DLM : 53

DANEEN dikejarkan ke hospital. Keadaan sekeliling yang gamat langsung tak mampu menembus fikiran Aidan dari memikirkan sang isteri. Masih tersisa pecah darah di kepala Daneen merecik ke telapak tangannya.

Kepalanya terasa kian membengkak memikirkan keadaan Daneen. Lututnya jatuh menyembah bumi berkali-kali. Mujur mampu ditahan oleh beberapa pekerjanya.

"Tempat Daneen selayaknya kubur je, abang," lirih suara Daneen saat berbicara dengannya malam tadi. Ya Allah! Adakah itu petanda hal ini akan terjadi?

"Tak tersisa tempat di bumi ni untuk orang macam Daneen, mengemis di jalan pun Daneen tak diterima, abang. Apatah lagi mengemis hidup dengan keluarga abang." Dia hanya memarahi Daneen saat mendengarkan percakapan Daneen sebegini, tak sedikit pun dia memujuk Daneen. Ya Allah, tak terdetik langsung hatinya saat itu untuk menenangkan Daneen.

"Siapa cakap Daneen mengemis, sayang? Biarlah tempat atau sesiapa tak terima Daneen. Abang, Ammar Aidan terima Daneen Inara hingga hujung nyawa abang, tiada istilah mengemis buat isteri teristimewa abang!" raung Aidan sekuat hati. Mana perginya kekuatan jika isterinya sekarang sedang berjuang di atas katil bedah?

"Sabar, Dan." Aidan didapatkan segera oleh tangan tua Tok Mek. Dia berusaha menenangkan cucunya.

"Ada orang bencikan Daneen, Tok Mek. Daneen dah ceritakan kepada Dan semua yang dah jadi. Daneen tegaskan nak pihak polis selesaikan, tapi Dan akur dengan keputusan Daneen. Sekarang? Daneen sedang bertarung nyawa dekat dalam tu. Allahuakhbar!"

"Dan tak boleh terus meratap nasib macam ni, jom kita pergi selesaikan apa yang patut selama Daneen ada di dalam. Kita buat laporan polis," ajak Nek Dara. Hancur hatinya melihat cucunya tidak berdaya sebegini.

"Dan takut Tok Mek. Daneen sakit. Dan tak boleh tinggal dia. Dan nampak semua yang jadi tu depan mata Dan. Dan nak ada dengan Daneen."

Hanya beberapa langkah sahaja jaraknya dengan kedudukan Daneen dilanggar. Mampukah dia tinggalkan Daneen? Dia sendiri berjuang di dalam fikiran. Tubuh Daneen longlai ketika dia ingin memangku. Darah pekat mengalir keluar dari kepala Daneen tanpa henti.

"Waris Puan Daneen Inara..." Nama itu tak sempat disebut penuh, langkah Aidan pantas mendapatkan arah suara itu.

"Saya waris Puan Daneen. Macam mana keadaan isteri saya doktor?"

Bayang katil pesakit ditolak tidak kelihatan. Ya Allah, janganlah Engkau menduga perasaanku begini. Fikirannya hancur teruk. Tidak satupun kemungkinan culas dari pemikiran.

"Encik, terima kasih kerana menunggu. Saya ingin memberi penjelasan tentang keadaan isteri encik, Daneen, dan apa yang mungkin berlaku selepas ini. Boleh ikut saya sebentar."

Kakinya lemah. Lemah sepenuhnya. Masihkah perlu persetujuan daripadanya?

"Pertama sekali, imej X-ray dan imbasan CT menunjukkan beberapa kecederaan serius yang memerlukan perhatian kami iaitu tulang belakang Puan Daneen dan saluran darah pecah di kawasan tersebut menyebabkan pendarahan dalaman yang kami perlukan untuk pembedahan segera." Jari doktor itu menghalakan ke arah permukaan skrin.

Tangan digenggam kuat. Seolah petir menyambar saat mendengarkan penjelasan itu. Ya Allah, tabahkan hatiku buat seketika ini demi kebaikan dia di dalam.

"Ada risiko encik. Selepas pembedahan, terdapat kemungkinan bahawa Puan Daneen akan mengalami lumpuh separuh badan. Ini bergantung pada sejauh mana kecederaan pada tulang belakang dan saraf tunjang. Kami akan melakukan yang terbaik untuk meminimumkan kesan ini."

"Allahuakbar."

"Seperti yang telah saya jelaskan di bilik kecemasan tadi, Puan Daneen mengalami gegaran otak. Gegaran otak ini boleh menyebabkan masalah ingatan, termasuk kesukaran untuk mengingat perkara-perkara baru atau apa yang berlaku sebelum kemalangan. Dalam beberapa kes, masalah ingatan ini mungkin bersifat sementara, tetapi ada kemungkinan ia berlarutan."

