BAB 9

KAKI yang sakit diangkat dengan berhati-hati lalu Ivy silangkan ke atas paha untuk membolehkan dia meneliti kondisi kakinya dengan lebih rapat. Bengkak dah surut, tidak membiru seperti beberapa hari sebelumnya.

Masih ada rasa sakit tapi tidak seperit awalnya. Berkesan juga ubat yang Jazz dan Luke bawa semalam. Sapu baru sekali terus nampak hasil.

Ivy dah boleh berjalan seperti biasa cuma tidaklah laju sangat. Masih ada hencotnya. Rasa-rasa macam esok dah boleh masuk kerja. Masuk hari itu, sudah lima hari Ivy bercuti.

Lagi lama dia cuti, lagi banyak gaji kena tolak nanti. Makan pasirlah Ivy jawabnya bulan itu nak tanggung kos sara hidup dia di bandar yang serba mahal itu.

Penat melayan perasaan, Ivy hampir tumbangkan badannya ke atas tilam tapi hajatnya tidak diteruskan apabila dia rasa seperti ada bunyi sesuatu menghentam cermin tingkap bilik sewanya.

Tik!

Pandangan dibawa menghala ke situ. Ivy tak nampak apa-apa yang aneh. Dia tunggu beberapa saat. Sekali lagi bunyi itu kedengaran.

Tik!

Ivy nampak ada sesuatu seperti batu singgah ke permukaan tingkap hingga menghasilkan bunyi tersebut. Anak siapa pula yang gatal tangan main baling-baling batu ni?!

"Kalau pecah cermin aku, kau tunggu aku kejar kau!"

Dengan hati yang sedikit geram, Ivy tongkat tangan untuk bangun. Bibirnya dah sedia untuk memaki hamun sesiapa sahaja yang telah membuat onar di luar sana.

Sampai aje di bahagian jendela, Ivy buka kunci pintu yang sudahpun berkarat kemudian dengan berhati-hati dia tolak daun tingkap hingga menampakkan kawasan luar rumahnya. Melalui bukaan tingkap yang kecil, Ivy perhatikan kawasan sekeliling. Jauh dia pandang hingga ke depan sana.

Tak ada apa-apa pun. Ivy berhalusinasi ke? Tapi bunyinya begitu nyata. Sedang dia berteka-teki dengan diri sendiri, ada satu suara bergema dari bahagian bawah buatkan laju mata Ivy mencari empunya suara.

"Down here!"

Ivy menunduk. Untuk beberapa saat, mata Ivy tak berhenti berkelip. Seorang lelaki sedang melambainya dari bawah sambil tersenyum girang.

Lelaki itu tidak lain tidak bukan... Adha.

"Hai, Ivy."



"KENAPA you datang malam ni?" Ivy tak dapat menahan dirinya daripada bertanyakan soalan itu lantas disoalnya Adha sebaik jarak mereka dipisahkan cuma sekaki.

"Kaki you dah okey?" Adha abaikan pertanyaan gadis cantik itu. Mata redupnya dibawa turun memandang ke bawah, mahu memeriksa keadaan kaki Ivy. Adakah sudah sembuh atau masih sakit seperti kali terakhir mereka bertemu?

"You tak jawab soalan I."

"Tangan you dah okey?"

Ivy diam. Wajah itu dia pandang dari jarak yang dekat. Langsung tiada sebutir jerawat pun singgah di kulitnya yang putih lagi bersih. Ivy berani kerat jari yang kulit Adha lagi licin darinya.

Sedar agaknya dengan protes kecil Ivy, Adha akhirnya angkat muka dia. Lidahnya terkunci untuk beberapa saat sebaik dia sedar yang Ivy sedang merenungnya tajam.

"Kenapa?"

Ivy angkat keningnya sebelah. Adha tanya Ivy kenapa?

"Oh." Hanya itu yang terlepas dari bibir Adha sebelum dia tersenyum dan ketawa mula mengambil alih memberikan seri ke wajahnya.

"Garangnya. I datang sini sebab nak jumpa you la."

"Kenapa pula you nak jumpa I?"

"Sebab I risau."

"Risau?" Naik seoktaf suara Ivy dek rasa pelik yang bertapak di hati.

Kali ini Adha hanya diam, tidak lagi dijawab setiap soalan yang Ivy tanya. "I bawa ubat sapu. Meh sini I sapukan dekat kaki you." Adha pegang lengan Ivy lalu dia pimpin gadis itu pergi ke tepi kaki lima kemudian Ivy didudukkan dengan selesa.

Sambil bertinggung sambil Adha pegang kawasan pergelangan kaki Ivy yang sakit. Tanpa sebarang kata, dia keluarkan satu tiub ubat sapu dari poket seluarnya. Ivy hanya lihat sahaja bagaimana tangan Adha begitu cekap mengoles ubat sapuan itu ke kakinya.

Sekejap aje Ivy rasa kulitnya berangin kemudian segala rasa tidak selesa yang masih bersisa di kakinya lesap.

"Okey, dah siap sapu. Still rasa sakit tak?"

Ivy cuba gerakkan kakinya, dah tak rasa apa-apa. "Haah la Adha, dah tak sakit. Ubat apa ni you sapu?" soal Ivy sedikit kagum.

"Ubat ni memang orang selalu guna kalau terseliuh ke apa. Nah, you simpan ubat ni. Nanti sapu kalau still ada rasa sakit dekat kaki tu." Adha pindahkan tiub ubat tersebut ke tangan Ivy.

