BAB 10
MALAM itu langit kelihatan cerah daripada biasa dengan kehadiran bulan penuh menyinari semesta. Pemandangan itu percuma tapi sukar sekali untuk Ivy nikmati.
Malamnya sering berbumbung tidak lapang hingga boleh membilang bintang. Jarang sekali sunyi hingga boleh didengari derap kaki berjalan seperti sekarang.
Detik itu, yang kedengaran di telinganya hanya nafas halus Adha yang berselang seli dengan bunyi-bunyian dari kasut mereka yang bergesel dengan jalan tar berbatu.
Tak ada orang ramai, tak ada hiruk pikuk musik yang membingitkan telinga. Cuma ada mereka berdua yang berdampingan di sisi satu sama lain. Adha dan Ivy.
Langkah dibuka tidak cepat juga tidak lambat, sederhana. Sesekali kelibat sang jejaka misteri itu dijelingnya dari tepi. Ivy tak dapat tipu hatinya sendiri, Adha memang seorang lelaki berupa dan mungkin juga berharta.
Tapi yang selalu buat Ivy tertanya-tanya, apa yang lelaki itu buat di sebelahnya ketika orang lain sudah nyenyak dibuai lena. Tak betah berteka-teki sendiri, Ivy akhirnya pecahkan kesunyian mereka dengan menjadi yang pertama membuka mulut.
"Adha."
"Hurm?"
"Parents you ada lagi?" Takut-takut Ivy menyoal. Wajah Adha dijeling dari tepi, mahu melihat reaksi lelaki itu. Ivy tak tak tanya soalan sensitif, kan?
"Ada."
"Dia orang tak kisah you keluar malam-malam macam ni?"
Ivy nampak Adha menggeleng selamba. "Tak."
"Ooo, bagusnya." Ivy mengangguk sendiri.
"Bagus?" Adha pandang Ivy sekilas. Apa yang bagus? Membiarkan anak berkeliaran di malam hari tanpa hala tujuan itu bagus?
"Baguslah. Selalunya, mak bapak orang lain mesti dah bising kalau anak dia balik lambat. Ada kawan sekerja I dekat Vook tu, setiap malam bad mood sebab parents dia bising dia balik kerja pukul 4 pagi. Padahal dia lelaki, bukan perempuan pun."
Satu senyuman nipis singgah di bibir Adha saat mendengar butir bicara Ivy. Manis, tapi ada sinisnya. "Good for him." Omel Adha perlahan.
"Apa dia?" Ivy berhenti berjalan.
"Baguslah kalau parents bising anak dia balik lambat, maksudnya dia orang risau." Dan risau maksudnya sayang. Bukan seperti Adha, terbiar.
Mulut Ivy jadi terkunci sendiri menyaksikan perubahan nada dan air muka Adha. Sama-sama tegang. Ivy ada salah cakap ke?
"Sorry." Tak mahu bersangka-sangka dan menimbulkan rasa tidak enak antara mereka, Ivy rasa dia perlu meminta maaf dengan segera. Ivy suka berteman dengan Adha.
Lelaki itu punya auranya yang tersendiri yang buatkan Ivy selalu rasa nyaman apabila berada dekat dengannya. Tak mahulah disebabkan keceloparan mulutnya nanti Adha akan menjauh.
"Sorry? Kenapa pula?" Adha jadi. Salah apa yang Ivy buat hingga bibir comel itu begitu lancar memohon maaf?
"Rasa macam I dah buat you terasa."
"Ha? Fasal parents tu ke?"
Lambat-lambat Ivy mengangguk hingga buatkan Adha tersenyum sendiri. Aduhai... Ivy. Kenapalah baik sangat.
"Tak ada apa pun yang you kena minta maaf, Ivy. Betul la apa yang you cakap. Bagus juga mama I tak marah kalau I balik lambat. Kalau tak, tak bolehlah I datang sini jumpa you." Pandai Adha beralasan untuk mengembalikan suasana ceria mereka.
Muka Ivy cerah semula setelah yakin yang hati Adha tidak tersinggung dengan mana-mana perbuatannya. "Mama you orangnya sporting, eh?"
Adha berjalan sambil menduga langit. Sporting ke? "Ya kut."
"Memang dari kecil ke mama you kasi keluar bebas ni?"
Matanya masih tidak lari dari membilang kelipan lampu kapal terbang yang sedang melintasi langit malam. "I think so." Memang sejak dia kecil pun kelibat Datuk Haliza sering sahaja hilang dari pandangan.