"Mama... Dan tak kuat mama. Tolonglah mama." Aidan tersungkur ke atas jubin ruang konsultasi itu.

Terlihat Puan Sri Hana menanti di depan pintu bilik itu, menapak ke arah anak lelakinya. Dua pekerjanya yang mengikuti, hanya mampu membantu Tok Mek yang turut terkulai layu.

"SEMUA hanya pedulikan kakak ipar kau nampaknya. Kenduri kau lebih teruk daripada tahlil. Semua orang tinggalkan kau. Pergi dekat kakak ipar kau macam dia dah mati. Belum mati pun orang hargai, kau yang masih hidup dan akur dengan permintaan dia, kena tinggal." Kata cemuhan itu menyapa gegendang telinga Hayden.

Tampaknya abang Najwa, Rauf memang sengaja ingin menguji kesabarannya. Berani lelaki itu mengeluarkan patah kata yang lancang sebegitu.

"Abang, sabar abang." Dari pintu utama rumah banglo itu, Nana pantas mendapatkan Hayden di bawah kanopi.

"Baik kau suruh abang kau blah dari rumah ni sebelum aku yang buat majlis tahlil untuk dia!" Jarinya melontar arah. Suaranya memecah. Berdentum bunyi intonasinya sekitar halaman rumah banglo itu.

Kakinya diatur menuju ke arah pintu rumah. Dia ingin pulang ke terataknya sendiri. Tak betah dia berterusan di dalam majlis sunyi sepi ini.

"Nana ikut abang balik. Abang tak izinkan Nana tinggal dengan orang yang tak pernah sukakan Nana." Keras Rauf menegaskan itu.

Langkah Hayden jeda. Rauf masih cuba mencabar dirinya? Semua orang memang tak guna! Malah saat inipun orang lain punya seseorang yang penting untuk dipertahankan? Dia? Akan masih ditinggalkan? Malah bayang Andara tidak kelihatan.

Hayden memalingkan tubuh, langkahnya terpasak rapat ke tubuh Nana. Pergelangan tangan Nana dicengkam lalu diraih serentak berubah posisi ke sisinya.

"Kau memang bodoh daripada dulu lagi, kalau tidak, taklah kau jadi penganggur sampai sekarang, yang boleh pakai pun ilmu agama. Jadi, junjung tinggi agama tu biar berguna... Najwa isteri aku. Keizinan kau tu mengikut sisi syarak mana?"

Wajah abang iparnya yang berubah bengang tidak dipedulikan. Isterinya dipandang tajam.

"Najwa, kau ikut aku sekarang atau hari raikan perkahwinan ni berubah jadi hari raikan perceraian," perintah Hayden disulam pilihan. Mustahil Nana akan memilih sebaliknya, Nana mencintai dirinya.

"Maafkan Nana, Abang. Nana nak ikut suami Nana. Kalau bukan sebab apa yang suami Nana cakap sekalipun, Nana tetap akan ikut suami Nana. Abang baliklah..."

Adakah wanita ini merasakan terpaksa? Mengapa dia menangis? Pernahkah aku memaksudkan setiap kali aku ingin dia mengutamakan aku?

Hayden melepaskan perlahan tangan Nana. Dia juga tidak sanggup dengan aku? Kenapa? Kenapa semua orang perlu buat aku nampak macam kejam?

"Kalau kau terpaksa, tak perlu ikut aku. Kau takkan diceraikan. Pergi saja ikut abang kau."

Sebal. Mengapa aku perlu berpaling menghalang niat Rauf sebentar tadi? Aku memalukan, sama merayu tatkala mengharapkan kasih mama.

"Nana nak ikut abang. Maaflah Nana menangis sebab tangan Nana sakit abang genggam tadi."

Dia memahami perasaan yang terasa kecewa dengan tangisannya?

"Kita nak pergi mana abang? Bilik? Abang nak makan tak? Nana ambilkan makanan dekat luar."

"Aku nak balik rumah." Butang baju Melayunya ditanggalkan kasar.

"Rumah ni macam mana, abang? Makanan banyak lagi dekat luar, tapi tak ada sesiapa. Kita nak biar je?" Nana cuba merapat. Dia terdetik mahu membantu suaminya menanggalkan butang itu.

"Mak mertua kau kayalah. Dia boleh dapatkan perkhidmatan sesiapa pun." Suaranya naik seoktaf.

Malangnya usaha Nana dikesan oleh Hayden, lelaki itu mengelak.

