Chapter 13 - Death Practice [Part 1]

BAB 13 - LATIHAN YANG MEMBUNUH [PART 1]



Suasana pagi itu begitu baik sekali. Mereka kini sudah kembali dari perkampungan kecil yang benar-benar mengejutkan mereka dengan pelbagai budaya. Mereka menjumpai Jaehyun, yang sukar dilepaskan oleh orang-orang kampung untuk mengikut mereka. Nyaris-nyaris mereka dihalau kerana berniat hendak merampas lelaki itu dari orang kampung yang dikatakan pahlawan atau pembawa tuah kepada mereka. Mujur lah Jaehyun memberi penerangan dengan sebaiknya.

Taeyong dan Mark masih lagi menghadap komputer riba untuk mengesan jika ada yang boleh dijadikan petunjuk untuk mencari orang dari kalangan Huruf. Tugas itu seolah-olah sudah ditetapkan untuk mereka kerana hanya mereka berdua sahaja yang mahir untuk menggunakan peralatan canggih yang sedia ada untuk mencari dan hanya mereka sahaja yang tahu bagaimana caranya.

Yuta pula sedang mengemas kotak keperakan yang sentiasa mereka bawa ke mana-mana itu. Ia kini semakin berkurangan. Hanya ada dua sebab yang boleh mengurangkan kuantiti rantai di dalam kotak keperakan itu. Sama ada rantai itu sudah dipakai oleh tuannya, atau ia sudah hancur menjadi debu sebelum sempat berjumpa tuannya.

Jungwoo dan Lee Know pula sedang mengemas meja makan kerana mereka baru sahaja selesai makan tengahari. Hyunjin dan Jaehyun pula hanya duduk di sofa sambil termenung tidak tahu hendak berbuat apa di situ. Mereka masih belum menjumpai apa fungsi mereka dalam misi mencari itu.

Tidak semena-mena cahaya menerangi seluruh ruang tamu itu menyebabkan semua orang memandang ke arah Lee Know yang mana langkahnya turut terhenti betul-betul di koridor menuju ke dapur.

"Bukan saya lah!" bentak Lee Know agak geram kerana dia asyik disalahkan jika perkara itu berlaku.

"Sini."

Semua mata kini beralih memandang Yuta yang sedang mengangkat seutas rantai dengan buah huruf 'X'. Seperti biasa, rantai itu mula bertukar menjadi debu dan hilang dari pandangan.

Serentak semua orang mengeluh termasuk Jaehyun. Lelaki itu tidak terlalu terkejut kerana dia sudah tahu mengenai puak Huruf itu sedikit ketika dalam perjalanan balik ke situ. Pada waktu itu, rantai dengan buah huruf 'A' musnah di hadapan matanya membuatkan dia benar-benar terkejut.

"Kita terlambat lagi." keluh Lee Know kemudian segera ke dapur untuk membuang sampah dan meletakkan pinggan kotor di situ sebelum kembali ke ruang tamu untuk menyertai yang lain.

Semua orang hanya mampu memandang kotak keperakan yang berada di tangan Yuta itu dengan pandangan yang sayu. Mereka tidak mampu berkata apa-apa kerana tiada apa yang dapat dilakukan lagi jika ianya sudah ghaib.

"Kami tak dapat kesan lah." keluh Mark sambil bersandar di kerusi kelihatan mengeluh panjang agak berputus asa. Dia sememangnya sudah terlalu penat. Kemusnahan rantai itu membuat dia bertambah hilang semangat.

Taeyong yang duduk di sebelahnya turut mengeluh perlahan. Dia juga sudah terlalu letih menghadap komputer riba itu. Dia mula meregang-regangkan otot lehernya yang dirasakan seperti hendak tercabut.

"Macam mana kita nak jejaki mereka kalau tak dapat dikesan." Lee Know turut mengeluh dari kerusi berdekatan meja makan.

"Kami dah cuba." Taeyong bersuara perlahan sambil mengangkat bahunya. "Tapi memang tak ada sebarang tanda pun."

Tiada sesiapa pun bersuara. Mereka juga tidak berani untuk mempertikaikan kerja Taeyong dan Mark kerana hanya mereka berdua sahaja yang melakukan kerja itu tanpa henti dan tanpa sebarang bantuan.

Yuta menarik nafas panjang lalu bangun dari tempat duduknya. Dia berjalan mendekati tingkap kemudian menyelak langsirnya untuk memandang keadaan di luar. Dia melihat sebuah padang besar di hadapan rumah tumpangan yang sunyi itu. Mereka kini menyewa di sebuah rumah tumpangan yang paling dekat sejak mereka keluar dari perkampungan yang jauh itu bagi merehatkan diri. Hanya itu tempat yang dirasakan selamat untuk mereka setakat ini.

"Jom kita berlatih kat padang tu."

Serentak semua orang memandang bingung ke arah Yuta dengan mata yang dibesarkan. Ada yang mengerutkan dahi dan ada juga yang masih tidak faham apa yang sedang berlaku.

"Awak dah gila ke?!" Jungwoo memandang yang lain sekali imbas. "Kalau orang-orang di sini nampak... Habislah kita."

