ADHA menyanyi girang sambil memandu pulang. Tak pasang radio pun tak apa, tiga lagu sudah habis dia karaoke dalam kereta walaupun tanpa musik. Punyalah senang hati sebab baru lepas berjumpa dengan buah hati.
Patutlah orang bercinta kalau seindah ini rasa yang menetap di dada.
Bukan setakat rama-rama yang boleh hinggap di taman hatinya, segala serangga yang ada atas dunia ini pun boleh berhijrah ke situ. Semekar itu bunga-bunga cinta sedang tumbuh di dalam hati Adha.
Pecutan kereta diperlahan apabila lampu isyarat sudah bertukar ke warna kuning. Bila-bila masa sahaja akan bertukar merah. Eloklah dia berhenti, bukan ada apa sangat nak dikejarkan di rumah.
Balik-balik nanti bertengkar dengan Datuk Haliza juga. Tak lain tak bukan tentang keengganan Adha untuk bekerja dengan mamanya. Tak tahu apa yang Datuk Haliza obses sangat mahukan Adha menguruskan perniagaan dia tu.
Dari awal lagi, dari Adha kecil lagi sudah dia tunjukkan rasa tidak minat dia untuk mewarisi perniagaan Datuk Haliza, tetap juga wanita berusia lima puluh tahun itu terus-terusan memaksa.
Adha tak faham apa yang susah sangat untuk mamanya faham, Adha tak mahu jadi ahli perniagaan. Pekerjaan itu sungguh melelahkan.
Bukan sahaja fizikal, tapi mental.
Belum kerja pun lagi Adha dah rasa penat. Perniagaan itu bukan untuk semua orang, hanya yang kuat akan bertahan. Sepak terajang dunia perniagaan memang menakutkan.
Stereng diketuk perlahan dengan jari-jarinya yang sengaja tidak dialihkan.
"Lama pula lampu merah ni. Nak dekat dua minit dah, ini kalau masak megi pun dah boleh makan." Omelnya kuat sambil mengeluh.
Badan yang tegak tadi disandarkan ke kerusi. Adha buang pandang ke tempat duduk di sebelah. Dahinya jadi berkerut apabila dia nampak ada satu objek seperti dompet terbaring elok di atas tempat duduk penumpang.
Dia belek-belek dompet tersebut. Sah, memang milik Ivy. "Macam mana boleh tinggal ni?" Adha menggeleng perlahan.
Nak kena hantar la ni, kalau tidak nanti Ivy pergi kerja tak ada duit.
Kebetulan lampu merah sudah bertukar hijau. Adha buat pusingan U dan putar stereng untuk tukar arah perjalanan.
Sebelah tangan pegang stereng, sebelah lagi buka telefon. Adha mahu mesej Ivy untuk bagi tahu dia akan patah balik tapi sebaik skrin menyala yang pertama Adha nampak adalah notification panggilan telefon tidak berjawab.
Dari Ivy?
Dia lihat waktu panggilan dibuat, dua minit yang lalu. Ivy ada telefon Adha? Senyumnya merekah dengan sendiri. "Ha, mesti baru teringat yang dia tertinggal purse la tu."
Adha baru hendak tekan butang memanggil apabila dia terpandang ada satu lagi notification dari Whatsapp, juga dari Ivy.
Masih dengan senyumnya, Adha buka peti mesej itu.
Lambat-lambat senyumnya memudar sebelum mati dengan sendiri membaca mesej Ivy.
+Adha, urgent. Kalau I tak call you lagi lima minit tolong datang dekat bilik I. I need your help.
Eh, ada apa dengan Ivy? Sedang dalam bahayakah buah hatinya yang seorang itu?
Kalut dia tekan butang memanggil, dibiarkan telefon berdering sambil dibuka pembesar suara.
Tut... tut... tut.
Berdebar dia menanti sambil memandu.
"The number you have dialed..."
Deras dia tekan butang merah. Ah! Kenapa tak dapat pula ni?
Adha tak puas hati, baru dia hendak dail nombor Ivy buat kali yang kedua, tiba-tiba nama Ivy tertera di skrin telefonnya.
Sepantas kilat butang berwarna hijau ditekan dan telefon Adha letak ke telinga. "Helo, Ivy you..."
"Adha..."
Adha terdiam. Memang suara Ivy di seberang talian, tapi kenapa nadanya sedikit aneh?