"Makanan tu banyak sangat abang, kita tak sempat makan, meja pengantin pun makanan banyak lagi. Tunggu Nana bungkus. Selebihnya kita bagi jiran abang." Nana masih cuba memikirkan majlis terbengkalai mereka.

"Kau tu berduit jugak, kan? Kenapa nak jadi menantu baik sangat? Kau dayang senandong ke apa nak jadi baik sangat? Ikut sajalah aku balik. Kempunan sangat nak makan makanan pengantin, kau order saja, banyak! Atau semua makanan yang dimasak oleh si lelaki tu sebab yang kau risau sangat?"

"Nana cintakan abang seorang je." Nana pantas mempertahankan diri. Walaupun berulang kali dia menafikan, tetapi tak mudah hendak menghapuskan salah faham seseorang.

"Cuma, Nana nak merasa makan makanan pengantin dan makanan lain tu boleh simpan untuk esok dan sedekah sedikit kepada jiran-jiran. Kalau kita biar, kotor lauk tu, mereka balik pukul berapa belum tentu lagi."

Wajah Nana pucat menjadi perhatian. Kesan alat solek sekata dan warna di bibir merah terang tak tertanggal. Pasti dia menahan lapar.

"Kau buatlah apa kau nak buat. Payah, dah larang. Tetap nak buat. Nanti kau pesan teksi. Aku tak ada masa nak tunggu."

Tiada patah kata mampu melawan bait putus daripada Hayden. Jika dia kata hitam, maka hitamlah. Jika dia kata putih, maka putihlah. Jangan cari bala. Tak mengapalah dia pulang seorang diri.

Waktu isyak mulai beredar. Jarum jam menunjukkan pukul 9.40 malam. Bunyi enjin kereta Hayden, tidak langsung kedengaran sejak tadi petang.

"Mungkin aku tak perasan abang gerak agaknya." Nana mengeluh berat.

Jari laju mengikat plastik. Dia dah biasa melakukan semua ini, dia bukan sahaja doktor malah dia sukarelawan yang turut bersedia mengerjakan pelbagai tugas.

"Kau okey ke buat seorang?"

Suara itu mengusik perhatian Nana.

Mata Nana melingas ke arah sisi. Rentak kasut kedengaran menempat bersebelahannya.

"Abang tak balik lagi?"

Rambut suaminya itu tak kusut. Setiap kali bangun tidur, mata dan muka sahaja ketara. Lelaki itu mementingkan penampilan.

"Aku tunggu kaulah. Aku dah tidur. Bangun pun kau masih isi lauk."

"Banyak, abang. Dekat dalam Nana dah siap isi, luar ni baru Nana sempat isi satu lauk."

"Ni la sebab aku halang, menyusahkan diri. Lauk lebih tu kau biar je. Ni dah malam, siapa je nak terima makanan. Biar aku letak semua talam ni dalam mangkuk plastik tu, kau terus letak dalam peti sejuk."

Hayden melipat pergelangan bajunya.

"Okey abang." Sebelah tangan cuba meraih tangan Hayden. Hasilnya, sama. Tak berjaya.

Seketika Nana melirik ke arah Hayden. Hayden tak teruk seperti yang orang sangka, Hayden bukannya seseorang yang berperangai jahat. Barangkali caranya dan bait katanya kasar.

Tempoh hari, sudah terjawab. Hayden dilayan bagaimana, mana ada orang yang mampu menjadi sebaliknya yang diinginkan andainya orang itu tak dilayan dengan kasih sayang dan hormat.

"Abang hati-hati ikat tau, getah tu mudah putus," pesan Nana.

Perihal Hayden tak mempedulikan rasa prihatin orang lain angkara itu juga. Tapi itulah, bila tak mendengar dah jadi satu musibah.

Hayden mengerang tatkala getah terputus serentak jarinya terjentik.

"Baru je Nana pesan." Tangan Hayden berjaya berada di dalam genggamannya.

"Tak perlu pun usap. Aku bukan budak kecil."

"Memanglah bukan budak kecil. Tapi, abang tetap budak kecil yang Nana kenal dulu." Tanpa sedar, bicaranya itu menggamit kenangan lalu.

Nana mengangkat wajah. Dia menekup mulut.

"Ingat tak Nana pernah panggil abang budak kecil?"

Buat seketika, Hayden terpegun menatap ekpresi wajah itu. Terasa hilang deria pendengarannya, apakan lagi perhatian akan bicara itu.

"Hisy Nana teringat pulak. Comel je abang pendek masa tu."

"Banyak Nana simpan gambar abang. Sebenarnya, Nana nak hadiahkan abang album. Sebagai hadiah perkahwinan kita, memandangkan dilangsungkan. Dalam album tu banyak gambar abang yang Nana capture dengan kamera Nana tu." Jari bercantum menggambarkan saiz kamera yang pernah digunakan dulu.