"Bukan ke cuma kita yang menyewa kat sini sekarang?" Yuta menggolekkan bebola matanya. "Lagipun penjaga kat bawah tu dah terlalu tua dan uzur. Dia pasti tak akan nampak. Kawasan ni pun terpencil. Tiada orang yang akan tahu."

Tiada seorang pun yang bersuara. Tidak tahu apa lagi yang boleh dijadikan alasan untuk menengkar.

"Dah, jom!" Yuta segera menyambar jaketnya kemudian berjalan menuju ke pintu dengan penuh bersemangat tanpa peduli reaksi malas mereka.

Semua orang tidak membantah bila lelaki berambut perang itu, orang yang paling mereka geruni dan hormat memberi arahan. Mark dan Taeyong segera menutup komputer riba mereka dan bersiap. Jaehyun dan Hyunjin sudah menyusul Yuta tanpa perlu melakukan apa-apa. Lee Know dan Jungwoo juga sedang bersiap.

Mereka semua berjalan menyusul Yuta merentasi setiap koridor flat rumah tumpangan yang amat sunyi itu. Langsung tiada orang yang menyewa di situ selain mereka. Mereka berjalan melintasi kaunter di bawah di mana seorang lelaki tua yang uzur juga mempunyai masalah mata sedang tidur berdengkur di situ. Mereka terus sahaja berjalan keluar dan mendapati kawasan lapang yang amat luas di hadapan mereka tanpa sebarang rumput. Ia hanya ada pasir dan sedikit batu-batu kecil sahaja.

"Nampaknya ini kawasan kegemaran Jungwoo." Hyunjin mengukir senyuman sinis sambil memandang sekeliling.

Jungwoo hanya tersenyum puas. Dia kini sudah dapat merasakan kuasanya meronta-ronta meminta dilepaskan di situ.

"Dah! Jangan nak bergurau senda!"

Semua orang tersentak apabila Yuta bersuara agak kuat. Mereka kini sudah berjalan agak jauh dari flat rumah tumpangan itu.

"Saya nak tengok cara kamu guna kuasa kamu." ujar Yuta kemudian memandang Taeyong. "Awak dan saya jadi pemerhati."

Taeyong tidak membantah atau memberi sebarang reaksi pada arahan itu. Dia segera berjalan selamba lalu berdiri di sebelah lelaki itu sambil berpeluk tubuh memandang semua yang lain.

"Saya nak tengok di mana tahap kamu." Ujar Yuta ketika mereka semua berdiri memandangnya.

Jungwoo memandang yang lain agak gementar, Mark hanya menarik nafas panjang sambil memandang sekeliling, Lee Know pula hanya berdiri menunggu arahan, manakala Hyunjin dan Jaehyun sedang memandang ke bawah cuba melarikan pasir halus yang mula singgah di kasut mereka.

"Saya nak kamu mulakan sekarang!! Jangan nak buang masa." Yuta segera memandang ke arah Mark. "Awak mulakan."

Mark tidak membantah. Dia segera mengambil posisi bagi memudahkan dia mengeluarkan kuasanya tanpa mencederakan sesiapa. Lee Know, Jungwoo, Hyunjin dan Jaehyun pula mula berundur menjauhkan diri mereka dari lelaki itu. Mereka juga belum mahu menggadaikan diri.

"Keluarkan kuasa awak habis-habisan seolah-olah awak sedang berperang.." arah Yuta cuba memberi motivasi.

Mark menarik nafas panjang kemudian mengangguk-angguk tanda faham. Dia mendepakan kedua-dua tangannya ke depan dengan penuh bersemangat sambil cuba fokus untuk mengeluarkan kuasanya dan berharap dia tidak akan menggagalkan dirinya di hadapan yang lain. "Wind!!"

Satu pusaran angin besar mula terbentuk. Jungwoo segera menahan rambutnya daripada ditiup angin dan terundur sedikit akibat angin kuat itu. Jaehyun, Hyunjin dan Lee Know yang langsung tidak peduli dengan rambut mereka hanya bertahan agar tidak terundur dari tempat mereka berdiri.

"Jangan menjerit!!" pekik Yuta tiba-tiba menyebabkan semua orang tersentak. Mark yang sedang mengeluarkan kuasanya segera terhenti berbuat demikian. Taeyong hanya mampu berdiri di sebelah Yuta sambil tersenyum.

"Jangan sebut!!" Yuta memandang Mark serius. "Awak kena belajar gunakan kuasa awak tu tanpa menyebutnya!"

"Saya pernah cuba buat macam tu..." Mark membalas dengan wajah yang sayu. "Tapi saya tak pernah berjaya."

Mendengar kata-kata Mark, Yuta segera memandang Taeyong yang berada di sebelahnya. "Cuba awak buat dulu."

Taeyong yang kini sudah menyimpan kedua-dua tangannya di dalam kocek jaketnya segera mengeluarkan tangan kanannya dengan wajah yang selamba tanpa perasaan. Dia menghalakan tangannya itu dengan selamba ke kawasan lapang sedikit jauh dari tempat Mark berdiri. Satu pusaran angin terbentuk lalu meletus kuat di situ.

Yuta memandang Mark semula dengan wajah yang serius. "Kenapa... Dia boleh... Buat?"



____________________________________


Bersambung~

Bạn đang đọc truyện trên: AzTruyen.Top