"Ivy? You okey tak? Kenapa suara you..." Sama seperti tadi tak sempat pun Adha hendak tanya lebih-lebih, sekali lagi Ivy sudah potong percakapannya.
"To, tolong..." Suara itu tersekat-sekat bersama nafas yang termengah buatkan jantung Adha berdegup lebih kencang daripada biasa.
"Ivy! You dekat mana ni?!"
"Tolong."
Buk!
"Ivy! Helo? Ivy, you dengar tak? Helo?"
Dan itu adalah bunyi yang terakhir Adha dengar dari panggilan telefon itu. Bengang dengan situasi yang tidak dia ketahui apa masalahnya, Adha campak telefon ke tepi lantas pedal minyak ditekan kuat hingga kereta menyusur laju membelah jalan raya lagak pelumba gila.
Takkan Adha biarkan Ivy tersakiti!
NAFAS Ivy jadi tidak menentu seiring dengan rasa takut yang sudah menggila di dalam dada. Hendak bernafas pun dia sudah tidak tahu caranya hingga dada terasa sesak tanpa udara.
Ivy nak lari, tapi kakinya jadi lembik seperti agar-agar buatkan dia melorot jatuh ke lantai.
"Hai, budak. Dekat sini rupanya kau menyorok ya selama ni?" soal Datuk Jerry sambil tundukkan sedikit badannya untuk samakan aras matanya dengan Ivy yang terduduk di lantai.
Ivy tahu dia takkan boleh lari lagi seperti sebelum ini di Vook tapi sampai ke akhirnya, Ivy tak mahu mengalah. "Kau siapa? Apa yang kau nak dari aku?"
Naik kedua-dua belah kening Datuk Jerry. Mukanya makin didekatkan dengan Ivy.
Hampir sahaja Ivy hendak termuntah apabila bauan busuk mulut Datuk Jerry singgah ke rongga hidungnya.
"Betul kau tak kenal?"
Ivy mengesot ke belakang dengan badan yang menggigil apabila Datuk Jerry makin mendekat.
Laju Ivy menggeleng. Seinci dia bergerak, seinci juga Datuk Jerry mengekorinya sampailah belakang badan Ivy tersandar ke dinding. Kini dia benar-benar dikepung tanpa ada ruang untuk lepaskan diri.
Dari berdiri, Datuk Jerry rendahkan badannya dengan bertinggung. Sekelip mata tangan kasar itu sudah mencekak pipi Ivy dengan ganas. Ivy didongakkan untuk memaksa bole mata berlaga.
"Kalau tak kenal kenapa takut?" Dalam suara Datuk Jerry menyoal.
"Le... lepaskan aku. Tolonglah, aku tak kenal kau." Ivy pejamkan matanya rapat-rapat. Masih mahu cekalkan hati untuk berpura-pura tidak kenal dengan lelaki tua dan miang itu.
Datuk Jerry lepaskan cengkaman tangannya pada pipi Ivy lantas berdiri. Puas hati tengok anak angkatnya menggeletar hebat. Tak kenal? Tapi takut macam malaikat maut datang nak cabut nyawa?
Heh, karut!
Nak menipu pun agak-agaklah sikit.
Ivy buka matanya perlahan-lahan. Datuk Jerry nampaknya tidak tumpukan perhatian dekat Ivy. Dia lebih sibuk meraba poketnya mencari pemetik api untuk menghidupkan rokok yang sudahpun terselit di celah bibir.
Perlahan-lahan Ivy tongkat tangan untuk bangun apabila dia nampak peluang untuk loloskan diri ke dalam rumah melalui celahan kaki Datuk Jerry yang agak luas juga terbuka.
Satu... dua...
Dia bilang dalam kepala detik untuk lari.
Tiga!
Seperti lipas kudung dia tolak kaki Datuk Jerry dan berlari masuk ke dalam bilik sewanya yang sudah pun pintunya terbuka hasil kerja bapa angkatnya.
Ivy kira dia sudah cukup pantas untuk mengunci pintu dari dalam. Sepantas-pantas Ivy, pantas lagi Datuk Jerry menyelitkan tangannya di celahan pintu.
"Argh!" Ivy menjerit sekuat hatinya sambil memerah segenap tenaga yang masih berbaki di dalam dirinya untuk pastikan bukaan pintu menjadi rapat tapi sayang...