Adha menanti soalan seterusnya dari Ivy, sudah bersedia mahu jawab pertanyaan-pertanyaan polos si gadis tapi hanya sepi yang mengisi suasana. Hal itu berjaya membuatkan Adha menoleh ke tepi.
"No more question?" tanya Adha dengan kening yang terjungkit sebelah.
Ivy mengangguk. "You macam tak suka aje bercakap fasal mama you."
Kali ini, tawanya Adha biarkan lepas. Pandainya Ivy ni! Hanya dengan perbualan yang ringkas pun dia dah boleh baca isi hati Adha. "Tak adalah tak suka, cuma tak ada banyak benda sangat yang boleh I cakap fasal mama I."
Bibirnya tersenyum, nadanya ceria dan seperti tidak terapa-apa tapi kenapa ya, Ivy nampak mata Adha begitu sayu dan redup?
"You jarang jumpa mama you ke?" Dengan berhati-hati Ivy cuba menebak.
Giliran Adha pula yang mengangguk setuju. Memang pun. Dalam tempoh sebulan, boleh bilang dengan jari berapa jam aje Adha dapat bertentang mata dengan Datuk Haliza. Nak lebih-lebih? Mimpi ajelah.
"You nak cerita?"
"You nak dengar?"
"Spill."
Setelah beberapa minit berjalan, mereka berdua sampai di satu kawasan taman permainan yang kosong. Tanpa sebarang bicara, sepakat kedua-duanya ambil tempat di atas buaian. Sebelah-menyebelah.
"Mama I sibuk dengan company dia. Ke sana ke sini. Keluar pagi, confirm sampai rumah malam. Weekend pula dengan aktiviti persatuan, Yayasan. I rasa nak set appointment jumpa dengan Perdana Menteri pun lagi senang dari nak duduk semeja dengan mama I." Santai Adha bercerita sambil menolak buaian dengan kakinya.
"Ayah you?"
"Papa dah meninggal lama, masa I sekolah menengah. Tapi kalau papa ada pun, tak ada beza dengan mama. Dua-dua sibuk."
Fahamlah Ivy sekarang mengapa ada pandangan sayu terselit dalam senyum ceria si jejaka itu.
"You?"
Ivy menyoal dengan air mukanya. "Kenapa dengan I?"
"Parents you tak marah ke keluar malam-malam ni?" Adha pulangkan semula soalan yang sama dekat Ivy. Sudah lama tertanya-tanya tentang status gadis itu.
Kini giliran Ivy pula untuk berbuai dan Adha yang merenung dia dari tepi dengan rasa ingin tahu.
"Macam mana nak marah kalau dia orang tak ada pun dekat atas dunia ni?"
Berubah muka Adha. "Dia orang dah meninggal?"
"Haah. I anak yatim."
"Oh." Hanya itu yang mampu Adha beri respon. "Sorry, I tak tahu."
"Tak apalah." Ivy pandang ke atas, melihat ke langit malam yang cerah disimbah cahaya bulan penuh. Kaki menolak-nolak kecil supaya buaian bergerak. "I pun dah tak ingat sangat tentang parents I. Dah lama sangat I tak tengok muka dia orang, dengar suara dia orang sampai I jadi lupa sebab dia orang pun sama dengan parents you, selalu busy."
"Habis tu, lepas parents you meninggal you duduk dengan siapa?"
"Rumah anak yatim." Terbuka Ivy berterus-terang, tak ada sedikit pun rasa yang dia perlu selindung ceritanya seperti dengan orang lain. Mungkinkah kerana mereka berdua sedang berkongsi satu rasa yang sama?
Sunyi. Kosong.
"Tak ada sesiapa nak jaga I lepas mummy dengan daddy meninggal, jadi I kena duduk dekat rumah anak yatim. Lepas tu, masa umur I tiga belas tahun, ada orang ambil I jadi anak angkat."
Lagi besar mata Adha terbuka. Buaiannya juga diberhentikan. Mahu benar-benar salurkan perhatiannya dekat cerita Ivy. "Lepas tu?"
"I duduk dengan mak bapak angkat I dalam tiga tahun, lepas tu dia orang halau I keluar."
"Ha? Dia orang halau you keluar? Masa tu bukan ke umur you lima belas tahun?" Melengking tinggi suara Adha dek rasa tak percaya.
Ivy tergelak. Tiba-tiba dia rasa lucu mengingatkan kisah lampau. Kenapalah Ivy tak baling sampah ke, pergi simbah cat ke, rosakkan pokok-pokok mahal dekat rumah agam pasangan gila itu dulu? Elok pula dia pergi dengan hati yang pasrah tanpa lakukan apa-apa. Cis, menyesal pula dia rasa.
