Isteri Tuan Ihsan -Bab 3
Otak dan pandangannya nyata kosong. Jari-jemari
yang mulus disulam antara satu sama lain. Berlainan sungguh
perilaku seorang Seroja sekarang, berbanding dengan dirinya
yang sebenar.
Bibir yang petah berkata, kini diam membisu. Mata
yang selalu disolek galak, membengkak dan pudar cahayanya.
Wajah putih gebu, kini putih memucat. Gaya lincahnya
hilang begitu saja. Seroja hanya membatukan diri. Fikirannya
menerawang jauh. Memikirkan soal hidup dan masa depannya.
Tidak pernah Seroja rasa begitu sunyi dan sepi
sekali. Mata tiba-tiba saja menjadi kabur. Air mata berlari laju
menyusuri pipinya. Badan terhinggut-hinggut menahan esak.
'Ibu! Sampai hati tinggalkan Seroja...' Hati menjerit
hiba. Air mata diseka dengan belakang tangan. Sayangnya,
semakin laju ia mengalir.
Sesudah subuh menjelang semalam, Imaninah
menghembuskan nafasnya yang terakhir. Kanser payudara tahap
empat yang dihidapi, berjaya menewaskan ikhtiar manusia yang
terdiri daripada pakar-pakar di Queen Medical Centre.
Pemergian Imaninah secara tiba-tiba memberi
pukulan yang hebat kepada Seroja. Hilanglah tempat bermanja.
Hilanglah tempat untuk berkongsi kasih.
Pelik! Sejurus maut menjemput Imaninah, tiada
tangisan yang dihamburkan oleh Seroja. Dia cuma diam
membisu. Kaku...
Mujurlah Tuan Ihsan ada untuk menguruskan
segala-galanya. Daripada menyelesaikan bil perubatan hospital,
sehinggalah ke kerja-kerja pengebumian Imaninah. Terbesit
juga rasa curiga di hati Seroja, apa sebenarnya hubungan kedua
ibu bapanya dengan pak cik misteri ini?
Setapak kaki dibawa melangkah jauh dari tanah
perkuburan ibunya, Seroja menjadi seperti orang hilang
akal. Menjerit, meronta ingin memeluk jasad si ibu yang
sudah dikandung tanah. Runtun hati mereka yang hadir di
pengebumian tersebut. Puas Violet dan Fathin memujuk, tidak
langsung berkesan. Semakin melengking-lengking raungannya.
Tuan Ihsan yang juga diamuk pilu dek kehilangan
seorang yang sangat penting dalam hidupnya, bertambah
nanar menghadapi kerenah Seroja. Tanpa berfikir panjang,
dicempungnya tubuh Seroja keluar dari kawasan tanah
perkuburan menuju ke kereta miliknya. Violet dan Fathin
bertukar pandang. Lupa sedang berada di tanah perkuburan,
sengih ditayangkan.
"Gila macho pak cik hot tu. Pinggang dia masih kuat
you!"
"Sizzling, okay! Oh! I wish I yang kena dukung macam
tu."
"Oh, Seroja sungguh bertuah! Alangkah bahagia kalau
aku yang berada dalam dakapan pak cik hot itu..."
Okey! Sungguh tidak senonoh dua orang kawan
Seroja ini! Seorang pemuda yang berada hampir dengan
tempat Violet dan Fathin berdiri menceber bibir mendengar
dan melihat perlakuan kedua orang anak gadis itu. Matanya
tunak menghantar Seroja yang sudah jauh dibawa pergi. Hati
rasa tidak tenteram. Rasa tidak kena dengan cara ayah Seroja
menangani kemurungan sang anak.
"Lepaslah!"
"Shut up, Seroja! Jangan lupa you dekat mana!"
"I don't care! Let go of me!"
"Sedar Seroja! Ibu you dah tak ada. Jangan jadi orang
hilang pedoman macam ni!"
"No! Ibu! Seroja nak ikut ibu! Seroja nak ikut mati!
Seroja tak mahu hidup sendiri..."
Hilang simpati Tuan Ihsan. Ikutkan hati yang membara
ingin saja ditangankan Seroja ini supaya diam. Budak ini
memang degil!
Langkah semakin dicepatkan menuju ke kereta.
Dengan penuh kepayahan pemegang pintu dicapai kemudian
Seroja disumbat ke dalam perut kereta. Saat dan waktu
sebegini, Tuan Ihsan jadi menyesal kerana mengarahkan dua
orang pengawal peribadinya untuk hanya menunggunya di
kediamannya sahaja. Hemat yang menyangka segalanya akan
berjalan lancar, ternyata meleset sama sekali.
