Chapter 3 - Secret [Part 1]

BAB 3 - RAHSIA [PART 1]




Sudah tiga hari berlalu, masih belum ada tanda-tanda orang yang mereka cari itu muncul semula. Tiada apa-apa perkara pelik yang berlaku menyebabkan misi pencarian mereka menjadi lebih panjang lagi. Mereka juga tidak dapat memastikan sama ada orang yang mereka cari itu adalah perempuan atau pun lelaki.

Taeyong dan Yuta kini sudah muak dan menyampah berada di tempat itu. Han pula masih lagi dengan rancangan jahatnya untuk mengenakan mereka. Lelaki berambut perang itu hampir sahaja mengeluarkan kuasanya tetapi dihalang oleh Taeyong.

Jika tidak, Han pasti sudah menjadi debu. Sudah beberapa kali dia merancang untuk mengenakan Han. Tapi semuanya tidak dapat dilaksanakan.

Hanya ada seorang yang berkelakuan aneh di mata mereka saat ini. Xiaojun. Lelaki dengan rambut belah tepi dan berwajah tampan itu. Senyuman yang sentiasa terpapar pada wajahnya membuatkan orang sukar untuk melihat perangai anehnya.

Dia sepertinya mula berminat dengan kisah hidup atau latar belakang kedua-dua lelaki ini. Asyik bertanya perkara-perkara yang di luar jangkaan. Dia juga sudah tertangkap beberapa kali mengekori mereka. Tidak dapat diketahui apa motifnya.

Taeyong kini sedang duduk seorang diri di sebuah bangku di kawasan berumput itu. Dia memandang seketika jam ditangannya kemudian mengeluh perlahan. Yuta yang sepatutnya berjumpa dengannya di situ masih belum muncul lagi.

Menunggu adalah perkara yang paling tidak disukainya. Silapnya sendiri kerana tahu lelaki berambut perang itu akan lambat tetapi dia tetap datang awal.

"Hai!"

Disapa secara mengejut seperti itu membuatkan Taeyong menoleh pantas sambil mendepakan tangan kanannya kepada pemilik suara itu. Kelihatan

Xiaojun sedang berdiri berdekatan agak terkejut dan sedikit tercengang sambil mengangkat kedua-dua tangannya seolah-olah Taeyong kini sedang mengacukan pistol ke arahnya. Dia mengangkat keningnya melihat gerak tangan lelaki itu.

"Bertenanglah." Xiaojun menurunkan semula tangannya setelah memastikan bahawa tiada apa-apa yang merbahaya ditangan Taeyong tanpa bertanya apa maksud lelaki itu mengangkat tangannya seperti itu.

"Awak rupanya." Taeyong segera menurunkan tangannya sambil membuat riak wajah malu yang sebenarnya lebih kepada takut jika Xiaojun bertanya soalan aneh lagi mengenai perkara itu.

"Ya." ujar Xiaojun dengan senyuman sinis yang hanya dia sahaja tahu apa maknanya. "Saya."

"Lain kali jangan lah sergah saya macam tu!" bentak Taeyong cuba menyembunyikan riak curiganya. "Sapa lah dengan cara yang baik sikit."

"Saya ucap 'hai' pun tadi kan??" Xiaojun cuba membela dirinya dengan riak wajah agak terkejut.

Taeyong hanya mampu mendengus tidak membalas.

"Tapi kan..." Xiaojun melabuhkan punggung di sebelah lelaki itu perlahan-lahan. "Kenapa awak halakan tangan awak pada saya macam tu?"

Taeyong menelan air liur hampir membesarkan matanya. Lelaki itu terlalu cepat menangkap apa sahaja tindakan asing mereka. Yang sebenarnya tidak dapat dijadikan benda serius pada orang normal.

"Maksud saya..." Xiaojun sudah mula tersenyum sinis. "Tanpa ada apa-apa senjata pun. Kosong je. Lain lah kalau ada pistol tadi."

"Dah jadi kebiasaan." jawab Taeyong ringkas cuba mengekalkan riak wajah seperti tidak menyembunyikan apa-apa.

Xiaojun tersengih sedikit. "Pelik juga kebiasaan awak ni."

Taeyong tidak membalas lagi. Dia sebenarnya tidak suka jika lelaki itu bersembang dengannya. Terlalu banyak soalan akan ditanya yang mana semuanya dia malas untuk menjawab. Dan yang paling penting, dia takut akan terlepas sesuatu yang membuatkan Xiaojun lebih curiga.

"Dengar-dengar teruk awak dikerjakan oleh Han."

Taeyong segera memandang Xiaojun. Sedikit lega kerana lelaki itu mengubah topik. "Macam mana awak tahu?"

"Mulut orang biasalah." Xiaojun menjawab selamba sambil mengangkat bahunya. "Bukan boleh tutup. Lagipun banyak sangat tersebar gambar... Dan video. Saya ada dapat video tu. Awak nak tengok?"