"Terima kasih. Nanti I guna."

Kemudian suasana kembali sepi di antara mereka berdua tanpa sebarang perbualan.

"Lepas ni you nak pergi mana?" Adha beranikan diri untuk menyoal.

"Tak pergi mana-mana. Naik atas kut, tidur."

"Boleh ke you tidur?"

Ivy tergelak. "Tak." Sebab dah terbiasa bekerja pada waktu malam, sukar sekali untuk Ivy lena seperti orang lain. Bosan sungguh dia rasa. Kerja tak boleh, nak berjalan tak boleh, nak tidur apatah lagi.

"Habis you nak buat apa lepas ni?"

"Entah, tak tahu." Ivy angkat kedua-dua belah bahunya tanda yang dia tidak tahu.

"Let's have some night walk, nak tak?"

"Night walk?"

Adha angguk. Senyum disimpul nipis. "Hurm, with some talks."

Menarik. "Okey, jom." Kalau Ivy naik bilik pun bukan boleh buat apa-apa.

Ivy tongkat tangan dan berdiri kemudian dia hulurkan tangan pada Adha.Senyum tertampal di bibir Adha sebelum dia menyambut tangan kecil Ivy.

"Jom."



"I dah jumpa Ivy."

Tak ada angin tak ada ribut, Datuk Jerry tiba-tiba datang dan duduk bersebelahan dengan Datin Mel di atas sofa hingga menarik perhatian isterinya yang sedang menonton drama itu.

Datin Mel buat tidak endah aje dengan suaminya hingga Datuk Jerry berang.

"Mel, you dengar tak I cakap apa?"

"Jangan kacaulah, you tak nampak ke I tengah tengok TV ni?"

Datuk Jerry dilanda rasa bengang lalu dia bangun dan matikan suis di dinding. Sekelip mata TV yang memaparkan wajah kacak sang pelakon bertukar menjadi gelap serta-merta.

"Apa masalah you ni?!"

"Dengar tak I cakap, I dah jumpa Ivy!!" Datuk Jerry ulang semula ayatnya tetapi kali ini nada suaranya naik beroktaf-oktaf hingga bergema satu ruang tamu rumah agam itu.

"Ivy, Ivy... siapa Ivy tu yang you seronok sangat jumpa dia?"

Lengan Datin Mel dicekak oleh kedua-dua belah tangan Datuk Jerry. Hilang sabar dia dengan otak singkat isterinya. "Ivy tu budak tak guna yang you halau dari rumah ni tiga tahun lepas? You dah lupa ke?!"

Datin Mel buat muka jengkel. "Lepas tu apa kaitan dengan I?" Tak fahamlah Datin Mel kenapa Datuk Jerry nak kena kalut tak tentu fasal macam sekarang disebabkan oleh sepotong nama itu.

"Dia ada kaitan dengan you kalau budak tu pergi dekat mana-mana reporter atau kita punya musuh lepas tu dia cerita apa yang you buat dekat dia dulu, lepas tu kita viral."

Datin Mel tepis tangan Datuk Jerry daripada terus mengepung dirinya. Tercabar sungguh Datin Mel rasa apabila suaminya seolah-olah meletakkan semua salah itu ke atas pundaknya seorang.

"Apa yang I buat dekat dia dulu? Ooo, jadi sekarang ni I sorang ajelah yang salah? Salah you? Tak ada? You pergi raba dia, you cabul dia, tak ingat? You pukul budak tu sampai lembik, lupa?"

Datuk Jerry mendengus kuat. "Tak payah nak ingatkan I sangat. You pun sama, lagi teruk daripada I. Sebab tu la kita kena make sure yang budak tu tak pergi mana-mana dan bawa mulut fasal kita. Kalau tak habis semua kempen I selama ni. Buat penat aje melobi kalau nanti tiba-tiba dah naik, nama kita kena petik dengan budak ni."

Datin Mel julingkan matanya ke atas. Bukan masalah Datin Mel. Dia pun dah hilang ingatan fasal anak angkatnya yang sudah lama tidak wujud di rumah mereka. "Lepas tu you nak I buat apa?"

"Cari budak tu, bawa dia balik." Arah Datuk Jerry selamba.

"Nak cari macam mana? You ingat Malaysia ni kecil? You nak I pergi round rumah satu-satu ke?"

Hampir Datuk Jerry nak gelak berguling dengar nada pura-pura terkejut Datin Mel. Sudahlah... tak payah nak berlakon sangat. Datin Mel ingat selama ni Datuk Jerry tak tahu ke dia sentiasa hantar orang untuk ikut ke mana pun Datuk Jerry pergi?

Tak terkira berapa banyak perempuan simpanan Datuk Jerry ditimpa musibah secara tiba-tiba. Tak lain tak bukan, semuanya angkara Datin Mel. Geli hati pula Datuk Jerry tengok Datin Mel buat muka tak tahu apa-apa tu.

"I tahu you lagi pandai dari I. Cari budak tu sampai dapat kalau you tak nak hilang semua yang you ada hari ni."

Titik.

Dengan kata-kata itu, Datuk Jerry tinggalkan ruang tamu tersebut dengan seribu satu perancangan yang ada dalam kepala untuk memastikan dirinya kekal berada di atas tanpa sebarang halangan.

Takkan dia biarkan usahanya menjadi sia-sia hanya kerana seorang gadis kecil bernama Ivy.

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top