Saat tubuh terhempas ke atas kerusi kereta, Seroja
bungkam. Amarah tiba-tiba mencengkam jiwa. Tindakan
refleks Seroja menyebabkan kaki menujah ke atas mengenakan
satu tendangan padu ke celah kelangkang Tuan Ihsan.
Terjerit Tuan Ihsan dibuatnya.
"Arghhh... Shit!" Terbongkok-bongkok Tuan Ihsan
menahan sakit yang teramat. 'Jahanam sistem reproduktif aku!
Budak ini memang mencabar kesabaran,' gumam Tuan Ihsan
dalam hati.
Sabar semakin menipis. Hati semakin mendongkol
geram dengan perlakuan Seroja yang terpekik terlolong seperti
disampuk hantu.
Sepantas kilat kedua tangan Seroja dicengkam erat,
kemudian dikunci di kiri dan kanan kepalanya. Tubuhnya
yang ditahan dengan berat badan Tuan Ihsan, spontan
berhenti meronta. Tinggal sahaja bibir mungil itu yang masih
melantunkan vokal sepenuh hati.
"Shut up, Seroja! I'm warning you!"
"Lepaskan aku! Lepaskan aku la bodoh!"
"I said shut up!!!"
Tangan gadis yang dicengkam erat dipindah ke atas
kepala dengan satu tangan. Satu tangan lagi menekup mulut
Seroja. Kejap.
"Dengar sini baik-baik. Kalau you jerit lagi, I akan
guna cara terakhir untuk diamkan you. Oh! Believe me love,
I akan pastikan mulut you akan tertutup sampai you tak boleh
bernafas dengan sempurna."
Suara garau dan dalam itu terus saja membunuh suara
yang lahir dari tekak Seroja. Terkebil-kebil mata membalas
renungan Tuan Ihsan. Tajam menikam. Buat pertama kali
Seroja rasa amat takut, walaupun Seroja tahu itu cuma satu
ugutan. Tapi, kenapa Seroja merasakan yang pak cik misteri ini
memaksudkan setiap butir katanya?
Semakin lama desahan nafas Tuan Ihsan terasa
semakin hampir. Bunyi degupan jantung berdetup-detap seperti
genderang perang.
'Aduh! Kenapa cuak sangat ni?'
Tok! Tok! Tok!
Kepala dikalihkan ke luar tingkap kereta. Berlapis dahi
melihat bayangan tubuh seorang pemuda di sebalik cermin
yang berwarna gelap.
Tok! Tok! Tok!
Tingkap diketuk lagi. Serta-merta Tuan Ihsan
menganjakkan sedikit berat tubuhnya dari Seroja.
"I akan lepaskan you. Tapi, you kena janji jangan
menjerit lagi. Behave! Faham!"
Seroja mengangguk pantas. Mendengar nada suara
Tuan Ihsan sahaja, Seroja sudah cukup maklum. Ia adalah
perintah! Tidak mampu Seroja menanggung debaran yang bisa
saja memecahkan dada. Nafasnya sudah sesak. Yang pasti bukan
kerana mulutnya ditekup. Tapi, lebih kepada akibat daripada
keadaan fizikal mereka tika ini.
Senakal-nakal Seroja, inilah kali pertama dia
berkeadaan sedemikian dengan seorang manusia berlainan
jantina. Segarang-garang Seroja, inilah kali pertama dia
menjadi kaku berhadapan dengan seorang insan yang bernama
lelaki.
Dadanya sendat dengan muatan perasaan yang gegak
gempita. Aneh sekali perasaan ini. Padahal, kalau ikut sikap
sebenar Seroja, memang punah harapan Tuan Ihsan untuk
mendapat zuriat, pasti organ penting itu menjadi sasaran
kepala lututnya.
Perlahan-lahan mulut Seroja dilepaskan. Tangan
yang tergantung di atas kepala juga sudah bebas. Serta-merta
Tuan Ihsan mengalihkan badannya. Pakaian ditarik kemas.
Rambut yang kusut dilurut dengan jari yang kasar. Nafas diatur
perlahan.
Seroja mengangkat tubuhnya. Baju yang berkedut
seribu dibiarkan sahaja. Mujur saja dia mengenakan baju kurung
daripada kain kapas. Kalaulah dia mengenakan pakaiannya yang
biasa sehari-hari, pasti kenyang Tuan Ihsan menjamu mata!
Seroja menghantar renungan tajam ke arah Tuan
Ihsan yang beriak tenang. Tenang seolah-olah tidak ada apa-apa
yang berlaku.
"I hate you!"
"I don't even care child."
Seroja menjeling geram.
Tok! Tok! Tok!
Makin kuat tekanan yang diberi kepada ketukan di
tingkap kereta. Sudah tidak sabar pemuda itu agaknya. Biadap!