Siapalah Ivy jika hendak beradu tenaga dengan tenaga lelaki Datuk Jerry yang seperti lembu gila itu. Ditambah pula dengan badan dia yang memang sudah tidak bertenaga akibat tidak cukup tidur.
Tak sampai sepuluh saat, sekelip mata badan Ivy sudah terpelanting ke belakang hingga jatuh tersungkur menyembah bumi.
"Ergh..." Lemah Ivy merintih menahan rasa sengal di badan.
"Kau berani nak lari?!" Bergema ruang yang kecil itu dengan suara garau Datuk Jerry.
Ivy pedulikan sakit di badan walaupun kedua-dua lututnya terasa berdenyut. Pantas dia bangun dan lonjakkan badannya pergi ke kawasan tempat dia memasak dan capai pisau kecil yang selalu digunakan untuk memotong buah.
Pisau diacukan berani ke arah bapa angkatnya. "Baik kau pergi dari sini, kalau tak aku tikam kau!"
"Tikam aku? Kau nak tikam aku?"
"Aku tak main-main!"
Air muka Datuk Jerry berubah serius secara tiba-tiba buatkan Ivy tidak tentu arah. Dia jalan mengundur apabila si tua itu dengan selambanya mendekat tanpa rasa gerun dengan senjata yang ada di tangan Ivy.
Buk!
Belakang badannya tersandar ke dinding yang keras. Damn! Ivy terkepung lagi!
"Jangan datang dekat! Kau ingat aku tak berani ke nak tikam kau?!" Ugut Ivy dengan tangan yang menggigil.
Datuk Jerry cuma tersenyum sinis, sedikitpun tidak menunjukkan riak gentar malah makin didekatkan mukanya dengan hujung mata pisau. "Tikamlah. Cuba tikam kalau kau berani? Tak berani, kan?"
Setitis air mata jatuh ke pipi Ivy. Matanya merah menyala. Badannya menggigil hebat menahan seribu rasa.
Ivy geram, dalam masa yang sama dia takut. Ikut rasa memang mahu dibenamkan aje pisau itu ke dada Datuk Jerry, biar nafasnya yang busuk itu terputus detik itu juga.
Tapi kalau Datuk Jerry betul-betul mati, apa akan jadi pada nasib Ivy? Dia mahu bebas, bukan terperuk di dalam penjara. Ivy tak mahu jadi pembunuh.
"Eh, menangis? Cepatlah tikam. Aku tunggu ni. Cepat."
Makin lebat air mata Ivy turun. Dengan nafas yang tersekat-sekat, Ivy buka mulutnya untuk menyoal. "Apa lagi yang kau nak? Aku tak ambil apa-apa, aku tak buat apa-apa. Aku hilang dari hidup kau orang, apa lagi tak cukup?!"
"Tak cukup! Aku nak kau balik semula dekat rumah tu, ikut aku!"
"Tak nak!!" Jangan kata jejakkan kaki, ingat semula pun Ivy tak sanggup. Memikirkan yang nerakanya akan terbina semula, Ivy libaskan pisau secara rawak hingga langkah Datuk Jerry terundur ke belakang.
Tapi hal itu tidak bertahan lama apabila Datuk Jerry bijak mengambil peluang yang terbuka dengan mencapai tangan Ivy. Dipeluknya tubuh langsing itu dari belakang dalam usahanya untuk merampas pisau.
Pergelutan pun berlaku antara mereka.
"Lepaskan aku!" Jerit Ivy sekuat hati apabila kedua-dua tangannya berjaya dikunci oleh Datuk Jerry.
"Diam!" Datuk Jerry hantukkan kepala Ivy ke dinding hingga berdentum bunyi yang terhasil. Sekejap aje sejuring cecair merah pekat turun membasahi muka putih si gadis.
Ivy yang nanar dan terkejut dek hentakkan yang tiba-tiba jatuh terduduk kerana tidak stabil tetapi dia sempat berpaut pada tangan Datuk Jerry buatkan lelaki itu juga terdorong ke depan.
Entah macam mana, tiba-tiba Ivy rasa ngilu di bahagian perutnya diikuti dengan rasa hangat seperti ditusuk dengan besi panas buatkan nafasnya hampir terputus. Sakit, tapi kenapa sampai sesakit itu?
Perlahan-lahan dia turunkan pandangan.