Taeyong hanya mengangkat keningnya langsung tidak hairan. Dia dapat mengingati peristiwa itu dengan jelas. Semua orang mengambil gambarnya. "Saya tak rasa nak tengok diri saya dalam tu."

"Awak tak kisah ke?" Xiaojun berkerut memandang lelaki itu yang kelihatan tidak begitu berminat.

"Nak kisah apa??" Soal Taeyong semula.

"Yalah. Awak jadi topik hangat kot." beritahu Xiaojun.

"Saya peduli apa." selamba Taeyong membalas. "Biarkan lah mereka tu. Buang masa saya je."

"Wuoh! Penyabarnya awak." Xiaojun kelihatan kagum. "Kalau sebelum ni ada yang sampai berhenti belajar sebab kes macam ni."

"Saya ada banyak benda lagi nak buat daripada melayan perangai lelaki tu." ujar Taeyong.

"Banyak benda nak buat?? Benda apa??"

Taeyong menyumpah seranah di dalam hati. Dia hampir terlepas lagi. Xiaojun hanya merenung Taeyong. Menantikan jawapan yang memuaskan hati.

Banyak perkara yang dia ingin tahu. Mulut lelaki itu kini asyik terbuka dan tertutup semula tidak tahu hendak membalas apa. Takut jika dia tersalah cakap lagi.

"Taeyong!!"

Serentak kedua-dua mereka menoleh walaupun hakikatnya hanya Taeyong seorang sahaja yang dipanggil. Yuta berdiri dengan wajah serius bagaimanapun agak terkejut memandang lelaki yang satu ini bersama dengan kawan baiknya akan tetapi tiada masa untuk bertanya. Dia hanya mampu berdiri cemas sambil mengisyaratkan supaya Taeyong segera mengikutinya.

Taeyong segera mencapai beg sandangnya. Bersyukur kerana Yuta datang tepat pada masanya. "Maaf, Xiaojun. Saya pergi dulu."

"Okey." Xiaojun hanya mampu memandang mereka dengan riak wajah yang sukar untuk dibaca.

Taeyong segera mendekati Yuta. Mereka memandang sekali imbas lelaki itu kerana kecurigaan mereka selama ini masih ada.

Bagaimanapun, Xiaojun kelihatan sibuk melakukan sesuatu pada telefon bimbitnya dan tidak berminat. Mereka berpandangan sekali lagi kemudian berjalan beriringan agak tergesa-gesa.

Taeyong yang masih belum tahu apa-apa hanya menurut. Yuta pula hanya meneruskan perjalanan sambil memandang sekeliling. Dia hanya memeluk beg sandangnya yang kelihatan penuh entah apa isi kandungannya.

Dia cuba mencari tempat yang sunyi dan sesuai untuk dia bercakap. Bagaimanapun semua tempat di situ dipenuhi dengan orang ramai yang melakukan aktiviti masing-masing.

Setelah agak jauh berjalan, mereka tiba di bahagian hujung kawasan kolej itu. Koridor yang penuh sunyi seperti bangunan yang tidak digunakan lagi. Satu-persatu pintu bilik di situ ditolak. Makmal komputer, bilik lukisan dan sebagainya.

Akhirnya, mereka masuk ke dalam gelanggang bola keranjang yang pada saat ini kosong kerana bukan waktu latihan dan sebaliknya.

"Ada apa ni sebenarnya?" Tanya Taeyong agak tercungap-cungap kerana mereka kini sudah berjalan agak jauh.

Yuta tidak menjawab sebaliknya menurunkan beg sandangnya ke bawah dan meletakkannya di atas lantai. Dia segera membuka beg tersebut lalu mengeluarkan sesuatu yang dibungkus tebal menggunakan jaketnya.

Perlahan-lahan dia membuka balutan itu dan mengeluarkan satu kotak keperakan yang sentiasa di bawa oleh mereka secara bergilir-gilir ke mana sahaja mereka pergi. Ia kini diterangi cahaya yang amat menyakitkan mata.

Yuta terus sahaja membuka kotak itu sambil mengecilkan matanya cuba menahan silau yang boleh membutakan. Taeyong juga melakukan hal yang sama. Salah satu daripada rantai-rantai yang berada di situ kini bercahaya.

Lelaki berambut perang itu segera mencapai rantai yang berbuah huruf 'V' tersebut sebelum ianya bertukar menjadi debu dan hilang dari pandangan. Dia segera menoleh memandang Taeyong yang hanya tercengang memandangnya kemudian mengeluh perlahan.

"Mereka dah bunuh satu lagi." Taeyong memejamkan matanya sambil bercekak pinggang dengan dengusan kecewa.

Yuta hanya mengangguk bersetuju masih merenung tepat rantai itu tadi musnah. "Kita dah terlambat nak cari—"

PLANG!

Kedengaran bunyi sesuatu telah terjatuh dari pintu atas gelanggang itu menyebabkan Taeyong dan Yuta serentak menoleh. Mereka berpandangan seketika sambil membesarkan mata. 




___________________________

A/n: Another update. Saja je nak habiskan update cepat. >.<

> VOTE & COMMENT <

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top