"Betul, lima belas. Sejak tu I dah berdikari hidup sendiri dekat bilik sewa yang you hantar I tu."
"So, dah berapa lama you duduk dekat situ?"
"Lagi sebulan cukup tiga tahun."
Mulut Adha separa terbuka. Kejap, kejap. Sebenarnya umur Ivy ni berapa?
"Mesti you nak tanya fasal umur I, kan?" Tak sempat Adha tanya, Ivy dah ketawa dulu.
Lambat-lambat Adha mengiyakan. "You nampak muda."
"Ni rahsia tau? Dekat Vook tu, cuma Lee seorang aje yang tahu umur betul I. Janji dengan I jangan bagi tahu orang lain?"
Jari kelingking diangkat separas dada untuk tunjukkan kepada Ivy yang dia akan berpegang pada janjinya. "Janji."
"Umur I baru 18 tahun."
Satu saat, dua saat, tiga saat.
Tiada suara, cuma kelopak mata Adha sahaja yang kejap tutup kejap terbuka sebagai reaksi kepada pengakuan Ivy.
"Serius?"
"Serius. I kerja dekat Vook sejak umur I lima belas tahun. Masa kena halau tu, I dah cuba cari kerja dekat macam-macam tempat tapi semua reject I. Sampailah I jumpa Lee. Dia yang tolong I masuk Vook. Sejak tu la I sangat berahsia fasal umur I sebab takut nanti ada orang report dekat pihak berkuasa."
"I boleh agak you muda dari I tapi tak sangka la pula semuda ini. I ingat umur you dalam awal 20an. Dua puluh ke, dua puluh satu. Tak pun sebaya I." Luah Adha masih dengan rasa tak percaya.
Ivy geleng perlahan. Tak terkejut sebab rata-rata orang akan cakap benda yang sama. Keadaan hidupnya buatkan Ivy mendewasa sebelum usia. "Berapa umur you?"
"Dua puluh tiga."
Maknanya Adha sebaya dengan si kembar Luke dan Jazz.
"Sorry, I tahu soalan ni mungkin akan buat you marah tapi I nak tanya juga, you tak sekolah ke?"
"Tak." Tenang Ivy menjawab. Ivy mengeluh. "Masa I keluar dari rumah family angkat I, semua dokumen I dekat dia orang. Kebetulan masa I jadi anak angkat dia orang, I was home schooled. So, lepas keluar je dari rumah tu, my chance untuk sambung belajar terus hilang."
"Kenapa you tak report police? Dia orang dah abaikan you, biar masing-masing kena dakwa dekat mahkamah."
"Lepas tu I kena hantar pergi rumah anak yatim balik? Tak apalah. Lagi bagus I hidup macam sekarang ni dari duduk dekat tempat macam neraka tu."
Ivy tanggalkan sweater, mendedahkan bahagian bahunya yang terpeta elok parut sepanjang tiga inci. "Ni, 'hadiah' I dapat masa mula-mula duduk dekat rumah anak yatim." Ivy selak pula seluarnya hingga menampakkan parut kecil di bahagian lutut. "Ni pun sama."
"Buli?"
"Apa lagi?"
Adha urut sisi kepalanya yang terasa berdenyut. Aduh, sakitnya kepala dia.
"Ingatkan dekat rumah anak yatim tu dah teruk, rupa-rupanya dekat rumah parents angkat I lagi teruk kena. Bukan badan aje yang barai, mental pun koyak juga. Walaupun kena halau, I bersyukur gila. Tidur dekat tepi jalan atas kotak tu lagi lena dari tidur dekat rumah besar dia orang."
Tiba-tiba Ivy rasa tangannya yang sejuk terasa hangat. Ada jari-jemari Adha sedang menggenggam tangan dia buatkan Ivy terkedu.
Suam. Dari tangan, kini mata Ivy naik meliar merenung ke mata Adha.
Lama.
"Adha... kenapa?"
Adha hulurkan senyumnya seperti biasa.
A very comforting smile, to sooth her.
"Saja."
Tak, Adha tipu. Dia buat begitu kerana dia rasa tak ada kata-kata dapat memadamkan semua memori luka yang kini membekaskan parut di badan gadis itu. Cuma sentuhan kecil itu yang mampu dia beri dengan harapan, Ivy tahu yang mulai hari itu, dia tidak bersendirian.
Ivy sudah punya Adha.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top