Chapter 7 - The Power of Sand [Part 3]
"Tapi budak-budak sekolah ni dah lama balik." pengawal keselamatan itu bersuara sambil berkerut.
"Sebab tu lah saya nak tengok dia kat dalam." ujar Mark hampir berpuas hati dengan lakonannya sendiri.
Pengawal keselamatan itu berfikir seketika kemudian segera membuka pagar sekolah itu. "Cepat sikit ya."
"Okey, terima kasih."
[RECAP]
BAB 7 - KUASA PASIR [PART 3]
Perlahan-lahan Mark melangkah masuk ke dalam sekolah itu. Dia memandang sekeliling tidak tahu di mana hendak di tuju. Tempat itu benar-benar sunyi. Seperti yang pengawal keselamatan itu katakan sebentar tadi, semua budak-budak sekolah sudah pulang kerana ia sudah petang.
Mark mendengus perlahan kemudian duduk di satu anak tangga untuk berehat. Sudah seharian dia berjalan. Belum ada apa-apa lagi yang ditemuinya. Dia cuma mampu berharap Taeyong atau Lee Know berjaya menemui orang yang mereka cari kerana dia kini sudah hampir berputus asa. Dia segera memutuskan itu adalah tempat terakhir yang akan dia kunjungi.
"Kamu buat apa kat sini, nak?"
Mark tersentak hampir menyumpah sebelum menoleh dengan pantas. Seorang wanita tua yang kelihatan uzur dengan rambut putih memenuhi kepalanya tanpa sehelai rambut hitam pun yang kelihatan muncul tiba-tiba entah dari mana.
Mata wanita tua itu amat sepet sehingga sukar dipastikan sama ada dia sedang membuka mata atau pun tidak. Mark memegang dadanya yang terkejut dengan sapaan itu tadi.
"Tak... Saya cuma tumpang berehat sekejap."
Wanita tua itu mengangguk-angguk. "Buat apa di sini? Tengah mencari seseorang ke?"
"Ya..." Mark berfikir seketika. "Kawan... Saya."
"Kawan?" Ulang wanita tua itu.
Mark mengangguk-angguk kemudian memandangnya teragak-agak. "Err... Nenek. Boleh saya tanya satu soalan."
"Apa dia, anak muda?" soal wanita tua itu semula.
"Err..." Mark cuba menyusun ayat. Dia tahu tiada guna sebenarnya bertanya dengan nenek tua yang sememangnya tidak tahu apa-apa tapi dia tetap ingin mencuba. "Ada tak mana-mana guru di sini yang mempunyai laman web? Er... Maksud saya blog. Tajuk blognya adalah..." Dia berusaha mengingat apa tajuk blog yang Taeyong beritahu pada mereka. "Er... 'The Stranger Things On Me'?"
Wanita tua itu berfikir sebentar. "Ada. Seorang!"
"Betul ke?!" Mark agak teruja bercampur kagum kerana wanita tua seperti itu boleh tahu hal-hal sebegini.
"Ya." wanita tua itu mengangguk-angguk. "Mari ikut saya. Saya akan bawa awak berjumpa dengannya."
"Baiklah!" Mark bingkas bangun dan mula rasa bersyukur di dalam hati. "Terima kasih... Nenek."
Wanita tua itu mula berjalan mengerekot. Mark hanya menyusulnya dari belakang. Mereka berjalan menuju ke hujung bangunan kemudian naik ke tingkat atas.
Semakin lama mereka berjalan semakin sunyi terasa tempat itu. Dia hanya merenung wanita tua itu sepanjang jalan agak kagum kerana wanita tua itu masih boleh menaiki tangga setinggi itu walaupun sudah tua dan uzur.
Tiba di hadapan sebuah pintu berwarna putih, wanita tua itu segera membukanya kemudian memandang Mark dan mengisyaratkan supaya lelaki itu menyusul. Lelaki berwajah polos itu tidak membantah dan terus sahaja menyusul nenek tua itu masuk ke dalam. Dia memandang sekeliling. Ia adalah sebuah dewan yang amat besar dan luas bagaimanapun tiada sesiapa yang berada di situ.
"Jadi, nenek..." Mark menoleh memandang wanita tua itu setelah memerhati kawasan sekeliling untuk mencari seseorang. "Saya tak nampak sesiapa pun di sini. Mana orangnya?"
Wanita tua itu hanya berdiri kaku sambil merenung Mark dengan wajah yang serius tidak mempunyai reaksi.
"Nek..." Mark memandang wanita tua itu agak pelik.