"Mana?"

Dahi Nana berkerut.

"Mana apa?"

"Mana hadiah tu?"

"Ada dalam bonet kereta abang. Nanti dah sampai rumah abang, Nana tunjuk, itupun kalau abang nak."

"Kalau sekadar tunjuk, tak payah bagi."

"Maksud Nana, Nana kena tunjuk la sebelum bagi dekat abang. Kena pejam-pejam mata, suprise punya!"

"Kau nak hadiah?"

"Bagi Nana, cukuplah abang izinkan untuk Nana sentiasa ada dengan abang buat sekali lagi."

"Aku nak kau cintakan aku sampailah saat aku dah tak mahukan lagi cinta daripada kau. Ini pilihan kau, sepertimana aku buang kau sebelum ni, aku mampu buat macam tu lagi. Mampu kau terus mencintai aku lepas dengar ni?"

"Nana mampu."

"Tapi, selama Nana cintakan abang, Nana nak hidup kita jalani selayaknya sebagai suami dan isteri. Nana nakkan perhatian dan kasih abang. Abang cuma perlu bertahan selama mana abang masih mahukan cinta Nana. Masa yang tak Nana miliki nanti Nana terima dengan ikhlas. Cukuplah abang boleh bagi Nana merasa bahagianya cinta dan dicintai."

Dia terlalu perlukan cinta daripada seorang lelaki. Aku, perlukan cinta ibu.

"Aku tak tahu nak tunjukkan rasa cinta yang kau nak. Kau hadap je la apa yang kau pernah rasa selama ni dengan aku. Tak perlu nak minta hal macam tu dengan aku. Aku sendiri tak yakin boleh bagi."

"Baiklah abang. Maaf."

Hampir setengah jam, Nana membahagikan lauk-lauk ke rumah jiran Hayden. Hayden dikenali sebagai pensyarah di kawasan perumahan situ. Ramai yang mengenali, kalau tidak, pasti Hayden tidak keluar bersamanya mengagihkan lauk ke tangan jiran-jiran.

"Aku balik rumah dulu."

"Okey abang, hati-hati."

"Kau yang kena hati-hati."

Berkat solekan yang belum tertanggal, satu sekumpulan jiran menjemput masuk ke rumah, ingin bergambar. Katanya mereka pelajar Hayden. Tak hairanlah, universiti tempat Hayden mengajar tidak jauh dari sini. Mesti ramai pelajar menyewa rumah berdekatan Hayden.

Mulut mereka tak putus mengucap tahniah dan memuji. Katanya Hayden seorang pensyarah yang tegas, diajak berbual kosong sebagai tanda mesra antara pelajar dan pensyarah pun susah. Mereka tak sangka ternyata Hayden sudah bernikah. Patutlah menjaga keperibadian dan perwatakan, mungkin demi isteri tercinta.

Itu bak kata mereka, Nana yang mendengar hanya melakar senyuman sebagai membalasnya. Hakikat, dia tidak dicintai. Dipeduli? Jauh sekali. Dari dulu, dia hanya menjadi tempat Hayden meluah duka lara sahaja.

Pernahkah mereka bahagia? Pernah. Tapi, itu mungkin hanya sekadar layanan demi mengambil berat sebagai seorang suami. Sewaktu dia dikhabarkan mengandung dulu.

Hayden bukan orang mudah bahagia dan ceria. Selama dia mengandung, Hayden memiliki dua hal itu di matanya. Hayden mengungkapkan ingin menjadi seorang ayah yang baik dan tulus dalam memberi kasih, walau dia tidak tahu maknanya kasih. Hayden ingin mempelajari semua itu selama bersama dengan Nana. Nana mencintainya, pasti Nana tahu cinta itu diperlakukan bagaimana.

Akhirnya, Hayden putus harapan saat dia gugur.

Dia menghancurkan segala-gala hasrat baru di dalam hidup Hayden. Itulah rintihan Hayden.

Akan tetapi, dia mahukan bahagia berkunjung lagi. Antara cepat atau lambat, dia sanggup menanti. Dia turut rela berdepan dan menghadapi setiap perkataan Hayden. Baik atau buruk, cuma Hayden tujuannya. Dari kecil sampailah usianya sejauh ini.

Kali ini, dia takkan biar lagi Hayden pergi meninggalkannya. Dia akan kekal di sisi dan membahagiakan Hayden.

______________________
WRITER COMMENT : Kesian daneen, tapi dalam hati as penulis, aku sukakan hayden🥴😂lagi kesian hayden kan? Dia menagih kasih sayang dari mak, plus mak tu mak angkat😔

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top