Tuan Ihsan mengecilkan anak mata.
"Apa sebenarnya hubungan you dengan budak lelaki
ni?"
Seroja teringa-inga. 'Budak lelaki?'
Oh! Debaran yang masih terasa di dada sejak tadi
secara automatik memekakkan telinga. Sedar langsung tidak
menjengah benak sekalipun tingkap kereta itu boleh saja retak
diketuk berkali-kali. Mata menangkap kelibat seseorang di luar
tingkap, barulah kewarasan Seroja menyinggah.
"Zaim?"
Tuan Ihsan mendengus kasar. Apalagi budak ini mahu?
Datang tidak berjemput, kemunculannya tidak dialu-alukan.
"Pergi cepat. Tanyakan apa yang dia mahu. I akan
hantar you pulang."
"Hmm... Tapi, I tak puas lagi jenguk pusara ibu,"
nada suara Seroja menjadi sayu, memancing belas Tuan Ihsan.
Tiba-tiba teringat dengan arwah ibunya. Wajahnya tampak
berladung duka.
"Besok I janji, kita akan jenguk ibu you lagi."
Seroja mengangguk lemah. Kejadian tadi, benar-benar
berjaya menariknya ke dunia realiti. Berdikit-dikit hati mulai
menerima kehilangan ini.
Setelah membuka kunci kereta, Seroja menguak pintu
seluasnya. Kepala lutut yang masih menggeletar digagahkan
juga untuk melangkah keluar dari suasana yang begitu asing
kepadanya.
Zaim terus menerpa ke arah Seroja. Tangannya
menangkap lengan gadis itu, membawa Seroja agak jauh dari
letak kereta Tuan Ihsan. Mata mengimbas tubuh Seroja dari
hujung rambut ke hujung kaki.
"Awak okey? Ayah awak tak apa-apakan awak, kan?"
Mata masih meliar mencari kalau-kalau ada tanda-tanda
penderaan.
"I okey... you buat apa kat sini? Takkan sampai ke tanah
perkuburan you stalk I?"
Zaim menggosok belakang tengkuk.
"Err... Saya dengar tentang ibu awak. Saya... err... cari
maklumat sampai ke wad ibu awak lepas awak tinggalkan saya
semalam. Tak sangka saya dapat berita sedih ini. Takziah, Dina."
Seroja tersenyum sinis.
"Takkan you datang ke sini semata-mata untuk ucap
takziah aje?"
"Saya risaukan awak. Semalam, semacam aje ayah
awak marah. Hari ini pula, sumpah saya nampak awak diheret
masuk ke dalam kereta selepas pengebumian ibu awak. Betul
awak okey ni?"
"Pasal ibu I, boleh pulak you korek maklumat. Pasal
AYAH I, takkan you tak tahu?" perkataan AYAH sengaja ditekan
oleh Seroja.
Heh! Adakah pak cik misteri itu disangkakan ayah?
Mati hidup semula Seroja tidak mahu Tuan Ihsan jadi ayahnya.
Memang NEHI KABHI NEHI, dengan huruf besar!
Tangan Seroja dicapai sekali lagi. Kali ini lebih erat
tangan itu Zaim genggam. Zaim berharap agar Seroja dapat
merasai keikhlasan hatinya untuk mengenali Seroja dengan
lebih rapat.
"Saya ikhlas berkawan dengan awak, Seroja Irdina.
Sebab itu saya buat kerja tak masuk akal ini. Saya tahu waktunya
sangat tidak sesuai. Tapi saya takut kalau saya tidak beranikan
diri, saya mungkin akan kehilangan satu-satunya peluang
untuk mendekati awak."
Seroja terpempan. Kelu lidah untuk bersuara.
Belum pun habis ratapan di sanubari kerana kehilangan ibu
kesayangan, dia dikejutkan dengan perilaku Tuan Ihsan yang
langsung tidak pernah terlintas akan memberi kesan kepada
denyutan jantungnya. Sekarang ini, muncul pula seorang jejaka
yang tidak sampai 24 jam dikenalinya, ingin menjadi teman
istimewa.
'I smell something fishy here.'
Seroja tertanya-tanya dalam hati. Mungkinkah
semalam, Violet atau Fathin letakkan sesuatu dalam air
minumannya yang memberi kesan sehingga dia berkhayal
sampai sekarang?
'Okey... kau memang bengong Seroja!'
Sedikit lagi lidah lancar meluahkan kata-kata
penolakan. Tapi, cuping telinga menangkap dengar namanya
dipanggil keras.