Tidak semena-mena wanita tua itu mengukir senyuman yang amat mengerikan. Matanya yang sepet kini berubah menjadi besar dan kelihatan agak marak tanpa sebab. "Hai, Huruf!!"
Mark amat terkejut lalu berundur sedikit sambil tercengang dan membesarkan matanya. Bagaimana wanita tua itu tahu mengenai hal itu? Mengenai identitinya? Seingatnya, dia tidak memberitahu apa-apa pada wanita tua itu.
Tidak lama kemudian, wanita tua itu menggigil tanpa sebab seperti diserang sawan. Matanya yang sudah berubah menjadi besar kini menjadi semakin besar seperti hendak tersembur keluar. Kulitnya yang berkedut kini menjadi lembut seolah-olah cair.
Mark kini semakin terkejut. Apa yang jadi dengan wanita tua itu? Tidak sampai seminit, wanita tua itu bertukar menjadi satu lembaga berkelubung.
"Oh, tidak!" Mark mendengus kuat sambal memejamkan matanya seketika langsung tidak teringat mengenai pemburu yang sedang mengejar mereka selama ini.
"Bertenang!!"
Jerit seseorang tiba-tiba entah dari mana sebelum sempat lelaki itu berbuat apa-apa. Serentak Mark dan lembaga berkelubung itu menoleh. Seorang lelaki dengan wajah cantik dan tinggi lampai berjalan perlahan-lahan mendekati mereka. Mark mengerutkan dahi sambil mengelipkan matanya.
"Bertenang, kawan... Saya akan bantu awak." ujar lelaki itu dengan senyuman sinis sambil berlagak seperti seorang hero dalam filem yang akan menyelamatkan dunia yang sedang ditawan.
Mark hanya mengangkat keningnya kehairanan memandang lelaki itu. "Kenapa pula dengan dia ni?"
Lelaki itu mengangkat tangan kanan lalu menghalakannya pada lembaga berkelubung itu. "Sand!!"
Mark agak terkejut melihat perkara itu. Sedikit demi sedikit pasir keluar dari tangan lelaki itu lantas menyelubungi lembaga berkelubung tadi menyebabkan lembaga itu terus ghaib dan hilang dari pandangan tanpa ingin berlawan lebih lama.
Lelaki itu terus meniup tangannya sambil tersengih seolah-olah dia telah menyelamatkan jutaan penduduk dunia lalu memandang Mark sambil tersenyum bangga.
"Jangan tanya apa-apa soalan."
Mark tidak bersuara sebalik memandang lelaki itu sambil berkerut agak kebingungan.
"Saya memang ditakdirkan untuk menolong orang." ujar lelaki itu agak bongkak. "Saya lebih kurang macam Captain America lah kiranya."
Mark kehilangan kata-kata buat seketika kemudian terus berjalan mendekatinya. Dia menyambar lengan lelaki itu dan melihat parut yang menjadi tanda mereka berada di situ. "Tak payah nak banyak cakap. Ikut saya."
Dengan pantas Mark menarik tangan lelaki itu dan membawanya berjalan pergi dari situ. Dia benar-benar malas hendak melayan kerenah lelaki itu terlalu lama. Sepertinya Huruf kali ini sangat bangga dengan apa yang dia miliki.
"Hei!!" pekik lelaki itu sambil cuba melepaskan pegangan tangan Mark. "Awak nak bawa saya ke mana pula??"
"Jangan banyak cakap!" bentak Mark. "Ikut je!"
Sepanjang jalan, lelaki itu asyik mengomel. Dia menceritakan semua jasa baiknya menyelamatkan orang termasuk menyelamatkan seekor kucing. Mark yang merasa telinganya hampir pecah mendengar leteran lelaki itu hanya mampu bersabar. Ikut kan hatinya, mahu sahaja dia terbangkan lelaki itu dengan kuasa anginnya.
"Jom!" Mark menarik lagi tangan lelaki itu apabila mereka sampai di hadapan rumah sewa mereka.
"Boleh tak awak jangan kasar sangat?!" rungut lelaki itu. "Berani betul awak buat saya macam ni."
Mark mendengus sambil menggolekkan bebola matanya kemudian membuka pintu rumah sewa itu lalu memandang lelaki tadi. "Masuk!"
Lelaki itu kelihatan bengang bagaimanapun tidak membantah langsung. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah itu sambil mulutnya terkumat-kamit menyumpah seranah dan mendengus kuat.
"Apa awak nak sebenarnya?!" tanya lelaki itu agak kasar. "Nak berterima kasih ke?? Ini bukan caranya okey!"