Pisau yang mereka berdua rebutkan tadi terpasak kukuh, menikam masuk ke dalam perut Ivy.
Darah hangat mula membasahi seragam putih yang tersarung di badan Ivy.
Datuk Jerry terkejut melihat ulahnya membawa bala kepada Ivy. Tak mahu dipersalahkan dengan lebih lanjut, lekas dia cabut pisau yang tertusuk di perut Ivy hingga darah memancut keluar.
Ivy dah menunduk ke dalam dengan kedua tangan menekup perut, darah mula keluar membasahi baju putihnya.
Sakit, pedih, ngilu.
Semua bergabung menjadi satu.
Dalam samar-samar mata yang hampir tertutup, Ivy lihat Datuk Jerry yang berlari keluar dari bilik sewanya meninggalkan Ivy yang terbaring layu di atas lantai.
"Jangan... pergi." Dia kumpul tenaga untuk mengejar Datuk Jerry, tapi baru hendak melutut, jeritan kesakitannya sudah bergema di serata ruang. Ivy jatuh terjelepuk semula. Darah makin banyak keluar hingga baju putihnya bertukar merah.
"Argh!" Ivy ketap gigi sekuat hati apabila terasa berdenyut di bahagian perut.
Peluh mula membasahi dahi. Dia terbaring lemah di atas lantai. Dalam menahan sakit, telefon dikeluarkan dari poket. Tak ada nama lain yang singgah di kepala Ivy selain Adha. Cuma lelaki itu yang Ivy boleh harapkan.
Dengan bersusah payah dan gigilnya menahan rasa pedih yang makin mencucuk, Ivy dail nombor Adha.
Sedetik yang kebiasaannya terasa sangat singkat kini berlalu dengan sangat perlahan menanti suara Adha singgah ke telinganya.
Tut... tut... tut...
Adha, tolong angkat.
Tut... tut...tut...
Adha, Ivy sakit.
Tut.
"Adha..."
"The number you have dialed..."
Ivy pejamkan matanya yang sudah basah. Dia menangis sambil terus mengerikut menahan sakit yang sudah menjalar ke serata badan.
Beginikah pengakhiran hidupnya? Itukah sebabnya dia dipinjamkan kegembiraan ditemani Adha sepanjang hari? Kerana nyawanya akan diambil dengan cara yang tragis begini?
Hilang dari dunia.
Sendirian.
Ivy menangis lagi hingga esakannya bergema. Sakitnya. Di luka dan jiwa.
Beginikah?
Beginikah dia akan pergi?
Dalam tangisnya, tiba-tiba telefon yang setia dia genggam sejak tadi bergetar tanda ada satu pangggilan masuk.
Ivy nak jawab panggilan, tapi hendak gerakkan tangan pun payah kerana pergerakan kecilnya menyebabkan luka di perut dia terkesan sama.
Bibirnya diketap sekuat mungkin semasa telefon berlumur darah itu dibawa ke tepi telinga. Rasa pening mula mengambil alih buatkan pandangan dia kabur dan berpinar-pinar.
"Helo, Ivy you..." Ivy nak senyum sebaik suara yang diharapkan singgah ke corong telinga. Tapi hendak gerakkan bibir pun dia tak mampu, terlalu sakit.
"Adha..." Cuma itu yang mampu dia sebut.
"Ivy? You okey tak? Kenapa suara you..."
"To, tolong..." Tangannya digenggam sekuat yang mungkin supaya rasa sakitnya takkan halang Ivy untuk meminta bantuan. Ivy perlu sedar walaupun matanya terasa sungguh berat untuk dibuka.
Ivy tak boleh tidur. Ivy kena jaga! Ivy kena cakap dengan Adha.
"Ivy! You dekat mana ni?!"
"Tolong."
Buk!
"Ivy! Helo? Ivy, you dengar tak? Helo?"
Dan gelap pun mengambil alih dunia Ivy tanpa dapat ditahan lagi.
Mungkin itulah akhirnya. Tapi sekurang-kurangnya, kalau detik itu yang terakhir Ivy di atas dunia, ada seseorang yang tahu akan pemergiannya.
Dia tidak sendiri. Setidaknya ada yang mengkuburkan jasadnya.
Ya, Ivy tidak sendiri kerana nafas terakhirnya ditemani Adha.
Berair juga mata saya ketika menulisnya
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top