"Seroja Irdina. Kita kena pergi." Tegas nada suara
Tuan Ihsan yang sudah berpindah ke tempat duduk pemandu
memaksa Seroja memalingkan tubuh menuju ke kereta semula.
"Sorry Zaim, got to go." Langkah Seroja terhenti.
Lengannya sempat dilelar oleh Zaim.
"Dina please, your number?"
Seroja tarik nafas dalam-dalam. 'Doktor muda ini
memang tak faham bahasa eh?'
"Okey... 012..."
Zaim tersengih. 'Yes!'
"012..."
"344..."
"344..." Sengih Zaim sudah hampir ke telinga.
"Tekan-tekan tak dapat! Ciou!"
"Irdina!" Zaim menggeleng kepala.
Alahai! Seroja Irdina... Jinak-jinak burung merpati!
Diperhatikan saja lenggang Seroja yang sudah masuk
ke perut kereta. Sempat Zaim menangkap pandangan mata
Tuan Ihsan yang meliriknya dari cermin sisi kereta. Pandangan
yang menghantar maksud tertentu. Cuma Zaim saja yang
berlagak bodoh untuk tidak mahu memahaminya.
'Ciou! My soon to be father-in-law!'
Seroja sekadar memaku pandangan mata ke dinding putih
pejabat guaman itu. Apa saja butir bicara Dato' Nazmi, peguam
keluarga Seroja, tidak dapat dicernakan dengan sebaiknya.
Bagaimana mungkin dia mampu hidup bersama dengan pak
cik misteri itu? Kenapa ibu mengenakan syarat kejam seperti
ini? Tidak cukup ibu tinggalkan dia dengan sehelai sepinggang,
sekarang diberi pulak syarat yang memeningkan otak.
Memanglah keluarga ayah tidak berhati perut. Mereka
hanya mementingkan harta. Ibu pulak akur dengan kehendak
mereka bulat-bulat. Untuk apa? Sedangkan perniagaan itu
sungguhpun perniagaan keluarga, namun ayah yang berusaha
sendiri memajukan perniagaan ini. Sekarang, licin hasil titik
peluh ayah mereka rampas.
"Bagaimana dengan I?"
"The recipient of a trust fund must typically wait until
a certain age, or until a specified event occurs, to receive a
yearly income from the fund. Dalam kes you Cik Seroja, you
kena capai umur genap 25 tahun dahulu, ataupun..."
"Ataupun?"
"Apabila you mendirikan rumah tangga sebelum
berumur 25 tahun. Then, syarat umur 25 tahun itu terlucut
sendiri."
"Hah?" Terpelohong mulut Seroja. Jatuh kedua
bahunya. Syarat apakah ini?
"Kalau saya belum capai 25 tahun, dan masih belum
berumah tangga, siapa yang ada kuasa untuk mentadbir tabung
ini?"
"Prior to this, a single trustee, or a group of trustees,
manages the fund in a manner appropriate to the trust fund's
specifications. Untuk tabung amanah Cik Seroja Irdina, Tuan
Ihsan Iskandar telah dinamakan sebagai pemegang amanah."
Seroja sempat melirik Tuan Ihsan. Entah apa saja
hubungan antara ibu dan ayahnya dengan pak cik misteri ini!
Sudahlah mereka ini tidak sebulu, sekarang dia terpaksa pulak
bertumpang harap dengan lelaki itu.
'Hesy! Malang sungguh nasib kau Seroja!'
"Rumah I dah kena rampas... I nak tinggal kat mana?"
"Jelas dalam wasiat Puan Imaninah, Tuan Ihsan
Iskandarlah yang menguruskan semua keperluan dan kehendak
Cik Seroja mulai saat ini."
Seroja tepuk dahi!
'Aku baru saja cakap aku benci dia. Sekarang, aku nak
harap belas pulak? Homai... Malang betul nasib kau Seroja
Irdina!'
Kereta mewah menyusur masuk ke dalam medan letak
kereta yang luas. Berderet-deret kereta mewah dari pelbagai
jenama import bersusun baris di situ. Hampir saja menitik
air liur Seroja melihat kereta idamannya seolah-olah
memanggil-manggil namanya.
'Oh! My Porsche Macan... Merah berkilat! Aduh! I love
you!'
Menjeluak mata Seroja melihat banglo yang tersergam
indah itu. Halaman saja saujana mata memandang. Bapak
punya kaya pak cik misteri ni!
Seorang wanita pertengahan usia bersama seorang
lagi lelaki yang dalam lingkungan usia 30-an datang mendekati
Seroja yang sedang terpinga-pinga hilang arah.
"Maaf cik... cik ini..."
Seroja tersenyum.
"Saya... Isteri Tuan Ihsan..." ujar Seroja selamba sambil
menggigit hujung bibir.
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top