Mark yang kegeraman terus saja menolak lelaki itu masuk ke ruang tamu. Dia menggenggam buku limanya seketika cuba menahan sabar.
"Wuoh! Bertenanglah! Jangan main kasar." ujar lelaki itu sambil merenung Mark tajam.
Dia terhenti seketika apabila melihat wajah orang lain berada di ruang tamu itu. Lee Know yang sudah balik beberapa minit sebelum itu agak terkejut memandang Mark dan lelaki itu. Yuta pula hanya memandang mereka serius jelas tidak suka bunyi bising seperti itu.
Mark segera menutup pintu rumah itu kemudian berjalan ke ruang tamu lalu merebahkan dirinya di sofa betul-betul di sebelah Yuta. Dia berasa terlalu penat. Bukan penat kerana seharian berjalan. Tetapi penat mendengar leteran lelaki yang bersamanya itu. Leteran itu lebih memenatkan daripada berlari seratus meter.
"Saya dah jumpa." Mark bersuara setelah perasan Lee Know dan Yuta asyik memandangnya meminta penjelasan.
Serentak mereka beralih memandang lelaki itu yang mana kini sudah mula kelihatan agak takut. Dia mula tidak sedap hati apabila mendengar Mark berkata begitu. Dia mula rasa kurang selamat.
"Siapa nama awak?" tanya Lee Know merenung lelaki itu.
"K—Kim—Kim Jungwoo."
"Huruf K." gumam Yuta sambil berpeluk tubuh.
Mark langsung tidak mencelah. Dia kini merebahkan kepalanya di sofa cuba menenangkan diri.
"Apa kamu nak sebenarnya?!" tanya Jungwoo kasar semula setelah memastikan tiada apa-apa tindakan bahaya yang akan dilakukan oleh ketiga-tiga lelaki itu. "Kamu nak beri penghormatan ke?!"
Lee Know memandang lelaki itu pelik. Yuta hanya merenungnya sambil menyangka lelaki itu sedikit tidak betul. Mark pula terus memandang lelaki itu sambil cuba memberi isyarat supaya dia patut duduk diam.
"Duduk diam je kat situ!" arah Yuta yang memang agak meluat sejak dari mula Jungwoo mula membuka mulut di hadapannya.
"Berani awak cakap macam tu dengan saya?!" Jungwoo kelihatan naik angin sambil merenung Yuta tajam. "Kamu tahu tak saya ni siapa?? Kawan kamu ni nampak apa yang saya boleh buat."
Mark dan Lee Know serentak memandang Yuta risau. Takut nanti lelaki itu akan hilang kesabaran dan membakar Jungwoo dengan kuasanya sehingga hangus tanpa belas kasihan sedikit pun. Taeyong pula tiada di situ untuk membantu mereka menenangkannya jika lelaki itu mula mengamuk.
"Jangan sampai saya gunakannya pada kamu berdua pula!" Jungwoo masih lagi membebel. "Saya ni masih ada belas kasihan."
Lee Know memandang Jungwoo sambil mulutnya terkumat-kamit cuba memberi amaran. Dia juga sudah mula meluat dengan perangai lelaki itu yang terlalu becok. Jungwoo pula langsung tidak peduli.
Tidak semena-mena Yuta menghalakan tangan kanannya ke arah segumpal kertas yang berada di atas meja sambil matanya merenung Jungwoo tajam. Satu percikan api keluar dari tangannya lalu membakar gumpalan kertas itu menyebabkan Lee Know ternaik di atas kerusi kerana takut terkena api, manakala Mark pula hanya membesarkan matanya tidak mampu berbuat apa-apa.
"Diam!" gumam Yuta agak keras.
Jungwoo kini ternganga memandang Yuta sambil membesarkan matanya tidak berkelip. Lelaki berambut perang itu hanya membalas renungannya selamba sambil mengangkat kening. Dia memandang Mark dan Lee Know seketika sebelum rebah ke lantai tidak sedarkan diri.
Serentak Lee Know dan Mark berpandangan sambil mulut mereka ternganga kemudian beralih memandang Yuta.
"Jangan risau." Yuta kembali bersandar di sofa sambil berpeluk tubuh tanpa perasaan. "Kejap je dia pengsan tu."
"Sekurang-kurangnya tak lah kita dengar dia asyik membebel je." ujar Lee Know mengangkat bahunya.
Mark hanya mengangguk bersetuju sambil tersengih.
_______________________________________
Bersambung...
Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top