rupa-rupanya.
Kalau dia berterus terang dah tentu Aisya menolak. Terpaksalah guna nama abangnya yang memang berbaik hati menumpangkan mereka berdua semasa bercuti. Kononkonon nak meraikan Faris yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Cardiff bulan depan. Faris sememangnya pelajar cemerlang. Jadi tak hairanlah kalau dia dapat biasiswa belajar di luar negara selepas habis STPM. Dia dan Aisya ada juga A dalam slip keputusan SPM, tapi tak sebanyak Faris.
"Sya... Saya yang mintak Maria buat macam tu. Jangan marah, okey..." Lembut suara Faris menusuk ke jiwanya. Tambahan pula dengan senyuman manis Faris ibarat madu. Marahnya kepada Maria melayang bersama tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Nasib baik kekasih hati pandai mencairkan hatinya.
"Okey, tak marah dah... Mana boleh saya marah kawan baik saya ni." Aisya jeling Maria yang sibuk menyuap makanan. Maria buat tak tahu dan terus saja makan. Faris senyum lagi. Aisya dah tak keruan. Senyuman lelaki tampan berkulit sawo matang ni memang membuatkan dia angau.
Faris mengeluarkan sesuatu dari poket seluarnya lalu diletakkan di atas tikar. Perlahan dia menolak kotak baldu berbentuk hati ke arah Aisya. Aisya terkaku dan membiarkan otaknya bekerja keras meneka apakah isi kandungan kotak itu. Apa yang dia tahu, kotak baldu sebegitu biasanya berisi cincin. Dia biasa tengok apabila ada majlis bertunang atau perkahwinan.
Aisya merenung kotak itu dalam-dalam. Tak berani untuk menyentuhnya. Dia sedar Faris sedang memerhatikannya dengan penuh minat. Kalau betul isi di dalam kotak itu cincin, jadi sekarang ni Faris sedang melamar dia ke? Aisya pandang Faris.
"Cincin ke?" tanya Maria lantas mengambil kotak di hadapan Aisya lalu membukanya. Tak sempat Aisya menghalang Maria. Sebentuk cincin emas dihiasi sebutir batu permata tersua di pandangan Aisya dan Maria. Aisya terkejut kerana sangkaannya betul.
"Saya nak awak jadi yang halal buat saya."
Aisya terkaku mendengar pengakuan Faris. Faris mendekatinya lalu menggenggam kemas kedua-dua belah tangannya. Mulutnya seakan-akan terkunci untuk mengucapkan sesuatu.
"Faris nak Sya tetap di sisi Faris. Faris nak jadikan Sya milik Faris dunia akhirat. Faris janji akan membahagiakan Sya hingga akhir hayat Faris."
Aisya rasa terharu mendengar niat Faris. Hatinya berbunga riang. Putik-putik cinta yang tumbuh mula memekar. Tanpa dia sedar, air matanya jatuh menitik. Dia tak jangka ini kejutan yang bakal diterima. Sejujurnya dia tak mengharapkan sesuatu daripada hubungan mereka. Dia dan Faris bakal terpisah. Perhubungan mereka hanya diibarat cinta monyet. Dia pun muda lagi. Baru meniti usia lapan belas tahun.
"Faris harap Sya akan setuju..."
"SYA terima ke lamaran Faris tu?" soal Malek buat kali ketiga.
"Sya dah fikir masak-masak ke nak kahwin ni? Sya kena ingat kalau Sya kahwin dengan Faris. Sya akan jadi isteri atas kertas aje buat masa lima tahun. Sya faham kan apa maksud abang ni?" sambung Malek lagi.
Aisya angguk faham. Faris akan terbang ke luar negara bulan depan. Ini bermakna mereka hanya ada masa seminggu sebagai suami isteri. Tapi itu sudah cukup untuk membuktikan kasih dan cintanya kepada Faris. Lagipun Faris sudah izinkan dia lanjutkan pelajaran kalau dapat tawaran.
"Sya yakin yang Sya akan setia dengan Faris? Dan Sya yakin Faris akan setia dengan Sya? Abang nak Sya fikir baik-baik."
"Sya dah fikir, abang. Sya nak nikah dengan Faris." Aisya tetap dengan keputusannya.
Maria yang duduk di sebelah Aisya hanya mampu jadi pemerhati. Melihat Abang Malek begitu serius, dia pun cuak. Aisya cuma adik angkat manakala dia adik kandung. Kalau dengan adik angkat dah macam ni, bagaimana nasib dia nanti?
Malek pandang Aisya lama. Pandangannya silih berganti kepada Aisya dan Maria. Kedua-duanya masih muda dan mentah. Aisya bukan adik kandungnya tapi dia memikul amanat nenek untuk menjaga Aisya. Aisya tiada ahli keluarga lain. Asal usul Aisya juga tidak pasti kerana arwah nenek mengunci mulut.
Aisya mula tinggal dengan mereka selepas nenek dan ayahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan. Arwah ayah tidak mengizinkan Aisya tinggal bersama mereka. Dia pun tak tahu sebab apa ayah marah. Tapi arwah ayah tak pernah pula larang dia dan Maria berkawan dengan Aisya. Kata mak, ayah marah pada arwah ibu Aisya. Entahlah, dia pun malas nak ambil tahu. Apa yang pasti sekarang, permintaan Aisya amat berat untuk dia izinkan. Aisya masih muda.
"Kalau itu keputusan Sya, abang tak boleh nak halang. Sya ada hak untuk tentukan masa depan Sya walaupun abang nak Sya dengan Maria ikut jalan yang berbeza. Besok kita balik kampung... Abang beritahu mak. Sya kena ready hadap mulut laser mak..."
Aisya senyum. Keizinan Malek akan memudahkannya untuk menghadap mulut laser Mak Milah. Kehidupan indah bersama Faris sudah terbayang di depan mata. Semoga Allah memudahkan urusan dia dan Faris.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top